Utama UiTO: Soal-Jawab agama bersama ustaz Abu Basyer Hukum Makan Telur Balut

Hukum Makan Telur Balut

5883
0
Iklan

Bolehkah Makan Telur Balut?

Bolehkah kita makan telur balut? Tahap bagaimanakah telur yang boleh dimakan? Apakah Nampak cair darah atau cair hitam sudah tidak boleh dimakan? Saya pernah pernah pecahkan telur yang dalamnya ada sedikit titik hitam seolah-olah macam bulu baru hendak tumbuh.

‘Balut’ Dan Pengertiannya

Menurut sumber Wikipedia, ‘balut’ adalah telur itik (atau ayam) yang mana berisi embrio yang sudah hampir sempurna. Ia kemudiannya direbus dan dimakan. Ia biasanya dijual dan dihidangkan di warung-warung jalanan di Filipina.

Hukum Memakan ‘Balut’

Para ulama ada menjelaskan isu yang berkaitan kepada beberapa pandangan:

Pendapat pertama:

Hukum memakan telur yang apabila dimasak, didapati di dalamnya terdapat anak ayam.

Kata al-Imam Ibn Hazm Rahimahullah: Sekiranya dimasak telur dan kemudian didapati ada sejumlah dari telur telah fasid (rosak) seperti ia telah menjadi darah atau anak ayam, maka kita buang bahagian yang rosak dan kita makan bahagian yang masih berbaki. Ini berasaskan firman Allah:

وَلا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى

Maksudnya: Seseorang tidak menanggung dosa orang lain. [ Al-An’aam: 164 ].

Maka yang halal kekal halal. Ia tidak dirosakkan oleh perkara haram yang berhampiran dengannya. Demikian yang haram tetap haram, ia tidak akan elok dengan perkara halal yang berhampiran dengannya. Wabillahi Ta’ala al-Taufiq. Lihat Al-Muhalla Bil Athaar (6/95).

Pendapat kedua: Hukum memakan telur sebelum menetas.

Ditanyakan kepada Syeikh Abdullah bin Abdul Rahman al-Jibrin Rahimahullah: Sebahagian manusia apabila telur hampir menetas dalam tempoh sehari sebelumnya dan seumpamanya, mereka mengambil telur tersebut lalu memasak dan memakannya. Adakah ini halal ? Sedangkan diketahui bahawa anak ayam telah lengkap pembentukannya.

Maka jawab Syeikh: Aku tidak pernah mendengar sesuatu pun dalam hal ini. Akan tetapi jiwa seseorang akan tidak suka kepada perkara tersebut. Kerana telur apabila hampir menetas padanya bau yang busuk. Sekiranya anak ayam yang terdapat dalam telur itu masih bergerak, maka hendaklah ia disembelih. Sebagaimana disembelih jika ia keluar semasa menetas kerana ia merupakan haiwan yang hidup. Tidak halal dimakan melainkan dengan disembelih. Adapun jika ia tidak bergerak, sesungguhnya ia adalah cebisan daging yang telah sempurna pembentukannya. Maka aku berpandangan hukum memakannya adalah makruh dan aku tidak mengharamkannya.

Pendapat ketiga: Hukum memakan telur ayam atau telur itik yang mana telur tersebut sudah hampir menetas. Di dalamnya sudah terbentuk fizikal anak ayam atau anak itik. Ia kemudiannya direbus dan dimakan.

Soalan ini  telah ditanyakan kepada Lajnah Da’imah Arab Saudi. Penyoal menyifatkan bahawa ‘Balut’ adalah: Telur ayam yang diletakkan di tempat penjagaannya sehinggalah sampai ke tahap lengkapnya anggota badan anak ayam di dalam telur tersebut. Tiga hari sebelum telur menetas, ia direbus di dalam air panas sehinggalah ke tempoh tertentu. Kemudian telur itu dipecahkan dan mereka memakan anak ayam (yang sudah sempurna) yang terdapat di dalamnya.

Jawapan Fatwa Lajnah Da’imah Arab Saudi:

Sekiranya keadaannya sama seperti yang dinyatakan, maka anak ayam atau itik (yang masih di dalam telur) tersebut dianggap sebagai bangkai yang tidak boleh untuk dimakan kerana ia sudah terbentuk di dalam telur. Manakala pengharaman bangkai merupakan sesuatu yang ma’lum min al-din bil-dharurah (sesuatu yang telah diketahui dalam agama secara jelas). Lihat Fatwa al-Lajnah al-Da’imah (22/305)

Pandangan Tokoh Mazhab al-Imam al-Syafie

Kata al-Syeikh Nawawi Banten al-Syafi’e Rahimahullah:

وَلَو كَسرَتْ بَيْضَة حَيَوَان مَأكُول وَوُجِدَ فِي جَوفِهَا فَرخ لَم يَكْمُل خَلْقُهُ أَو كَمُلَ خَلْقُه لَكِن قَبْلَ نَفْخِ الرُّوحِ فِيهِ جَازَ أَكْلُهُ بِخِلاَفِ مَا إِذَا كَانَ بَعْدَ نَفْخِ الرُّوحِ وَزَالَتْ حَيَاتُهُ بِغَيرِ ذَكاَةٍ شَرْعِيَّة فَإِنَّهُ يَكُونُ مَيْتَة

Maksudnya: Sekiranya telur haiwan yang boleh dimakan itu pecah, dan didapati di dalamnya anak ayam yang tidak sempurna kejadiannya atau telah sempurna kejadiannya akan tetapi sebelum ditiupkan roh padanya maka harus untuk memakannya. Berbeza dengan apabila telah ditiupkan roh dan hilang nyawanya tanpa sebarang sembelihan syar’ie maka ia menjadi bangkai. Lihat Nihayah al-Zin Fi Irsyad al-Mubtadien. Hlm. 40.

Kata al-Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah:

وَلَوْ كَسرَتْ بَيْضَة طَائِر مَأكُول وَوُجِدَ دَاخِلَ جَوفِهَا فَرخٌ لَم يَكْمُل خَلْقُه كَأنْ صَارَ قِطْعَة لحمٍ كَالمُضْغَةِ أَوْ كَمُل خَلْقُه لَكِن كَسرَتْ عَنْهُ البَيضَة وَخَرَجَ قَبْلَ نَفْخِ الرُّوحِ فِيهِ جَازَ أَكْلُهُ لأَنَّهُ طَاهِرٌ غَيرُ مُسْتَقْذر كَمَا قَالُوا بِذَلِكَ فِي مُضْغَة خَرَجَتْ مِنْ حَيَوانٍ مَأكُول مِنْ أَنَّها طَاهِرَة وَإِنهَّا تحَلّ بِالذَّكَاةِ لِأُمِّهَا بَل الفَرخ أَولَى بِالطَّهَارَةِ مِنَ المُضْغَةِ لأَنَّهُ مُسْتَحِيل مِنْ طَاهِر بِلا ِخلافٍ بِخِلاَفِ المضغَةِ فَإنَّها مُستَحِيلَة عَنِ المَنِيِّ وَفِيه قَول بِالتَّنْجِيسِ

Maksudnya: Sekiranya telur burung yang boleh dimakan itu pecah, dan didapati di dalamnya terdapat anak burung yang belum sempurna kejadiannya seperti ia menjadi seketul daging seperti mudghah ataupun ia telah lengkap kejadiannya akan tetapi telur tersebut pecah dan ia keluar sebelum ditiupkan roh padanya maka dibolehkan untuk memakannya kerana ia suci dan tidak dianggap menjijikkan sebagaimana yang para ulama sebutkan mengenai mudghah yang keluar dari haiwan yang boleh dimakan bahawa ia suci dan sesungguhnya ia halal dengan penyembelihan ibunya bahkan anak burung itu lebih utama pada kesuciannya berbanding mudghah kerana ia berubah dari suci tanpa ada khilaf berbeza dengan mudghah yang berubah dari mani dan padanya pendapat yang mengatakan ia najis.  Lihat Fath al-Jawad. Hlm. 71-72.

Kesimpulan Dan Tarjih

Selepas meneliti beberapa pandangan di atas, kami lebih cenderung kepada pendapat yang menyatakan hukumnya adalah makruh. Ini kerana, sabitan hidup dan bernyawa pada embrio tersebut masih belum nyata sebagai satu haiwan yang bersifat hidup dengan sempurna. Begitu juga dengan kaedah yang menyatakan ‘asal pada sesuatu perkara adalah halal atau harus kecuali terdapat nas yang mencegahnya menunjukkan kepada haram’. Ini menunjukkan sifat keluasan syariah Islamiah dan samahah al-Islam sendiri kerana yang halal itu nyata dan yang haram juga nyata seperti yang terdapat di dalam hadis nabawi yang sahih.

Begitu juga, adat dan uruf masyarakat Malaysia tidak memakan telur yang terdapat padanya embrio anak ayam atau itik yang belum sempurna dan belum menetas. Semoga dengan pencerahan ini memberi keyakinan kepada kita dalam memahami agama Allah SWT ini terutamanya dalam bab makanan dan minuman.

Akhukum Fillah

S.S. Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

Komen dan Soalan