Utama UiTO: Soal-Jawab agama bersama ustaz Abu Basyer Amalan membina Ukhwah Islamiah dan Kasih Sayang

Amalan membina Ukhwah Islamiah dan Kasih Sayang

292
0
Iklan

Amalan Untuk Membina Ukhwah Islamiah Dan Kasih Sayang.

Dari Anas bin Malik ra. katanya, Rasulullah SAW. bersabda, “Janganlah kamu saling benci membenci, dengki mendengki dan sindir menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Haram seseorang Muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga hari lamanya“. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari Abu Ayub al-Ansari ra. katanya, Rasulullah SAW. bersabda,”Haram bagi seseorang Muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga malam, apabila keduanya bertemu saling memalingkan mukanya”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari Hurairah ra. katanya, Rasulullah SAW. bersabda, “Janganlah kamu berbicara dengan ucapan yang buruk, janganlah kamu sindir menyindir, janganlah kamu memperdengarkan khabar orang lain dan janganlah sebahagian kamu menjual atas jualan sebahagian yang lain. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara“.(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dari Abu Darda ra. katanya, Rasulullah SAW. bersabda, “Tidak seorang Muslim mendoakan kebaikan bagi saudaranya sesama muslim yang berjauhan melainkan malaikat mendoakannya, mudah-mudahan engkau beroleh kebaikan pula.” (Hadis Riwayat Muslim).

Rasulullah SAW. bersabda, “Tiada sempurna iman seorang kamu hingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Rasulullah SAW. bersabda, “Tolonglah saudaramu, baik dia orang yang menganiaya ataupun yang dianiaya. Bertanya seorang sahabat: “Ya Rasulullah, kami mengerti tentang menolong orang yang teraniaya tetapi bagaimana kami menolong orang yang menganiaya ?”. Nabi SAW. menjawab: “Cegahlah dia“. (Hadis Riwayat Bukhari).

Allah SWT berfirman maksudnya : “Damaikanlah antara saudara-saudara kamu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu diberi perasaan kasih sayang”.
[Al-Hujuraat: 10].

Berdasarkan hadis-hadis di atas terdapat beberapa larangan daripada Nabi SAW mengenai sikap dan perbuatan kita kepada saudara muslim yang lain.

Larangan tersebut adalah seperti berikut :

1. Jangan saling benci membenci.

2. Jangan saling dengki mendengki.

3. Jangan saling sindir menyindir.

4. Jangan kamu berkelahi lebih daripada 3 hari (tidak bertegur sapa).

5. Jangan memalingkan muka kamu jika bertemu sesama saudara Muslim.

6. Jangan kamu berbicara dengan perkataan yang buruk.

7. Jangan kamu mendengarkan khabar orang lain (mengumpat keburukan orang lain).

8. Janganlah sebahagian kamu menjual atas jualan sebahagian yang lain.

Suruhan Nabi SAW pula adalah :

1. Mendoakan saudara yang berjauhan akan mendapat doa para malaikat.

2. Cintailah saudaramu sebagaimana kamu mencintai dirinya sendiri.

3. Tolonglah saudaramu, baik dia orang yang menganiaya ataupun yang dianiaya.

Allah SWT menyuruh mendamaikan dua orang saudara muslim yang bermusuhan dan Dia menyuruh bertakwa supaya mendapat kasih sayang.

Nabi SAW melarang apa sahaja amalan dan perbuatan yang boleh mendatangkan permusuhan dan perselisihan sesama saudara muslim. Buangkan segala sifat-sifat mazmumah seperti benci membenci, hasad dengki, sindiran, tidak bertegur sapa, bercakap lucah atau maki hamun , mengumpat dan suka menjual atau membeli hak orang lain (melanggar perjanjian).

Jika amalan buruk ini diteruskan maka pasti akan berlaku permusuhan, pergaduhan, pertengkaran akan membawa kepada perpecahan akan terurailah ukhwah Islamiah dan hubungan silaturahim. Sedangkan Nabi SAW bersabda yang bermaksud tidak akan masuk syurga sesiapa yang memutuskan silaturahim.

Oleh itu marilah sama-sama kita berkasih sayang dan tolong menolong umpama satu bangunan yang kukuh semata-mata kerana Allah SWT dan saling doa mendoakan di antara satu sama lain demi kebaikan dan kesejahteraan nescaya kita akan dikasihi oleh Allah SWT.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan