Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-14 dan Ke-15

Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-14 dan Ke-15

488
0
Iklan

Tafsir Surah Fussilat

Tafsir Ayat Ke-14

Ayat sebelum ini, Allah SWT kata tentang bala yang menimpa Kaum Aad dan Tsamud. Dalam ayat ini, Allah memberi penerangan tentang dua kaum itu.

إِذ جاءَتهُمُ الرُّسُلُ مِن بَينِ أَيديهِم وَمِن خَلفِهِم أَلّا تَعبُدوا إِلَّا اللَّهَ ۖ قالوا لَو شاءَ رَبُّنا لَأَنزَلَ مَلائِكَةً فَإِنّا بِما أُرسِلتُم بِهِ كافِرونَ

(Mereka ditimpa azab itu) kerana semasa mereka didatangi Rasul-rasul (memberikan berbagai penjelasan) mengenai keadaan hidup mereka di dunia dan di akhirat (sambil melarang mereka): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah”, mereka menjawab: “Jika Tuhan kami hendak (mengutus Rasul-rasul) tentulah Dia akan menurunkan malaikat; oleh itu sesungguhnya kami kufur ingkar akan apa yang (kamu katakan): kamu diutus membawanya!”

إِذْ جَاءَتْهُمُ الرُّسُلُ مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ

Ketika datang kepada mereka rasul-rasul dari depan dan dari belakang mereka,

Maknanya rasul-rasul itu datang zaman itu dan zaman sebelumnya. Berbagai-bagai cara mereka berdakwah. Macam guru sekarang sebar agama dari setiap tempat mereka datang untuk sebar agama. Dari dulu sampai sekarang, akan ada sahaja penyebar Tauhid.

Dan berbagai-bagai cara digunakan oleh pendakwah itu untuk menyampaikan dakwah itu kepada manusia. Dan mereka akan datang tidak tentu masa, mereka akan terus mencari peluang untuk berdakwah kepada umat. Tidaklah malam sahaja, atau siang sahaja.

Semua guru-guru dan rasul-rasul dulu akan bawa satu kalimah:

أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا اللَّهَ

“jangan kamu puja melainkan kepada Allah sahaja”.

Itulah dakwah Nabi, dakwah para pendakwah dari dulu sampai sekarang. Kalau dulu, ada para Rasul, para Nabi dan para pendakwah. Kalau sekarang, hanya ada pendakwah sahaja. Oleh itu, seorang pendakwah, seorang ulama, hendaklah bawa dakwah ini, kata-kata ini. Mereka hendaklah mengajar tentang Allah, tentang tauhid dan tentang melakukan ibadat kepada Allah sahaja.

قالوا لَو شاءَ رَبُّنا لَأَنزَلَ مَلائِكَةً

Orang-orang Musyrik itu berkata: Jika Tuhan kami hendak, tentulah Dia akan turunkan malaikat-malaikat.

Mereka kata, kalau betul Tuhan hendak beri dakwah kepada kami, tentu Dia akan turunkan malaikat kepada mereka. Itu baru betul, kata mereka. Baru kami hendak ikut, mereka kata.

Mereka juga kata: kalau dia seorang Nabi, tentu ada malaikat yang akan menemani Nabi. Mereka kata kepada Nabi: Takkan kamu jalan kaki seorang diri sahaja? Mereka ejek Nabi Muhammad SAW.

Tetapi, kalaulah seorang Nabi itu seorang malaikat, tentu mereka tidak akan ikut juga. Mereka akan kata: “Kami dan kamu lain. Kamu bolehlah buat semua yang Allah suruh itu. Kamu tidak perlu makan, minum, kerja dan sebagainya. Tetapi kami perlu buat semua itu.” Dan kalau betullah Allah turunkan malaikat, tidaklah dalam rupa malaikat sebab manusia tidak boleh nampak malaikat – maka tentu malaikat turun sebagai rupa manusia. Tentu mereka tolak juga sebab mereka itu bukan malaikat, tetapi manusia biasa sahaja. Sebab itulah Allah SWT turunkan manusia sebagai Nabi untuk dijadikan contoh bahawa seorang manusia pun boleh buat apa yang Allah SWT hendak.

Yang sebenarnya, mereka tolak Nabi SAW, tolak wahyu, jadi macam-macam alasan yang mereka berikan. Macam ahli bidaah sekarang yang tolak para sahabat. Mereka tidaklah kata mereka tolak Nabi, tolak sahabat sahaja, tetapi sebenarnya yang mereka tolak adalah Nabi SAW.

Atau, mereka mengejek Rasul SAW dalam ayat ini kerana sebelum itu Rasul SAW telah memberi peringatan kepada mereka bahawa kalau mereka tidak ikut beriman dan mengamalkan ajaran tauhid, Allah SWT boleh menurunkan azab kepada mereka dengan diturunkan malaikat. Malaikat itu akan menghancurkan mereka. Maka, apabila mereka tidak mahu terima dakwah itu, mereka ejek dengan mengatakan kalau betul, Allah SWT boleh sahaja turunkan malaikat untuk mengazab mereka. Mereka mengejek-ngejek penyampai dakwah itu. Begitu teruknya mereka.

Jadi, ada berbagai-bagai ‘wajah’ apabila puak musyrikin menyebut tentang malaikat itu.

فَإِنّا بِما أُرسِلتُم بِهِ كافِرونَ

Sesungguhnya kami, terhadap apa yang kamu diutuskan dengannya itu, kami engkar.

Yang mereka tolak adalah ajakan Nabi SAW supaya tidak mensyirikkan Allah SWT itu, itu yang mereka tolak. Ajaran tauhid yang dibawa oleh Nabi SAW itu mereka tolak.

Mereka degil untuk terima. Mereka akan kata guru-guru mereka ajar macam itu dan macam ini. Takkan guru-guru mereka itu salah. Guru mereka ilmu tinggi juga. Itu adalah alasan mereka. Apabila mereka ingkar itu maknanya mereka telah kufur.

Tetapi jangan kata kepada mereka bahawa mereka kafir. Maka, perlu ubah strategi dalam berdakwah kepada mereka kerana kita tidak tahu penghujung hidup mereka itu macam mana nanti. Mungkin mereka akan bertaubat dan menerima tauhid kemudian hari. Jangan kita kutuk mereka sampai mereka terus tidak mahu menerima ajakan kita di lain kali. Kita hendaklah berlembut dengan mereka dalam dakwah.

Tafsir Ayat Ke-15

فَأَمّا عادٌ فَاستَكبَروا فِي الأَرضِ بِغَيرِ الحَقِّ وَقالوا مَن أَشَدُّ مِنّا قُوَّةً ۖ أَوَلَم يَرَوا أَنَّ اللَّهَ الَّذي خَلَقَهُم هُوَ أَشَدُّ مِنهُم قُوَّةً ۖ وَكانوا بِآياتِنا يَجحَدونَ

“Adapun kaum Aad, maka mereka berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar, serta berkata: “Siapakah yang lebih kuat dari kami?” Dan (mengapa mereka bersikap demikian?) Tidakkah mereka memerhatikan bahawa Allah SWT yang menciptakan mereka (dari tiada kepada ada) adalah lebih besar kekuatan-Nya dari mereka? Dan sememangnya mereka sengaja mengingkari tanda-tanda kekuatan Kami (sedang mereka sedia mengetahuinya).”

الْحَقِّ

Maka adapun kaum Aad itu, mereka orang yang sombong di muka bumi tanpa kebenaran

Kaum Aad telah diutus dengan Nabi mereka, Nabi Hud. Mereka jadi sombong kerana Allah SWT kurniakan mereka badan yang besar dan kuat. Lebih dari manusia biasa. Oleh kerana itu, mereka sombong untuk terima kebenaran tentang tauhid.

Mereka tolak ajakan tauhid itu mentah-mentah sahaja, tanpa bawa dalil pun. Sedangkan Nabi datang ajar tauhid dengan bawa dalil.

Manusia tidaklah layak untuk sombong di muka bumi. Apalah yang hendak disombongkan? Padahal mereka tidak akan selamat kalau Allah SWT tidak memberikan mereka keselamatan. Tidak kah mereka ingat dari apa mereka dijadikan? Mereka dijadikan dari tanah dan dari air mani yang hina asalnya. Berapa banyak lagi kejadian alam ini yang lebih hebat dari mereka tetapi mereka masih lagi sombong? Itulah yang dimaksudkan mereka sombong tanpa hak. Mereka sebenarnya tidak layak sombong, tetapi mereka sombong juga.

وَقَالُوا مَنْ أَشَدُّ مِنَّا قُوَّةً

Mereka berkata: “siapakah yang lebih kuat dari kami?”

Kaum Aad adalah jenis manusia gergasi. Ada riwayat mengatakan mereka 20 kaki tinggi. Mereka memang kuat dan besar; maknanya mereka tolak wahyu kerana mereka ada kelebihan dunia.

Rasul mereka adalah Nabi Hud. Mereka tinggal dalam bukit di Petra. Mereka pahat bukit-bukit itu dan dijadikan rumah mereka. Begitulah hebatnya mereka. Hadis Nabi kata, mereka boleh cabut pokok tamar dengan sebelah tangan sahaja. Begitulah kuatnya tubuh badan mereka. Mereka jadi sombong kerana mereka manusia yang paling besar sekali. Yang orang lain kecil macam biasa. Bukan semua manusia besar macam mereka. Mereka mati dengan tidak tinggal baka satu pun.

Begitulah bahayanya kalau Allah SWT telah beri kelebihan kepada manusia dalam kehidupan dunia ini. Ia adalah ujian kepada manusia. Kalau mereka berada di kedudukan yang tinggi, amat susah untuk terima kebenaran.

أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّ اللَّهَ الَّذِي خَلَقَهُمْ هُوَ أَشَدُّ مِنْهُمْ قُوَّةً

Tidakkah mereka lihat? Allah SWT yang menciptakan mereka, Dia yang lebih kuat dari mereka.

Tidakkah mereka memperhatikan? Tidakkah mereka memikirkan?

Adakah mereka lupa siapa itu Allah SWT? Iaitu Tuhan yang telah menjadikan mereka.

Tentulah yang menciptakan mereka lagi kuat. Cubalah bandingkan diri mereka dengan Allah SWT pula. Selama hari ini, mereka cuma bandingkan dengan manusia lain sahaja, memanglah mereka lebih kuat dari mereka. Tetapi kalau dengan Allah SWT, bolehkah mereka lawan? Tentu tidak.

وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يَجْحَدُونَ

Dan mereka dulu terhadap ayat-ayat kami, membantah.

Mereka menolak wahyu dari Allah SWT. Begitulah kebanyakan dari manusia zaman sekarang. Cara hendak tahu orang yang kufur senang sahaja iaitu apabila ayat Al-Quran dibacakan kepada mereka, mereka akan bantah.

Maka, adalah tidak mustahil kita juga boleh dikenakan dengan azab seperti yang dikenakan kepada kaum-kaum yang terdahulu. Allah SWT boleh sahaja kena kan azab itu kepada kita.

Cuma azab yang dikenakan kepada umat Nabi Muhammad SAW tidak lah sampai menghapuskan keseluruhan umat baginda kerana kita semua ini satu dunia adalah umat Nabi Muhammad SAW. Kalau Allah memusnahkan umat Nabi Muhammad SAW maka tidaklah ada manusia lagi.

Kalau umat-umat yang dahulu dimusnahkan, ada banyak lagi umat yang lain. Apabila Allah SWT hancurkan kaum Aad dan juga kaum Tsamud, ada lagi umat Nabi-Nabi yang lain yang melangsungkan keturunan manusia. Selalunya kaum itu dimusnahkan kerana mereka hendak mencederakan Rasul.

Kehancuran umat Nabi Muhammad SAW adalah apabila hari kiamat nanti.

Jadi azab yang dikenakan kepada umat Nabi Muhammad SAW adalah di kawasan-kawasan tertentu sahaja. Bukanlah kena secara menyeluruh.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan