Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-33

Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-33

13258
2
Iklan

Tafsir Surah Fussilat

Tafsir Ayat Ke-33

Ayat ini ditujukan kepada mereka yang berdakwah kepada orang lain iaitu orang yang minat kepada Al-Quran. Mereka inilah juga yang sanggup berkata: “Tuhan kami adalah Allah SWT”. Mereka bukan setakat cakap sahaja tetapi mereka buat kerja dengan mengajak manusia ke arah Allah SWT dan wahyu.

Ini berlawanan dengan ayat Syikayah (rungutan Allah SWT) sebelum ini tentang mereka yang menghalang orang lain dari mendengar ayat-ayat Al-Quran. Begitulah mereka yang anti Al-Quran akan halang orang lain dari belajar tafsir Al-Quran. Kebalikan dari menghalang orang mendengar Al-Quran, adalah mengajak mereka kepada Al-Quran itu sendiri.

Ini adalah satu ayat yang penting dalam surah ini. Ia adalah salah satu fokus dalam surah Fussilat – iaitu melakukan dakwah. Tema penting dalam surah ini adalah tentang dakwah selain daripada tentang tauhid dalam doa.

Itu adalah Muqaddimah. Ayat pertama hari ini.

وَمَن أَحسَنُ قَولًا مِمَّن دَعا إِلَى اللهِ وَعَمِلَ صالِحًا وَقالَ إِنَّني مِنَ المُسلِمينَ

Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah SWT, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah SWT)!”

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا

Dan siapa yang lebih baik kata-katanya.

Maksudnya, tidak ada lagi yang lebih baik seruannya dari orang yang akan disebut sekejap nanti.

Ada dua elemen di sini:

  1. Tiada ‘seruan’ yang lebih baik dari seruan itu.
  2. Tiada ‘orang’ yang lebih baik dari orang yang menyeru itu.

Ayat ini dalam bentuk pertanyaan. Namun, ia adalah pertanyaan yang berbentuk retorik iaitu ingin mengatakan bahawa tidak ada lagi yang lebih baik. Macam orang kata: “siapa lagi yang lebih kuat?” – bunyi macam tanya, tetapi sebenarnya dia hendak kata dialah yang paling kuat.

Yang dimaksudkan ‘kata-kata yang terbaik’ itu adalah kata-kata seruan dakwah. Ini adalah satu tugas dan amalan yang mulia iaitu mengajak orang kepada agama.

Bukan senang kerja ini. Tidak ramai yang hendak memikirkan hal agama ini. Selalunya mereka buat tidak kisah sahaja. Tambahan pula kalau yang kita dakwah itu adalah orang yang degil – seperti yang disebut dalam ayat ke-5 surah ini. Mereka kata hati mereka tertutup dari dakwah itu, dalam telinga mereka ada sumbatan dari dakwah itu dan ada dinding antara mereka dan agama. Selalunya mereka tidak cakap, tetapi itulah yang dalam hati mereka sebenarnya.

Maka, kerja dakwah itu adalah kerja yang amat sukar. Kalau ia sukar, maka ia adalah satu perkara yang memerlukan orang yang ada kualiti yang tinggi. Maka, kerana itulah Allah SWT kata tidak ada lagi seruan yang lebih mulia dari seruan dakwah itu. Kiranya, orang yang buat kerja dakwah tauhid ini adalah insan terpilih lah.

Usaha dakwah adalah usaha-usaha para Rasul. Kalau kita pun menjalankan kerja dakwah, kita pun menjalankan usaha-usaha yang dijalankan oleh rasul-rasul. Kita meneruskan usaha mereka kerana sekarang tidak akan diturunkan Nabi SAW lagi dalam dunia ini. Yang ada hanyalah penyampai-penyampai dakwah seperti kita. Kalau bukan kita yang dakwah, siapa lagi? Semoga Allah SWT meletakkan kita dalam golongan mereka.

مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللهِ

daripada yang seru kepada Allah SWT.

Tiada seruan yang lebih baik dari mengajak manusia kembali kepada tauhid. Ini kerana bila kita ajak orang, ia bukan hanya menyelamatkan diri sendiri sahaja, tetapi ajak juga orang lain, hendak selamatkan orang lain.

Kalau disambungkan dengan potongan ayat sebelum ini, ayat penuhnya adalah: ‘Tidak ada seruan yang lebih baik dari seruan dakwah’. Dan juga bermaksud, ‘tidak ada orang yang lebih baik dari orang yang berdakwah’.

Langkah pertama adalah memperbetulkan diri kita. Itu telah disebut dalam ayat-ayat sebelum ini – antaranya ayat ke-6 di mana Allah SWT suruh kita beriman dan istiqamah dalam iman itu. Oleh itu, langkah pertama dakwah adalah membetulkan diri kita dulu. Macam mana kita hendak ajak orang lain kalau diri kita sendiri pun tidak betul? Kalau hendak bagi orang makan resipi baru, awak makanlah dulu, cuba rasa dulu.

Selepas kita membetulkan diri kita, maka kita ajak orang lain pula. Memang tidak boleh duduk diam setelah belajar tafsir. Kena jalankan kerja dengan sampaikan kepada orang lain pula. Macam juga Rasulullah setelah mendapat wahyu, baginda sampaikan kepada umat. Begitu juga dengan sahabat. Begitulah juga dengan rakan-rakan saya selepas belajar tafsir. Mereka tidak duduk diam, kerana mereka rasa ini barang amat berharga, kena sampaikan kepada orang. Harapnya anda pun begitulah juga.

Namun, memang kena ingat bahawa mereka yang sampaikan wahyu kepada manusia akan kena berlawan dengan mereka yang anti Al-Quran macam Nabi SAW juga. Bayangkan Nabi SAW telah ditentang puak baginda sendiri. Maka kena bersedialah. Jangan pelik lah bila ada orang tolak anda nanti.

Lihatlah ayat ini, ia menekankan kepada kita bahawa tujuan dakwah itu adalah ‘menyeru kepada Allah SWT’. Maka, itulah dakwah yang pertama-tama sekali. Itulah dakwah yang paling mulia iaitu mengajak kepada tauhid. Mengajak manusia kepada ibadat hanya kepada Allah SWT, dan menyeru hanya Allah SWT sahaja dalam doa.

Bukannya terus tegur amalan orang lain. Bukan terus cerita pasal bidaah, tidak. Yang mula sekali adalah memperkenalkan kepada mereka siapakah Allah SWT itu dengan sifat-sifat-Nya. Kemudian kita beritahu mereka bahawa hanya ibadat kepada Allah SWT sahaja. Kemudian ajar doa hanya kepada Allah SWT sahaja dan tinggalkan amalan tawassul yang banyak dilakukan oleh manusia. Apabila mereka sudah terima, barulah senang untuk mengajar kepada membetulkan amal ibadat.

وَعَمِلَ صَالِحًا

dan dia sendiri buat amal-amal soleh.

Bukan sahaja dia beriman dan mengajak orang lain beriman, tetapi dia juga melakukan amal yang soleh. Bukan hanya pandai cakap sahaja, tetapi buat juga amalan yang soleh.

Amalan yang soleh adalah amalan yang diajar oleh Nabi SAW iaitu yang ada sandaran dari amalan Nabi SAW. Bukan amalan rekaan dari manusia dan ulama-ulama, ustaz-ustaz iaitu bukanlah amalan bidaah.

Amalan bidaah adalah amalan yang melawan amalan sunnah, sebab itu ia adalah amalan yang buruk. Maka orang juga mengajak orang dengan dia sendiri melakukan amalan soleh kerana dia menunjukkan contoh teladan yang baik kepada manusia lain.

Oleh kerana itu, amal yang soleh juga adalah satu cara dakwah. Iaitu dakwah dengan cara perbuatan. Dakwah itu ada dua cara penyampaian: dengan mulut dan dengan perbuatan. Melalui mulut adalah kita seru orang dan kita beri dalil hujah kepada mereka.

Melalui perbuatan adalah kita buat amalan yang soleh, ibadat yang diajar Nabi SAW dan lain-lain amalan. Amalan sedekah, tolong orang dan sebagainya itu pun adalah amal yang soleh juga kerana ia juga telah dianjurkan dalam Islam. Apabila orang melihat kita buat perkara-perkara ini, mereka akan nampak kesungguhan kita. Mereka tidaklah kata kita ini hanya pandai cakap sahaja – cakap tidak serupa bikin – tetapi kita juga amalkan apa yang kita cakapkan.

Bukankah dalam ayat sebelum ini telah disebutkan tentang istiqamah? Kenapa diulang lagi berbuat amalan soleh lagi dalam ayat ini? Dulu disebut berbuat amal ibadat yang soleh untuk memperbaiki diri sendiri. Dalam ayat ini, diingatkan manusia yang berdakwah supaya jangan lupa diri sendiri dalam melakukan dakwah.

Dalam kita dakwah orang lain itu, jangan lupa diri kita pun kena berbuat amal ibadat. Jangan kita ingat, kita sudah berdakwah, kita sudah selamat dan tidak payah buat amal ibadat. Kerja dakwah kena jalan, amal ibadat kena jalan juga dalam masa yang sama. Kadang-kadang orang berdakwah, kelemahan mereka adalah mereka telah kurang solat, kurang zikir sebab mereka ingat telah diganti dengan kerja dakwah itu. Jangan kita jadi begitu. Sebaliknya, kita kena menambahkan amal-amal soleh kita lagi.

Dalam kita buat kerja dakwah, mengajak orang lain kepada Allah SWT, kita memerlukan kekuatan dalaman. Kekuatan dalaman itu datang dari mana? Ia dari Allah SWT dan Allah SWT akan beri kepada mereka yang melakukan ibadat kepada-Nya.

Ingatlah bagaimana Nabi SAW pun disuruh oleh Allah SWT untuk melakukan solat malam walaupun pada siangnya baginda telah berhempas pulas berdakwah kepada bangsa Quraisy dan bangsa Arab. Namun, pada malamnya Allah SWT suruh Nabi SAW kerjakan solat malam pula. Ini adalah kerana solat itu memberi kekuatan kepada Nabi SAW sebenarnya.

Begitu juga kita – amalan amal ibadat yang kita buat itu sebenarnya memberikan kekuatan kepada kita. Memang kita memerlukan kekuatan itu. Oleh itu, dalam kita melakukan dakwah, kita kena tambah amal ibadat kita.

وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Dan dia berkata: sesungguhnya aku ini terdiri dari seorang yang serah diri sepenuhnya kepada Tuhan.

Mereka ini adalah golongan anti syirik. Kalau zaman Nabi SAW, mereka itu berlawanan dengan musyrikin Mekah. Mereka dulu berlawanan dengan fahaman dan amalan musyrikin Mekah. Kerana mereka kata begitu, mereka telah ditentang dan disakiti. Kalau zaman sekarang, kalau beritahu belajar tauhid, maka akan dilawan oleh pihak yang amalkan syirik dan bidaah. Macam zaman Nabi SAW, bahaya kalau sahabat sebut mereka belajar dengan Nabi Muhammad SAW. Begitulah dugaan kepada mereka yang berpegang kepada sunnah.

Dalam segala hal, kita berserah diri kepada Allah SWT. Itulah maksud ‘muslim’ dari segi bahasa – serahkan sepenuhnya kepada Allah SWT. Dan taat sepenuhnya kepada Allah SWT. Kita ikut apa yang Allah SWT suruh kita buat dan tinggalkan apa yang Allah SWT larang. Jangan memandai-mandai buat perkara baru dalam agama. Yang memandai dalam perkara agama itu adalah perkara yang bidaah.

Dan deklarasi diri sebagai seorang Muslim adalah satu deklarasi yang merendahkan diri dari orang yang memperkatakannya kerana dia mengaku yang dia hanya seorang manusia biasa, yang sama sahaja kedudukannya dengan orang lain.

Semua orang adalah status yang sama – muslim. Dalam dia mengajak orang lain kepada agama, bukanlah dia mengatakan yang dia lebih tinggi kedudukannya dari orang lain. Kita hanya menjalankan suruhan Allah SWT sahaja untuk menyampaikan agama.

Bukanlah dia dari golongan Habib yang kerana kononnya mereka keturunan Nabi SAW, mereka lebih lagi dari orang lain, bukan. Bukanlah kerana mereka dulu keturunan Tok Kenali atau mana-mana ulama, sudah semestinya mereka sudah pandai dan sudah selamat, bukan.

Itu semua tidak menjanjikan apa-apa, sebenarnya kalau amalan yang dilakukan adalah berlainan dengan ajaran tauhid dan sunnah.

Dalam ayat ini, seorang pendakwah itu diingatkan dia mesti mengatakan bahawa mereka sama sahaja kedudukan mereka dengan orang lain. Tidak ada yang lebih dari orang lain dalam agama ini.

Ini memang bahaya kerana kalau kita telah mula berdakwah, telah mula mengajar orang lain, ada kelas pengajian, manusia akan melayan kita lain macam. Mereka ingat doa kita mujarab, mereka akan minta kita beri ayat-ayat untuk di baca dan diamalkan, mereka akan minta kita sembuhkan mereka, mereka akan tanya macam-macam hal dan kita akan jawab begitu begini dan sebagainya. Kalau kita tidak berhati-hati, kita mungkin akan ada rasa tinggi diri. Kalau itu terjadi, itu adalah satu perkara yang malang sekali.

Seperkara lagi dingatkan, kita juga jangan tinggikan sangat kedudukan guru-guru kita. Jangan kita layan mereka lain macam sampai mereka pun rasa mereka tinggi dari kita. Atau kita harapkan mereka boleh buat sesuatu yang lebih dari seorang manusia. Atau kita ingat mereka tahu semua perkara – sampaikan kalau ada benda yang mereka tidak tahu, kita rasa hairan dan kita rasa mereka ada kurang pula.

Memanglah mereka pasti ada kekurangan, kerana mereka pun manusia macam kita juga. Mereka pun ada kehidupan biasa. Mereka pun ada buat silap. Bukan semua hal agama mereka tahu – ada juga benda yang mereka tidak tahu. Tidak ada manusia yang tahu semuanya. Ilmu itu amat luas, ada yang guru kita tahu dan ada yang guru kita tidak tahu. Itulah sebabnya kita kena berguru dengan ramai orang.

Kita sebutkan di sini kerana kadang-kadang kalau kita tengok bagaimana pelajar-pelajar agama layan guru-guru mereka terutama guru tarekat, kita pun kasihan tengok mereka. Terlalu berlebihan sangat. Macam jadi hamba dengan guru mereka. Apa sahaja yang guru mereka kata, itulah agama pada mereka.

Hinggakan kalau ada guru lain beri pendapat yang lain sikit, mereka tidak terima – mereka hanya ikut pendapat guru mereka sahaja. Itu sudah bahaya – kerana hal agama hendaklah disokong dengan dalil dari nas yang sahih. Bukan boleh ikut pendapat guru sahaja. Kadang-kadang guru itu tidak jumpa dalil, maka dia hanya dapat beri pendapat dia sahaja. Bukan dalil tidak ada, tetapi dia yang tidak jumpa. Seperti kita telah sebut tadi, bukan semua guru tahu semua perkara.

Ini juga mengingatkan kita tujuan dakwah kita. Kita mengajak manusia kepada Islam. Bukan kepada sesebuah organisasi, persatuan atau ideologi. Tidak sama sekali.

Dalam Islam, tidak ada kumpulan. Yang ada, hanya satu – menjadi Muslim. Tidaklah ada kumpulan ‘ahli sunnah wal jamaah’, kumpulan tabligh, kumpulan Salaf, kumpulan Arqam, Hizbut Tahrir, kumpulan itu dan ini. Kalau orang tanya kita dari kumpulan mana pun, kita cakap kita tidak dari mana-mana kumpulan, kita cuma jawab kita ini adalah Muslim.

Allahu a’lam.

2 KOMEN

    • Alhamdulillah, memang kita setuju sangat untuk berhati-hati dalam semua hal, terutama sekali tentang bab agama.
      Pihak kami tidaklah anti dengan keturunan Rasulullah dan orang soleh. Cuma kita anti kepada pembohongan dalam hal agama, itu sahaja. Kerana itu kita setuju ajakan untuk berhati-hati dalam kita mengambil ilmu agama. Kena periksa sama ada ia dari sumber sahih atau tidak, sumber wahyu atau tidak. Kerana ramai yang menipu dalam bab agama. Orang soleh pula adalah orang yang berhukum dan mengamalkan Al-Qur’an dan Sunnah di dalam kehidupan mereka. Mereka juga mengajar ilmu wahyu kepada manusia. Semoga kita diberi taufiq dan hidayah oleh Allah.

Komen dan Soalan