Tafsir Surah Fussilat
Tafsir Ayat Ke-34
Sambungan tentang bagaimana melakukan dakwah. Kadang-kadang kita akan bertemu dengan orang yang negatif, yang tidak mahu terima. Apakah yang kita boleh buat jika berjumpa dengan orang yang sebegitu? Adakah kita jadi negatif macam dia juga? Atau adakah kita akan tinggalkan sahaja mereka yang sebegitu?
Maka, dalam surah ini, Allah SWT mengajar kita tentang jalan dakwah yang tinggi. Mari kita lihat.
وَلا تَستَوِي الحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادفَع بِالَّتي هِيَ أَحسَنُ فَإِذَا الَّذي بَينَكَ وَبَينَهُ عَدٰوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَميمٌ
“Dan tidaklah sama perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadap mu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”
وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ
Tidak sama amalan kebaikan dengan amalan yang buruk
Tidak sama antara ajaran tauhid dan ajaran syirik. Ia tidak akan jadi sama sampai bila-bila. Allah SWT tekankan dengan mengulang perkataan لَا dua kali dalam ayat ini. Sepatutnya kalau disebut وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَالسَّيِّئَةُ pun telah bawa maksud yang sama. Namun, bila ditambah dengan kalimah لَا sekali lagi, maka ia memberikan penekanan dan kekuatan lagi.
Maka, tidak sama amalan bidaah dan amalan yang datang dari hadis yang sahih. Amalan yang diajar dari Nabi SAW akan mendapat pahala, tetapi amalan bidaah adalah hampa sahaja. Termasuklah amalan yang masyarakat kita panggil ‘Bidaah Hasanah‘ itu. Mereka tidak faham apakah maksud bidaah Hasanah, maka mereka menggunakan tiket ‘bidaah hasanah’ itu untuk melakukan segala perkara yang tidak ada asas dalam agama.
Kalau dibiarkan berleluasa, kita pun tidak tahu apakah yang akan terjadi dengan agama kita ini. Masyarakat begitu mengambil mudah tentang bidaah itu kerana mereka tidak faham. Mereka tidak faham kerana guru-guru dan ustaz-ustaz yang mengajar kepada umum pun tidak faham. Mereka sangka kebaikan dalam agama itu pakai agak-agak sahaja. Apabila mereka ‘agak’ ia baik, mereka sangka tentunya ia juga baik dalam agama. Bukan begitu caranya.
Maka, seperti telah disebut sebelum ini, kita disuruh berdakwah kepada orang lain. Sampaikan ada ulama yang mengatakan ia adalah arahan yang wajib. Kalau ditinggalkan, sudah menjadi satu dosa.
Apabila berdakwah, tentulah akan bertemu dengan orang yang tidak sama pendapat dengan kita. Kita bawa dalil Al-Quran dan Hadis yang sahih, mereka bawa pendapat guru mereka, anggapan akal fikiran mereka, kitab itu kata boleh, kitab ini kata begitu dan lain-lain lagi dalil-dalil mereka. Mereka lupa bahawa tidak akan sama antara dalil yang sah yang datang dari Al-Quran dan Hadis sahih jika dibandingkan dengan dalil-dalil lain – tidak akan sama.
Al-Quran adalah kalam Allah SWT dan Hadis adalah kalam Nabi SAW tetapi ianya juga dari Allah SWT juga. Mana kan sama dengan pendapat guru mereka? Mana sama dengan kitab karangan manusia? Tidak akan sama sampai bila-bila.
Selain dari itu, tidak sama perbuatan baik dan perbuatan buruk. Perbuatan buruk mendorong manusia untuk terus melakukan keburukan dan perbuatan yang baik akan mendorong manusia untuk melakukan kebaikan lagi. Ia seperti satu dorongan atau ‘inertia’. Bila telah mula buat amalan yang baik, kita akan lebih mudah untuk lakukan amalan baik yang lain. Maka untuk kita banyak buat amalan yang baik, sebenarnya kita kena mulakan sahaja. Bila kita mulakan, Allah SWT akan beri taufik lagi kepada kita untuk buat amalan baik yang lain.
Juga tidak sama sifat lembut dan sifat kasar. Seorang pendakwah kena ada sifat lembut dalam hati mereka dan kata-kata mereka dan meninggalkan sifat kasar yang mungkin ada. Kalau kita kasar, selalu kutuk dan salahkan orang lain, maka walaupun apa yang kita bawakan itu benar, tetapi orang yang di dakwah rasa malas hendak dengar dakwah kita kerana perangai kita. Semoga para asatizah kita tidaklah berkasar dengan orang lain.
ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ
Tolaklah keburukan mereka dengan yang lebih baik.
Apabila ada perbezaan pendapat, di situ kadang-kadang ada pertelingkahan. Bagaimana seorang pendakwah hendak menghadapi situasi begini? Itulah yang dikatakan kena dakwah dengan ‘hikmah’.
Dan hikmah itu kenalah ikut cara Nabi SAW. Jadi kena cari cara bagaimana. Untuk mengetahuinya, kena tahu cara hidup Nabi SAW dan bagaimana baginda berdakwah. Kita kena usaha dakwah dengan hikmah – seolah-olah perumpamaan ular mati, tongkat tidak patah. Maksudnya, dengan cara dakwah kita itu, syirik hilang dan hubungan kita dengan orang yang di dakwah itu tidak rosak. Bila ziarah dia, lain kali boleh pergi ziarah lagi kerana hubungan kita dengan dia tidak rosak.
Kita kena guna hemah, sampai orang yang kita dakwah itu masih mahu jumpa kita di kemudian hari. Jadi kena pandai pakai perkataan yang sesuai. Jangan kita hina dia sampai dia sudah tidak mahu jumpa kita lagi. Jadi kena sabar banyak-banyak. Kalau yang di dakwah itu kata kita gila pun, kita katalah ‘terima kasih’.
Inilah hikmah dan tidak dinafikan yang ia memang payah kerana selalunya kita pun tidak tahan. Kadang-kadang kita terkasar juga dalam membalas kata-kata nista orang yang di dakwah dan itu tidak ‘ahsan’ sebab kita hendak datang dakwah lagi kepada dia, tetapi kalau telah tutup pintu, habis lah peluang kita untuk berdakwah lagi. Dalam kata lain, kita hendak ajak dia datang belajar. Dia lawan wahyu itu adalah kerana kejahilannya.
Tukarkan keburukan itu kepada kebaikan. Buat sesuatu yang baik. Katakan kepada mereka dengan kata-kata yang baik. Memang mereka mungkin akan marah kita, caci kita, beri nama macam-macam kepada kita, kata kita sesat, gelar kita ‘wahabi’, ‘Kaum Muda’ dan sebagainya. Namun, jangan kita balas macam itu juga dengan mereka. Bercakap baiklah dengan mereka, jangan balas dengan kata-kata yang buruk juga. Mungkin mereka sendiri terkejut dengan balasan baik yang kita berikan.
Selalunya, apabila orang cakap kasar dengan kita, mereka sangka kita akan berkasar balik dengan mereka. Mereka tidak hairan kalau kita cakap kasar balik dengan mereka. Tetapi, kalau mereka berkasar dengan kita, kita balas dengan baik, tentu mereka hairan. Mereka berkasar lagi, kita terus bercakap dengan baik dengan mereka. Cakap dengan senyuman. Lama kelamaan, mereka pun sudah tidak tahu hendak cakap bagaimana lagi. Hati yang mula keras, insya Allah akan dilembutkan.
فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدٰوَةٌ
Maka apabila satu orang antara kamu dan dia sebelum ini satu musuh yang ketat;
Apabila mereka ditolak dengan cara yang baik, insya Allah akan membuka hati mereka. Mereka tengok kita ini benar-benar ikhlas hendakkan kebaikan untuk mereka.
Perkataan فَإِذَا menunjukkan sesuatu yang terjadi tiba-tiba. Yang mulanya hendak berlawan, tiba-tiba jadi kawan pula. Kalau dulu bermusuh betul dengan kita, sudah mula datang perasaan lain, perasaan yang lembut terhadap kita, perasaan hormat kepada kita. Dan yang paling penting, mereka lembut terhadap Sunnah dan mahu belajar agama dengan lebih mendalam.
Begitu juga kalau orang lain berbuat jahat kepada kita, bertindak kasar kepada kita, sebaiknya kita melayan dan membalas dengan kebaikan, dengan lembut, dengan senyuman. Teruskan beri dalil-dalil yang sahih. Itu akan menyebabkan mereka sendiri akan terkesan dan mereka akan nampak kesalahan mereka. Akhirnya mereka akan menjadi kawan kita yang rapat.
كَأَنَّهُ وَلِيٌّ
seolah-olah mereka itu kawan
Dahulu mereka seperti musuh kita yang ketat, tetapi sekarang, apabila kita balas kata-kata mereka dengan baik, mereka akan lembut hati dan jadi kawan kita. Kalau dulu dia sanggup tengok kita mati, namun sekarang dia sanggup mati kerana kita.
Lihatlah bagaimana Abu Sufyan yang bertahun-tahun berperang menentang Nabi SAW, akhirnya masuk Islam kerana sikap mulia Nabi SAW kepada beliau. Begitu juga, lihatlah bagaimana kisah Fathul Makkah (Pembukaan Mekah). Waktu itu Nabi SAW masuk ke Kota Mekah dengan segala kekuatan yang Allah SWT telah berikan kepada orang Islam. Nabi SAW boleh sahaja membalas segala kejahatan yang telah diberikan kepada baginda selama baginda berdakwah kepada mereka dahulu. Tetapi Nabi SAW telah membebaskan mereka. Nabi SAW bebaskan mereka secara percuma, tanpa ada apa-apa tebusan. Hasilnya, mereka semuanya masuk Islam dengan rela dan menjadi pembela Nabi SAW dan Islam kemudiannya.
حَمِيمٌ
yang rapat dengan kita
Perkataan حَمِيمٌ asalnya bermakna ‘mendidih’. Digunakan dalam ayat ini untuk menunjukkan mereka itu akan menjadi kawan yang amat-amat rapat dengan kita, bersemangat untuk kita (macam air yang mendidih). Mereka pula yang akan membantu kita dengan kuat sekali. Mereka sanggup susah kerana kita. Mereka akan mempertahankan kita. Padahal dulu mereka musuh kita, tidak mahu terima dakwah kita.
Begitulah yang terjadi kepada Nabi Muhammad SAW. Ada para sahabat baginda dulunya menentang baginda tetapi dengan dakwah baginda yang melayan mereka dengan baik, akhirnya mereka masuk Islam dan mereka menjadi sahabat yang kuat mempertahankan baginda dan Islam. Banyak sahabat yang sebegitu seperti Ikrimah anak Abu Jahal, Khalid al-Walid dan ramai lagi. Ini adalah kerana sifat Nabi SAW.
Ini juga mengajar akhlak kepada kita. Apakah akhlak itu? Akhlak yang mulia adalah apabila ada orang yang berbuat buruk kepada kita, tetapi kita balas dengan baik.
Ini juga mengajar psikologi kepada kita. Kalau ada orang yang menengking kita, dan kita balas tengking dia balik, ia akan berpanjangan. Jika dia tengking kita, tetapi kita cakap dengan baik dan lembut, ia akan melembutkan hati mereka. Mereka terkejut dengan perbuatan kita kerana mereka tidak sangka. Mereka sangka kita akan balas seperti mereka juga. Ia akan memberi kesan yang positif kepada mereka.
Cara kita berdakwah kepada manusia adalah seperti mereka itu kawan rapat kita. Jadi kita kena sabar dan terus bercakap baik dengan mereka. Jika kawan kita, tentunya kita akan sabar dengan mereka kerana kita tidak mahu menjejaskan persahabatan antara kita dan mereka. Jika mereka berkasar pun, kita boleh bersabar.
Satu lagi yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah: kita hendaklah ada harapan dalam hati kita supaya mereka menjadi kawan rapat kita nanti. Mungkin semasa kita mengajak mereka kepada Islam, mereka marah, mereka maki, mereka jauhkan diri dari kita dan cakap tidak baik dengan kita.
Mungkin kita pun ada terkesan dengan percakapan mereka dan kita pun rasa hendak berhenti dari berdakwah dan melarikan diri jauh dari mereka. Namun, itu adalah perbuatan yang salah. Kita kena terus sabar berdakwah dengan mereka, kerana dalam hati kita, kita menyimpan harapan supaya nanti mereka akan terima dakwah kita dan menjadi kawan yang rapat dengan kita.
Allahu a’lam.