Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-‘Asr – Tafsir Ayat Ke-3

Tafsir Surah Al-‘Asr – Tafsir Ayat Ke-3

2509
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Asr

Pada perbincangan yang, kita telah membincangkan mengenai:

1. Konsep masa yang boleh diibaratkan sebagai modal yang mempunyai untung atau rugi.

2. Peringatan Allah SWT yang jatuh kepada seluruh makhluk bernama manusia.

3. Beberapa jenis kerugian yang terdapat di dalam Al-Quran.

Seterusnya dalam Surah Al-‘Asr ini, Allah SWT menyambung dengan memberi penjelasan dan cara dalam mengatasi kerugian tersebut.

Tafsir Ayat Ke-3:

إِلَّا الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ وَتَواصَوا بِالحَقِّ وَتَواصَوا بِالصَّبرِ

Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati kepada kebenaran dan nasihat menasihati kepada kesabaran.

Dalam dua ayat sebelum ini, kita telah membincangkan bagaimana masa sudah suntuk dan bagaimana keadaan kebanyakan manusia berada dalam kerugian yang besar kerana mereka leka dengan kehidupan mereka.

Dalam ayat ini, jalan penyelesaian untuk menyelamatkan diri dari kerugian yang besar itu telah diberikan. Kita perlu ambil perhatian, kerana diketahui semua manusia rugi, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.

Mereka yang ada empat ciri ini sahajalah yang akan selamat.

Apabila Allah SWT gunakan kalimah إِلَّا , ini bermakna :

Ia adalah pengecualian kepada sifat-sifat yang disebut dalam ayat sebelum ini. Juga apabila ada pengecualian sebegini, ia bermaksud bahawa majoriti dari manusia akan berada dalam kerugian dan sedikit sahaja yang tidak rugi.

Maka antara hikmah yang terdapat dalam kehidupan, kebiasaan jika kita hendak selamat, jangan dilihat kepada majoriti tetapi perlu dilihat kepada pada kebenaran.

Apabila Allah SWT menyebut tentang pengecualian dalam ayat ini, kalimah yang digunakan tidaklah dalam bentuk individu tetapi dalam bentuk ‘plural’ (ramai).

الّذِينَ آمَنُوا

orang-orang yang beriman

Ini adalah kerana orang-orang yang berada dalam kebenaran, turut memerlukan sokongan satu sama lain. Kekuatan ini yang akan mengukuhkan prinsip berada dalam kebenaran. Oleh kerana itulah Allah SWT menggunakan kalimah dalam bentuk jamak dalam ayat ini sebagai isyarat kepada ummah.

Untuk bagi mudah faham, kalau hendak elak rugi biar lah jangan sorang-sorang, lama-lama takut letih sebab tidak ada geng.

Maka kita lihat turutan “pengecualian” ini :

Perkara pertama :

الَّذينَ آمَنوا

Orang-orang yang beriman

Iman telah kita bincangkan sebelum ini, iaitu pembahagian (ikrar dengan lisan, membenarkan dengan hati dan beramal dengan perbuatan).

Secara susun atur Allah SWT yang lebih dalam, kita dapat melihat kepentingan iman untuk berada di hadapan. Kemudian baru lah datangnya kesan yang lebih baik berkaitan ibadah yang sabit hubungan dengan Allah SWT mahupun sesama manusia.

Ini dapat kita lihat pada Surah [ Al-Baqarah (2) : 2 – 3 ]

ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ

Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah SWT dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;

الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ

Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

Jika kita perhatikan susunan ciri orang bertaqwa, maka iman kepada perkara mendahului ghaib dalam hal solat dan infaq. Ini lah mungkin kekurangan dalam perhatian kita pada hari ini, yang menyebabkan orang yang solat dan infaq harta masih lagi melakukan dosa dan maksiat.

Apatah lagi salah faham masyarakat umum Melayu, merasai perkara itu hanyalah sekitar hal jin dan hantu. Sedangkan luasnya perihal iman kepada perkara ghaib tersebut, yang tercatat banyak dalam Al-Quran.

Maka tugas kita untuk menjaga proses tersebut dengan menyemak iman dan taqwa, banyakkan taubat, belajar, usaha, doa dan teruskan jalan ke hadapan.

Ciri orang yang bijak adalah melakukan “Proses selepas mati” yang di bawa ke kini (‘bringing the future to the present’), barulah perancangan selepas mati berkesan.

Perkara kedua :

عَمِلُوا الصّالِحاتِ

Mereka mengerjakan amal soleh.

Kalimah :

عمل

Bermaksud melakukan sesuatu dengan niat. Ini berbeza dengan فعل iaitu perbuatan tanpa niat seperti bernafas, kelip mata dan lain-lain.

Apabila dikatakan “Amal” maka ia adalah perbuatan kita yang boleh dipertanggung-jawabkan seperti bercakap, memandu kereta, membeli barang.

Amal yang dilakukan itu mestilah :-

الصّالِحاتِ

Ia berasal dari kalimah ص ل ح yang bermaksud memperbetulkan, memperbaiki, baik.

Kalimah الصّالِحاتِ dalam ayat ini adalah dalam bentuk adjektif iaitu menerangkan yang amal itu mestilah amal yang baik.

Dari segi bahasa :

الصّالِحاتِ

Adalah dalam bentuk jam’u qilla ( Jamak tetapi tidak begitu banyak). Ia bermaksud amal-amal yang minimum sahaja. Isyarat di sini, Allah SWT meletakkan syarat iaitu sekurang-kurangnya mesti melakukan amal yang wajib.

Itu sudah cukup untuk memasukkan ke dalam syurga. Perkara-perkara sunat adalah sebagai tambahan, untuk memperbaiki amalan wajib yang ada kekurangan.

Perkara ketiga :

تَواصَوا بِالحَقِّ

Berpesan-pesan dengan kebenaran.

Kalimah :

تواص dari و ص ي

Yang bermaksud meninggalkan wasiat. Apabila digunakan dalam bentuk تواص, ia bermaksud memberi arahan atau menggalakkan seseorang untuk melakukan sesuatu.

Kalimah تواص mempunyai isyarat nasihat yang ikhlas, urgensi, kebenaran. Ini tidak sama dengan sekadar “memberi arahan” kerana nada yang lain yang digunakan. Ia lebih lagi dari sekadar arahan yang biasa.

Satu lagi implikasi dari kalimah تواص ialah :

Ia dilakukan bersama-sama ( dua hala ).

Sebab itulah dalam kebanyakan terjemahan, cara yang digunakan adalah ‘“berpesan-pesan” kerana bermaksud “saya berpesan kepada kamu, dan kamu juga berpesan kepada saya”.

Jadi bukanlah diri kita sahaja yang perlu menasihati orang lain, tetapi turut bersedia menerima nasihat.

تَواصَوا بِالحَقِّ

Berikut beberapa definisi yang ada berkaitan kategori ini :

1. Dikatakan adalah seruan kepada tauhid, taat kepada Allah SWT dan Rasul, jauh dari cinta dunia dan fokus utama kepada akhirat.

2. Mengajak manusia kepada melakukan perkara yang memang telah jelas kebenarannya. Dan kebenaran itu memang layak untuk ditegakkan dan diberitahu kepada manusia.

3. Mengingatkan manusia dengan Al-Quran kerana al-haq yang dimaksudkan adalah Al-Quran. Maka kena beri pesan dan beri nasihat menggunakan ayat-ayat Al-Quran.

4. Al-Haq dengan maksud “tauhid”.

5. Al-Haq dengan maksud melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang.

Perkara keempat:

تَواصَوا بِالصَّبرِ

Berpesan-pesan dengan kesabaran.

Kita ingatkan sesama manusia agar bersabar dalam menjadi hamba Allah SWT yang taat. Sabar dengan ujian yang Allah SWT berikan kepada kita semasa kita hidup di dunia ini. Dan inilah kemuncak turutan yang paling baik untuk kita ikuti.

Ini adalah kerana dalam proses kita menjadi orang beriman, kemudian membuat amal soleh, seterusnya melakukan dakwah atau memberi peringatan maka amat penting untuk kita bersabar. Kerana jangan kita lupa, proses yang perlu kita ikatkan dalam semua perkara tadi ialah istiqamah.

Namun kerana tidak bersabar, berapa ramai yang kembali kucar-kacir 3 perkara yang diusahakan sebelum pesanan sabar ini.

Allah SWT juga mengajar kita, bahawa kesabaran perlu dipesan satu dengan yang lain kerana umum telah mengetahui, bahawa pesanan yang kita sampaikan kepada orang lain adalah lebih besar nilainya buat diri sendiri.

Maka, kena usaha terus buat baik, jadi orang baik. Boleh jadi sekejap kita hilang sabar dan mahu buat dosa, tiba-tiba sebelum masa tersebut ajal telah sampai dahulu. Jadi lah manusia yang rugi (lafi khusr).

Ibrah dan Kesimpulan

Pertama :

Manusia yang bijak di atas dunia ini, ialah mereka yang faham untuk meletakkan sesuatu perkara kena pada tempatnya. Seperti pembeli peti sejuk, sudah pasti dia tidak menggunakan manual microwave terhadap peti sejuk tersebut.

Oleh itu wahai manusia, kembali kepada surah ini (Al-Quran) untuk mengendalikan diri dalam risiko untung atau rugi semasa berada atas dunia. Jangan taruhkan soal untung / rugi hidup kita yang sebentar ini dengan meninggalkan kalam Allah SWT (Al-Quran)

Kedua :

Surah ini dimulai dengan menyebut masa yang suntuk dan di akhiri dengan empat perkara yang perlu dilakukan. Oleh itu, apakah kaitan di antara awal surah ini dan akhirnya?

Tidak lain iaitu peringatan kepada manusia seumpama Standard of Procedure (SOP) kecemasan. Maka bersegeralah dalam menjalankan 4 perkara ini kerana hidup kita umpama dalam kecemasan, bila-bila maut akan hadir.

Ketiga :

Imam Syafie ra pernah berkata, “Kalaulah Allah SWT turunkan Surah al-Asr ini sahaja, sudah memadai untuk kita jadikan panduan hidup”. Hebatnya surah ini, menyebabkan para sahabat dan tabiin akan membacakan surah ini sesama mereka selepas selesai perjumpaan bagi mengingatkan sesama mereka tentang perkara yang amat-amat penting ini.

Maka jadikan ia juga sandaran bagi kita, kemudian dihidupkan semula dalam diri seterusnya keluarga dan masyarakat

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan