Tafsir Surah At-Takatsur
Asal usul Surah
Maksud: Bermegah-megah
Surah ke: 102 ( akan tetapi kronologi penurunan ialah ke – 16 )
Bilangan ayat: 8
Kategori: Makkiyyah
2 kalimat, 123 huruf.
Kaitan dengan surah sebelumnya :
1. Dalam surah Al-Qari’ah, Allah SWT menyebut segolongan manusia yang akan memasuki neraka. Lalu surah ini menyebutkan mengenai antara perihal yang menyebabkan mereka masuk ke dalam neraka tersebut.
2. Kita juga telah sebutkan bagaimana Surah At-Takathur ini adalah surah ke-4 dari kumpulan 4 surah yang berterusan: Zilzal, ‘Aadiyat (perangai mereka semasa di dunia sekarang), Al-Qari’ah, dan At-Takathur (perangai mereka di dunia sekarang).
Tafsir Ayat Pertama:
أَلهاكُمُ التَّكاثُرُ
“Kamu telah dilalaikan oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya”
Kalimah أَلْهَا dari kalimah ل ه و yang boleh membawa maksud percutian.
Iaitu sesuatu yang boleh menyebabkan kita leka dan terlupa kepada perkara yang lain. Dan benda itu adalah benda yang patut kita lakukan tetapi dilekakan dengan أَلْهَا, maka kita tinggalkan dari melakukannya.
Sama ada :
1. Perkara melekakan kita itu tidak penting, lebih kepada membuang masa sahaja dan tidak bermanfaat.
2. Ataupun kurang penting dari benda yang patut kita lakukan itu ( tidak tahu memberi keutamaan ).
Allah SWT sebut dalam ayat yang lain:
يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا لا تُلهِكُم أَموالُكُم وَلا أَولادُكُم عَن ذِكرِ اللَّهِ ۚ وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَأُولٰئِكَ هُمُ الخاسِرونَ
Hai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah SWT. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang merugi.
[al Munafiqun:9]
Kekayaan dan anak-anak kita tidak sepatutnya melupakan kita kepada Allah SWT, sebaliknya ia sepatutnya mengingatkan lagi kita kepada Allah SWT.
Nafsu sebagai alat untuk dimanipulasikan, syaitan pula menjalankan usaha agar rancangan syaitan itu berjaya.
إِنَّ عِبَادِي لَيْسَ لَكَ عَلَيْهِمْ سُلْطَانٌ إِلَّا مَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْغَاوِينَ
“Sesungguhnya hamba-hamba-Ku, tidaklah ada bagimu (syaitan) sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang-orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri). [ Al-Hijr: 42]
Kaitan keduanya antara syaitan dan nafsu, menjadikan manusia lalai akhirnya atas sebab kelemahan iman mereka sendiri.
Sikap manusia suka menyalahkan orang lain sedangkan mereka menzalimi diri mereka sendiri. Allah SWT beritahu perangai sebegini dalam surah [ Insyiqaq: 22 – 24 ]
Apakah yang melekakan kita?
التّكَاثُرُ
Yang bermaksud “memperbanyak”.
Ada beberapa pendapat dalam “memperbanyak” ini :
Pertama:
Keinginan untuk mendapat banyak harta benda.
Tidak salah untuk pergi ke pelbagai kursus, untuk menimba ilmu. Namun, perkara yang utama ialah, cari jalan bagaimana hendak menjadi orang bertaqwa, kerana Allah SWT sebut dalam surah [ At-Talaq:
وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.[ At-Talaq: 3]
Kedua:
Persaingan dengan orang lain untuk mendapatkan keduniaan.
Ketiga:
Bangga jika mereka memiliki lebih dari orang lain.
Lihatlah contoh yang Allah SWT berikan dalam surah [ Al-Kahfi (18): 34]
وَكانَ لَهُ ثَمَرٌ فَقالَ لِصاحِبِهِ وَهُوَ يُحاوِرُهُ أَنا أَكثَرُ مِنكَ مالًا وَأَعَزُّ نَفَرًا
Dan dia mempunyai kekayaan besar, maka ia berkata kepada kawannya (yang mukmin) ketika bercakap-cakap dengan dia: “Hartaku lebih banyak dari pada hartamu dan pengikut-pengikutku lebih kuat”
Keempat:
Sentiasa mahu lebih dan lebih lagi.
Dari Anas, bahawa Nabi SAW pernah bersabda:
Anak Adam akan menjadi tua, dan akan tetap menemaninya dua perkara, iaitu keinginan dan cita-cita. [ HR Imam Bukhari dan Imam Muslim ].
Orang yang suka berbangga ini, sebenarnya hidup dia ‘stress’ kerana baru dapat nikmat sedikit atas dunia, hati telah kelam kabut. Manusia yang sejenis dengan dia adalah Qarun dan Firaun. Manakan tidak ‘stress’ baru diseru untuk beriman, sudah melenting.
Sifat bangga memang susah untuk dikawal, kerana fitrah pasti akan timbul. Cuma tindakan kita selepas itu, rendahkan hati, dengan sujud kepada Allah SWT. Lagi banyak nikmat yang kita perolehi lagi banyak bersujud tanda rendah hati, bersikap ‘down to earth’.
Bersikap rendah hati itu benteng iman barulah ‘sempoi’ hidup, bebas dan merdeka yang sebenar kerana hanya menjadi hamba Allah SWT, akan hadir perasaan gembira dan tidak ‘stress’ dengan dunia.
Ibrah dan Kesimpulan:
Pertama:
Sememangnya modus operandi Iblis / Syaitan adalah dengan melalaikan manusia daripada fokus untuk menjadi hamba Allah SWT yang taat.
Dengan mencantikkan perhiasan dunia kepada pandangan manusia yang lalai, sehingga merasakan tidak cukup dan mengejar untuk menambah lagi nikmat dunia.
Kedua:
Dunia hanyalah sebahagian yang terlalu kecil untuk manusia kejar. Sedang syurga di akhirat nanti jauh lebih utama dan kekal abadi untuk kita cita-citakan.
Anggap lah dunia ini umpama secubit garam. Biarlah secukup rasa sahaja. Jika tiada, boleh jadi tawar. Jika terlebih, sakit pula jadinya. Apa yang penting adalah “hidangan besar” keseluruhan yang akan kita persembahkan kepada Allah SWT.
Ketiga:
Kita hendaklah berhati-hati dengan sentiasa menyedarkan diri tentang hakikat sebenar kehidupan. Jangan sampai saat di kubur, baru kita perasan terdapat “bekas bekalan” sebenar kosong kerana tidak disediakan.
Allahu a’lam.