Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-79 hingga Ke-82

Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-79 hingga Ke-82

898
0
Iklan

Tafsir Surat Ghafir

Tafsir Ayat Ke-79

Ini adalah ayat Dalil Aqli.

اللَّهُ الَّذي جَعَلَ لَكُمُ الأَنعامَ لِتَركَبوا مِنها وَمِنها تَأكُلونَ

“Allah yang menjadikan binatang ternak bagi kamu; sebahagian di antaranya untuk kamu menunggangnya, dan sebahagian lagi untuk kamu makan.”

اللَّهُ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَنْعَامَ

Allahlah yang menjadikan untuk kamu binatang ternak

Allah SWT hendak memberitahu kita, Dialah yang menjadikan binatang ternak itu. Tidaklah binatang-binatang itu terjadi sendiri, bukan? Ada banyak nikmat yang kita boleh manfaat dari binatang-binatang itu. Kita telah mendapat manfaat, kenapa tidak kita seru Dia sahaja dalam doa kita, kenapa kita tidak sembah Dia sahaja dalam ibadat kita? Kenapa mahu seru dan sembah selain dari-Nya? Adakah yang kamu sembah dan seru itu menjadikan binatang ternak untuk kamu?

لِتَرْكَبُوا مِنْهَا

supaya kamu tunggang darinya

Ada binatang yang kita gunakan sebagai kenderaan. Zaman sekarang, kita pakai kereta jadi tidak terasa sangat. Namun, zaman dahulu itulah kenderaan utama yang digunakan oleh manusia. Allah SWT cerita kenderaan zaman dahulu kerana tidak mungkin Allah SWT bercerita pasal kereta pula dalam Al-Quran sedangkan kereta tidak direka lagi pada zaman itu?

Maka, kita yang sudah hidup dalam zaman moden ini, masih lagi dapat menghargai ayat ini kerana kita masih nampak lagi penggunaan binatang sebagai kenderaan di tempat-tempat tertentu, terutama di kawasan pendalaman. Dengan kenderaan itu manusia dapat bergerak dari satu tempat ke satu tempat dengan mudah jika dibandingkan dengan berjalan kaki. Itu adalah rahmat dari Allah SWT, kerana kalau tidak, tentu letih berjalan kaki sahaja ke sana dan ke mari.

وَمِنْهَا تَأْكُلُونَ

dan di antara mereka dapat pula kamu makan.

Satu lagi manfaat yang dapat diambil adalah binatang ternak itu ada yang dimakan. Ada binatang ternak yang hanya dimakan, seperti lembu dan ada yang ditunggangi dan dimakan sekali, seperti unta dan kuda. Itu juga adalah nikmat yang amat besar. Allah SWT buat kenderaan yang boleh dimakan sekali, adakah boleh makan kereta kalau tidak ada makanan?

Tafsir Ayat Ke- 80

Allah SWT ingatkan lagi jasa-Nya.

وَلَكُم فيها مَنافِعُ وَلِتَبلُغوا عَلَيها حاجَةً في صُدورِكُم وَعَلَيها وَعَلَى الفُلكِ تُحمَلونَ

“Dan kamu pula beroleh berbagai faedah pada binatang ternak itu, dan supaya kamu dapat memenuhi sesuatu hajat yang ada dalam hati kamu dengan menggunakan binatang itu; dan di atas binatang-binatang ternak itu, serta di atas kapal-kapal, kamu diangkut.”

وَلَكُم فيها مَنافِعُ

Dan bagi kamu pada binatang-binatang ternak itu ada beberapa lagi perkara-perkara bermanfaat. Seperti boleh diambil bulunya untuk dibuat baju, kulit untuk jadikan kasut, susu untuk diminum sebagai penghilang dahaga, sebagai ubat dan macam-macam lagi kegunaan.

وَلِتَبلُغوا عَلَيها حاجَةً في صُدورِكُم

dan supaya kamu dapat capai macam-macam hajat dengan guna binatang-binatang itu yang ada dalam dada kamu.

Dengan binatang ternak itu, boleh menyelesaikan hajat dan keperluan kita. Boleh pergi ke tempat-tempat yang kita hendak pergi. Bukan sahaja dalam keperluan hidup kita yang biasa sahaja, tetapi jangan lupa ia juga digunakan untuk mencapai hajat kita dalam agama. Untuk mengerjakan Haji dan Umrah contohnya dan dengan kenderaan itulah yang dapat memudahkan perjalanan kita ke tempat-tempat lain untuk berdakwah termasuk digunakan untuk ke tempat pengajian.

وَعَلَيها وَعَلَى الفُلكِ تُحمَلونَ

dan di atas belakang binatang-binatang itu dan di atas kapal-kapal, kamu dibawa ke mana-mana.

Kamu diangkut untuk dipermudahkan perjalanan dengan binatang ternak tersebut. Dan Allah SWT menyebut pula tentang kenderaan laut. Kenderaan laut adalah cara pengangkutan yang sampai sekarang pun masih digunakan dengan meluas sekali walaupun kita sudah ada kapal terbang untuk perjalanan antara negara, namun kapal laut masih lagi cara yang lebih murah dan selamat.

Allah SWT ingatkan jasa-Nya kepada kita dalam ayat-ayat ini. Allah SWT sahaja yang buat semua ini. Maka, dalam ibadat dan doa, hanya beri kepada Allah SWT sahaja. Mengapa hendak beri kepada selain-Nya? Mereka ada beri apa-apa kah?

Tafsir Ayat Ke-81

وَيُريكُم آياتِهِ فَأَيَّ آياتِ اللَّهِ تُنكِرونَ

“Dan Dia memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kebesaran-Nya dan kekuasaan-Nya (melalui Rasul-rasul-Nya dan pada makhluk-makhluk yang dijadikan-Nya); maka di antara tanda-tanda kesempurnaan Allah SWT, yang mana satu, yang kamu ingkari?

وَيُرِيكُمْ آيَاتِهِ

Dan Dia perlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaan-Nya

Dan banyak lagi ayat-ayat lain yang menceritakan tentang kudrat Allah SW. Boleh dilihat di dalam dunia, di ufuk, di dalam diri manusia sendiri dan sebagainya.

فَأَيَّ آيَاتِ اللَّهِ تُنْكِرُونَ

mana lagi dalil-dalil kudrat Allah SWT yang kamu ingkar lagi?

Mana dalil ayat-ayat yang kamu hendak ingkar lagi? Banyak sekali dalil yang telah diberikan untuk kita menyembah-Nya. Kamu beri hujah berbagai, tetapi kamu tidak ada hujah sebenarnya kecuali kamu tolak kerana degil sahaja kerana jika ada dalil bawa ke mari tunjukkan.

Tafsir Al-Quran kena dipelajari kerana jika tidak belajar tafsir maka senanglah ditipu oleh syaitan dengan perkara-perkara syirik. Mahu lawan bagaimana jika tidak belajar?

Disebabkan itulah ramai buat amalan yang bertentangan dengan syarak. Mereka tidak sedar pun yang amalan mereka itu berlawanan terus dengan ayat-ayat Al-Quran.

Syaitan amat licik. Hujah yang diberikan oleh syaitan kadangkala boleh diterima akal yang tidak dipandu oleh wahyu.

Tafsir Ayat Ke-82

Ini adalah ayat Takhwif Duniawi. Jika dengar hujah pun tidak mahu, maka pergilah saksikan sendiri.

أَفَلَم يَسيروا فِي الأَرضِ فَيَنظُروا كَيفَ كانَ عاقِبَةُ الَّذينَ مِن قَبلِهِم ۚ كانوا أَكثَرَ مِنهُم وَأَشَدَّ قُوَّةً وَآثارًا فِي الأَرضِ فَما أَغنىٰ عَنهُم ما كانوا يَكسِبونَ

“Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, dengan itu tidakkah mereka memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka (yang telah dibinasakan dengan sebab dosa-dosanya)? Orang-orang itu lebih ramai dari mereka, dan lebih dari mereka dari segi kekuatan tenaga dan tentang kesan-kesan usaha pembangunan di muka bumi. Dalam pada itu, apa yang telah diusahakan oleh orang-orang itu, tidak dapat menolongnya sedikit pun.”

أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ

Apakah tidak mereka boleh berjalan di muka bumi

Allah SWT telah sebut tentang kenderaan yang digunakan dalam pengangkutan. Apa kah mereka tidak boleh gunakan cara pengangkutan yang berbagai itu untuk melihat dunia? Tentu boleh. Macam Musyrikin Mekah pun, mereka ada banyak mengembara dalam perjalanan perniagaan mereka ke Syam dan Yaman. Mereka tidak tengok kah kesan kaum-kaum yang sudah diazab?

Ayat ini bukan suruh kita pergi berjalan ke tempat-tempat itu. Ini adalah untuk mereka yang degil sahaja. Kalau degil juga, pergilah tengok kesan-kesan tempat yang telah diazab itu, supaya boleh berfikir kembali.

Namun, jika kita yang sudah terima hakikat ini, maka tidak perlulah pergi pula. Tidak sunnah untuk melawati tempat-tempat yang telah dikenakan azab. Nabi tidak benarkan dan kalau terpaksa lalu, kena lalu dengan cepat dan dengan rasa yang takut. Takut jika azab yang sama dikenakan kepada kita pula.

فَيَنْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ

dan memperhatikan bagaimanakah akibat kesudahan mereka yang derhaka dulu sebelum mereka

Tentu mereka dapat lalu di kawasan-kawasan yang Allah SWT telah binasakan. Seperti kaum Aad, Tsamud dan kaum Luth di Laut Mati. Dulu Allah SWT telah pernah beri azab kepada kaum yang sebelum mereka, sekarang pun Allah SWT boleh buat lagi. Jangan kita sangka Allah SWT tidak boleh buat. Akan berlaku bila dah sampai peringkatnya.

Azab yang dikenakan kepada mereka itu adalah kerana mereka telah derhaka kepada Allah SWT, kepada Rasul mereka. Jadi, kalau kamu pun derhaka juga, apa kamu rasa kamu akan selamat?

كَانُوا أَكْثَرَ مِنْهُمْ

Orang-orang itu lebih ramai dari mereka

Kamu ingat kamu hebat, kuat? Mereka yang kena azab itu lebih ramai dari kamu. Arab Mekah itu sikit sahaja, tubuh biasa sahaja. Musyrikin Mekah itu sebenarnya berlagak kuat. Itu sebab Allah SWT cakap macam ini.

وَأَشَدَّ قُوَّةً

Mereka dulu kebanyakannya lebih gagah

Kaum yang dulu itu lebih gagah dari Musyrikin Mekah. Kaum Aad itu boleh cabut pokok kurma dengan satu tangan sahaja. Maka janganlah hendak berlagak.

وَآثَارًا فِي الْأَرْضِ

dan banyak lagi kesan-kesan peninggalan sejarah atas muka bumi yang mereka tinggalkan

Tamadun mereka yang dibinasakan dulu lagi hebat dari kamu. Macam Pyramid di Mesir itu, sampai sekarang jika hendak buat balik pun kita tidak mampu. Arab Mekah ada apa? Kita ada apa?

فَمَا أَغْنَىٰ عَنْهُمْ

tidak ada lagi berguna yang boleh membantu mereka

Walaupun mereka ramai, kuat dan lebih bertamadun dari Musyrikin Mekah, mereka masih juga dikenakan azab oleh Allah SWT dan mereka tidak ada lagi atas muka bumi. Allah SWT hilang lenyapkan keturunan mereka.

مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

terhadap apa yang mereka dulu usahakan

Amalan-amalan syirik mereka tidak dapat membantu mereka. Tawassul mereka tidak dapat membantu. Pujaan mereka tidak dapat membantu. Yang mereka seru roh-roh Nabi, wali dan malaikat itu tidak ada pun yang dapat datang tolong. Sia-sia sahaja seru mereka siang dan malam.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan