Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Qari’ah – Tafsir Ayat Ke-6 dan Ke-7

Tafsir Surah Al-Qari’ah – Tafsir Ayat Ke-6 dan Ke-7

884
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Qari’ah

Pada perbincangan yang lepas, kita telah membincangkan :

1. Proses yang dahsyat sejak dari dalam kubur lagi, bahkan sehinggalah pada hari kebangkitan manusia tetap akan menjadi seperti kelekatu yang sangat huru hara.

2. Gambaran gunung yang hancur seperti debu, antara peringatan kepada manusia agar berwaspada terhadap apa yang mereka usahakan sewaktu di atas dunia.

3. Segala kekuatan akan hancur, yang kekal hanyalah Allah SWT.

Seterusnya Allah SWT menyebutkan mengenai amalan manusia. Peringatan agar timbangan amalan manusia bertambah berat dengan iman dan ikhlas. Dan akhirnya maka mereka akan selamat.

Tafsir Ayat Ke-6:

فَأَمّا مَن ثَقُلَت مَوازينُهُ

“Dan adapun orang-orang yang berat timbangannya”,

Di sebalik ayat ini, kita telah pun lebih dahulu melalui satu ayat yang menceritakan perihal gunung akan menjadi ringan seperti bulu yang berterbangan iaitu dalam ayat ke-5, yang bermaksud :

“dan gunung-gunung adalah seperti bulu yang dihambur-hamburkan”

Maka tanpa lengah, Allah SWT berfirman pula perkara yang “BERAT” di sisi Allah SWT. Bagi perbandingan kedua-dua ayat ( ayat sebelum dan ayat ini ), kita dapat mempelajari hikmah di sebalik ayat.

IAITU :

Bukan lah benda fizikal atas dunia yang akan memberikan timbangan kita menjadi berat. Akan tetapi nilai amal yang dibawa itulah yang akan memberatkan timbangan kita.

Beberapa perbincangan yang boleh kita fikirkan.

PERTAMA : Syarat amalan yang diterima oleh Allah SWT.

Umum telah mengetahui bahawa syarat amalan diterima oleh Allah SWT ialah :

– Mengikut Syariat.

– Ikhlas hanya kerana Allah SWT.

Maka hendaklah kita menjaga kedua syarat ini agar berada dalam landasan yang benar. Terutamanya, kita hendaklah berusaha menuntut ilmu yang benar ( Al-Quran dan Sunnah ) agar amalan yang kita lakukan bertepatan dengan tuntutan Allah SWT.

Berhati-hati dengan amalan kita, takut-takut ianya mungkin banyak setinggi gunung ( seperti ayat ke-5), namun tidak memberi kesan tatkala hendak dipersembahkan di hadapan Allah SWT. ‘Playsafe’, ikutlah amalan yang sahih lagi di bawah petunjuk Allah SWT. Hidup hanya sekali!

Kadangkala sangat kita takuti apabila melihat keadaan manusia yang sanggup membaca ribuan zikir yang diperoleh dari “Tuan Guru” berbanding Al-Quran ( yang juga namanya Az – Zikir ) yang diturunkan langsung dari Allah SWT.

Dalam dalil yang lain, sangat jelas petunjuk Nabi SAW jika mahu beramal dengan sahih.

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كَلِمَتَانِ خَفِيْفَتَانِ عَلَى اللِّسَانِ، ثَقِيْلَتَانِ فِي الْمِيْزَانِ، حَبِيْبَتَانِ إِلَى الرَّحْمَنِ: سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ سُبْحَانَ اللهِ الْعَظِيْمِ

“Ada dua kalimat yang ringan diucapkan oleh lisan, tetapi berat dalam timbangan (pada hari Kiamat), dan dicintai oleh ar-Rahman (Allah SWT Yang Maha Pengasih): SubhaanAllah wa bihamdihi dan Subhanallohil ‘Azhim.”

(Hadis sahih. Diriwayatkan oleh al-Bukhari, no. 6406, 6682, dan Muslim, 2694).

Ada satu gambaran bagi orang yang “kepenatan” apabila berhadapan dengan Allah SWT. Ia kerana mereka menyangka berjaya dengan hebat amalan atas dunia, rupa-rupanya tidak mendatangkan apa-apa manfaat. Rujuk surah [ Al Ghasyiah ( 88 ): 2 – 3 ]:

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ خَاشِعَةٌ

Muka (orang-orang yang kafir) pada hari itu tunduk kerana merasa hina,

عَامِلَةٌ نَّاصِبَةٌ

Mereka menjalankan kerja yang berat lagi berpenat lelah,

Selain daripada menepati syariat, orang yang beramal juga perlu ikhlas dan meletakkan pergantungan amalan hanya kerana Allah SWT.

Ada juga amalan yang memang baik tetapi tidak ditimbang kerana tidak dilakukan ikhlas kerana Allah SWT. Amalan tersebut menjadi habuk sahaja seperti yang disebut dalam [ Furqan ( 25 ) : 23 ].

وَقَدِمنا إِلىٰ ما عَمِلوا مِن عَمَلٍ فَجَعَلناهُ هَباءً مَنثورًا

“Dan Kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan.”

Jadi yang penting kita kena pastikan adalah amalan kita ada nilai untuk ditimbang oleh Allah SWT. Dan untuk mengharap pahala kita ditimbang, kita kena pastikan syarat ikhlas dan menepati garis panduan Allah SWT.

KEDUA : Orang Islam perlu beramal dengan bijak.

Perkara paling susah dalam beramal ialah “Istiqamah”. Oleh itu, kebijaksanaan sangat penting dalam merancang dan menyusun amalan. Antara cara yang ada, ikutilah fitrah yang Allah SWT telah gariskan dalam Al-Quran. Itulah sebaik-baik manual!

Contoh :

Malam perlulah berehat, tidur awal. Seperti dalam Surah [ An Naba’ ( 78 ): 9 – 11 ].

وَجَعَلْنَا نَوْمَكُمْ سُبَاتًا

“Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat”

وَجَعَلْنَا اللَّيْلَ لِبَاسًا

“Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)”

وَجَعَلْنَا النَّهَارَ مَعَاشًا

“Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) – masa untuk mencari rezeki”

Seterusnya kalimah,

ثَقُلَت

bermaksud ‘berat’.

Satu persoalan yang dibincangkan tentang timbangan ( Mizan ) ini ialah, apakah yang ditimbang? Terdapat 2 pendapat iaitu :

Pendapat Pertama : Amalan

Sebagai hadis yang telah kita sebutkan mengenai dua amalan tasbih tadi.

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كَلِمَتَانِ خَفِيْفَتَانِ عَلَى اللِّسَانِ، ثَقِيْلَتَانِ فِي الْمِيْزَانِ، حَبِيْبَتَانِ إِلَى الرَّحْمَنِ: سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ سُبْحَانَ اللهِ الْعَظِيْمِ

“Ada dua kalimat yang ringan diucapkan oleh lisan, tetapi berat dalam timbangan (pada hari Kiamat), dan dicintai oleh ar-Rahman (Allah SWT Yang Maha Pengasih): SubhaanAllah wa bihamdihi dan Subhanallohil ‘Azhim.”

(Hadis sahih. Diriwayatkan oleh al-Bukhari, no. 6406, 6682, dan Muslim, 2694).

Pendapat Kedua : Diri manusia itu sendiri

Begitu juga, ada satu lagi hadis sebagai dalil bagi pendapat ini:

Abdullah ibnu Mas’ud ra adalah seorang yang mempunyai betis yang kecil. Pada suatu hari semasa beliau ingin mengambil ranting untuk bersugi, tiba-tiba ada angin dan terselak pakaiannya, sehingga terlihatlah kedua telapak kaki dan betisnya yang kecil. Para sahabat yang melihatnya pun tertawa. Maka Rasulullah SAW bertanya:

“Apa yang sedang kalian tertawakan?”

Para sahabat menjawab, “Kedua betisnya yang kecil, wahai Nabiyullah.” Nabi SAW pun bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَهُمَا أَثْقَلُ فِي الْمِيْزَانِ مِنْ أُحُدٍ

“Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh kedua betisnya itu di mizan nanti lebih berat dari pada gunung Uhud.”

 (Diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnad-nya, I/420-421 dan ath-Thabrani dalam al-Kabiir, IX/75. Hadis ini dinilai sahih oleh al-Albani dalam As-Silsilah Ash-Sahihah, no. 3192).

Oleh itu, kita tidak pasti apakah yang akan ditimbang, tetapi kita amat berharap dan berdoa semoga apa yang ditimbang itu berat pada diri kita.

Pendapat pertama: hanya amalan akan ditimbang. Hendak bertambah berat, maka keikhlasan akan memainkan peranan, tiada kaitan dengan fizikal.

Pendapat kedua: fizikal manusia tu sendiri akan naik atas timbangan, tetapi yang menjadikan ia berat buka soal badan besar, betis besar, TETAPI kebaikan yang dia bawa bersama.

Seterusnya kalimah,

مَوازينُهُ

‘timbangan-timbangannya’.

Ia kalimah jamak ( plural / banyak ) kepada kalimah :

ميزان

Perlu kita perhatikan perbahasan kata “jamak” ini. Kerana dikatakan, ia boleh menjadi jamak kepada salah satu dari dua maksud di bawah ini:

Pertama, ia adalah kata jamak / plural dari kalimah :

ميزان

Yang membawa maksud penimbang dan pemberat. Jika mengikut dari kalimah pertama ini, bermaksud sangat banyak “PENIMBANG” di hari pengadilan tersebut.

Kedua, ia adalah kata jamak / plural dari kalimah :

موزون

(ism maf’ool) – benda yang ditimbang. Jika mengikut dari kalimah kedua ini, bermaksud sangat banyak perkara yang akan ditimbang oleh Allah SWT.

Walau apa pun maksud kalimah “mawazin” tersebut, apakah yang ditimbang oleh Allah SWT?

Umum bagi kita agaknya sejak kecil, membayangkan dalam satu timbangan :

– Jika timbangan amalan baik lebih berat, maka akan dimasukkan ke dalam syurga

– Jika timbangan amalan buruk yang lebih berat, maka orang itu akan masuk ke dalam neraka.

Namun Al-Quran telah menunjukkan kepada kita sistem timbangan Allah SWT.

Perhatikan dalam surah [ Al-Anbiya ( 21 ): 47 ]:

وَنَضَعُ المَوازينَ القِسطَ لِيَومِ القِيامَةِ فَلا تُظلَمُ نَفسٌ شَيئًا ۖ وَإِن كانَ مِثقالَ حَبَّةٍ مِن خَردَلٍ أَتَينا بِها ۗ وَكَفىٰ بِنا حاسِبينَ

Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari kiamat, maka tiadalah dirugikan seseorang barang sedikit pun. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji SAWI pun pasti Kami mendatangkan (pahala)nya. Dan cukuplah Kami sebagai pembuat perhitungan.

Di dalam ayat ini, perkara yang diberitahu akan ditimbang adalah amal kebaikan. Tidak disebut timbangan amal keburukan.

Perhatikan pula dalam surah [ Al-A’raf ( 7 ): 8 ]

وَالوَزنُ يَومَئِذٍ الحَقُّ ۚ فَمَن ثَقُلَت مَوازينُهُ فَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

Timbangan pada hari itu ialah kebenaran (keadilan), maka barang siapa berat timbangannya, maka mereka itulah orang-orang yang beruntung.

Ayat ini hanya menyebut berat timbangannya, tidak disebut sama ada ianya adalah berat timbangan kebaikan atau keburukan. Menunjukkan yang ditimbang adalah amalan kebaikan sahaja.

Begitu juga dalam [ Al-Kahfi ( 18 ): 105 ]:

أُولٰئِكَ الَّذينَ كَفَروا بِآياتِ رَبِّهِم وَلِقائِهِ فَحَبِطَت أَعمالُهُم فَلا نُقيمُ لَهُم يَومَ القِيامَةِ وَزنًا

Mereka itu orang-orang yang telah kufur terhadap ayat-ayat Tuhan mereka dan (kufur terhadap) perjumpaan dengan Dia, maka hapuslah amalan-amalan mereka, dan Kami tidak mengadakan suatu penilaian bagi (amalan) mereka pada hari kiamat.

Ayat ini juga memberitahu kita bahawa terdapat manusia yang dihapuskan amalannya, kemudian tiadalah mizan Allah SWT kepada mereka kerana Allah SWT mengira hanya amal kebaikan sahaja. Orang yang kafir dan syirik, tiada apa yang dapat ditimbang dari mereka.

Maka SALAH jika kita ada fahaman seperti dahulu iaitu konon penimbang ada 2:

Kononnya jika sebelah timbangan yang baik itu berat, maka masuk syurga tetapi jika sebelah timbangan yang buruk itu berat, masuk neraka..

Oleh itu, kesimpulan dari ayat-ayat ini, hanya amal kebaikan yang mempunyai berat yang boleh ditimbang sedangkan amal keburukan tidak ada nilai.

Seterusnya adalah ayat Tabsyir ( pemberian berita gembira ). Ia adalah jika timbangan amal menjadi berat, kita akan mendapat kehidupan yang amat memuaskan

Tafsir Ayat Ke-7:

فَهُوَ في عيشَةٍ راضِيَةٍ

“Maka dia berada dalam kehidupan yang memuaskan.”

Mereka yang berat timbangannya seperti yang disebut dalam ayat sebelum ini, mereka akan berada di dalam keadaan:

عيشَةٍ

Ia boleh diterjemahkan sebagai ‘kehidupan’ yang tidak ada kerisauan tentang makanan dan teduhan iaitu kehidupan tanpa masalah.

راضِيَةٍ

Seseorang yang suka dan senang dengan apa yang dia ada. Orang itu akan mengalami kehidupan yang langsung tidak ada saat yang tidak baik.

Sebagaimana kita telah pelajari, inilah antara sifat ahli syurga. Balasan mereka amat istimewa, iaitu di sisi Allah SWT. Mereka akan masuk ke dalam syurga Allah SWT dalam keadaan redha dan diredhai.

Ibrah dan Kesimpulan:

Pertama :

Sebagai hamba Allah SWT yang akan melalui proses hari pengadilan, kita bukan sahaja perlu berusaha membuat kebaikan.

Namun hendaklah berhati-hati dengan agar amalan yang dibuat tidak menjadi sia-sia kerana tidak ikhlas dan menepati syariat Allah SWT dan Rasul.

Kedua :

Sesungguhnya di hari akhirat nanti, timbangan kita akan menurut kepada amal kebaikan yang kita lakukan. Oleh itu banyakkan amal baik dan sentiasa menjauhi perkara palsu yang mengundang amalan yang sia-sia.

Ketiga :

Bersabar lah dalam berusaha membuat kebaikan. Kerana janji Allah SWT itu benar. Iaitu balasan yang sangat besar bagi hamba Allah SWT yang berjaya, iaitu sangat berpuas hari ( redha ) dengan balasan syurga yang disediakan.

Orang Islam ( berserah diri kepada Allah SWT ), laa khaufun a’layhim walahum yakhzanun.. = tidak ada kerisauan dan kesedihan.

Amalan berat tetapi berpindah kepada orang lain dan tidak menjadi milik kita. Maka, berhati-hatilah terhadap perbuatan kita terhadap orang lain pula:

Daripada Abu Hurairah r.a., ia berkata, “RasululLah SAW bersabda, “Sesiapa yang pernah berbuat aniaya (zalim) terhadap kehormatan saudaranya atau sesuatu apa pun, hendaklah dia meminta dihalalkan (maaf) pada hari ini (di dunia) sebelum datang hari yang ketika itu tidak bermanfaat dinar dan dirham. Jika tidak dia lakukan, maka (nanti pada hari kiamat) bila dia memiliki amal soleh akan diambil daripadanya sebanyak kezalimannya. Apabila dia tidak memiliki kebaikan lagi, keburukan saudaranya yang dizaliminya itu akan diambil lalu ditimpakan kepadanya.” (Hadis Riwayat Bukhari, Sahih Bukhari, No Hadis 2449).

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan