Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah – Tafsir Ayat Ke-36 hingga Ke-39

Tafsir Surah Al-Baqarah – Tafsir Ayat Ke-36 hingga Ke-39

2275
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-36:

فَأَزَلَّهُمَا الشَّيطانُ عَنها فَأَخرَجَهُما مِمّا كانا فيهِ ۖ وَقُلنَا اهبِطوا بَعضُكُم لِبَعضٍ عَدُوٌّ ۖ وَلَكُم فِي الأَرضِ مُستَقَرٌّ وَمَتاعٌ إِلىٰ حينٍ

“Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)”.

فَأَزَلَّهُمَا الشَّيْطَانُ عَنْهَا

Telah menggelincirkan mereka berdua oleh syaitan darinya (syurga);

Oleh kerana iblis ingkar untuk taat sujud kepada Nabi Adam, maka Allah SWT halau Iblis dari syurga. Apabila dihalau, Iblis kata kerana dia dihalau, dia akan sesatkan seluruh anak cucu Adam (termasuk Nabi Adam sendiri). Supaya nanti akhirnya manusia akan masuk dalam neraka bersama dengannya. Allah SWT membenarkan Iblis untuk goda anak cucu Nabi Adam.

Allah SWT berikan alat perhubungan antara Nabi Adam dan Iblis. Tidak pasti bagaimana cara mereka berkomunikasi itu. Walaupun dia tidak berjumpa dengan Nabi Adam, kerana dia telah dikeluarkan dari syurga, tetapi Nabi Adam kenal Iblis. Kerana telah diberitahu kepada Nabi Adam bahawa Iblis adalah musuh mereka berdua. Telah diberitahu semasa mereka berdua ada dalam syurga lagi. Iblis minta supaya dia dibenarkan menggoda Nabi Adam dan anak cucunya sehingga hari dibangkitkan nanti. Allah SWT berikan tempoh kepadanya.

Syaitan telah hubungi Nabi Adam menceritakan bagaimana dia kena halau dari syurga. Ada banyak tafsir tentang perkara ini dan ulama tidak sepakat bagaimana cara Iblis dapat berhubung dengan Nabi Adam, jadi kita tidak mahu bincangkan di sini. Cukup kita tahu yang Iblis dapat berkomunikasi dengan Nabi Adam semasa Nabi Adam di dalam syurga.

Dia ‘nasihat’ kepada Nabi Adam kononnya supaya jangan jadi macam dia. Kononnya dia hendak nasihat kepada Nabi Adam cara untuk kekal dalam syurga. Maka, dia telah suruh Nabi Adam makan pokok yang terlarang itu. Tetapi Nabi Adam kata dia tidak boleh makan pokok itu. Sebab baginda ingat lagi bahawa Allah SWT telah melarangnya menghampiri pokok itu. Iblis kata, Allah SWT juga telah sekat dia dan kerana dia tidak makan pokok itulah yang menyebabkan dia kena halau dari Syurga. Lihatlah bagaimana liciknya tipuan dari Iblis.

Oleh kerana rayuan dan bisikan Iblis itu bertalu-talu, maka Nabi Adam akhirnya telah termakan pujukan Iblis. Iblis kata, kalau Nabi Adam makan pokok itu, dia akan jadi macam malaikat dan akan hidup kekal dalam syurga. Dan dia kata lagi, yang Tuhan kata, ‘jangan hampiri’, bukan Dia kata ‘jangan makan’. Maka, Nabi Adam akhirnya telah makan pokok larangan itu.

Bila dia makan, dia pun suruh Hawa makan juga. Takut nanti kalau Hawa tidak makan, mereka akan berpisah. Tetapi dalam tafsir lain, dikatakan bahawa Iblis goda Hawa dan Hawalah yang menyebabkan Nabi Adam makan. Itu adalah fitnah kepada kaum Hawa. Sampai memburukkan kaum wanita. Itu semua adalah karut sahaja. Padahal dalam Quran, dikatakan Nabi Adamlah yang makan dulu pokok itu. Orang Kristian sampai menamakan Hawa dengan nama ‘Eve’, dan mereka kata dari kata Eve itulah datangnya kata ‘evil’ – kejahatan kerana kepada mereka, Eve lah punca segala kejahatan.

Bila makan pokok itu, maka pakaian mereka tertanggal dengan sendiri. Telanjanglah mereka berdua. Maka, tahulah Nabi Adam bahawa mereka telah derhaka dengan Tuhan. Mereka telah mengambil daun dari pokok-pokok dalam Syurga untuk menutup tubuh mereka.

فَأَخْرَجَهُمَا مِمَّا كَانَا فِيهِ

Maka dikeluarkan mereka berdua daripada syurga, tempat yang pernah mereka tinggal padanya;

Allah SWT kata ‘jangan’, syaitan kata ‘boleh’. Maknanya dalam kehidupan seharian kita, syaitan akan pusing mana yang tidak boleh, dia akan suruh kita buat. Inilah caranya. Dia terbalikkan yang boleh dan tidak boleh. Panjang dan lama dia memujuk Nabi Adam sampai Nabi Adam termakan. Akhirnya syaitan berjaya menghalalkan yang haram.

Oleh itu, dari sebab asbab, syaitanlah penyebab turunnya Nabi Adam dari syurga. Dia bukannya suruh Nabi Adam buat salah tetapi dia pujuk. Maknanya, dia gunakan helah. Dan syaitan sampai namakan pokok itu Pokok Khuldi – Pokok Kekal. Jadi nama ‘khuldi’ ini adalah diberikan oleh syaitan, jadi pada saya, tidak sesuai kalau kita terus panggil pokok itu sebagai pokok Khuldi.

Syaitan akan sentiasa hendak gelongsor manusia dari ikut syariat. Lalu bagaimana kita hendak lawan dengan syaitan kerana kita tidak nampak mereka? Allah SWT ajar dalam ayat ini yang kalau ada keinginan untuk menolak syariat, itu adalah bisikan syaitan tersebut. Syaitan tidak suka wahyu ditegakkan. Allah SWT beri peringatan jangan kita terjadi macam tok nenek zaman dahulu.

Jika kita sendiri tidak belajar tafsir dan belajar agama dengan betul, bagaimana kita hendak tahu kita sedang ditipu oleh syaitan? Maka kenalah belajar supaya susah syaitan hendak tipu.

وَقُلْنَا اهْبِطُوا

Dan Kami (Allah SWT) berfirman: Keluarlah kamu dari syurga ini;

Dari bahasa yang digunakan, bukan bermaksud ‘kamu berdua’ tetapi dalam bentuk jamak (plural). Maka, ada mufassir yang kata, yang disuruh keluar dalam ayat ini termasuk sekali dengan Iblis.

بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ

Sebahagian dari kamu akan menjadi musuh kepada sebahagian yang lain;

Apabila mereka ada zuriat nanti, keturunan mereka akan jadi musuh sesama sendiri iaitu kita akan balik kepada kejadian asal manusia kerana setiap manusia ada nafsu yang berlainan. Keinginan pun berlainan. Ia membawa kepada perbezaan pendapat dan akan terjadilah permusuhan. Kadang-kadang sampai berperang.

Begitu juga, orang yang bawa ajaran yang hak juga akan dimusuhi oleh golongan yang batil. Dan berbagai-bagai lagi jenis permusuhan yang ada.

Termasuk juga dalam ayat ini, permusuhan antara syaitan dan manusia. Kerana Allah SWT telah beritahu kepada kita awal-awal lagi yang syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kita, bukan?

Allah SWT juga sebut dalam surah [ Isra: 53 ]:

إِنَّ الشَّيطانَ يَنزَغُ بَينَهُم ۚ إِنَّ الشَّيطانَ كانَ لِلإِنسانِ عَدُوًّا مُبينًا

Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.

وَلَكُمْ فِي الْأَرْضِ مُسْتَقَرٌّ

Bagi kamu di bumi itu tempat tinggal yang sementara;

مُسْتَقَرٌّ bermaksud tempat duduk sekejap sahaja. Akan tinggal sekejap di dunia ini dan kita akan tinggalkan ia setelah cukup masa itu ke dunia akhirat selama-lamanya.

وَمَتَاعٌ إِلَىٰ حِينٍ

dan suatu kesenangan sehingga tempoh kamu mati;

Perkataan مَتَاعٌ yang digunakan dalam ayat ini bermaksud ‘barang keperluan yang digunakan’. Tapi barang itu tidak penting. Macam kain buruk kita buat lap meja – ianya memang ada guna, tapi tidaklah ianya satu benda yang penting dan berharga sampai kita resah gelisah kalau kehilangannya, bukan?

Inilah hakikat dunia. Ia hanya untuk keperluan kita sahaja. Oleh itu, jangan kita jadi materialistik sampai dunia itu masuk ke dalam hati kita kerana dunia itu bersifat sementara sahaja.

Tafsir Ayat Ke-37

Allah SWT hendak ingatkan dalam ayat sebelum ini yang manusia akan ikut sifat tok nenek kita iaitu penyakit lupa dan kerana lupa itulah yang menyebabkan terkeluar dari syurga. Dan lupa itu pula disebabkan oleh syaitan.

Kalau bukan kerana syaitan, manusia tidak lupa. Lebih-lebih lagi lupa tentang syariat.

Kesilapan ‘lupa’ tidak sama dengan perbuatan yang sengaja. Lain hukuman kalau lupa dan sengaja.

Iblis tidak sujud bukan kerana lupa, tetapi sengaja tidak mahu sujud kerana degil. Tetapi Nabi Adam makan pokok itu kerana lupa. Maka, kerana silapnya adalah kerana lupa, harapan untuk kembali ke syurga masih ada lagi.

Memang Nabi Adam as sedar yang baginda telah melakukan kesilapan. Maka, apabila Nabi Adam sedar yang baginda telah melakukan kesilapan, maka baginda telah beristighfar memohon ampun kepada Allah SWT dengan harapan yang tinggi untuk merayu kepada Allah SWT supaya ampunkan segala dosanya. Namun, Allah SWT tidak pandang pun doa-doa dari Nabi Adam as itu. Maknanya, perkataan yang terbit dari akal manusia tidak diterima.

فَتَلَقّىٰ آدَمُ مِن رَبِّهِ كَلِماتٍ فَتابَ عَلَيهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ التَّوّابُ الرَّحيمُ

“Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah SWT menerima taubatnya; sesungguhnya Allah SWT, Dia lah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani”.

فَتَلَقَّىٰ آدَمُ مِنْ رَبِّهِ كَلِمَاتٍ

“Maka Nabi Adam telah menerima beberapa kalimah taubat daripada Tuhannya”

Akhir sekali, Allah SWT ajar sendiri cara untuk melafazkan doa keampunan kepada-Nya. Allah SWT hendak mengajar bahawa syariat tetap syariat iaitu amalan yang diterima adalah seperti yang diajar oleh-Nya.

Akal tidak boleh menandingi syariat. Sebab itu mereka yang belajar ilmu logik dan ilmu akal, ilmu kalam, jangan cuba melawan wahyu. Akal kena tunduk kepada wahyu.

Hanya apabila Adam belajar doa dari wahyu Ilahi, barulah Allah SWT menerima doa ampun Nabi Adam dan menerima taubatnya.

Sebab itulah dalam kita berdoa kepada Allah SWT dalam hal apa pun, adabnya adalah kita cari dulu doa yang ada dalam Al-Quran, kemudian cari doa yang Nabi ajar.

Carilah doa yang sesuai dengan keadaan kita. Kalau ada, maka gunalah doa itu. Insya Allah, ia lebih baik dari doa yang kita reka sendiri. Boleh doa yang kita reka, tetapi yang sebaik-baiknya, kita cari dulu doa yang ada dalam nas. Ada banyak doa yang sesuai yang Nabi telah ajar kepada umatnya terutama dalam Al-Quran.

Maka, apakah doa yang Allah SWT ajar kepada Nabi Adam itu? Doa itu ada disebut dalam [A’raf: 23]:

قالا رَبَّنا ظَلَمنا أَنفُسَنا وَإِن لَم تَغفِر لَنا وَتَرحَمنا لَنَكونَنَّ مِنَ الخاسِرينَ

Mereka berdua merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”.

Maka, sesiapa yang kena bala, maka ajarkanlah doa Nabi Adam ini kepada dia. Kerana selalunya mereka yang jatuh bala itu adalah kerana dia ada salah dengan Tuhan. Oleh itu, dia kena minta ampun kepada Allah SWT dan sebaik-baik doa taubat adalah seperti yang diajar oleh Allah SWT.

فَتَابَ عَلَيْهِ

“maka diterima taubat Nabi Adam”;

Maknanya, kalau kita berdoa, kena cari doa yang Tuhan ajar dahulu. Dan ikut cara doa yang Allah SWT ajar dan tinggalkan cara yang Allah SWT larang. Oleh itu jangan reka cara doa yang salah, seperti menggunakan wasilah dengan Nabi, wali atau malaikat.

Jadi, sebaik-baik doa adalah doa yang telah diajar oleh Allah SWT dan Nabi. Kalau kita tidak jumpa, bolehlah kita buat setakat lafaz kita yang kita biasa.

إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ

“Allah SWT taala itu sifat-Nya Maha Menerima taubat lagi Maha Belas Kasihan”

Ada dua sifat Allah SWT yang disebut dalam ayat ini: Menerima Taubat dan Maha Belas Kasihan.

Maksudnya, Allah SWT suka menerima taubat hamba-Nya. Apabila Allah SWT telah terima taubat hamba-Nya itu, Dia tidak akan menyusahkan hamba-Nya itu selama-lamanya di akhirat.

Dan sifat menerima taubat itu datang dari sifat Rahim Allah SWT.

Tafsir Al-Baqarah Ayat Ke-38:

‎قُلنَا اهبِطوا مِنها جَميعًا ۖ فَإِمّا يَأتِيَنَّكُم مِنّي هُدًى فَمَن تَبِعَ هُدايَ فَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

“Kami berfirman lagi: “Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dari-Ku (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjuk-Ku itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita”.

‎قُلْنَا اهْبِطُوا مِنْهَا

“Turunlah kamu semua dari syurga ini”;

Sebelum ini adalah titah secara ringkas. Ini adalah titah dengan lebih lengkap. Arahan turun kali kedua ini dalam bentuk yang lembut, supaya manusia dapat pengajaran.

جَمِيعًا

“semua sekali”;

Maknanya, kamu dan isteri kamu dan zuriat-zuriat kamu sekali.

Di sini Allah SWT hendak memberitahu kita apakah ilat (sebab) yang menyebabkan manusia kena duduk di dunia juga. Segala kejadian yang menyebabkan Nabi Adam dan Hawa dikeluarkan dari syurga itu adalah sebagai alasan sahaja. Memang Allah SWT hendak menetapkan manusia tinggal di dunia. Manusia memang kena duduk di dunia dahulu. Semua anak Nabi Adam kena duduk di dunia dulu kerana dunia adalah tempat ujian.

‎فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُمْ مِنِّي هُدًى

“Maka sekiranya datang kepada kamu dari Aku, petunjuk”;

Allah SWT kata dalam ayat ini bahawa petunjuk itu dari ‘Aku’. Maknanya, kena pastikan bahawa petunjuk itu dari Allah SWT – dari Al-Quran dan sunnah Nabi. Bukan dari yang lain. Ini menunjukkan bahawa akan ada petunjuk yang dari dua sumber itu kerana banyak orang Islam yang mengambil petunjuk dari sumber lain seperti tradisi turun temurun yang dibawa oleh tok nenek mereka. Itu bukan petunjuk dari Allah SWT. Maka kita kena biasakan diri kita dengan petunjuk yang sahih. Jangan pakai ambil sahaja.

Kita kena sentiasa peka dan bertanya dari manakah sesuatu amalan itu datang. Adakah dari Allah SWT atau dari sumber yang lain. Kita kena pastikan yang ianya sahih.

Maka, janganlah setakat jawab: “ini ustaz juga yang ajar…”. Kena pastikan ustaz itu ajar ambil dari ayat mana, hadis mana?

فَمَنْ تَبِعَ هُدَايَ

“Sesiapa yang mengikuti petunjuk itu”;

Perkataan yang digunakan adalah dalam bentuk ‘mufrad’ – seorang.

Kadang-kadang kita sahaja yang menerima hidayah dalam lingkungan keluarga kita, kita rasa kita keseorangan, kerana kita sahaja yang hendak amalkan sunnah.

Tetapi selepas itu dalam ayat ini juga, Allah SWT bertukar menggunakan perkataan ‘عَلَيْهِمْ’ – dalam bentuk jamak. Ini bermakna, walaupun kita mula keseorangan, kemudian Allah SWT akan beri kawan-kawan di dalam perjuangan menjalankan kehidupan yang berlandaskan iman yang benar.

Sekiranya kita tidak dapat juga kawan dalam dunia ini, Allah SWT akan beri kawan itu semasa di akhirat nanti.

Maka, janganlah takut kalau kita rasa macam kita seorang sahaja yang menerima jalan sunnah ini. Tidak ramai yang sanggup mengambil jalan yang sealiran dengan Al-Quran dan sunnah.

فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ

“maka tidak ada ketakutan atas mereka”;

Tidak ada ketakutan untuk mereka itu, sama ada di dunia atau di akhirat. Allah SWT sebut ‘takut’ dahulu, kerana itulah yang paling banyak bermain di fikiran manusia. Kalau nak dibandingkan dengan kesedihan. Takut adalah berkenaan perkara yang akan datang dan kesedihan adalah tentang perkara yang telah lalu. Kita selalunya takut tentang apakah yang akan terjadi di masa hadapan. Padahal, perkara itu belum terjadi lagi.

Tidak ada ketakutan itu adalah ketakutan untuk menghadapi akhirat.

Apabila dikatakan ‘la khaufun’, itu tidak bermakna semua ketakutan akan dihilangkan. Kalau semua perasaan takut dihilangkan, perkataan ‘la khaufa’ yang digunakan.

Ini adalah kerana, sebagai manusia, perasaan takut kadang kala berguna. Kerana takut sakitlah, kita makan ubat. Kerana takutlah, kita berhati-hati semasa kita memandu di jalan raya kerana kita takut berlaku kemalangan, serta berbagai lagi.

Di hari akhirat nanti, kita juga akan ada perasaan takut apabila berhadapan dengan Allah SWT nanti kerana kita tidak pasti apakah kita akan selamat atau tidak. Kita takut untuk masuk ke dalam neraka. Tetapi takut kita tidak sama dengan takut orang yang tidak beriman, kerana kita tahu bahawa Allah SWT akan melindungi kita.

وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

“dan mereka tidak berdukacita lagi”;

Ini bermaksud, seorang yang beriman tidak akan sedih. Ramai orang fikir bahawa kalau mengamalkan Islam dengan baik, mereka tidak akan dapat bergembira di dunia ini. Macam-macam mereka tidak boleh buat kerana Islam melarangnya.

Tetapi ayat ini hendak mengatakan bahawa orang-orang Islam yang beriman tidak akan bersedih. Mereka akan rasa tenang dan gembira sahaja dengan apa yang Allah SWT berikan kepada mereka dan mereka redha dengan apa yang Allah SWT suruh mereka lakukan.

Sebenarnya, mereka yang mencari kegembiraan kehidupan di dunia ini tidaklah gembira kerana mereka melawan kehendak naluri fitrah mereka yang mahukan kehidupan Islam. Dalam diri mereka, sebenarnya mereka hendakkan kebaikan yang ada dalam ajaran Islam, tetapi mereka telah mematikan perasaan fitrah itu. Contohnya, mereka yang berparti sampai tidak ingatkan diri itu, apabila mereka sedar dari mabuk itu, mereka akan rasa sedih. Mereka akan rasa bersalah dengan apa yang mereka lakukan cuma, mereka buat tidak tahu sahaja.

Tidak ada apa yang hendak disedihkan oleh orang beriman. Kalau kita diberikan ujian, kita tahu ujian itu adalah dari Allah SWT. Ia baik untuk kita kerana ianya akan menaikkan darjat untuk kita. Kalau kita sakit, itu sebenarnya akan menghapuskan dosa-dosa kita yang telah lalu. Kalau kita berperang dan kita kalah, atau kita mati, kita akan mati syahid. Dalam keadaan mana pun, kita akan mendapat kebaikan.

Ujian dunia ada dua jenis: ada yang jenis dugaan – kita ditimpa kemalangan, kemiskinan, kesakitan dan sebagainya. Satu lagi ujian yang mungkin lebih bahaya lagi adalah ujian ‘kesenangan hidup’. Apabila kita senang, kita lagi senang untuk lupa Allah SWT. Sebab kalau dalam keadaan susah, kita selalu ingat Allah SWT. Tetapi apabila senang, susah hendak ingat Allah SWT. Apabila senang, kadang-kadang susah hendak bersyukur kepada Allah SWT.

Apabila Allah SWT mengatakan bahawa orang-orang beriman ‘tidak akan sedih’, ianya juga hendak menyatakan bahawa akan ada orang lain yang akan bersedih. Mereka akan bersedih dan menyesal apabila hari kiamat kelak. Mereka akan sedih kerana mengenangkan kesilapan yang mereka telah lakukan semasa di dunia dulu. Mereka akan bersedih kerana mereka tidak menurut hidayah yang Allah SWT telah sampaikan.

Jika anak cucu Nabi Adam hendak balik ke syurga, kena ikut nasihat. Kalau datang wahyu hidayat, manusia akan jadi dua golongan. Sesiapa yang sanggup ikut nasihat, tidak akan berlaku ketakutan ke atas mereka tentang akhirat kerana mereka akan dimasukkan ke syurga. Dan tidak akan berdukacita lagi untuk tinggalkan dunia kerana dunia itu memang tempat sementara sahaja. خَوفٌ untuk benda yang akan berlaku di masa hadapan, manakala حزَن untuk perkara yang sudah lepas.

Orang-orang yang beriman kena ada sifat khauf (takut) di dunia iaitu merasa takut dengan perbuatan dosa mereka dan sebagai balasannya Allah SWT akan beri berita gembira di akhirat nanti.

Ayat ini adalah ayat pemberitahuan, iaitu Allah SWT beritahu bahawa mereka yang beriman tidak akan takut dan tidak akan bersedih di akhirat kelak.

Tafsir Al-Baqarah Ayat Ke-39

Ini pula kepada makhluk yang degil. Ingkar dengan hidayah. Benda yang benar, mereka kata ia adalah dusta. Mereka akan jadi pemegang geran neraka dan tidak akan masuk ke syurga. Bukan tinggal sekejap tetapi kekal di neraka buat selama-lamanya.

وَالَّذينَ كَفَروا وَكَذَّبوا بِآياتِنا أُولٰئِكَ أَصحابُ النّارِ ۖ هُم فيها خالِدونَ

“Dan orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka itu ialah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya”.

وَالَّذِينَ كَفَرُوا

“Dan orang-orang yang kafir”:

Iaitu mereka ingkar dengan Al-Quran, dengan ajaran Nabi dan buat syirik kepada Allah SWT.

وَكَذَّبُوا بِآيَاتِنَا

“dan mendustakan ayat-ayat Kami”

Apabila sampai wahyu Allah SWT kepada mereka, mereka kata itu adalah dusta, dan kerana itu mereka tidak mahu terima.

Maknanya, mereka tolak ayat-ayat Al-Quran dan hadis yang disampaikan oleh Rasulullah. Ini amat bahaya. Bukan sahaja tolak keseluruhan Al-Quran bahkan, tolak satu ayat sahaja sudah termasuk dalam ayat ini. (Itu sebab kena belajar tafsir, supaya faham Al-Quran. Bila telah faham, tidaklah sanggup hendak tolak mana-mana ayat-ayat Al-Quran).

أُولٰئِكَ أَصحابُ النّارِ

“mereka itu ialah ahli neraka”,

Mereka itu adalah ‘pemilik neraka’, ada ‘geran’ dalam neraka.

Pemilik sebenar tidak sama dengan orang mukmin yang masuk neraka. Ada orang mukmin yang akan masuk neraka untuk sementara kerana mereka telah melakukan dosa. Namun, mereka akhirnya akan keluar dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga. Mereka ini digelar ‘Jahannamiyyun’.

Orang mukmin itu adalah orang Islam yang tidak melakukan syirik kepada Allah SWT. Ada orang yang mengaku Muslim, tetapi dalam masa yang sama, dia juga melakukan syirik kepada Allah SWT dan dalam masa yang sama, ada ayat Al-Quran yang mereka tolak.

Mereka itu akan kekal dalam neraka walaupun semasa di dunia, mereka adalah orang Islam, mereka solat, puasa dan sebagainya.

هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

“mereka kekal di dalamnya”;

Allah SWT tekankan lagi yang mereka tidak akan dapat keluar dari neraka walaupun mereka dulu semasa di dunia mengaku seorang Muslim. Apatah lagi kalau orang itu adalah orang kafir, memang akan terus tinggal di neraka pun.

Maka kenalah kita berhati-hati dengan perkara akidah. Kena tahu mana tauhid dan mana syirik. Jangan sekali-kali tolak mana-mana ayat Al-Quran.

 

Allahu a’lam.

 

 

Komen dan Soalan