Infaq
Sesi 1
Ustaz Rosman@Ayahaji:
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Derma atau infaq kepada orang Islam tidak serupa infaq kepada agama Islam. Ramai orang Islam menderma kepada orang-orang Islam tetapi sedikit sahaja yang menderma kepada ‘agama’ Islam.
Allah SWT sentiasa memberi rezeki kepada semua makhluk-Nya tidak kira yang Islam atau kafir. Infaq atau derma adalah perbuatan yang sangat Allah SWT sukai. Duit atau harta benda yang diinfaqkan adalah harta sebenar seseorang itu setelah dia meninggal dunia. Baki harta kita adalah untuk pewaris dan kita tidak tahu sesiapa di antara pewaris kita yang akan membantu kita iaitu menginfaqkan harta kita untuk kita apabila kita telah mati nanti.
Persoalannya, apakah bezanya infaq kepada orang Islam dengan infaq kepada agama Islam?
Jawapan Pelajar:
Infaq kepada orang Islam adalah hanya untuk individu orang Islam sahaja seperti sedekah kepada orang-orang miskin manakala infaq kepada agama Islam adalah untuk perkembangan dan meninggikan syiar Islam seperti berinfaq kepada madrasah-madrasah yang menyampaikan aliran al-quran dan sunnah bahkan kepada organisasi seperti UITO.
Ustaz Rosman@Ayahaji:
Benar. Sebagai contoh ialah kita payah hendak memberi infaq:
-Apabila datang tabung masjid di depan mata kita,
-Atau apabila ada orang meminta derma untuk membina masjid atau madrasah,
-Atau memberi makanan dan keperluan kepada pelajar-pelajar madrasah,
-Atau kepada guru-guru yang menyebarkan dan mengajar agama menurut cara sunnah.
-Begitu juga bila diminta berkorban pada hari Raya Haji atau Raya Korban. Bila ditanya kenapa? Mereka akan beri jawapan di antaranya:
-“Siapa hendak makan? Anak-anak tak balik”
-Atau “Orang rumah sudah buat korban”
-Atau “Sudah buat korban tahun lepas”
-Atau “Anak-anak sudah buat korban”
Sedangkan berkorban sepatutnya dibuat setiap tahun. Kerana Allah SWT telah memberi hidayah kepada kita hingga kita jadi beriman.
Sesi 2
Ustaz Rosman@Ayahaji:
Sambungan tentang infaq.
Sesiapa yang melakukan infaq dia akan peroleh pahala itu. Infaq yang paling besar ialah infaq kepada agama Islam.
Infaq kepada agama Islam ialah:
1. Bab menyebarkan agama.
2. Bab ustaz yang mengajar agama dan tidak mengambil upah.
3. Bab pelajar-pelajar yang belajar agama.
4. Bab pembinaan masjid.
5. Bab pembinaan madrasah.
6. Bab pembelian kitab-kitab.
7. Bab pemakanan dan keperluan para pelajar yang belajar agama.
Cuma, untuk membina masjid atau madrasah tidak boleh daripada hasil wang zakat.
Jadi, pembelian tanah masjid atau madrasah adalah daripada wang sedekah bukan wang zakat.
Orang yang hendak infaqkan tanah juga termasuk orang yang tolong agamanya.
Sesiapa yang tolong agama Allah SWT pasti Allah SWT akan tolong orang itu.
Oleh itu, kalau kita tolong orang yang tolong agamanya termasuklah juga dalam golongan orang yang tolong agamanya.
Di akhirat kelak iaitu daripada hadis. Allah SWT akan tanya kepada kita;
1. Rezeki yang Aku beri kepada kamu, apa yang kamu buat untuk agama Ku? Iaitu agama Allah SWT
2. Ilmu yang Aku beri kepada kamu, apa kamu buat untuk Ku? Iaitu agama Allah SWT.
3. Nyawa yang Aku beri kepada kamu, apa yang kamu buat untuk Ku? Iaitu agama Allah SWT.
لاَ تَزُولُ قَدَمَا ابْنِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عِنْدِ رَبِّهِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ خَمْسٍ عَنْ عُمْرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ شَبَابِهِ فِيمَا أَبْلاَهُ وَمَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ وَمَاذَا عَمِلَ فِيمَا عَلِمَ
“Tidak akan bergeser kedua kaki anak Adam di hari kiamat dari sisi RabbNya, hingga dia ditanya tentang lima perkara (yaitu): tentang umurnya untuk apa ia habiskan, tentang masa mudanya untuk apa ia gunakan, tentang hartanya dari mana ia dapatkan, dan dalam hal apa (hartanya tersebut) ia belanjakan serta apa saja yang telah ia amalkan dari ilmu yang dimilikinya.” (HR. at-Tirmidzi no. 2416, ath-Thabrani dalam al-Mu’jam al-Kabir jilid 10 hal 8 Hadits no. 9772 dan Hadits ini telah dihasankan oleh Syaikh Albani dalam Silsilah al-AHadits ash-Ashahihah no. 946)
Soalan-soalan ini akan ditanya oleh Allah SWT selepas perbicaraan di mahsyar kepada kita. Apakah kita boleh jawab nanti?
Soalan:
Ayah Aji, ‘bakpo’(sebab apa) ‘takleh’(tidak boleh) gunakan duit zakat untuk bina masjid? ‘Kan ke’(bukankah) buat masjid itu fisabilillah?
Ustaz Rosman@Ayahaji:
Duit zakat adalah duit untuk membersihkan harta. Maknanya duit zakat adalah duit syubhah atau duit dari sumber yang tidak jelas.
Contoh:
Seorang penjual buah tembikai membeli buah tembikai daripada tuan kebun dengan harga katakan RM 1/kg. Dia menjual pula buah tembikai tersebut dengan harga RM 2/kg.
-Semasa proses jualan, pekerjanya tersilap timbang. Timbangan menjadi lebih berat daripada yang sebenar. Duit itulah yang syubhah.
-Pekerjanya pula tersilap memulangkan duit baki. Duit itu menjadi duit yang syubhah.
-Tembikai itu pula didapati kurang manis atau kurang mekar atau rosak ketika pembeli hendak memakannya. Duit itu menjadi duit yang syubhah.
Duit syubhah itu perlu diperbaiki dengan mengeluarkan zakat. Penerima zakat pula terdiri dari 8 golongan asnaf.
Pembinaan masjid tidak termasuk di dalam golongan asnaf sebab masjid hanya memerlukan duit sah sahaja iaitu duit sedekah. Oleh itu duit zakat tidak boleh digunakan untuk membina masjid atau madrasah atau beli apa-apa barang keperluan untuk kegunaan masjid atau madrasah. Hanya duit sedekah atau hadiah sahaja.
Allahu a’lam.