Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-18 hingga Ke-21

Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-18 hingga Ke-21

1327
0
Iklan

Tafsir Surah Fussilat

Tafsir Ayat Ke-18

Setelah beberapa ayat diberikan tentang takhwif (berita menakutkan), sekarang diberikan ayat tabshir (berita menggembirakan). Ayat ini pula balasan kepada mereka yang beriman, yang menerima akidah tauhid dan yang menerima ajaran wahyu.

وَنَجَّينَا الَّذينَ آمَنوا وَكانوا يَتَّقونَ

Dan Kami selamatkan orang-orang yang beriman serta mereka tetap bertaqwa.

وَنَجَّيْنَا الَّذِينَ آمَنُوا

Dan Kami selamatkan orang beriman.

Kaum yang beriman dalam kalangan bangsa-bangsa itu, Allah SWT selamatkan mereka dari dikenakan dengan azab tersebut. Sebelum azab itu diturunkan kepada kaum itu, mereka telah diarahkan untuk meninggalkan tempat itu. Sebagai contoh, apabila Kaum Nabi Luth hendak dimusnahkan, para malaikat datang dan suruh mereka keluar.

Iman dalam ayat ini adalah beriman dengan akidah tauhid iaitu tidak mengamalkan syirik. Maka untuk tahu, kenalah belajar. Bukan setakat beriman sahaja, tetapi kena tolak perkara yang tidak boleh dilakukan. Antaranya, kena tolak tawassul kepada roh Nabi, wali dan malaikat.

وَكَانُوا يَتَّقُونَ

kerana mereka dulu orang yang jaga hukum,

Dan mereka bertaqwa. Dan taqwa dalam ayat ini bermaksud mereka itu ‘menjaga hukum’. Mereka belajar hukum Allah SWT dan mereka taat kepada apa yang perlu dilakukan, dan mereka tinggalkan apa yang perlu ditinggalkan. Disebabkan mereka orang yang taat kepada Allah SWT, mereka telah diselamatkan.

Ini bermakna, kalau kita beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT, Allah SWT akan selamatkan kita. Allah SWT akan memberi jalan keluar kepada kita. Kita serahkan sahaja keperluan dan keselamatan kita kepada Allah SWT.

Tafsir Ayat Ke-19

Ini adalah ayat Takhwif Ukhrawi.

وَيَومَ يُحشَرُ أَعداءُ اللهِ إِلَى النّارِ فَهُم يوزَعونَ

Dan (ingatlah) hari di himpun musuh-musuh Allah SWT untuk dibawa ke neraka, lalu mereka dirantai dalam kumpulan.

وَيَوْمَ يُحْشَرُ

Dan pada hari dikumpulkan

Iaitu pada hari manusia dan makhluk semuanya akan dikumpulkan di Mahsyar dan akan diadili atas apa yang mereka lakukan semasa di dunia. Ini belum lagi dimasukkan ke dalam neraka. Walaupun belum masuk lagi, tetapi telah mula dikenakan azab sedikit demi sedikit. Kita boleh lihat dari kalimah حشر yang digunakan kerana ia digunakan kalau mengumpul binatang ternak.

Kita kata ‘sikit’, kerana kalau dibandingkan dengan apabila dimasukkan ke dalam neraka, neraka lagi teruk. Namun, sebelum dimasukkan ke neraka itu pun, di Mahsyar lagi telah tahu apakah nasib mereka nanti. Layanan yang Allah SWT berikan kepada orang yang beriman dan orang ingkar tidak sama.

Kita berharap semoga kita mendapat kemudahan semasa di Mahsyar nanti. Tidak dapat bayangkan betapa payahnya keadaan di sana nanti. Manusia akan dibangkitkan serentak, dari yang mula hidup sampailah kepada manusia yang terakhir sekali mati di Hari Kiamat nanti. Tentulah ramai sekali himpunan makhluk waktu itu.

أَعْدَاءُ اللهِ

musuh-musuh Allah SWT.

Mereka itu adalah yang hidup di dunia bercanggah dengan ajaran wahyu. Mereka adalah dikira sebagai ‘musuh Allah SWT’ kerana mereka menentang tauhid dan ajaran agama. Mereka yang tidak mahu menerima ajaran tauhid dan hukum-hukum Allah SWT. Mereka ini adalah mereka yang ingkar kepada Allah SWT.

إِلَى النَّارِ

ke neraka jahanam.

Mereka akan dimasukkan ke neraka selepas dibacakan kesalahan-kesalahan mereka semasa di dunia. Dan setelah dibacakan, mereka diberi peluang untuk membela diri. Dan tentu mereka tidak dapat membela diri mereka. Maka, mereka akan dibawa ke neraka.

فَهُمْ يُوزَعُونَ

lalu mereka dirantai dalam kumpulan;

Mereka akan dipecahkan ikut kumpulan dan dirantai bersama mengikut kumpulan masing-masing. Mereka akan diheret oleh malaikat ke neraka. Diheret macam binatang.

Tafsir Ayat Ke-20

Ini yang kita katakan tadi, sebelum mereka dimasukkan ke dalam neraka, mereka diadili dahulu.

حَتّىٰ إِذا ما جاءوها شَهِدَ عَلَيهِم سَمعُهُم وَأَبصارُهُم وَجُلودُهُم بِما كانوا يَعمَلونَ

Sehingga apabila mereka sampai ke neraka, (maka) pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan mereka menjadi saksi terhadap mereka, mengenai apa yang mereka telah kerjakan.

حَتَّىٰ إِذَا مَا جَاءُوهَا

Maka apabila mereka sampai

Iaitu apabila mereka sampai di pintu neraka tetapi belum dimasukkan lagi. Akan diceritakan keadaan mereka.

شَهِدَ عَلَيْهِمْ سَمْعُهُمْ وَأَبْصَارُهُمْ وَجُلُودُهُمْ

maka bersaksi ke atas mereka pendengaran mereka, penglihatan mereka dan kulit mereka.

Apabila mereka sampai di luar pintu neraka, sekali lagi mereka diperiksa tentang apakah yang mereka telah lakukan semasa mereka di dunia, sampai menyebabkan mereka dimasukkan ke dalam neraka. Mereka akan diberikan dengan saksi-saksi yang akan menceritakan apakah yang mereka telah lakukan. Kalau saksi dari kalangan manusia, sudah biasa, tetapi kali ini disebut saksi dari anggota badan sendiri.

Bila sebut kulit, maksudnya seluruh anggota yang ada kulit. Kalau hendak sebut semua anggota, panjang pula. Allah SWT jadikan segala anggota badan hidup dan boleh berkata. Mana hendak lari lagi waktu itu? Mulut mereka mungkin tidak mengaku tentang kesalahan yang mereka lakukan, tetapi sekarang, anggota badan mereka sendiri yang akan menjadi saksi atas kesalahan yang telah dilakukan oleh tuan badan mereka.

Kalau di dunia, mungkin ada jenayah yang kita buat yang tidak ada orang lain nampak, maka kita boleh terselamat. Tetapi, anggota badan kita sentiasa ada bersama kita dan menyaksikan apa yang kita buat semasa kita di dunia. Mereka memang terlibat dengan perbuatan itu. Mereka akan jadi saksi atas kita. Tubuh badan kita pun nanti tidak akan setia kepada kita. Mereka lebih takut dengan Allah SWT daripada takut kepada tuan badan.

Ada satu riwayat, bagaimana pada suatu hari, Nabi tersenyum. Sahabat bertanya kenapa baginda tersenyum. Nabi jawab, kerana baginda teringat hujah yang akan dikeluarkan oleh orang kufur di hadapan Allah SWT. Mereka akan kata mereka hendak diadakan saksi untuk mereka di akhirat seperti juga kalau di dunia, dalam mahkamah ada saksi. Allah SWT kata memang ada saksi, iaitu cukup dengan diri mereka sahaja. Iaitu pendengaran, penglihatan dan kulit mereka sendiri akan jadi saksi.

بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

terhadap apa yang mereka lakukan.

Semua anggota badan akan jadi saksi bagi mereka. Ayat yang sama ada disebut dalam surah Yaasin yang biasa kita baca.

Bukankah tangan yang memegang, mata yang melihat, telinga mendengar dan kulit merasa segala apa yang kesalahan yang mereka lakukan semasa di dunia?

ٱلْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَىٰٓ أَفْوَٰهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَآ أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ ﴿٦٥﴾

“Pada hari ini Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan.” [Yaasin: 65].

Tafsir Ayat Ke-21

Ini adalah ayat Takhwif Ukhrawi. Dalam ayat sebelum ini, telah disebut bagaimana tubuh badan mereka yang berdosa akan menjadi saksi bagi kesalahan yang dilakukan oleh tuannya. Oleh kerana mereka bimbang anggota tubuh mereka jadi saksi, mereka marah anggota mereka itu.

وَقالوا لِجُلودِهِم لِمَ شَهِدتُم عَلَينا ۖ قالوا أَنطَقَنَا اللهُ الَّذي أَنطَقَ كُلَّ شَيءٍ وَهُوَ خَلَقَكُم أَوَّلَ مَرَّةٍ وَإِلَيهِ تُرجَعونَ

Dan (setelah berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka: “Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?” Kulit-kulit badan mereka menjawab: “Allah SWT yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata – telah menjadikan kami dapat berkata-kata; dan Dia lah yang menciptakan kamu pada mulanya, dan kepada-Nya lah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan).

وَقَالُوا لِجُلُودِهِمْ

Dan mereka berkata kepada kulit-kulit mereka,

Mereka berkata kepada tubuh badan mereka kerana terkejut dan takut.

لِمَ شَهِدْتُمْ عَلَيْنَا

kenapa jadi saksi ke atas kami?

Apabila kulit-kulit mereka jadi saksi, mereka marah kepada kulit-kulit mereka itu. Mereka kata, kenapa mereka buat begitu, sedangkan mereka sepatutnya bersama. Kalau mereka mengaku, nanti mereka sama-sama akan kena seksa, bukan?

Roh lah yang sebenarnya yang buat amal jahat. Yang menjalankannya adalah tangan-tangan dan kaki-kaki. Anggota badan hanya mengikut sahaja. Bukan mereka yang dipersalahkan.

قَالُوا أَنْطَقَنَا اللَّهُ

Mereka berkata, kami diberi berkata-kata oleh Allah SWT.

Setelah tuan badan kata begitu, marah mereka, kulit-kulit itu akan berkata-kata mempertahankan diri mereka. Kalau di dunia, susah kita hendak terima kejadian ini, tetapi di akhirat nanti, Allah SWT mampu jadikan apa sahaja. Jangan kita pelik.

Dalam dunia ini pun, kita boleh lihat sendiri bagaimana gerak badan kita boleh menceritakan apa sebenarnya dalam hati manusia. Mulut mungkin kata dia suka sesuatu, tetapi dari kerdipan mata, kita boleh tahu bahawa dia sebenarnya tidak suka.

Dari gerak badan pun, kita boleh tahu apakah maksud seseorang itu. Ini dinamakan ‘body language’. Kalau orang yang pandai membaca body language ini, dia boleh membaca apakah hati dan perasaan manusia lain. Itu pun seumpama tubuh badan berkata-kata juga.

Di akhirat nanti, Allah SWT boleh buat sampaikan mereka berkata-kata dengan secara zahir sekali.

الَّذِي أَنْطَقَ كُلَّ شَيْءٍ

yang berkuasa memberi kuasa bercakap kepada setiap sesuatu

Benda-benda yang tidak bernyawa, seperti bukit, pokok dan sebagainya, kita ingat mereka tidak bercakap. Tetapi sebenarnya mereka berkata-kata dengan cara mereka. Kita sahaja yang tidak tahu.

وَهُوَ خَلَقَكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ

Dan Dialah yang menciptakan kamu pada awal dulu.

Kamu dulu pun tidak boleh bercakap juga dari mulanya, kemudian Allah SWT yang membolehkan kamu berkata-kata apabila kamu sudah besar sedikit. Tuhan yang samalah juga yang memberi kami boleh bercakap.

Waktu kecil, memang kita tidak boleh bercakap. Tetapi masih lagi ada komunikasi antara ibu dan anak. Apabila anak menangis, seorang ibu itu boleh agak apakah sebabnya anak itu menangis. Mungkin dia kelaparan, mungkin lampinnya basah atau mungkin dia dalam keadaan tidak selesa. Allah SWT telah atur semua itu untuk kemudahan kita.

وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

dan kepada-Nya lah kamu dikembalikan

Sama ada kita suka atau tidak, beriman atau tidak, ingatlah bahawa kita semua akan dikembalikan kepada Allah SWT untuk menerima balasan.

Dan apabila Allah SWT yang menjalankan penghakiman, tidak akan terlepas seperti yang terjadi di mahkamah di dunia. Jika di dunia, ada yang dapat menipu, ada saksi yang tidak dapat dipanggil, ada saksi yang menipu, tersalah nampak dan sebagainya. Namun, semua perkara itu tidak akan terjadi.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan