Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-6 dan Ke-7

Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-6 dan Ke-7

924
0
Iklan

Tafsir Surah Fussilat

Tafsir Ayat Ke-6

Ini adalah Dalil Wahyi (Arahan dari Allah). Dalam ayat ini, Allah mengajar kita bagaimana berdakwah. Apabila dakwah kita tidak diterima, kita balas dengan baik dan rendah diri.

قُل إِنَّما أَنا بَشَرٌ مِثلُكُم يوحىٰ إِلَيَّ أَنَّما إِلٰهُكُم إِلٰهٌ واحِدٌ فَاستَقيموا إِلَيهِ وَاستَغفِروهُ ۗ وَوَيلٌ لِلمُشرِكينَ

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu; diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang Satu; maka hendaklah kamu tetap teguh di atas jalan yang betul lurus (yang membawa kepada mencapai keredhaan-Nya), serta pohonlah kepada-Nya supaya mengampuni (dosa-dosa kamu yang telah lalu). Dan (ingatlah), kecelakaan besar bagi orang-orang yang mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu yang lain),

قُلْ

Kata kepada mereka:

Syaitan bisikkan kepada Musyrikin Mekah yang mereka mahu ikut wahyu, dengan syarat Nabi itu mesti bukan manusia biasa. Mereka kata mereka tidak dapat terima apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW itu kerana Nabi SAW nampak sama sahaja. Maka, Allah ajar cara jawab.

إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ

sesungguhnya aku ini adalah manusia seperti kamu,

Nabi Muhammad SAW berkahwin, ada anak, pergi pasar sama-sama dengan manusia lainnya. Ini adalah satu langkah merendahkan diri. Mengatakan bahawa tidak ada kelebihan diri dari orang yang didakwah itu. Sama-sama manusia, sama-sama ada keperluan dalam hidup.

Jangan lawan negatif mereka dengan negatif juga. Kalau mereka kasar dengan kita, jangan kita kasar balik kepada mereka.

Ini juga mengajar kita bahawa Nabi Muhammad SAW itu bukan ‘nur’ tetapi manusia biasa sahaja. Ini penting untuk diberitahu kerana ramai sekali dalam masyarakat kita yang percaya Nabi Muhammad SAW bukan manusia biasa tetapi ‘Nur Muhammad’. Kerana salah faham inilah, sampai ada fatwa yang kata: kalau ada yang kata Nabi itu nur, jatuh kufur murtad sebab tolak ayat Al-Quran. Sebab apabila

يُوحَىٰ إِلَيَّ

diberi wahyu kepadaku.

Cuma bezanya antara Nabi Muhammad SAW dan manusia lain, baginda diwahyukan dengan Al-Quran dan diberi pangkat kenabian. Nabi Muhammad SAW dapat Al-Quran langsung dari Jibrail sedangkan manusia lain dapat wahyu dari pengajian. Oleh itu, kita ini juga adalah penerima wahyu dan perlu menyampaikan kepada umat yang lain.

Dan kita pula yang sedang belajar tafsir ini, beza kita dengan orang lain adalah kita belajar wahyu, dan mereka tidak belajar. Begitulah cara kita cakap kepada orang lain yang tidak belajar.

أَنَّما إِلٰهُكُم إِلٰهٌ واحِدٌ

Sesungguhnya Tuhan kamu yang wajib disembah, adalah Tuhan yang Maha Esa

Ini adalah kesimpulan dari 30 juzuk Al-Quran. Tidak ada Ilah, tidak ada pujaan, nabi, rasul, malaikat, wali, orang, binatang, keris azimat, cincin, geliga dan sebagainya lagi yang ada sifat Ilah, melainkan Allah sahaja yang ada sifat Ilah itu. Pengharapan hati kita kepada Allah sahaja. Maka, oleh kerana Dia sahaja yang ada sifat Ilah, maka kita sembah hanya Dia sahaja dan doa kepada Dia sahaja.

Ilah itu adalah tempat sandaran hati kita seperti yang telah disebut dalam Kelas Usul Tafsir sebelum ini.

فَاسْتَقِيمُوا إِلَيْهِ

Hendaklah kamu berpegang teguh dengan tauhid ini

Hendaklah berpegang dengan tauhid ini dengan sedaya upaya. Agama ini amat luas, tetapi yang paling penting adalah tentang tauhid. Maka, hendaklah berpegang dengan kuat. Jaga tauhid dalam ibadat dan dalam doa.

Satu lagi, ia menganjurkan kita untuk tawajuh (fokus) kepada Allah dalam setiap perkara. Kena ingat yang Allah ada melihat kita.

وَاسْتَغْفِرُوهُ

dan hendaklah kamu minta ampun kepada-Nya

Istighfarlah dari dosa syirik kalau kita pernah lakukan dulu, kerana selagi tidak minta ampun, selagi itu ibadat kita yang kita buat, tidak diterima. Termasuklah sembahyang, haji, baca Al-Quran, itu semua tidak diterima kalau kita ada mengamalkan syirik.

Tidak diterima apa-apa pun amalan kerana tidak keluar dari kesyirikan, kerana dia tidak masuk Islam pun lagi. Jadi seperti orang kafir yang puasa. Walaupun mereka lapar macam kita juga, tetapi tidak diterima puasa mereka, kerana mereka bukan orang Islam. Kerana syarat diterima amal seseorang itu adalah dia itu seorang Islam yang tidak melakukan syirik.

Bayangkan kalau ada orang kita yang melakukan syirik tanpa mereka ketahui. Mereka tidak berniat hendak buat syirik sebenarnya, tetapi kerana mereka tidak belajar, mereka buat perkara syirik.

Sebagai contoh, mereka percaya dengan bomoh dan mereka menggunakan khidmat bomoh itu. Ada bermacam-macam lagi perbuatan syirik yang masyarakat kita buat yang mereka tidak tahu bahawa itu adalah perkara syirik. Ini bermakna, segala amal ibadat mereka belum lagi diterima oleh Allah. Kerana amal ibadat hanya diterima dari mereka yang tidak melakukan syirik. Alangkah kesiannya mereka.

Susah payah mereka solat, puasa dan sebagainya. Berapa banyak duit yang mereka habiskan untuk pergi umrah dan buat Haji, namun masih lagi tidak diterima dan tidak diberi pahala atas perbuatan amal ibadat mereka itu. Alangkah ruginya.

Jadi kena minta ampun dosa syirik dulu, kemudian baru minta ampun dosa-dosa yang lain. Kita selalunya akan minta ampun dari dosa-dosa yang banyak kita lakukan, tetapi dosa syirik kita tidak minta ampun lagi. Kita tidak minta ampun kerana kita senang hati, kita sangka tentulah kita tidak buat syirik kerana kita orang Islam. Betul kah begitu? Adakah kamu tahu apakah yang dimaksudkan dengan perbuatan dan faham syirik sampai kamu kata kamu tidak pernah buat?

Kita minta ampun kepada Allah supaya mengampunkan mana-mana dosa syirik kita yang kita tahu kita telah buat dulu, dan mana-mana dosa syirik yang kita tidak tahu kita telah buat iaitu dosa syirik yang kita buat tanpa sedar kerana kita tidak belajar lagi.

Sambung lagi doa kita itu: “Walau bagaimanapun Ya Allah, aku tidak mahu mengulang dosa syirik yang aku buat itu dulu, maka ajarkan kepada aku ya Allah, mana syirik yang aku buat.” Kena minta macam tu, kerana kadang-kadang kita tidak tahu mana dosa syirik yang kita lakukan.

Ayat ini juga menganjurkan kita untuk sentiasa minta ampun. Seseorang itu kena istighfar walaupun dalam melakukan taat. Kerana takut ada amalan tidak cukup seperti yang Allah kehendaki. Mungkin ada amalan yang kita buat dalam lalai.

وَوَيْلٌ لِلْمُشْرِكِينَ

Celaka besarlah bagi orang-orang yang mensyirikkan Allah

Celaka bagi mereka yang mengamalkan syirik dan tidak mahu bertaubat. Dalam dunia ini lagi mereka akan melalui kehidupan yang sempit, dan di akhirat kelak mereka akan dibalas dengan azab yang amat pedih sekali.

Dan mereka akan kekal dalam neraka, dengan tidak ada peluang untuk keluar kerana Allah SWT telah beritahu yang Dia tidak akan maafkan dosa mereka yang syirik.

Maksud saya dalam perbincangan hari ini, ada orang tidak tahu pun dia buat syirik kerana dia sendiri tidak tahu konsep syirik itu bagaimana ‘tersembunyi’ pada dia.

Orang yang melakukan syirik ini sebenarnya sudah terkeluar dari agama Islam. Perlu taubat dan memperbaharui syahadah. Bila melakukan solat syahadah diperbaharui, jika ikhlas masuk Islam semula tetapi jika masih ada lagi akidah syirik solat yang dilakukan tidak diambil kira. Dengan yang demikian penting untuk faham akan bab syirik ini kerana jika tidak maka sia-sialah solat seseorang itu bukan sahaja pahala tidak kira malah akan dapat azab pula nanti.

Tafsir Ayat Ke-7

Apabila akidah sudah tidak betul, maka amalan pun sudah tentu tidak betul juga. Ayat di atas menyebut tentang celakalah kepada orang yang musyrik. Siapakah orang-orang Musyrik itu? Apakah sifat-sifat mereka?

الَّذينَ لا يُؤتونَ الزَّكاةَ وَهُم بِالآخِرَةِ هُم كافِرونَ

“Iaitu orang-orang yang tidak memberi zakat (untuk membersihkan jiwa dan harta bendanya) dan mereka pula kufur ingkar akan adanya hari akhirat”.

الَّذِينَ لَا يُؤْتُونَ الزَّكَاةَ

Orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat.

Maka, orang yang imannya benar, mereka akan taat untuk keluarkan zakat. Walaupun ianya berat juga kerana kena keluarkan harta dari hasil usaha kita. Tetapi kerana taat kepada Allah, kita lakukan juga. Kalau musyrikin, mereka tidak akan keluarkan kerana mereka tidak taat kepada Allah.

Namun, ayat ini diturunkan di Mekah ketika hukum zakat belum diwajibkan lagi. Jadi, apakah yang dimaksudkan ‘zakat’ dalam ayat ini? Oleh itu, makna ‘zakat’ dalam ayat ini adalah membersihkan hati dari syirik kepada Allah. Memandangkan ayat ini diturunkan di Mekah, jadi tiada lagi arahan mengeluarkan zakat.

Maka, ayat ini menceritakan tentang orang Musyrik yang tidak keluar dari kesyirikan. Mereka tidak mahu terima lafaz la ilaha illa Allah.

Atau ada yang kata, zakat di sini adalah ‘sedekah’, kerana rukun zakat hanya mula difardukan di Madinah, maka kalau dikatakan zakat semasa di Mekah, ianya bermaksud ‘sedekah’.

Atau, ada juga yang mengatakan bahawa di Mekah lagi sudah ada arahan untuk mengeluarkan zakat. Cuma ada kelainan sedikit dari zakat yang ditetapkan di Madinah nanti. Semasa di Mekah, iaitu awal Islam, zakat yang dikeluarkan adalah apa sahaja lebihan dari keperluan harian. Kalau ada lebih sahaja, kena keluarkan zakat. Hanya apabila di Madinah sahaja dikeluarkan arahan baru berdasarkan kadar 2.5% dan sebagainya.

Kenapa disebut zakat dalam ayat ini dan bukan solat? Selalunya kalau amalan yang diberi sebagai contoh adalah amalan Solat, tapi kali ini disebut zakat pula.

Ini adalah kerana sepatutnya mereka berlaku baik kepada orang Muslim yang lain. Orang yang baik tahu bahawa mereka tidak boleh hidup sendiri. Dan dengan mengeluarkan zakat, itu dapat mengeratkan hubungan sesama manusia yang dalam masa yang sama, adalah satu ibadat yang mendapat pahala dari Allah SWT.

Mereka yang beriman tahu bahawa segala harta yang Allah SWT berikan kepada mereka, sebahagiannya untuk orang lain. Untuk mereka salurkan dalam bentuk zakat atau sedekah. Tetapi kalau orang yang tidak beriman, mereka tidak nampak perkara itu. Mereka hanya tahu untuk kumpul harta sebanyak mungkin. Mereka suka untuk mengira harta mereka yang semakin bertambah dan bertambah. Mereka lupa bahawa apabila mereka mati, mereka tidak boleh bawa pun harta itu bersama mereka. Mereka sebenarnya tidak pun memikirkan perkara itu kerana mereka tidak yakin dengan akhirat pun.

وَهُمْ بِالْآخِرَةِ هُمْ كَافِرُونَ

Dan mereka tentang akhirat itu enggan percaya.

Mereka tidak percaya yang mereka akan dibangkitkan selepas mereka mati kelak. Musyrikin Mekah tolak adanya akhirat kerana ia tidak nampak dengan mata; dan mereka pun tidak ada kitab, maka maklumat ini tidak sampai kepada mereka.

Ataupun, mereka tahu bahawa mereka akan dibangkitkan kelak, kerana mereka orang Islam. Mereka belajar di sekolah agama dulu bahawa ada Hari Kiamat yang semuanya akan dibangkitkan kelak.

Mereka hidup dalam dunia ini, seperti mereka tidak percaya mereka akan dibangkitkan kelak. Kita boleh lihat bagaimana bezanya orang yang percaya dengan orang yang tidak percaya. Orang yang benar-benar percaya dengan hari kebangkitan, mereka akan takut hendak buat dosa kerana mereka tahu bahawa mereka akan disoal dan akan dibalas dengan perbuatan salah mereka kalau mereka buat. Tetapi orang yang tidak percaya sungguh, mereka buat tidak tahu sahaja. Seolah-olah mereka tidak tahu perbuatan maksiat mereka itu adalah satu dosa. Kita pula bagaimana?

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan