Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Fussilat – Tafsir Ayat Ke-22 hingga Ke-24

Tafsir Fussilat – Tafsir Ayat Ke-22 hingga Ke-24

486
0
Iklan

Tafsir Ayat Fussilat

Sebelum ini kita telah belajar tentang kulit menjadi saksi.

Tafsir Ayat Ke-22:

Ini adalah ayat Idkhal Ilahi – Pencelahan Tuhan tentang apakah fahaman orang Musyrikin Mekah. Sedang cerita tentang kulit, Allah SWT mencelah untuk memberi pengajaran.

وَما كُنتُم تَستَتِرونَ أَن يَشهَدَ عَلَيكُم سَمعُكُم وَلا أَبصارُكُم وَلا جُلودُكُم وَلٰكِن ظَنَنتُم أَنَّ اللَهَ لا يَعلَمُ كَثيرًا مِمّا تَعمَلونَ

“Dan tidaklah kamu berselindung (ketika melakukan dosa di dunia dahulu) bukanlah kerana kamu bimbangkan pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan kamu menjadi saksi terhadap perbuatan-perbuatan kamu yang berdosa itu, akan tetapi kerana kamu menyangka bahawa Allah SWT tidak mengetahui kebanyakan dosa yang kamu lakukan (secara bersembunyi itu).

وَمَا كُنْتُمْ تَسْتَتِرُونَ

Dan tidaklah kamu dulu bersembunyi

Allah SWT bercakap dengan Musyrikin Mekah: Kamu boleh bersembunyi dari manusia, tetapi kamu tidak boleh bersembunyi dari anggota tubuh kamu sendiri. Namun, kamu sendiri pun tidak berselindung dari anggota-anggota badan kamu semasa kamu melakukan kesalahan kamu itu.

Ini adalah kerana Arab Mekah tidak sangka tubuh badan mereka akan dapat berkata-kata di akhirat kelak kerana itulah mereka tidak berselindung pun dari tubuh badan mereka.

Sebenarnya, ayat ini bukan untuk Musyrikin Mekah sahaja. Kita pun kadang-kadang buat dosa, tidak teringat pun yang tubuh kita ini akan jadi saksi nanti, kan?

أَنْ يَشْهَدَ عَلَيْكُمْ سَمْعُكُمْ وَلَا أَبْصَارُكُمْ وَلَا جُلُودُكُمْ

dari bersaksi ke atas pendengaran kamu, dan tidak penglihatan kamu, dan tidak dari kulit-kulit kamu

Allah SWT hendak menceritakan ada satu salah faham dalam kalangan orang Arab Mekah pada zaman jahiliah. Mereka sangka yang kalau mereka cakap perlahan, Allah SWT tidak dengar apa yang mereka katakan. Dan kalau mereka buat sesuatu perkara secara tersembunyi, Allah SWT tidak tahu. Dan kalau selindung, Allah SWT tidak tahu apa yang mereka lakukan.

Ini adalah kerana mereka tidak ada pengetahuan yang lengkap tentang Allah SWT, mereka tidak ada kitab wahyu dan Nabi mereka, Nabi Ismail dan Nabi Ibrahim telah lama meninggalkan mereka. Mereka pun tidak ada kitab agama. Jadi ilmu yang mereka ada adalah ikut-ikutan dari tok nenek mereka sahaja, bukan berdasarkan kepada pengetahuan yang tepat berdasarkan agama yang sahih. Sepatut jika tidak tahu kenalah belajar dengan Nabi, tetapi ini tidak berlaku.

Ini seperti masyarakat kita yang tidak kenal Allah SWT tetapi degil tidak mahu belajar.

Begitu jugalah maklumat tentang Hari Akhirat yang mereka tidak tahu kerana mereka tidak ada ilmu tentangnya. Oleh kerana itu, semasa mereka buat dosa-dosa itu, mereka tidak tutup pun mata atau telinga atau kulit mereka masa tu. Mereka tidak tahu bahawa semua anggota melihat apa yang kita lakukan dulu. Mereka pun tidak percaya yang mereka akan dibangkitkan kelak di akhirat. Pada mereka, apabila mereka mati, mereka terus mati dan tidak ada kebangkitan semula.

وَلَٰكِنْ ظَنَنْتُمْ أَنَّ اللَهَ لَا يَعْلَمُ كَثِيرًا مِمَّا تَعْمَلُونَ

tetapi kamu sangka bahawa Allah SWT tidak tahu kebanyakan dari dosa yang kamu lakukan,

Maksudnya mereka sangka Allah SWT tidak akan balas kebanyakan dari dosa-dosa yang mereka buat. Oleh kerana mereka ada perasaan dan pemahaman sebegitu, maka mereka rasa mereka bebas untuk buat apa sahaja yang mereka hendak.

Ada orang berfalsafah, setelah Tuhan menjadikan dunia ini, Dia akan biarkan dunia ini sahaja, tidak kisah selepas itu. Mereka juga kata Tuhan sibuk dengan perkara lain. Tidak ada masa hendak tengok kita satu persatu. Itu adalah fahaman salah. Perkara kecil atau besar pun Allah SWT akan ambil kira. Banyak ayat-ayat dalam Quran menyebut tentang bagaimana Allah SWT akan mempersembahkan kepada manusia segala apa yang mereka kerjakan semasa di dunia. Mereka akan terkejut kerana begitu teliti sekali Allah SWT senaraikan perbuatan kita sehingga kita tidak sangka sampai begitu teliti sekali.

Tafsir Ayat Ke-23:

وَذٰلِكُم ظَنُّكُمُ الَّذي ظَنَنتُم بِرَبِّكُم أَرداكُم فَأَصبَحتُم مِنَ الخاسِرينَ

“Dan sangkaan kamu yang demikian, yang kamu sangka terhadap Tuhan kamu, itulah yang telah membinasakan kamu; (dengan sangkaan kamu yang salah itu) maka menjadilah kamu dari orang-orang yang rugi!”

وَذَٰلِكُمْ

Dan demikianlah bagi kamu

Dan demikianlah salah faham kamu tentang Allah SWT. Kamu sangka Allah SWT tidak tahu apa yang kamu perbuat; kamu sangka Allah SWT tidak akan balas perbuatan jahat kamu itu; kamu sangka kamu akan mati begitu sahaja tanpa dibangkitkan semula.

ظَنُّكُمُ الَّذِي ظَنَنْتُمْ بِرَبِّكُمْ

syak wasangka kamu terhadap Tuhan kamu sendiri

Begitulah syak wasangka kamu terhadap Allah SWT, iaitu kamu sangka Allah SWT tidak melihat apa yang kamu lakukan.

Ada satu hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dan Imam Ahmad: Satu waktu, Ibn Mas’ud berada di bawah kiswah Kaabah lalu datanglah tiga orang yang nampaknya kurang faham mereka tentang agama. Mereka berbisik-bisik sesama mereka. Lalu seorang di antara mereka berkata: “Apakah pendapat mu, adakah Allah SWT mendengar percakapan kita ini?” Kawannya menjawab: “Kalau kita bicara dengan kuat, tentu Dia mendengar. Tetapi kalau kita cakap perlahan-lahan, tidaklah di dengari-Nya.” Yang seorang lagi menyampuk, “Kalau sebahagian telah didengari-Nya, tentu semua didengari-Nya.”

Ibn Mas’ud menyampaikan kisah kejadian ini kepada Nabi, maka turunlah ayat ini.

أَرْدَاكُمْ

yang ia menjatuhkan kamu

Salah faham tentang Allah SWT itulah yang menyebabkan manusia masuk neraka. Apabila kita ada menyangka bahawa ada yang Allah SWT tidak mendengar apa yang kita kata atau lakukan, akan menyebabkan kita tidak takut untuk melakukan kesalahan. Kita akan buat ikut suka kita. Buat dosa sana dan sini kerana kita sangka tidak ada yang melihat.

Perasaan itu akan merosakkan kita. Allah SWT akan membinasakan kita akhirnya nanti disebabkan salah faham kita itu.

Allah SWT tidak terus memberikan azab kepada manusia. Allah SWT tangguhkan kerana mahu beri peluang kepada manusia untuk bertaubat dan mengubah sikap mereka. Oleh kerana tidak terus kena azab, menyebabkan ramai yang rasa selesa dengan apa yang mereka lakukan (Aku buat benda itu tetapi tidak kena apa-apa pun?)

Dan kerana itu mereka terus berada dalam kesesatan yang berterusan. Ini adalah ujian dari Allah SWT. Tidaklah Allah SWT sentiasa memberikan azab kepada manusia semasa manusia itu hidup di dunia kerana Allah SWT mahu kita sedar sendiri. Namun, jangan salah sangka yang kita akan selamat.

فَأَصْبَحْتُمْ مِنَ الْخَاسِرِينَ

maka jadilah kamu termasuk golongan orang yang paling rugi.

Kalimah فَأَصْبَحْتُمْ bermaksud mereka berubah dari orang yang sepatutnya jadi baik kepada orang yang jahat. Seperti waktu subuh yang berubah dari malam kepada siang. (Tengok kalimah itu sama macam ‘subuh’, bukan?)

Mereka menjadi orang yang paling rugi kerana mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. Dan mereka bukan sahaja masuk, tetapi mereka akan kekal dalam neraka kerana mereka menjadi pemegang geran neraka. Kekal di dalamnya, kalau kesalahan yang dilakukan adalah kesalahan syirik.

Tafsir Ayat Ke-24:

فَإِن يَصبِروا فَالنّارُ مَثوًى لَهُم ۖ وَإِن يَستَعتِبوا فَما هُم مِنَ المُعتَبينَ

Oleh itu, sama ada mereka bersabar menderita azab atau sebaliknya (maka sama sahaja) kerana nerakalah tempat tinggal mereka; dan jika mereka memohon peluang untuk mendapat keredhaan Allah SWT, maka mereka bukanlah lagi dari orang-orang yang diterima permohonannya.

فَإِنْ يَصْبِرُوا

Dan sekiranya mereka sabar,

Mereka akan kekal dalam neraka itu walaupun mereka sabar dalam menderita dalam neraka itu. Di neraka, sabar sudah tidak ada nilai. Ia bernilai di dunia, tetapi di neraka, kalau sabar pun tidak ada gunanya.

Ada dari kalangan orang kafir yang kata, kalaulah mereka masuk dalam neraka pun, mereka tidak kisah sangat kerana mereka sangka masuk neraka itu macam masuk dalam penjara sahaja. Dapat makan percuma, mereka kata. Dan kalau duduk penjara, bukankah nanti akan keluar juga? Jadi, mereka hendak masuk dulu dan hendak rasa macam mana neraka itu.

فَالنَّارُ مَثْوًى لَهُمْ

maka neraka jugalah tempat tinggal mereka.

Allah SWT hendak beritahu bahawa neraka bukanlah macam penjara dunia. Walaupun mereka itu semua sabar duduk dalam neraka, mereka akan kekal duduk di dalamnya.

Macam mana sabar pun mereka dalam neraka itu, mereka akan tetap tinggal di dalam neraka juga kerana waktu itu, nilai kesabaran tidak ada harga. Nilai sabar itu amat tinggi semasa hidup di dunia, bukan di neraka. Mereka sangka kalau sabar, boleh keluar akhirnya. Namun, perkara itu tidak akan terjadi!

Oleh itu hendaklah kita sabar dengan dugaan semasa di dunia. Kesabaran adalah satu perkara yang dituntut dalam Islam. Kena sabar semasa di dunia, bukan bersabar di neraka nanti.

وَإِنْ يَسْتَعْتِبُوا

Dan jika mereka minta diselamatkan,

Ada pula yang kata, kalau mereka masuk neraka nanti, mereka akan merayu habis-habisan supaya mereka dikeluarkan. Kalau mereka boleh rayu dengan penguasa, dengan pemimpin, dengan polis, takkan mereka tidak boleh rayu dengan penjaga neraka pula, bukan? Begitulah salah faham mereka tentang neraka.

Mereka ini bukan merancang supaya jangan masuk neraka, tetapi merancang supaya boleh keluar dari neraka. Ini salah faham yang amat besar dalam manusia. Seolah-olah neraka ini macam penjara di dunia sahaja. Sebab itu ada orang kita selalu cakap: “tetapi kalau orang Islam masuk neraka, akhirnya akan keluar juga, bukan?”

فَمَا هُمْ مِنَ الْمُعْتَبِينَ

tidaklah mereka itu termasuk mereka yang akan diselamatkan.

Segala permintaan mereka tidak akan dilayan kerana telah terlambat untuk mereka mengubah hidup mereka. Yang patut mereka lakukan adalah perubahan semasa mereka hidup di dunia dulu.

Mereka tidak akan dilayan kerana mereka dulu semasa di dunia telah berkali-kali diberi peringatan. Dan Allah SWT tidak akan mengubah berita yang disampaikan dalam Al-Quran tentang balasan azab yang akan dikenakan kepada mereka. Allah SWT tidak akan mungkir janji seperti yang telah disebutkan tentang kesalahan akidah.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan