Utama UiTO: Soal-Jawab agama bersama ustaz Abu Basyer Tujuh Amalan Membantu untuk Menghadapi Kematian

Tujuh Amalan Membantu untuk Menghadapi Kematian

12060
0
Iklan

Tujuh Amalan Membantu Untuk Menghadapi Kematian

Sesiapa pun tidak dapat menduga bilakah saat kematian mereka akan tiba. Sebab itu ramai yang masih leka dan tiada persediaan ‘menanti’ saat kematian mereka.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali.” [ Surah al-Anbiaa: 35 ].

Hidup di zaman kemajuan ICT dan dunia tanpa sempadan, kejadian mati mengejut dan mati ditimpa musibah adalah sesuatu perkara biasa. Di negara kita sendiri kematian disebabkan kemalangan jalan raya, mati disebabkan sakit jantung dan mati dibunuh (sama ada kerana rompakan atau dendam) adalah beberapa kes kematian mengejut yang sering berlaku setiap hari.

Soalannya, apakah persiapan kita bila mati datang mengejut? Adakah kita telah membuat persiapan sekiranya saat kematian itu datang? Ketika itu apakah yang dapat kita bawa bersama sebagai teman setia yang akan membantu kita menghadapi saat getir di alam barzakh?

Terdapat tujuh amalan atau persiapan yang perlu kita lakukan sebelum ajal datang menjelma, maksudnya kita telah buat persiapan awal tanpa kita tunggu masa yang sesuai, selagi boleh kita buat kita terus buat.

Amalan Pertama : Setiap hari hendaklah bertaubat dan beristighfar.

Nabi SAW bersabda maksudnya, “Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali” (Hadis Riwayat Muslim).

Istighfar ertinya memohon ampun kepada Allah s.w.t. Islam mengajarkan kepada umatnya agar memperbanyak istighfar. Rasulallah SAW sendiri sehari minima 70 kali mengucapkan Istighfar (Hadis Riwayat Bukhari).

Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan tidaklah Allah akan mengazab mereka, sedang mereka meminta ampun (istighfar)” [ Surah Al-Anfal: 33].

Amalan Kedua : Betulkan solat kita dan cuba untuk khyusuk.

Jangan lambat-lambatkan solat bagi lelaki cuba solat berjemaah di masjid. Solat adalah amalan yang pertama disemak jika solat diterima maka amalan lain juga akan diterima.

Daripada Abu Hurairah, katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya amalan yang mula-mula sekali dihisabkan seseorang pada hari kiamat mengenainya ialah solatnya, jika solatnya diterima, maka sesungguhnya beruntung dan berjayalah ia. Jika solatnya tidak diterima, maka kecewa dan rugilah ia. Jika terkurang daripadanya solat fardu sesuatu. Allah SWT berfirman: ‘Periksalah, adakah hambaku itu mempunyai solat-solat sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang daripada solat fardu. Demikianlah keadaan amalan lain. (Hadis Riwayat Tirmizi)

Firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya beruntung orang-orang yang beriman, (iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya, dan orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna, dan orang yang menunaikan zakat, dan orang yang memelihara kemaluannya kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba  sahaya yang mereka miliki maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Tetapi sesiapa yang cari dibalik itu (zina dan sebagainya) maka mereka itulah orang-orang yang melampau batas. Dan (sungguh beruntung) orang yang memelihara amanat-amanat dan janjinya, serta orang yang memelihara solatnya. Mereka itulah orang yang akan mewarisi (yakni) yang akan mewarisi (syurga) Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.” [Surah al-Mukminun: 1-11].

Amalan Ketiga: selesaikan semua hutang

Roh seorang muslim yang beriman atau pun roh seorang syuhada’ akan tergantung di antara langit dan bumi kerana hutangnya yang belum diselesaikan. Jangan tangguh-tangguh untuk membayar hutang. Apabila mempunyai wang yang cukup terus membayarnya.

Salah satu perkara yang sangat menakutkan apabila hutang itu tidak dapat diselesaikan ialah bilamana orang yang masih menanggung hutang itu mati atau meninggal dunia dalam keadaan hutang yang belum habis diselesaikan.

Anak-anak, isteri dan waris-waris pula tidak tahu atau pun tidak mahu bertanggung jawab untuk menyelesaikan hutang si mati di mana mengikut Hadis orang yang mati sedangkan ia masih berhutang maka rohnya terapung-apung di langit dan semua amalannya tergantung.

“Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu katanya: Telah bersabda Rasulullah saw:” Roh seseorang mukmin itu tergantung-gantung (dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan.”
(Riwayat Al-Imam Al-Tarmizi).

Oleh itu tulislah satu surat wasiat menyenaraikan semua hutang-hutang yang ada lengkap dengan jumlah dan nama dan alamat orang yang memberi hutang, serahkan kepada waris terdekat apabila mati minta warisnya tolong selesaikan supaya rohnya kembali kepada Allah SWT dalam keadaan tenang tidak tergantung.

Kebaikan untuk orang yang menangguhkan hutang bagi yang belum mampu akan mendapat perlindungan Arasy.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

مَنْ أَنْظَرَ مُعْسِرًا أَوْ وَضَعَ عَنْهُ أَظَلَّهُ اللَّهُ فِى ظِلِّهِ

“Barangsiapa memberi ruang waktu bagi orang yang berada dalam kesulitan untuk melunasi hutang atau bahkan membebaskan hutangnya, maka dia akan mendapat naungan Allah.” (HR. Muslim no. 3006)

Amalan Keempat: Banyakkan Bersedekah Jariah (Infaq)

Menurut istilah ulama syara’ amal jariah juga di sebut sebagai wakaf iaitu menahan sesuatu yang boleh dimanfaatkan bagi tujuan kemaslahatan serta kekal zatnya sebagai ( taqarrub) pendekatan diri terhadap Allah.

Hukum melakukannya adalah sunat.

Firman Allah Ta’ala yang berbunyi :

لن تنالوا البر حتى تنفقوا مما تحبون وما تنفقوا من شيء فإن الله به عليم

Maksudnya : Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. [Surah Ali ‘Imran: 92].

Amal jariah merupakan amalan yang terpuji di sisi Allah antaranya ialah membangun masjid , sekolah agama, maahad tahfiz, rumah anak-anak yatim, mewakafkan kitab-kitab bermanfaat kepada masjid dan lain-lain lagi. Perkara ini ada disebutkan dalam hadith, riwayat Ibn Majah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang kira-kira bermaksud:

”Sesungguhnya amal dan kebaikan yang terus mengiringi seseorang ketika meninggal dunia adalah ilmu yang bermanfaat, anak yang dididik agar menjadi orang soleh, mewakafkan Al-Quran, masjid, membangun tempat penginapan bagi para musafir, membuat irigasi, dan bersedekah.” (HR Ibn Majah).

Berikut disenaraikan antara fadilat-fadilat amal jariyah berbentuk sedekah ialah :

1) Bersedekah merupakan jalan kepada pintu-pintu kebaikan dan menutup pintu-pintu kejahatan.

2) Ikhlasnya bersedekah dapat meringankan kesusahan seseorang.

3) Harta orang yang bersedekah tidak akan berkurangan malah ianya akan bertambah.

4) Dengan bersedekah, kita akan terhindar dari bala dan umur juga diberkati serta menjadi panjang.

5) Merahsiakan sedekah memadam kemurkaan Allah manakala sedekah secara terang-terangan pendinding api neraka.

Amalan Kelima : Sebarkan Ilmu Yang Bermanfaat

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bersabda maksudnya: “Barang siapa yang berjalan di situ ia mencari ilmu maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga. (Hadith Riwayat Muslim)

Menuntut ilmu adalah amat digalakkan tidak kiralah ilmu pengetahuan itu berbentuk keagamaan mahupun saintifik atau ekonomi. Apa jua ilmu bermanfaat yang telah kita pelajari sewajarnya kita aplikasikan dalam kehidupan seharian. Dan amat beruntung lagi jika ilmu sedemikian disebarkan dan diajarkan dengan meluasnya kepada orang ramai bersesuaian dengan sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam :

بلغوا عني ولو ءاية

Bermaksud : “Sampaikanlah dariku walau sepotong ayat.”
(Hadis Riwayat Ibnu Majah daripada Abu Hurairah)

“Pelajarilah oleh kamu ilmu faraidh itu, kerana ia adalah sebahagian daripada agama dan ia adalah setengah daripada ilmu. Ia juga adalah ilmu yang pertama dicabut daripada umatku”

Firman Allah Subhanahu Wataala :

قال فإن اتبعتنى فلا تسألنى عن شيء حتى أحدث لك منه ذكرا

Ertinya : Dia berkata (selaku guru), jika kamu ingin ikutiku maka jangan kamu bertanya apa-apa sehinggalah aku menceritakannya kepadamu.” [ Surah Al-Kahfi:70 ].

Ayat ini tidak bermaksud kita sebagai murid tidak boleh bertanya semasa waktu pembelajaran, namun adab yang dimaksudkan di sini hendaklah dengan cara meminta izin terlebih dahulu.

Hadith Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi ada mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia menyembunyikannya akan diikat mulutnya (meletakkan kekang di mulutnya seperti kuda) dengan kekang dari api neraka pada Hari Kiamat.”

Sekiranya mempunyai ilmu, perlulah ilmu tersebut diajarkan dan disebarkan kepada umat Islam supaya ilmu tersebut boleh dimanfaatkan. Penyebaran ilmu boleh dibuat melalui internet, ceramah, penulisan buku atau risalah dan pengajian di sekolah-sekolah dan masjid-masjid.

Amalan Keenam : Mendidikkan Anak-anak Yang Soleh

Ibu bapa mempunyai amanah yang besar dalam mendidik anak-anak mereka. Jika baik tarbiyahnya maka solehlah anak tersebut namun jika sebaliknya, akan mendatangkan kerugian kepada diri mereka sendiri.

Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, maksudnya:

“Setiap anak dilahirkan atas fitrah, maka kedua ibu bapanyalah yang meyahudikannya atau menasranikannya atau memajusikannya”.

Anak merupakan amanah Allah yang amat bernilai kepada kita bagi mencorak dan melahirkan generasi yang bakal menjelajahi dunia yang penuh cubaan. Didikan agama yang betul adalah amat dititik beratkan. Insyaallah anak yang soleh, baik budi pekerti dan agamanya bukan sahaja menjadi harapan bangsa dan masyarakat Islam malah kepentingannya kembali kepada orang tuanya itu sendiri. Dengan ini, tidak rugilah mereka yang mempunyai anak yang soleh dan solehah kerana mereka lah yang akan sentiasa mendoakan orang tuanya setelah mereka meninggal dunia dan berikutan ini bertambahlah pahala orang tua tersebut hanya kerana sebuah doa dari anaknya.

Didiklah anak-anak kita semuanya supaya menjadi anak-anak yang soleh dan solehah yang akan mendoakan kita sekiranya kita telah berada di alam barzakh.

Amalan Ketujuh  : Meminta maaf kepada semua orang yang kita melakukan dosa kepada mereka

Dari Abu Sa’id Al-Khudri r.a., bahawa Nabi S.A.W. bersabda: “Tidak ada seseorang yang melakukan sesuatu perbuatan aniaya terhadap orang lain di dunia dengan tidak menyerah dirinya kepada orang itu untuk membalasnya, nescaya Tuhan akan menyerahkannya kepada orang itu supaya membalasnya pada hari kiamat.”  (Hadis Riwayat Baihaqi)

Tidak perlu menunggu Hari Raya. Dosa mengumpat, memfitnah, menyakiti hati orang dan mengambil hak mereka. Jika kita telah terambil hak atau barang-barang mereka maka pulangkanlah.

1. Anak segeralah memohon ampun kepada kedua ibu bapa.

2. Isteri hendaklah segera memohon ampun kepada suami.

3. Murid hendaklah memohon kemaafan kepada guru-guru.

4. Kita hendaklah memohon maaf kepada saudara-mara, jiran tetangga, sahabat handai, rakan sekerja dan sesiapa saja yang kita rasa telah melakukan dosa kerana Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa yang dibuat sesama manusia.

Kesimpulan:

Amalkanlah tujuh perkara tersebut sebagai usaha-usaha kita semasa di dunia ini supaya apabila kita bertemu Allah SWT di alam barzakh dan hari akhirat nanti kita telah membuat sesuatu yang dapat membantu kita dan menyelamatkan kita daripada halangan dan gangguan untuk mendapat keampunan di sisi Allah SWT.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan