Utama Bilik (78) Bulughul Maram & Fathul Bari Hadis 82: Amalan Sunat Selepas Mandi Jenazah (Kitab Bulughul Maram)

Hadis 82: Amalan Sunat Selepas Mandi Jenazah (Kitab Bulughul Maram)

4355
0
Iklan

Panel: Abu Tolhah Solahuddin

Assalamu’alaikum

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله على نعمه والصلوة والسلام على رسوله الكريم
اللهم انفعنا بما علمتنا و علمنا ما ينفعنا و زدنا علما
رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي
أما بعد،

Hadis 82

ِعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم ( مَنْ غَسَّلَ مَيْتًا فَلْيَغْتَسِلْ وَمَنْ حَمَلَهُ فَلْيَتَوَضَّأْ ) أَخْرَجَهُ أَحْمَدُ وَالنَّسَائِيُّ وَاَلتِّرْمِذِيُّ وَحَسَّنَه وَقَالَ أَحْمَدُ لَا يَصِحُّ فِي هَذَا اَلْبَابِ شَيْءٌ

Dari Abu Hurairah رضي الله عنه bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Barangsiapa yang memandikan mayat maka hendak lah dia mandi dan sesiapa yang mengangkat/membawanya maka hendak lah dia berwudhu”
Dikeluarkan oleh Ahmad, an Nasa’i dan at Tirmidzi, dia mengatakan hadis ini hasan. Dan Imam Ahmad berkata: tak ada sesuatu yang sohih dalam bab ini.

[Darjat hadis]

Hadis ini sohih.

Cuma khilaf ulama adakah ia sohih Marfu’ atau Mauquf (yakni hadis ini dari perkataan Abu Hurairah). Ini seperti maksud dari perkataan Imam Ahmad mengatakan tidak ada sesuatu yang sohih dalam bab ini, yakni sohih Marfu’.

Sebahagian ulama mengesahkan hadis ini sebagai hadis Marfu’. Ini sesuai dengan pendapat Imam At Tirmidzi dan selainnya.
Antara yang mengatakan hadis ini sohih Marfu’ ialah Ibn Qattan, ibn Hazm, ibn Daqiq al Aidh dan al Albani. Dan Ibn Daqiq al Aidh berkata: “perawi-perawinya adalah perawi-perawi Muslim.

[Penerangan]

1- Hadis ini menunjukkan bahawa disyariatkan bagi orang yang mandikan mayat supaya mandi. Secara zahir hadis ini membawa makna wajib mandi setelah mandikan mayat.

2- Hukum mandi ini bentuk umum iaitu meliputi semua jenazah sama ada mayat kecil-besar atau tua-muda atau lelaki-perempuan atau muslim-kafir atau berlapik-tidak berlapik sama sahaja hukumnya.

3- Hukum wajib mandi pada hadis di atas seolah-olah bertentangan dengan hadis lain yang menunjukkan bahawa tidak wajib mandi seperti di dalam riwayat al Baihaqi dari ibn Umar berkata:

كنا نغسل الميت فمنا من يغتسل ومنا من لا يغتسل

“Kami dulu selalu mandikan mayat. Lalu ada dikalangan kami yang mandi dan ada dikalangan kami yang tidak mandi”
(Ibn Hajar berkata “hadis ini isnadnya sohih)

Jadi, melalui hadis ibn Umar dan hadis Abu Hurairah di atas menunjukkan bahawa tidak wajib mandi setelah mandikan mayat. Hanya saja disunatkan mandi. Ini sesuai dengan pendapat kebanyakkan ulama’.

Namun ada juga mewajibkan mandi seperti mazhab Hanabilah dan mereka juga berpendapat batal wudhu kerana berdalilkan hadis Abu Hurairah ini.
Dan alasan lain, mereka mengatakan bila mandikan jenazah kebiasaannya boleh tersentuh auratnya ketika balikkannya atau sebagainya. Maka dengan itu diperintahkan berwudhu sama ada ia hukum sunat ataupun wajib seeloknya berwudhu.
Manakala bagi jumhur ulama’ mengatakan tidak wajib bahkan ia sunat semata.

4- Ada pun perintah berwudhu dalam hadis Abu Huraira di atas, as-Son’ani mengatakan tidak ada seorang pun dikalangan ulama’ berpendapat berwudhu seperti untuk solat disebabkan mengangkat jenazah. Ini kerana lafaz wudhu itu ditafsirkan membasuh kedua tangan sahaja. Maknanya bukan berwudhu seperti wudhu untuk solat cuma dibasuh kedua tangan disunatkan atas dasar kebersihan dari bau-bau tidak menyenangkan atau sebagainya. Itu pun bukan kerana jenazah itu najis. Sebab mayat manusia tidak najis.

Maka basuh tangan di sini adalah disunatkan sekiranya mengangkat jenazah. Ini sesuai dengan hadis ibn Abbas diriwayatkan oleh al Baihaqi :

حسبكم ان تغتسلوا ايديكم

“Cukup lah kamu hanya membasuh tangan-tangan kamu”
(Ibn Hajar berkata hadis ini hasan)

Sekiranya tidak basuh tangan, tidak mengapa. Perintah ini hanya kerana memikul atau mengangkat mayat yang mana tangannya tersentuh badan jenazah secara berlapik dengan kain atau tidak berlapik. Manakala hanya sentuh pengusung jenazah,tidak perlu basuh.

Habis di sini kelas malam ini..

Dan Allah jua Yang Maha Mengetahui.

Ada soalan boleh tanya,in sya Allah saya jawab kemudian.

وآخر دعوانا ان الحمد لله رب العالمين
والسلام عليكم ورحمة الله

Komen dan Soalan