Syarah Hadis Asy-Syama’il Al-Muhammadiyyah – Hadis 65
Mohd ‘Adlan Bin Mohd Shariffuddin
January 08, 2017
65- حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ مَهْدِيٍّ، قَالَ: حَدَّثَنَا عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ إِيَادٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ أَبِي رِمْثَةَ، قَالَ: رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَيْهِ بُرْدَانِ أَخْضَرَانِ.
65- Telah bercerita kepada kami Muhammad bin Basysyar, dia berkata: Telah bercerita kepada kami `Abdu r-Rahman bin Mahdiy, dia berkata: Telah bercerita kepada kami `Ubaydu Llah bin Iyad, daripada bapanya, daripada Abi Rimsah, dia berkata: Saya telah melihat Nabi, dan dia memakai dua helai burd yang hijau.
Syarah Adou_Fr:
Hadis ini diriwayatkan oleh Abi Rimsah, dan hadis yang hampir sama telah diriwayatkan oleh Abi Rimsah dalam hadis keempat puluh tiga dengan katanya: (وَعَلَيْهِ ثَوْبَانِ أَخْضَرَانِ) Dan dia memakai dua helai pakaian yang hijau. Di dalam hadis ini, Abi Rimsah menyebut: (وَعَلَيْهِ بُرْدَانِ أَخْضَرَانِ) dan dia memakai dua helai burd yang hijau.
Apabila kedua-dua hadis ini dibaca bersama-sama, dapatlah diketahuï bahawa kedua-dua lafaz ini saling menjelaskan antara satu sama lain, iaitu lafaz (ثَوْبَانِ) dijelaskan dengan lafaz (بُرْدَانِ). Ini bermakna (ثَوْبٌ) pakaian, iaitu suatu kata nama umum untuk setiap apa yang dipakai, dimaksudkan sebagai (بُرْدٌ) burd, iaitu suatu kata nama khusus untuk kain yang berjalur. Daripada gandingan dua lafaz hadis Abi Rimsah ini, diketahuï bahawa yang hijau itu ialah jalurnya, dan bukannya keseluruhan kain itu.
Untuk memahami sesuatu hadis, seseorang hendaklah mengumpulkan hadis-hadis yang mempunyaï lafaz yang hampir sama, seterusnya hadis-hadis yang mempunyaï makna yang hampir sama, seterusnya hadis-hadis yang mempunyaï kaitan dengan apa yang disebut di dalam matan.
Ini bermakna, terdapat kemungkinan apabila seseorang membaca satu hadis, dia tidak dapat memahami hadis itu dengan betul sebagaimana yang sebenarnya. Ini juga bermakna, terdapat juga kemungkinan yang dia tersalah faham hadis itu, atau barangkali juga apa yang difahaminya berlawanan dengan apa yang dikehendaki oleh hadis. Ini ialah perjalanan yang akan dilaluï oleh setiap orang yang ingin bergelumang dengan ilmu hadis, dan kerana itu, dia perlu melaluï proses belajar yang berterusan.
Satu hadis yang dibaca, ia mungkin akan difahami dengan lebih baik apabila seseorang itu membaca hadis yang lain. Bahkan, perspektif orang itu terhadap hadis itu sendiri juga boleh berubah, seterusnya mempengaruhi bagaimana dia mengistinbat – mengeluarkan – hukum daripada hadis itu, atau mengaplikasikan hadis itu dalam kehidupan.
Apabila kita mengetahuï bahawa terdapat perjalanan menuntut ilmu seperti ini, seseorang tidak akan mendakwa kebenaran mutlak pada dirinya, dan pada masa yang sama dia tidak akan merendahkan dan memperlekehkan pemula yang baru mahu mengenal sunnah. Sebaliknya, masing-masing akan merendahkan diri dan sentiasa meminta penunjuk kepada Allah agar ditunjukkan kebenaran, iaitu agar mereka selangkah lebih dekat dengan kebenaran, sehingga akhirnya, dia dapat memahami satu satu hadis itu sebagaimana yang dikehendaki oleh pengucapnya iaitu Nabi.
Menjelaskan sesuatu hadis dengan sesuatu hadis lain merupakan sesuatu seni dalam `ulum hadis yang dinamakan (تفسير الحديث بالحديث) tafsiru l-hadis bil-hadis. Ini kerana, setiap manusia – termasuk Nabi – mempunyaï ciri unik dalam penggunaan bahasa yang dipanggil idiolek. Ini bermakna penggunaan kosa kata, tatabahasa dan aspek-aspek bahasa termasuklah ucapan lisan bagi setiap individu adalah unik dan berbeza antara manusia.
Justeru, untuk lebih memahami mana-mana individu – termasuk Nabi –, maka seseorang perlu mengkaji dan membaca sebanyak mungkin ucapan orang tersebut atau penulisannya, sehingga akhirnya, dia dapat membezakan adakah sesuatu ucapan itu milik orang tertentu atau tidak.
Begitu juga, bahasa individu tersebut dipengaruhi oleh masyarakatnya. Maka ucapan orang-orang terdekat dengan orang itu, atau ahli masyarakatnya, dapat digunakan sebagai penyokong dalam memahami ucapannya. Hal ini terbukti dengan penggunaan sya`ir secara meluas sebagai sokongan dalam penggunaan dan pemahaman bahasa `Arab.