Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Qari’ah – Tafsir Ayat Ke-8 hingga Ke-11

Tafsir Surah Al-Qari’ah – Tafsir Ayat Ke-8 hingga Ke-11

264
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Qari’ah

Alhamdulillah, kita telah melalui hari yang baik, iaitu hari raya korban. Suka saya ingatkan diri saya dan semua, kita renung sebentar firman Allah SWT :

Rujuk Surah [ Al Hajj (22) : 37 ]:

لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَٰكِن يَنَالُهُ التَّقْوَىٰ مِنكُمْ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ

Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah SWT, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah SWT telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah SWT terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik.

Maka jalan orang bertaqwa adalah melalui kitab-Nya [ Al-Baqarah: 2 ]. Jadi tanamkan juga niat dan tujuan kita belajar Al-Quran ini adalah untuk menjadi orang yang bertaqwa! Aminn.

Sebelum masuk kepada ayat seterusnya, kita akan mengimbas kembali pelajaran yang lalu iaitu :

1. Perihal orang yang berat timbangannya di hadapan Allah SWT.

2. Timbangan berat yang akan dikira oleh Allah SWT adalah kebaikan, adapun selainnya tidak akan memberikan kesan.

3.  Kebaikan yang “terberat” merujuk kepada nilai ikhlas dan menepati apa yang Rasul SAW tunjukkan.

Setelah diceritakan mengenai timbangan yang berat, Allah SWT juga berfirman dengan ayat seterusnya bagi keadaan yang “sebaliknya”.

Ayat ini adalah dalam kategori Takhwif : sebagai untuk menakutkan atau ingatan kepada manusia.

Tafsir Ayat Ke-8:

َوَأَمّا مَن خَفَّت مَوازينُهُ

Dan adapun orang-orang yang ringan timbangan (kebaikan)nya,

Keadaan berat atau ringan dalam Al-Quran boleh menjadi DUA sisi pandang ( fahami dahulu elok-elok maksud saya ). Ini kerana ada dalam ayat yang lain iaitu dalam Surah [ An Nisa’ ( 4 ) : 28 ]:

يُريدُ اللَّهُ أَن يُخَفِّفَ عَنكُم ۚ وَخُلِقَ الإِنسانُ ضَعيفًا

Allah SWT berkehendak meringankan diri daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.

Namun maksud yang mudah kita fahami :

ATAS DUNIA : Kita hendaklah “meringankan” diri laksanakan segala tuntutan Allah SWT kerana Allah SWT jua berkehendakkan agar manusia itu terselamat dari segala azab.

TETAPI DI AKHIRAT : Sebaliknya semasa timbangan amal, kita mengharapkan agar timbangan kita tidak ringan.

Oleh itu jika kita ingin mendapat timbangan yang berat di akhirat kelak, maka hendaklah melakukan amal kebaikan di dunia ini seperti yang Allah SWT telah berikan arahan dan hukum-Nya kepada kita.

Ia adalah bertujuan bagi meringankan “beban” yang tidak baik untuk kita. Dengan melakukan amalan itu, maka kualiti amal kebaikan kita tidak terganggu sekiranya diberatkan dengan keburukan. Kita akan senang di dunia dan senang juga di akhirat.

Ringankan apa-apa untuk menjadi hamba Allah SWT! Contoh jika dalam situasi realiti, seorang hamba yang paling disayangi tentulah yang rajin dan ringan tulang melakukan arahan tuannya.

Hadis Nabi SAW menyarankan kita ikuti kejahatan dengan kebaikan. Namun, dalam masa yang sama kena banyakkan juga istighfar dan taubat. Hendaklah memohon maaf juga jika berkaitan sesama manusia.

Perbincangan yang lain :

Allah SWT tidak menjelaskan balasan ini dengan firman-Nya sekali gus, tetapi “seolah” ditangguhkan ke ayat yang seterusnya ( iaitu ayat 9 ).

Ini memberi isyarat seolah-olah, tahu hikmah dari-Nya:

– Allah SWT mahu kita memberikan perhatian terhadap “apakah balasan” yang akan disebutkan.

– Perkara seterusnya merupakan suatu yang besar, oleh itu diberikan ruang khas penjelasannya dalam ayat seterusnya.

Tafsir Ayat Ke-9:

فَأُمُّهُ هاوِيَةٌ

Maka tempat kembali (ibunya) adalah neraka Hawiyah.

أُمُّهُ

(ibunya)

Terdapat beberapa gambaran yang boleh kita teliti dari kalimah yang terdapat dalam ayat ini:

Pertama : Ia adalah dari pepatah Arab

Pepatah Bahasa Arab ada menyebutkan mengenai mereka yang mengalami masalah yang sangat besar, lalu mereka akan kata:

هوت أُمُّهُ

Bermaksud : Ibunya jatuh ke dalam lembah dan mati!

Ini menunjukkan betapa teruknya nasib orang tersebut. Dalam firman Allah SWT ini diambil pepatah ini KEMUDIAN diberikan makna yang lebih berat lagi dari apa yang mereka gunakan itu, iaitu:

“ibunya di dalam lembah dalam neraka”

Kedua : Secara literal ( Ibunya adalah neraka )

Bagaimana sifat ibu yang kita boleh bayangkan?

– Memeluk erat anaknya;

– Dikandung dalam perutnya;

– Tidak sekali melepaskan anaknya ke tempat yang lain.

Begitulah sifatnya api neraka akan memperlakukan

هاوِيَةٌ

Dari kalimah ه و ي yang bermaksud burung helang yang terbang laju ke lembah, semasa burung itu sedang mengejar untuk menangkap mangsanya.

Secara lebih mendalam, kita dapat meneliti bahawa Allah SWT sedang memberikan suatu gambaran mengenai : KEADAAN ORANG YANG SEDANG JATUH MENJUNAM!

Kerana itu, perkataan ini digunakan KERANA Allah SWT bukan sekadar ingin memberitahu keadaan manusia yang jatuh ke neraka. Bahkan, mereka sebenarnya menjunam laju ke dalam neraka tersebut.

Juga jangan kita lupa, sifat neraka yang dalam tersebut lalu bagaimana agaknya tertimbus atau terbenamnya bagi orang yang dicampak ke neraka sebegini? Semoga Allah SWT lindungi kita dari api neraka. Amiin.

Tafsir Ayat Ke-10:

وَما أَدراكَ ما هِيَه

Tahukah kamu apakah neraka Hawiyah itu?

Sekali lagi Allah SWT bertanya kepada kita, dengan tujuannya :

  1. Peringatan seperti satu sergahan.
  2. Untuk menunjukkan kepada manusia, “kamu tidak tahu apa-apa”. Jadi berhati-hati dan selamatkan diri.
  3. Menunjukkan perkara yang serius ( sehingga diulang soalan, agar nantikan dengan baik jawapan dalam ayat seterusnya selepas ini )

هِيَه

Penggunaan dalam soalan ini hanya menggunakan Dhomir ( kata ganti nama kepada Hawiyah ) :

  1. Untuk meringkaskan ( logiknya benda yang kita tidak mahu, tidak perlu bual panjang-panjang ).
  2. Kerana jawapannya selepas ini juga ringkas.
  3. Sebutan dhomir itu ( Huruf Ha Simpul) lebih memberikan feel bila membaca dan mendengar.

Kini, Allah SWT yang bertanya, dan Allah SWT jua yang menjawab.

Tafsir Ayat Ke-11:

نارٌ حامِيَةٌ

(Iaitu) api yang sangat panas.

حامِيَةٌ

Bermaksud : api yang sangat panas dan membara.

Hadis Nabi SAW:

“Kepanasan api kamu yang digunakan oleh anak adam di dunia ini hanyalah 1 per 70 kepanasan api Neraka Jahanam”. Sahabat bertanya: “Demi Allah SWT! Sesungguhnya sekadar itu pun cukuplah untuk menyeksa”. Baginda s.a.w bersabda: ” Meskipun demikian, kepanasan Neraka Jahanam ditambah melebihi kepanasan api dunia sebanyak 69 bahagian yang tiap-tiap satunya seperti kepanasan api dunia ini” [ Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmizi ].

“Mereka merintih di dalam api dan mereka di dalamnya tidak bisa mendengar.” [Al-Anbiyaa: 100].

Tidak mampu mendengar bukan sahaja kerana diazab, tetapi sebab tersangat ‘tension’ hidupnya dalam neraka tersebut.

– Ingat mati

– Ingat kiamat

– Ingat api neraka

Semua yang mampu memberikan kita iktibar. Sebab itu bagi orang beriman, neraka juga satu “rahmat”. Agar dia mampu menolak kejahatan kerana takutkan azab Allah SWT.

Oleh sebab itu bila kita tidak belajar untuk memahami isi kandungan Al-Quran, mana mungkin kita akan rasa gerun dengan kematian dan hari Pembalasan. Demikianlah yang terjadi dengan sayidina Umar r.a yang mendengar beberapa ayat Al-Quran sahaja terus berubah 360’, terus terkesan kerana faham dengan ayat yang dibacakan.

Ibrah dan Kesimpulan :

Pertama

Kaedah firman Allah SWT dalam surah ini adalah dengan “soalan dan jawapan” berlangsung sehingga akhir surah, seolah-olah memberikan motivasi kepada kita agar sentiasa menjadi makhluk yang berfikir dan mencari jawapan mengenai “hari Pembalasan” yang pasti akan kita hadapi.

Semoga dengan sentiasa mengenang hari tersebut, kita akan mulakan persediaan sejak dari atas dunia lagi.

Kedua :

Kita hendaklah berusaha “meringankan” diri untuk melakukan ibadah kepada Allah SWT agar timbangan kita pula di hari akhirat nanti menjadi berat.

Ketiga :

Sesungguhnya tempat kembali yang sebenar bagi hamba Allah SWT ialah Syurga ( asal tempat Adam as ). Maka janganlah kita terpedaya dan terpesong dengan ujian dunia ini sehingga tersalah menempah tempat kembalinya hingga ke neraka.

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan