Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 67: Pakaian Putih

Hadis 67: Pakaian Putih

614
0
Iklan

Syarah Hadis Asy-Syama’il Al-Muhammadiyyah – Hadis 67

Mohd ‘Adlan Bin Mohd ShariffuddinFebruary 10, 2017

67- حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا بِشْرُ بْنُ الْمُفَضَّلِ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُثْمَانَ بْنِ خُثَيْمٍ، عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «عَلَيْكُمْ بِالْبَيَاضِ مِنَ الثِّيَابِ، لِيَلْبِسْهَا أَحْيَاؤُكُمْ، وَكَفِّنُوا فِيهَا مَوْتَاكُمْ، فَإِنَّهَا مِنْ خَيْرِ ثِيَابِكُمْ».

67- Telah bercerita kepada kami Qutaybah bin Sa`id, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Bisyr bin Al-Mufadhdhal, daripada `Abdi Llah bin `Usman bin Khusaym, daripada Sa`id bin Jubayr, daripada Ibni `Abbas, dia berkata: Telah berkata Rasulu Llah: «Hendaklah kamu menggunakan yang putih daripada pakaian. Hendaklah memakainya orang-orang yang hidup dalam kalangan kamu, dan kafankanlah di dalamnya mayat-mayat kamu, maka sesungguhnya ia adalah daripada sebaik-baik pakaian kamu».

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini merakamkan ucapan Nabi berkenaan pakaian. Dalam ilmu hadis, sebahagian hadis mengandungi ucapan Nabi, dan ucapan Nabi adalah didahulukan daripada perbuatan Nabi, atau penceritaan oleh sahabat tentang Nabi.

Ini kerana, ucapan, ia adalah jelas, sebagaimana yang diriwayatkan. Perbuatan, ia mengandungi beberapa kecenderungan yang perlu dijelaskan, contohnya adakah ia khusus untuk Nabi, atau ia umum untuk semua, adakah ia perbuatan harian yang kerap dilakukan, atau ia dilakukan sekali untuk menunjukkan hukum, dan pelbagai perbincangan.

Penceritaan oleh sahabat tentang Nabi, ia melibatkan sudut pandang individu, dan kadangkala ia terdedah kepada sangkaan. Kadangkala, ia hanya merakam satu saat, dan tidak menyeluruh untuk sepanjang masa.

Justeru, apabila terdapat ucapan Nabi di dalam sesuatu hadis, maka ucapan itu hendaklah dihayati, seolah-olah Nabi sedang bercakap dengan kita. Justeru, jika ia suruhan, masih adakah ruang atau alasan untuk kita mengatakan tidak? Dan jika ia larangan, masih adakah ruang atau alasan untuk kita masih melakukannya?

Umat pada hari ini sudah hilang nilai kebersamaan bersama Nabi, kerana mereka tidak melihat relevannya Nabi dalam kehidupan mereka. Sebaliknya, bagi penuntut ilmu agama, khususnya ilmu hadis pula, kita hendaklah menjadikan Nabi sebagai pusat kehidupan kita, agar kita merasa nilai kebersamaan bersama Nabi. Apabila mendengar atau membaca hadis Nabi, ia akan menjadi seolah-olah kita mendengar suara Nabi, atau membaca surat daripadanya. Justeru, kita akan lebih memegang dan mencontohi kehidupan Nabi.

Di dalam hadis ini, Nabi menyuruh memakai pakaian yang putih. Jelas daripada hadis-hadis sebelum ini, bahawa Nabi ada memakai pakaian yang tidak putih, iaitu yang berjalur dengan warna merah atau hijau. Walau bagaimanapun, perbuatan Nabi itu tidak membatalkan hadis ucapan seperti ini. Bahkan, ia menunjukkan keutamaan kepada yang mampu, untuk memakai pakaian yang berwarna putih.

Sebahagian kita pada hari ini, kita lebih gemar memakai pakaian yang beraneka warna, dengan pelbagai corak, dengan pelbagai tulisan dan sebagainya. Benar, Islam tidak menghalang hal ini, selagi pakaian itu menutup `awrat. Justeru, bagi orang awam, adalah memadaï mereka memakai apa juga pakaian yang menutup `awrat mereka.

Walau bagaimanapun, bagi mereka yang telah mendengar ucapan Nabi dalam hadis ini, maka hendaklah dia mengutamakan kalam Nabi ini, dengan mengutamakan pakaian yang berwarna putih. Ia sebagai tanda kecintaan kita kepada perkataan Nabi, sehingga kita mahu melaksanakan setiap apa yang diujarkan dan dituturkan daripada lidah Nabi kita.

Kemudian, sekiranya ada urusan atau keperluan, kita bolehlah memakai pakaian berwarna seperti yang dipakai oleh Nabi, iaitu pakaian yang berjalur dengan warna merah atau hijau. Ini ialah keutamaan bagi mereka yang mahu meniru dan mengikut apa yang dilakukan oleh Nabi.

Seterusnya Nabi berkata: (لِيَلْبِسْهَا أَحْيَاؤُكُمْ) « Hendaklah memakainya orang-orang yang hidup dalam kalangan kamu», dan ini ialah penegasan atau pengkhususan daripada yang disebut tadi, iaitu orang-orang yang hidup hendaklah memakai pakaian yang putih.

Putih bermakna kain yang suci dan baik, yang apabila terkena kotoran, ia akan segera kelihatan. Justeru, antara hikmah memakai pakaian putih adalah menjaga diri kita daripada mudah terkena kotoran atau apa-apa yang boleh mencemarkan pakaian kita.

Memakai pakaian putih bermakna ia pakaian yang tidak mencuri pandangan orang lain, tidak menarik perhatian mereka dan tidak membanggakan diri dengan apa yang dipakai. Berbeza dengan sebahagian manusia pada zaman ini, mereka memakai pakaian untuk ditunjukkan kepada orang lain, bukan dengan niat untuk menutup `awrat lagi.

Ramai antara kita dewasa ini memakai pakaian bukan sebagai keperluan asas, tetapi sebagai perhiasan, kebanggaan, lambang identiti, dan lain-lain. Perhiasan, contohnya mereka yang meletakkan manik-manik, labuci dan sebagainya supaya pakaian itu bersinar dan berkelip-kelipan. Kebanggaan, contohnya mereka yang memakai pakaian daripada jenama tertentu atau butik tertentu yang melambangkan ketinggian imej dan harga diri. Lambang identiti, contohnya jenis pakaian tertentu melambangkan identiti kumpulan, persatuan, gaya hidup dan sebagainya.

Bagi mereka yang mempunyaï hati dan mahu melaksanakan arahan Nabi ini, mereka akan berusaha memakai pakaian yang berwarna putih, atau sekurang-kurangnya, walaupun mereka tidak memakai yang putih, mereka menghayati pengertian putih dalam arahan tersebut.

Kerana itu, Nabi menambah di dalam hadis agar mayat dikafankan dengan kain putih, bukan kain yang bercorak, atau berwarna. Ini agar ia kembali kepada fitrah insan yang faqir di hadapan Tuannya.

Di hujung hadis, Nabi menyebut, (فَإِنَّهَا مِنْ خَيْرِ ثِيَابِكُمْ) «Maka sesungguhnya ia adalah daripada sebaik-baik pakaian kamu» kerana seperti yang dijelaskan, ia menjaga zahir tubuh daripada kekotoran, dan ia menjaga batin – iaitu hati – daripada tercemar dengan riya’, berbangga, meninggi diri, dan apa-apa yang membuatkan hati menjadi cinta kepada dunia.

http://telegra.ph/Syarah-Hadis-Asy-Syamail-Al-Muhammadiyyah—Hadis-67-02-10

Komen dan Soalan