Tafsir Surah Ghafir
Tafsir Ayat Ke-71
Bagaimanakah azab itu? Ini adalah azab badani – azab yang dikenakan kepada tubuh mereka. Jadi ini adalah jenis ayat Takhwif Ukhrawi.
إِذِ الأَغلالُ في أَعناقِهِم وَالسَّلاسِلُ يُسحَبونَ
“Ketika belenggu dan rantai dipasung di leher mereka, sambil mereka diseret”.
إِذِ الْأَغْلَالُ فِي أَعْنَاقِهِمْ
Ketika belenggu besi diikat pada leher-leher mereka
Tangan mereka akan disilang dan akan diikat ke leher mereka. Tidak boleh bergerak. Leher tidak boleh tengok ke bawah. Inilah cara tambat hamba abdi.
وَالسَّلَاسِلُ
dan besi-besi rantai.
Diikat dengan rantai besi. Dalam hadis dikatakan 40 hasta. Mereka akan diikat kaki dan tangan mereka. Jumlah muqaddar (penjelasan tambahan) – tidak disebut kaki dalam ayat ini, tetapi maksudnya adalah kaki mereka yang diikat.
يُسْحَبُونَ
diheret.
Setelah diikat, akan diseret macam binatang yang hina untuk dibawa ke neraka. Mereka tidak dijemput untuk masuk ke dalam neraka dengan mulia tetapi macam binatang!
Mereka kena heret kerana mereka tidak akan pergi sendiri. Mereka akan meronta untuk mengelak dari masuk, oleh itu malaikat akan mengheret mereka. Masya Allah!
Tafsir Ayat Ke-72
Allah teruskan lagi menceritakan keadaan di dalam neraka itu, supaya kita ada perasaan takut.
فِي الحَميمِ ثُمَّ فِي النّارِ يُسجَرونَ
“Ke dalam air panas yang menggelegak; kemudian mereka dibakar dalam api neraka”;
فِي الْحَمِيمِ
Dalam air panas
Mereka akan dicelur di dalam air yang amat-amat panas. Yang suhunya, ribu juta darjah. Ia lebih panas dari matahari, dicelur mereka di dalam air itu.
ثُمَّ فِي النَّارِ يُسْجَرُونَ
Kemudian dipanggang dalam api.
Lepas dihempuk dalam air panas, kena panggang dengan api pula. Macam sekarang, orang buat lemang, mereka akan rebus dulu kemudian baru bakar.
Tafsir Ayat Ke-73
Setelah disebut azab badani, sekarang disebut pula azab jiwa.
ثُمَّ قيلَ لَهُم أَينَ ما كُنتُم تُشرِكونَ
“Akhirnya dikatakan kepada mereka: “Mana dia berhala-berhala yang kamu dahulu sekutukan”
ثُمَّ قِيلَ لَهُمْ
Kemudian dikatakan kepada mereka
Semasa mereka yang guna perantaraan dalam berdoa itu disiksa, dikatakan kepada mereka soalan yang menyeksa jiwa. Badan mereka memang sedang diazab, Allah tambah lagi dengan siksaan jiwa. Ini dipanggil ‘takzib rohani’ (azab jiwa).
Ini kadangkala lebih memedihkan lagi, macam seorang pelajar dirotan oleh gurunya. Kalau hanya dirotan sahaja, sakit itu lama-lama akan hilang, tetapi jika guru itu sambil rotan pelajar itu, dia hina budak itu dengan panggilan ‘bodoh’, ‘celaka’ dan sebagainya, pelajar itu akan ingat sampai pencen kejadian itu.
Itulah sebabnya Islam mengajar pasangan suami isteri yang bercerai, janganlah mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati pasangan masing-masing. Perceraian itu sekejap sahaja, lama-lama hilanglah kesedihan, tetapi jika dikeluarkan kata-kata nista dan hina, boleh menyebabkan sakit hati dan menyebabkan perhubungan panas selepas itu. Sedangkan mereka mungkin akan berjumpa lagi selepas itu kerana berkongsi anak atau berkongsi harta dan sebagainya.
Maka, begitulah Allah SWT seksa jiwa mereka dengan soalan-soalan yang menyakitkan hati.
Jadi apakah soalan yang hendak menyakitkan hati mereka itu?:
أَيْنَ مَا كُنْتُمْ تُشْرِكُونَ
“Di mana dia makhluk-makhluk yang kamu syirikkan (Aku dengannya dahulu)”?
Apakah soalan kepada mereka? Mana dia pujaan-pujaan selain Aku dahulu yang kamu seru dahulu? Mereka ada di sini untuk tolong kamu kah?
Tafsir Ayat Ke-74
مِن دونِ اللهِ ۖ قالوا ضَلّوا عَنّا بَل لَم نَكُن نَدعو مِن قَبلُ شَيئًا ۚ كَذٰلِكَ يُضِلُّ اللهُ الكافِرينَ
“(Dengan menyembahnya atau memujanya) selain Allah?” Mereka menjawab: “Benda-benda itu telah hilang lenyap dari kami, bahkan yang sebenarnya kami dahulu tidak pernah sekutukan sesuatu pun (dengan Allah)”. (Sebagaimana Allah menjadikan mereka sesat), demikian pula Allah menyesatkan orang-orang yang kufur ingkar (menentang maksud ayat-ayat-Nya).
مِنْ دُونِ الله
Selain daripada Allah?
Makhluk yang selalu disembah dan diseru selain Allah adalah Nabi, wali, malaikat dan jin. Mana dia roh-roh yang kamu sembah semasa di dunia dahulu? Sepatutnya sembah hanya Allah sahaja, tetapi kamu ada juga sembah makhluk dan roh-roh yang lain. Di mana mereka sekarang?
قَالُوا ضَلُّوا عَنَّا
Mereka menjawab: Hilang lenyap daripada kami
Jumlah muqaddar – mereka hilang lenyap dari membantu kami. Mereka tidak ada dengan kami, maka tidak dapat membantu kami.
Memang tidak akan ada sembahan-sembahan selain Allah yang akan datang menolong. Waktu itu mereka akan sedar dengan sesedar-sedarnya.
بَلْ لَمْ نَكُنْ نَدْعُو مِنْ قَبْلُ شَيْئًا
Bahkan sebenarnya kami dulu tidak pernah berdoa begitu.
Apabila dikatakan mereka bodoh kerana menyeru kepada sembahan selain Allah itu, mereka ubah tukar cerita. Mereka cuba membohongi. Mereka kata mereka tidak seru pun kepada sembahan-sembahan mereka itu.
كَذَٰلِكَ يُضِلُّ اللهُ الْكَافِرِينَ
Kerana sifat demikianlah, disesatkan Allah orang-orang kafir itu.
Lafaz كَذَٰلِكَ dalam ayat ini membawa maksud ‘kerana’. Disebabkan sikap mereka yang suka berbohong dan tidak mengaku salahlah yang menyebabkan Allah menyesatkan mereka. Bila kita tegur amalan salah mereka, ada sahaja alasan mereka berikan. Sebagai contoh, kita kata jangan seru Nabi Muhammad SAW dalam doa, mereka kata takkan tidak boleh? Mereka hendak minta syafaat baginda sahaja, mereka hendak ambil berkat sahaja dan bermacam-macam alasan yang diberikan.
Tafsir Ayat Ke-75
ذٰلِكُم بِما كُنتُم تَفرَحونَ فِي الأَرضِ بِغَيرِ الحَقِّ وَبِما كُنتُم تَمرَحونَ
“(Lalu dikatakan kepada mereka setelah ditimpakan dengan azab seksa): “Balasan buruk yang demikian ini disebabkan kamu dahulu bersuka ria di muka bumi dengan cara yang salah (pada hukum Tuhan), dan disebabkan kamu bersenang lenang dan bermegah-megah dengan berleluasa (dalam maksiat)”.
ذَٰلِكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَفْرَحُونَ فِي الْأَرْضِ
Demikianlah, dengan sebab kamu dulu bersuka ria di dunia
Mereka bersuka ria dengan hidup dalam syirik. Kamu tidak belajar akidah tauhid kerana rasa senang hati dengan akidah syirik itu.
Atau ia bermaksud: Kamu hidup senang bergembira dengan kesenangan dunia sampai kamu lupa untuk beramal dan bersedia untuk akhirat.
Bukanlah hendak suruh kita bersedih sahaja, tetapi kalimah tafrahu itu bermaksud bergembira berlebihan yang tidak patut.
بِغَيْرِ الْحَقِّ
tanpa alasan yang benar.
Kamu buat amalan syirik itu bukannya ada dalil yang sah.
وَبِمَا كُنْتُمْ تَمْرَحُونَ
dan dengan apa yang kamunya sombong.
Maknanya sombong juga, tetapi kali ini sombong yang tunjuk dengan perbuatan. Tidak mahu belajar agama dan dia nampakkan perasaan dia yang tidak mahu belajar tu. Seolah-olah berbangga jadi orang yang tidak berilmu.
Kamu tunjuk sombong dengan orang yang beriman. Amalan yang dilakukan salah dan tiada dalil asas, tetapi mereka masih juga hendak beramal.
Allahu a’lam.