Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Pertama hingga Ke-3

Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Pertama hingga Ke-3

503
0
Iklan

Tafsir Surah Fussilat

Tafsir Ayat Pertama

حم

Ha mim.

Ini adalah salah satu dari ayat-ayat Muqattaah. Kita tidak tahu maknanya. Kita mulakan belajar tafsir surah ini dengan tidak tahu apakah maksudnya.

Maknanya, kita tidak akan tahu selagi Tuhan tidak beritahu maksud ayat ini. Kalau Tuhan tidak ajar kepada kita, kita tidak akan tahu apa-apa pun. Kita telah sentuh tentang perkara ini dalam surah-surah lain yang ada juga huruf-huruf muqattaah ini. Boleh rujuk permulaan surah Baqarah dan surah Ghafir.

Tafsir Ayat Ke-2

Allah SWT hendak menceritakan kedudukan dan kelebihan Al-Quran. Apabila kita tahu nilai tinggi sesuatu perkara itu, barulah kita hendak cari. Kita sanggup bergadai untuk mendapatkan sesuatu kalau kita tahu sesuatu perkara itu tinggi nilainya. Oleh itu, Allah SWT hendak memberitahu bahawa Al-Quran itu bukan sembarangan.

تَنزيلٌ مِنَ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

“Turunnya Kitab ini dari Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani”.

تَنْزِيلٌ

Penurunan

Tidak disebut apa yang diturunkan, tetapi kita tahu bahawa ia adalah kitab Al-Quran yang kita sedang baca ini. Penurunan Al-Quran itu selama 23 tahun secara beransur-ansur. Penurunan Al-Quran itu diturunkan sedikit demi sedikit supaya umat yang menerimanya dapat memahaminya dengan jelas. Kalau turun terus banyak sekali gus, tentulah mereka akan rasa berat untuk memahaminya.

Begitu juga dengan kita. Walaupun pada kita telah ada Al-Quran yang lengkap, tetapi untuk kita memahaminya, kita belajar tafsir Al-Quran ini sedikit demi sedikit, ayat demi ayat. Bukan terus belajar dengan banyak, tetapi pemahaman kurang. Biarlah ayat yang kita belajar itu sedikit, tetapi pemahaman kita mendalam.

Kita belajar mana yang boleh dahulu, amalkan mana yang kita telah faham, kemudian tambah lagi ayat yang baru. Jangan kelam kabut hendak habiskan sebanyak mungkin ayat Al-Quran, tetapi pemahaman kita sedikit sahaja. Akhirnya, kita tidak mengamalkan mana yang kita sudah tahu, kerana kita sibuk hendak habiskan belajar.

Takut nanti kita belajar sebab kita hendak berbangga dengan orang: ‘Aku telah habis belajar tafsir 30 juzuk, telah habis satu Al-Quran aku belajar” – tetapi tidak faham makna yang hendak Allah SWT sampaikan.

مِنَ الرَّحْمَٰنِ

daripada Tuhan yang bersifat ar-Rahman.

Juga tidak disebut siapakah yang bersifat Rahman dalam ayat ini. Tetapi kita tahu dan Arab Mekah pun tahu bahawa yang dimaksudkan adalah Allah SWT.

Sifat Penyayang Ar-Rahman adalah seperti sifat penyayang seorang bapa. Seorang bapa sanggup melihat anaknya menderita agar anak itu belajar erti hidup. Begitulah Allah SWT sanggup melihat hamba-Nya terseksa di dunia dalam melakukan ibadat. Seperti seorang bapa yang sanggup tengok anak dia susah sebab mahu ajar dia sesuatu.

Dan memang dunia ini adalah tempat ujian pun. Oleh itu, Allah SWT sanggup lihat hamba-Nya yang beriman susah duduk dalam dunia kerana hendak tegakkan Al-Quran ini kerana bukan senang nak tegakkan semua yang tertulis dalam Al-Quran itu. Orang benci, orang lawan dan orang kata macam-macam.

Dan sifat Penyayang Allah SWT boleh memberi apa sahaja kepada hamba-Nya tidak kira sama ada mereka itu seorang Muslim atau kafir kerana sifat penyayang ini menyeluruh kepada semua makhluk. Kita sudah bincangkan perkara ini dengan lebih panjang dalam tafsir surah Al-Fatihah. Maka tidak perlu kita jelaskan lagi di sini.

الرَّحِيمِ

ar-Rahim

Ini adalah sifat Allah SWT yang amat sayang kepada makhluk-Nya. Lagi sayang dari seorang emak yang sayangkan anak dia. Seorang emak itu terlalu sayang kepada anaknya, sampai tidak sanggup melihat anaknya menderita.

Kita bandingkan dengan sifat Rahman yang kita sebut seperti sifat bapa tadi. Tidak sama sayang seorang emak dengan seorang bapa, bukan? Semua tahu emak lagi sayang dengan anaknya. Allah SWT pula berpuluh-puluh kali ganda lagi sayang-Nya dari sayang emak itu kepada anaknya.

Sifat Raheem ini pula sifat penyayang yang khusus kepada hamba-Nya yang mukmin. Mereka akan dimasukkan ke dalam syurga dan dosa mereka akan diampunkan. Apabila Allah SWT telah mengampunkan dosa seseorang makhluk, Dia tidak akan ungkit lagi. Dan Dia akan memberikan segala macam nikmat kepada hamba-Nya itu dengan nikmat yang tidak terkira.

Sifat raheem Allah SWT ini tidak sanggup lihat hamba-Nya menderita dalam neraka kalau semasa di dunia mereka telah menegakkan Al-Quran. Maka, Allah SWT akan masukkan orang itu ke dalam syurga.

Penerangan tentang ar-rahman dan ar-raheem ini telah pun dibincangkan dengan panjang lebar lagi dalam surah Al-Fatihah.

Allah SWT hendak beritahu kepada kita, bahawa Allah SWT turunkan Al-Quran ini kepada kita atas sifat penyayang-Nya itu. Disebabkan Allah SWT sayang kepada kitalah, Allah SWT berikan petunjuk berupa Al-Quran ini kepada kita. Supaya kita jadikan sebagai pedoman. Supaya kita tidak buat salah. Supaya kita hidup harmoni di dunia ini dengan panduan yang diberikan dalam Al-Quran dan supaya kita selamat di akhirat kelak.

Apabila kita faham begini, maka kita akan memandang Al-Quran ini sebagai satu pemberian yang tinggi dan hebat dari Allah SWT. Seperti kita terima hadiah dari ibu bapa kita, tentulah kita sayang pemberian itu kerana kita tahu mereka beri hadiah itu kerana mereka sayang kepada kita. Kalau pemberian hadiah yang tidak seberapa itu pun kita telah hargai, apatah lagi Al-Quran yang amat hebat ini?

Kalau kita dapat perasaan begini, maka tentulah kita hendak selalu tengok dan baca Al-Quran ini. Dan tentu kita hendak faham apakah yang hendak disampaikan.

Tafsir Ayat Ke-3

Ayat ini adalah targhib (ajakan/motivasi) kepada mempelajari makna-makna dalam Al-Quran. Kita juga akan belajar maksud ‘fussilat’.

كِتابٌ فُصِّلَت آياتُهُ قُرآنًا عَرَبِيًّا لِقَومٍ يَعلَمونَ

“Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu Al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya”.

كِتَابٌ فُصِّلَتْ آيَاتُهُ

Sebuah kitab yang dijelaskan ayatnya.

Kalimah فُصِّلَتْ bermaksud ayat-ayat Al-Quran itu dipecahkan dan diperjelaskan satu persatu. Supaya mudah difahami. Itulah cara Al-Quran. Seperti juga kalau sesuatu perkara itu besar, maka untuk memudahkannya, kita pecahkan perkara itu satu persatu supaya kita mudah faham.

Contohnya, untuk kita belajar biologi, kita akan pecahkan perbincangan tentang tubuh badan manusia itu ikut bahagian tubuh, kemudian kita akan belajar satu persatu bahagian tubuh itu. Mula belajar bab kepala, kemudian dada dan seterusnya. Dan kemudian kita kaitkan kepada keseluruhan badan. Sebab itu Al-Quran dibahagikan ikut surah-surah dan setiap surah ada perkara penting yang hendak disampaikan.

Al-Quran ini adalah kitab yang jelas. Terutama sekali bab akidah. Sampaikan tidak perlu lagi hendak rujuk kitab-kitab lain kerana Al-Quran telah menjelaskan tentang akidah dan tauhid dengan sejelas-jelasnya dan diulang berkali-kali. Mungkin pada peringkat awal ini, anda tidak nampak lagi.

Apa yang dalam hati manusia telah ada dalam Al-Quran ini. Yang dulu, sekarang dan akan datang. Maknanya, Allah SWT menceritakan tentang apa yang ada dalam dada kita semua.

Kalau tidak kena pada ayat ini, kena pada ayat lain. Kerana itu kadang-kadang, apabila kita baca sesuatu ayat itu, rasa macam ia memperkatakan tentang diri kita sahaja. Boleh menangis melengung memikirkan. Waktu itu anda akan sedar: “memang betullah Al-Quran ini dari Allah SWT!!!!!”

Begitulah ayat-ayat Al-Quran yang jelas nyata itu. Ia menyentuh hati kita. Yang tidak jelas adalah kerana tidak belajar sahaja. Bukan sebab ayat itu tidak jelas. Jadi, untuk tahu apa yang hendak disampaikan oleh Allah SWT dalam Al-Quran, kenalah belajar tafsir Al-Quran ini.

Malangnya, masyarakat kita, ramai yang tidak tahu pun tentang kepentingan belajar tafsir Al-Quran ini. Macam-macam ilmu mereka belajar, macam-macam kitab mereka baca, tetapi Al-Quran itu mereka tidak faham pun lagi.

قُرْآنًا عَرَبِيًّا

Al-Quran itu berbahasa Arab.

Bahasa Arab adalah satu bahasa yang amat mantap. Tepat bahasanya. Ia bahasa yang amat kaya kalau dibandingkan dengan bahasa-bahasa lain. Ia adalah bahasa Nabi kita. Cuma, kalau ada orang yang kata ianya bahasa Syurga, itu belum tentu lagi kerana tidak ada dalil yang sah mengatakan sedemikian.

Bahasa Arab juga adalah bahasa yang indah. Tambahan pula apabila digunakan dalam pembacaan Al-Quran. Telah sampai kepada kita, bukan sahaja matan Al-Quran, tetapi cara membacanya juga – tajwid. Untuk baca Al-Quran pun sudah diajar dengan cara yang indah, yang menyebabkan hati kita tersentuh apabila membacanya.

Allah SWT memberitahu kepada kita bahawa Al-Quran itu adalah satu ‘kitab’ dan ia adalah satu kitab yang jelas. Salah satu sebab ia jelas adalah kerana ia diturunkan dalam bahasa Arab. Kalau Al-Quran itu dalam bahasa Melayu, kena pakai satu treller lori baru boleh sampai maksud yang hendak disampaikan. Tetapi Al-Quran pakai 30 juzuk sahaja.

Oleh itu, ini memberi motivasi kepada kita untuk belajar bahasa Arab, terutama sekali bahasa Arab yang digunakan dalam Al-Quran.

Maksud perkataan ‘Al-Quran’ itu adalah ‘kitab yang sentiasa dibaca’. Tidak ada kitab lain melebihi Al-Quran dari segi bacaannya. Tidak ada kitab lain yang dibaca macam kitab Al-Quran. Tidak ada mana-mana kitab dalam dunia ini yang dihafal seperti Al-Quran. Kitab lain pun memang manusia ada baca juga, cuma sekali sekala sahaja, dan selepas baca simpan tidak tengok lagi selalunya.

Al-Quran itu untuk semua orang, tetapi yang terima adalah:

لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

bagi kaum yang mahu mengetahui.

Al-Quran ini ditujukan kepada semua manusia, tetapi yang menerimanya adalah mereka yang mahu mengetahui kebenaran. Mereka akan mengetahuinya setelah mereka belajar makna-makna ayat-ayat Al-Quran itu, iaitu setelah mereka belajar tafsir.

Tetapi mestilah dimulai dengan kehendak inginkan kepada kebenaran. Ingin tahu adalah sifat ‘inabah’ yang membawa kefahaman. Untuk faham pula, kena belajar tafsir. Bukan hanya membaca dan menghafal sahaja. Dan mereka belajar tafsir itu dengan guru-guru yang tahu iaitu guru yang sudah belajar tafsir.

Mereka yang hendak mengetahui itu adalah mereka yang hendak kenal Allah SWT dan hendak kembali kepada Allah SWT. Dalam hatinya ada perasaan: ihdinas siraatal mustaqim iaitu mereka berdoa kepada Allah SWT: “Pimpinlah aku ke jalan yang lurus”.

Tetapi malangnya, kebanyakan dalam masyarakat kita, sudah tidak mengetahui ayat-ayat Al-Quran itu, dan mereka pun tidak ingin hendak mengetahui. Sama ada mereka rasa mereka telah pandai sampai tidak payah belajar lagi, atau mereka rasa mereka tidak perlu tahu.

Mereka tidak kisah sama ada apa yang mereka buat itu benar atau tidak. Salah atau betul mereka tidak kisah. Seperti mana mereka tidak kisah pun sama ada mereka masuk syurga atau neraka. Adakah begitu?

Kita kata begini berdasarkan dari pengamatan kita yang mengajak ramai orang datang ikut belajar tafsir namun mereka tidak mahu datang. Mereka tidak nampak kepentingan belajar tafsir Al-Quran. Mereka lebih selesa belajar perkara-perkara lain. Sama ada perkara bukan agama ataupun tidak.

Ada yang memang mahu belajar agama, tetapi mereka lebih selesa belajar kitab-kitab karangan manusia. Bukan kita kata salah, tetapi kenapa mereka tidak belajar dahulu kitab yang paling agung, iaitu Kitab Al-Quran ini? Ia bukanlah karangan manusia tetapi ia adalah kalam Allah SWT yang Maha Mulia. Kenapakah manusia masih lagi tidak ambil endah tentang ayat-ayat Allah SWT ini?

Secara ringkasnya, keseluruhan ayat ini memberitahu kepada kita bahawa salah satu sifat Al-Quran itu adalah ia jelas. Dalam ayat seterusnya, akan disebutkan sifat-sifat lain Al-Quran itu.

Yang mengetahui kejelasan ayat Al-Quran itu adalah mereka yang belajar. Lalu bagaimana mereka yang tidak belajar? Mereka itulah yang tidak faham Al-Quran. Mereka rasa Al-Quran itu macam sesuatu yang amat asing bagi mereka. Sebelum mereka belajar lagi, mereka telah cakap yang Al-Quran itu susah untuk dipelajari.

Jadi, mereka akan belajar kitab-kitab karangan manusia, sedangkan kitab-kitab itu tidak terselamat dari kesilapan. Apabila ada dalam kitab itu kesilapan, maka mereka pun akan tersilap juga. Padahal, apa yang ada dalam Al-Quran adalah amat jelas sekali dan selamat dari kesilapan.

Mereka yang tidak mahu kebenaran, akan melarang dan menghalang manusia dari belajar Al-Quran. Mereka kata hendak belajar Al-Quran itu bukan senang – macam-macam kena belajar dulu. Kena belajar bahasa Arab, nahu dan sorof dan macam-macam lagi.

Akhirnya, manusia rasa susah hendak belajar tafsir Al-Quran. Mereka hanya suruh anak murid belajar baca sahaja Al-Quran, namun hendak faham Al-Quran itu tidak perlu. Mereka hanya belajar agama dengan guru-guru yang guru-guru itu sendiri pun tidak belajar tafsir Al-Quran. Jadi, dari dulu sampai sekarang, manusia duduk dalam kejahilan.

Hasilnya, mereka akan buat perkara-perkara yang dilarang dalam Al-Quran. Dan antara perkara yang dilarang dalam Al-Quran adalah syirik. Oleh itu, apabila manusia tidak belajar tafsir Al-Quran, mereka akan buat perkara syirik kerana mereka sendiri tidak faham apakah syirik itu sebenarnya.

Maka, hendaklah kita menjadi orang yang ‘tahu’. Belajarlah tafsir Al-Quran itu supaya kita tahu apakah agama ini sebenarnya. Tidaklah susah untuk belajar tafsir Al-Quran itu. Ia menggunakan bahasa yang mudah difahami. Tidak perlu belajar bahasa Arab sampai mahir pun, sudah boleh faham. Kalau tahu bahasa Arab, lagi bagus. Tetapi, jangan jadikan bahasa Arab sebagai halangan untuk belajar tafsir Al-Quran.

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan