Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-12 dan Ke-13

Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-12 dan Ke-13

896
0
Iklan

Tafsir Surah Fussilat

Ringkasan ayat sebelum ini:

Ayat 10: Kita hendaklah memuja dan berdoa kepada Allah SWT sahaja kerana Dia lah yang menjadikan gunung ganang, berkati bumi ini dengan segala keperluan. Dan semua itu dijadikan dalam 4 masa.

Ayat 11: Kemudian Allah SWT lah sahaja yang menjadikan langit. Dan bumi dan langit itu taat kepada Allah SWT. Maka kita pun kenalah taat kepada Allah SWT juga.

Tafsir Ayat Ke-12:

Dalil Aqli Afaqi. Masih lagi pada kejadian langit.

فَقَضاهُنَّ سَبعَ سَماواتٍ في يَومَينِ وَأَوحىٰ في كُلِّ سَماءٍ أَمرَها ۚ وَزَيَّنَّا السَّماءَ الدُّنيا بِمَصابيحَ وَحِفظًا ۚ ذٰلِكَ تَقديرُ العَزيزِ العَليمِ

“Lalu Dia menjadikannya tujuh langit, dalam dua masa; dan Dia memberitahu kepada tiap-tiap langit akan urusan dan keperluannya masing-masing. Dan Kami hiasi langit yang dekat (langit dunia) dengan bintang-bintang yang bersinar cemerlang serta memelihara langit itu dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan Allah SWT Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.”

فَقَضَاهُنَّ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ

Allah SWTlah yang telah cipta tujuh langit

Tidaklah kita dapat memahami dengan tepat bagaimanakah rupa dan hakikat ‘tujuh langit’ itu. Jadi ini adalah antara ayat-ayat mutashabihaat.

Kalau dalam dunia ini pun kita tidak habis kaji lagi, apatah lagi alam langit yang di luar jangkauan kita. Berbagai pendapat diberikan oleh pentafsir-pentafsir dan pengkaji-pengkaji tentang apakah yang dimaksudkan dengan ‘tujuh langit’ ini. Tetapi semua itu tidak lebih daripada tekaan-tekaan sahaja, kerana tidak ada yang dapat melalui tujuh langit itu lagi melainkan Nabi Muhammad SAW sahaja. Dan baginda tidaklah menjelaskan dengan terperinci.

Ini mengajar kita, banyak lagi benda ghaib yang kita tidak tahu. Namun, kita mengimani segala apa yang disampaikan oleh Allah SWT dalam Kitab-Nya.

فِي يَوْمَيْنِ

dalam dua masa.

Allah SWT jadikan bumi dalam ’empat masa’. Dan sekarang Allah SWT sebut Dia menjadikan langit dalam ‘dua masa’ pula. Jadi jumlah kesemuanya penciptaan langit dan bumi adalah dalam ‘enam masa’.

Ayat-ayat jenis ini kita kena imani sahaja walaupun kita tidak tahu apakah jangka masa ‘enam masa’ itu.

وَأَوْحَىٰ فِي كُلِّ سَمَاءٍ أَمْرَهَا

Kemudian Allah SWT perintah setiap lapisan langit dengan arahan-arahannya.

Ada sekian banyak matahari, bulan sekian banyak, gerak begini dan begitu dan lain-lain lagi arahan telah diberikan. Matahari akan duduk di tempat laluannya yang tetap, akan keluar ikut masanya yang telah ditetapkan.

Begitu juga semua benda di langit dan di bumi. Semuanya telah diberikan dengan arahan-arahan yang mereka kena ikut. Ia akan berlaku sehingga ke Hari Kiamat. Semuanya telah diatur dengan begitu teliti dan tepat sekali, sampaikan kalau lari sikit sahaja, maka akan bertempiaranlah alam ini.

Setiap langit ada tugasnya masing-masing. Langit pertama buat ini, langit kedua buat itu dan sebagainya. Namun, kita tidaklah tahu apakah tugas-tugas langit itu kerana kita tidak diberitahu.

وَزَيَّنَّا السَّمَاءَ الدُّنْيَا

Dan Kami hiasi langit dunia

Yang dimaksudkan dengan ‘langit dunia’ adalah langit yang kita boleh nampak. Ia dinamakan ‘langit dunia’ kerana ia yang paling dekat dengan dunia. Dan Allah SWT hiasi langit pertama/langit dunia ini dengan bintang-bintang.

Selagi ada bintang, selagi itu ianya masih langit dunia yang pertama lagi kerana di atas dari langit dunia tidak diceritakan ada bintang-bintang. Hanya diceritakan berkenaan langit dunia sahaja yang ada bintang. Oleh itu, dari sini kita tahu, bahawa Allah SWT telah meletakkan bintang-bintang itu untuk mencantikkan langit. Kita sahaja yang tidak perasan sebab kita jarang tengok langit.

Budaya kita bukan budaya yang tengok langit. Tambahan pula sekarang, dengan segala pencemaran alam, kita tidak berapa nampak langit dan bintang-bintang yang indah itu. Lagi pun, rasanya kita banyak tengok TV dan tengok handphone dari tengok langit, bukan? Tetapi bangsa Arab adalah satu bangsa yang suka tengok langit. Mereka tidak ada TV lagi waktu itu.

Mereka kadang-kadang akan tidur di bumbung rumah mereka dan melihat langit untuk mengisi masa lapang mereka. Bumbung rumah mereka bukan macam bumbung rumah kita. Bumbung rumah kita dalam bentuk sekarang kerana cuaca kita selalu hujan maka kena pakai bentuk tiga segi supaya air hujan senang turun. Tetapi atap rumah bangsa Arab mendatar, sampaikan mereka boleh naik dan tidur di atasnya.

Jadi Allah SWT menceritakan tentang bintang di langit itu kerana ianya rapat dengan mereka kerana mereka memang selalu tengok bintang. Begitu indahnya kerlipan bintang di malam hari. Dengan memerhatikannya, maka akan tertariklah perasaan kita untuk menghargai alam yang telah dijadikan Allah SWT ini. Dalam surah Mulk, Allah SWT telah menganjurkan kita untuk melihat alam langit berkali-kali.

Dan dari hadis, langit pertama ini seolah-olah duit syiling dibaling pada padang pasir. Duit syiling itu langit pertama dan padang pasir itu langit kedua Langit kedua kalau dibandingkan dengan langit ketiga, seperti duit syiling di padang pasir dan seterusnya. Mafhum dari maksud “Allah SWT hiasi langit dunia dengan bintang” maka selagi ada bintang, selagi itu langit pertama.

Hiasi dengan apa?

بِمَصَابِيحَ

dengan lampu-lampu

Maksudnya, dengan ‘bintang-bintang’ kerana bintang itu ada cahaya. Ini termasuk dengan matahari dan bulan.

Amat indah sekali pada malam yang cerah, kalau dapat melihat bintang-bintang di langit. Manusia telah meniru perhiasan asal yang dijadikan Allah SWT ini dengan meletakkan lampu-lampu jalan dan lampu-lampu perhiasan di kota-kota dan bandar-bandar. Begitu juga lampu di rumah-rumah kita begitu cantik sekali. Maknanya, ada fungsi dan ada kecantikan.

وَحِفْظًا

dan pemeliharaannya.

Allah SWTlah yang menjaga langit itu kerana kalau Allah SWT tidak jaga, bintang-bintang itu akan runtuh. Kalau bergerak sedikit sahaja dari kedudukan yang telah ditetapkan, maka akan mengganggu segala ekosistem alam ini yang akan menyebabkan semuanya akan berjatuhan dari orbit masing-masing dan akan menyebabkan perlanggaran antara satu sama lain kerana ada tarikan graviti antara satu sama lain yang kalau ada lari sikit, akan beri efek kepada bintang/planet yang lain.

Dan ia juga bermaksud langit dunia itu ada penjaga-penjaga dari kalangan malaikat yang akan merejam syaitan-syaitan dari kalangan jin yang cuba untuk mendengar-dengar berita dari langit. Sebelum Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Rasul, jin-jin boleh naik ke langit untuk mencuri dengar berita dari langit. Tetapi apabila baginda sudah dinaikkan sebagai Nabi, mereka sudah tidak boleh naik lagi ke langit, kerana mereka akan dilempar dengan bebola api oleh malaikat-malaikat penjaga di langit itu. Ini diterangkan dengan lebih lanjut di dalam surah Jin.

Ataupun bintang-bintang itu adalah satu sistem yang menjaga alam kita ini dari bahaya yang kita pun masih tidak tahu lagi. Boleh diibaratkan bintang-bintang itu sebagai pagar yang memagar supaya menjaga keselamatan kita. Dalam bidang astronomi, ini dipanggil Van Allen radiation belts serta banyak lagi lah yang kita tidak tahu.

ذَٰلِكَ تَقْدِيرُ الْعَزِيزِ

Demikianlah ketentuan Yang bersifat gagah perkasa

Semua yang kita lihat telah tersusun indah ini telah ditaqdirkan/ditentukan oleh Allah SWT.

Allah SWT Maha Berkuasa untuk buat segala itu. Kekuasaan Allah SWT itu tidak ada tandingan. Tidak ada yang boleh buat seperti yang Allah SWT telah buat itu.

Jadi, mengapa tidak beribadat kepada Allah SWT sahaja, kenapa mahu ibadat kepada yang tidak boleh buat perkara-perkara itu semua? Kenapa hendak minta lagi kepada Nabi, wali dan malaikat? Mereka boleh jadikan alam ini kah? Kenapa tidak doa sahaja kepada Allah SWT?

الْعَلِيمِ

Yang Maha Mengetahui

Allah SWT Maha Tahu segala-galanya. Hanya sedikit sahaja kita tahu. Yang kita tahu itu pun hanyalah setelah Allah SWT berikan pengetahuan kepada kita dan setelah Allah SWT berikan sedikit akal kepada kita.

Yang Maha Mengetahui hanyalah Allah SWT sahaja. Tidak ada yang tahu tentang alam ini dengan sepenuhnya melainkan Allah SWT sahaja. Kita memang cuba hendak mengetahuinya, tetapi kita tidak akan dapat segala maklumat tentang alam ini. Saintis hanya dapat kaji langit pertama atau langit dunia sahaja, tidak lebih dari itu.

Maka, kenapa hendak minta pertolongan kepada Nabi, wali dan malaikat? Adakah ilmu mereka luas seperti ilmu Allah SWT?

‘Berita dari langit’ di sini bermaksud, dahulu apabila Allah SWT beri arahan kepada para malaikat yang di atas, malaikat di atas akan maklumkan kepada malaikat di bawah, dan seterusnya bawah lagi dan bawah lagi untuk jalankan perintah itu atau para malaikat bertanya sesama mereka. Masa percakapan antara malaikat itu, jin ada menyorok untuk mencuri dengar. Maka, mereka tahulah apa yang akan terjadi di satu-satu tempat, apa Allah SWT hendak beri kepada seseorang dan sebagainya. Jin dengar dan bagi tahu geng (golongan tukang tenung, nujum; yang dipanggil kaahin). Maka mereka gunakan maklumat ini untuk menipu manusia.

Tafsir Ayat Ke-13

Ini adalah ayat Zajrun dan Takhwif Duniawi. Ini adalah ayat ancaman kepada orang kafir yang masih tidak mahu menerima iman yang diajarkan kepada mereka. Setelah diberikan peringatan yang jelas, tetapi mereka masih juga ingkar, maka sekarang telah sampai ayat ancaman kepada mereka dan juga kita.

Ada satu kisah bagaimana seorang musyrikin Mekah yang bernama Utbah telah memarahi Nabi SAW kerana berdakwah. Baginda senyap sahaja dan kemudian membaca Surah Fussilat. Apabila sampai kepada ayat ini, Utbah telah menutup mulut Nabi kerana takut dengan ancaman dalam ayat ini:

فَإِن أَعرَضوا فَقُل أَنذَرتُكُم صاعِقَةً مِثلَ صاعِقَةِ عادٍ وَثَمودَ

Oleh itu, kalau mereka berpaling (daripada mengesakan Allah SWT dan menurut jalan yang lurus), maka katakanlah (wahai Muhammad): “Aku memberi amaran kepada kamu dengan (azab yang dahsyat, iaitu) petir, seperti petir yang telah menyambar kaum Aad dan kaum Thamud!”

فَإِنْ أَعْرَضُوا

Dan sekiranya mereka berpaling

Iaitu berpaling dari ajakan tauhid ini, masih juga buat syirik kepada Allah SWT. Masih juga mereka kata hati mereka tertutup dan telinga mereka tersumbat seperti yang telah disebut dalam ayat ke-5. Masih lagi degil dan beri berbagai-bagai alasan. Hujah dan dalil telah diberi, tetapi masih lagi hendak tolak, guru aku ajar macam ini, tidak kan salah kalau buat macam ini. Kau salah tafsir ayat itu ada dalam kitab amalan tawassul ini.

فَقُل أَنذَرتُكُم صاعِقَةً

Maka katakanlah kepada mereka: Aku memberi ancaman kepada kamu, akan ditimpa petir,

Kalimah صَاعِقَةً asalnya bermaksud orang yang ‘jatuh tidak sedar diri’. Seperti yang disebut dalam surah lain, bagaimana Nabi Musa a.s jatuh tidak sedar diri apabila bukit Thur dihancurkan berdekatan dengannya, apabila baginda minta untuk melihat Allah SWT.

Jadi, صَاعِقَةً bermaksud bala yang amat mengejutkan sampai menyebabkan seseorang itu boleh jatuh pengsan kerana terkejut atau takut sangat. Selalunya ditafsirkan bala itu sebagai ‘petir’.

Atau, ia juga boleh bermaksud azab jenis tempikan. Jenis tempikan yang menyebabkan manusia boleh sampai jatuh mati. Apabila ia datang, ia akan bakar habis satu kampung. Jadi, kalau hendak terjemah sebagai petir sahaja tidak tepat.

مِثْلَ صَاعِقَةِ عَادٍ وَثَمُودَ

seperti petir yang telah menyambar kaum Aad dan Tsamud.

Apabila kedengaran petir atau tempikan itu, jantung manusia tercabut. Gunung akan runtuh. Ia datang dengan ribut dan gegaran yang amat kuat sekali. Ancaman itu kepada orang sekarang juga, jangan ingat hanya kepada mereka yang telah lalu sahaja. Sesiapa yang ingkar, boleh dikenakan dengan azab macam itu juga. Jadi ini bukan peringatan biasa. Bukan hanya cerita berkenaan orang dahulu sahaja. Kalau sekarang ingkar pun boleh jadi macam ini. Jangan kita sangka tidak boleh jadi kepada kita.

Kaum Aad dan Tsamud adalah bangsa Arab tua yang telah punah. Jadi, orang-orang Quraisy kenal mereka itu dan tahu apa yang terjadi kepada mereka. Maka, Allah SWT mengingatkan mereka tentang apakah yang terjadi kepada dua kaum itu. Semoga mereka sedar dan takut akan terjadinya perkara yang sama kepada mereka.

Nota: sampai ayat inilah Nabi bacakan kepada Utbah. Apabila sampai ke ayat ini, Utbah menutup mulut Nabi, kerana tidak sanggup lagi dengar kata-kata dari ayat Al-Quran. Selepas selama beberapa hari, Utbah tidak keluar rumah kerana dia terkesan sangat dengan ayat-ayat yang dibacakan. Dia takut dengan apa yang akan terjadi sebab dia tahu apa yang Nabi Muhammad SAW cakap, ia akan terjadi.

Apabila orang-orang Quraisy jumpa dia kembali selepas beberapa hari, mereka tanya dia kenapa dia hilang? Utbah jawab dia diam kerana dia takut akan jatuh bala ke atas mereka. Dia takut akan ditimpa bala yang dikenakan kepada kaum Aad dan Tsamud.

Azab yang ditimpakan kepada Kaum Aad dan Tsamud digunakan dalam ayat ini, kerana ini adalah ayat-ayat Makkiyah. Dan ayat-ayat Quran memang mula ditujukan kepada Bangsa Arab. Bangsa Arab memang kenal dengan dua kaum ini. Dan mereka tahu bahawa kaum itu kena bala kerana mereka tidak menerima Nabi-nabi mereka.

Ini mengajar kita dalam berdakwah – menggunakan contoh orang-orang terdahulu supaya memberi kesan kepada orang yang kita dakwah itu.

Seperti telah disebut sebelum ini, susunan dakwah adalah memberi motivasi kepada mereka dahulu sebelum mereka ditakutkan dengan azab. Lihatlah susunan ayat-ayat dalam surah ini.

Allah SWT mulakan dengan menceritakan tentang Diri-Nya, siapakah Dia, apa yang Dia telah buat dan sebagainya. Hanya selepas mereka masih tidak mahu terima barulah diberikan ancaman kepada mereka tentang azab yang mereka akan terima kalau mereka tidak mahu terima dakwah itu.

Maka, jangan mulakan dakwah dengan takutkan manusia: “Oiii, kau nak masuk neraka yer???!!!” Janganlah begitu. Ajak buat benda baik dahulu dan janjikan dengan syurga dahulu. Janganlah berkasar dengan mereka.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan