Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-63 hingga Ke-65

Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-63 hingga Ke-65

1394
0
Iklan

Tafsir Surah Ghafir

Tafsir Ayat Ke-63

Ini adalah ayat Zajrun – ayat ancaman dari Allah SWT:

كَذٰلِكَ يُؤفَكُ الَّذينَ كانوا بِآياتِ اللهِ يَجحَدونَ

“Sebagaimana terpalingnya mereka itu (daripada menyembah Allah SWT), terpaling juga orang-orang yang mengingkari keterangan-keterangan Allah SWT”.

كَذَٰلِكَ

Begitulah.

Ini memasukkan orang dulu dan orang sekarang yang ada sifat yang serupa. Inilah yang dimaksudkan dengan huruf ‘kaf’ itu. Maknanya, orang dulu terpesong, orang sekarang pun ada yang terpesong juga.

يُؤْفَكُ الَّذِينَ كَانُوا

dipesongkan orang-orang yang mereka dulunya,

Bukan Allah SWT sengaja hendak pesongkan mereka, tetapi mereka terpesong itu kerana ada kesalahan mereka. Kenapa mereka dipesongkan?

بِآيَاتِ اللهِ يَجْحَدُونَ

dengan ayat-ayat Allah SWT mereka ingkar.

Ini adalah kerana mereka sendiri yang ingkar dengan ayat-ayat Allah SWT. Apabila diajar belajar tafsir Al-Quran, mereka tidak mahu belajar, ‘buat endah tak endah sahaja’. Apabila diberitahu maksud tafsir sesuatu ayat itu, mereka tidak mahu terima, kata kita tafsir salah pula serta bermacam-macam cara lagi mereka ingkar.

Apakah punca kedegilan ni? Angkuh? Terlalu bergelumang dalam dosa sehingga sukar untuk melihat kebenaran yang jelas?

Selalunya terikat dengan dunia. Terpesona dengan dunia. Dan kerana itu ada yang buat tidak kisah terhadap agama dan ada yang sampai angkuh melawan kebenaran. Asalnya adalah dari tertipu dengan dunia.

ٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُوا۟ دِينَهُمْ لَهْوًا وَلَعِبًا وَغَرَّتْهُمُ ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا ۚ فَٱلْيَوْمَ نَنسَىٰهُمْ كَمَا نَسُوا۟ لِقَآءَ يَوْمِهِمْ هَٰذَا وَمَا كَانُوا۟ بِـَٔايَٰتِنَا يَجْحَدُونَ

(yaitu) orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai main-main dan senda gurau, dan kehidupan dunia telah menipu mereka”. Maka pada hari (kiamat) ini, Kami melupakan mereka sebagaimana mereka melupakan pertemuan mereka dengan hari ini, dan (sebagaimana) mereka selalu mengingkari ayat-ayat Kami. [ Al-A’raf: 51 ].

Jika hati keras boleh jadi kafir, tetapi mengapa ada orang kafir yang berhati lembut dan beradab baik?

Ini adalah kerana hati mereka memang baik, roh mereka baik, ada potensi tetapi tidak menerima wahyu Allah SWT, maka potensi tidak sempurna.

Jika tidak serius dengan hal ehwal agama juga boleh dipesongkan. Ini adalah kerana jika buat tidak kisah maka syaitan akan ambil peluang untuk menipu dan syaitan akan cuba tipu sehingga orang yang buat syirik itu kekal dalam neraka.

 

Tafsir Ayat Ke-64

Ini adalah Dalil Aqli Afaqi. Allah SWT suruh kita lihat alam ini.

اللهُ الَّذي جَعَلَ لَكُمُ الأَرضَ قَرارًا وَالسَّماءَ بِناءً وَصَوَّرَكُم فَأَحسَنَ صُوَرَكُم وَرَزَقَكُم مِنَ الطَّيِّباتِ ۚ ذٰلِكُمُ اللهُ رَبُّكُم ۖ فَتَبارَكَ اللهُ رَبُّ العالَمينَ

“Allah SWT yang menjadikan bumi sebagai tempat penetapan untuk kamu, dan langit sebagai bumbung yang kukuh binaannya; dan Dia membentuk kamu lalu memperelokkan rupa kamu, serta dikurniakan kepada kamu dari benda-benda yang baik lagi halal. Yang demikian (kekuasaan-Nya dan kemurahan-Nya) ialah Allah SWT Tuhan kamu; maka Maha Berkat Allah SWT, Tuhan sekalian alam”.

اللهُ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ قَرَارًا

Allah SWTlah yang menjadikan untuk kamu bumi itu tempat yang tetap

Apabila Allah SWT jadikan bumi ini duduk dengan tetap, mudahlah kita hendak guna bumi ini dan duduk di atasnya. Kalaulah bumi ini bergerak-gerak, kita hendak buat rumah pun tidak boleh. Bukit itu pun akan runtuh semua sekali, jadi rata. Lama-lama semua masuk dalam laut jika bumi tidak berhenti bergegar.

Memang ada tempat yang sekali sekala ada gegaran. Tetapi itu sekejap sahaja. Allah SWT hendak tunjukkan, kalaulah bumi ini sentiasa bergegar macam itu sahaja sepanjang masa, tentu kita tidak dapat hidup. Jadi, bila kita dengar berita ada tempat dapat gegaran, maka bersyukurlah kepada Allah SWT kerana Dia tidak jadikan tempat kita tinggal bergegar macam itu dan Allah SWT tidak jadikan seluruh dunia ini bergegar macam itu.

وَالسَّمَاءَ بِنَاءً

Dan langit itu sebagai bumbung

Allah SWT jadikan langit sebagai bumbung kita. Dan hebatnya penciptaan Allah SWT, langit yang begitu hebat pun, Allah SWT bina tanpa tiang. Tidak ada kerosakan apa-apa pun yang kita boleh lihat pada langit itu.

وَصَوَّرَكُمْ فَأَحْسَنَ صُوَرَكُمْ

Dialah yang membuat rupa kamu dalam sebaik-baik rupa paras.

Ini adalah Dalil Aqli Anfusi (lihat kepada diri sendiri). Allah SWT sudah jadikan rupa kita amat indah. Kalau bandingkan rupa kita dengan beruk, jauh sangat rupa kita. Kita ini Allah SWT telah jadikan sebagai sebaik-baik makhluk.

Dan Allah SWT telah berikan kelebihan kepada kita manusia, ada perasaan dan ada otak, jika dibandingkan dengan haiwan.

وَرَزَقَكُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ

Dan Dialah yang memberikan kamu rezeki dari yang baik-baik.

Kita dapat yang baik-baik sahaja. Macam lembu, makan rumput sahaja hari-hari. Tidak sama makanan kita dengan haiwan. Begitu elok dan disediakan dengan baik sekali segala makanan kita.

ذَٰلِكُمُ اللهُ رَبُّكُم

yang mempunyai sifat sedemikian itu adalah Allah SWT, Tuhan yang mencipta, memelihara kamu

Oleh kerana Dia sudah beri segala kelebihan kepada kita, kenapa tidak berdoa hanya kepada Dia sahaja? Kenapa hendak gunakan tawassul dalam berdoa? Kenapa tidak sembah Dia sahaja?

فَتَبَارَكَ اللهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ

Maha berkat Allah SWT milik Allah SWT yang mencipta dan memelihara bumi.

Maha Berkat’ itu adalah hak Allah SWT. Hanya Allah SWT yang ada berkat, dan yang selain Allah SWT adalah ‘penerima berkat’.

Maka kalau ada sesiapa yang boleh beri berkat, dia kena boleh cipta bumi ini juga. Tetapi banyak kekeliruan dalam hal ‘berkat’ ini kerana kebanyakan masyarakat kita tidak belajar tafsir Al-Quran dan senang ditipu oleh guru yang sesat. Sampai sekarang, ada yang hendak ambil berkat dari ustaz, dari guru, dari barang dan sebagainya. Dengan replika capal Nabi pun ada yang hendak ambil berkat! Sampai letak di kopiah, di baju dan sebagainya. Memang mereka tidak faham tentang tabaruk.

Disebabkan tidak faham tentang tabaruk, maka ramai yang ambil berkat dari Nabi. Memang Nabi itu berkat, namun Nabi tidak boleh beri berkat kepada manusia. Batang tubuh Nabi memang berkat, tetapi baginda sudah wafat.

Kita tidak boleh beri berkat kepada manusia lain. Perumpamaan: Berkat ini katakanlah macam pangkat Dato’. Ia dianugerahkan oleh Sultan selalunya. Seseorang itu tidak boleh hendak beri pangkat Dato’ itu kepada anak dia walau dia ada sepuluh pangkat Dato’ yang diterimanya dari berlainan negeri. Maka, yang hanya boleh beri berkat adalah Allah SWT sahaja.

Jika ada alasan-alasan daripada manusia adakah itu tandanya manusia itu degil?

Sebenarnya memang tidak ada alasan. Allah SWT telah beri akal, pancaindera telah ada, rasul pun tersedia, wahyu telah ada, tanda pada alam pun sudah ada, fitrah kenal Allah SWT pun telah ada.

Tafsir Ayat Ke-65

Ulangan Dakwa sekali lagi. Kerana pentingnya perkara ini.

هُوَ الحَيُّ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ فَادعوهُ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ ۗ الحَمدُ للهِ رَبِّ العالَمينَ

“Dia lah Yang Tetap Hidup; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; maka sembahlah kamu akan Dia dengan mengikhlaskan amal ugama kamu kepada-Nya semata-mata. Segala puji tertentu bagi Allah SWT Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”.

هُوَ الْحَيُّ

Dialah yang Maha Hidup.

Allah SWT lah sahaja yang tidak pernah mati-mati, dulu atau akan datang. Selain dari Allah SWT, akan mati belaka.

Jadi macam mana hendak bergantung harap kepada mereka yang mati, telah mati atau akan mati? Kalau mereka mati, bagaimana hendak tolong kita? Bagaimana hendak dengar permintaan doa dari kita?

Maka, bergantung kepada Allah SWT lah sahaja; seru dan doa kepada Allah SWT sahaja, kerana Dia sahaja yang Maha Hidup. Jadi kita dapat pasti bahawa ada yang dapat mendengar doa kita kerana Dia tidak mati-mati.

لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ

Tidak ada ilah melainkan Dia sahaja.

Tidak ada ilah sebagai sandaran hati kita melainkan Allah SWT sahaja. Tidak ada tempat pengharapan kita dalam segala permintaan dan doa kita melainkan kepada Allah SWT sahaja.

Ini barulah pemahaman yang jelas tentang syahadah itu kerana jika kita hanya kata: “Tiada tuhan melainkan Allah SWT”, tidak cukup lagi pemahaman tu. Memang tiada tuhan selain Allah SWT. Tetapi ramai manusia yang menjadi seperti Allah SWT sebagai ‘tempat pengharapan’. Itu yang salah kerana kita kena jadikan Allah SWT sahaja tempat pengharapan kita.

فَادْعُوهُ

Hendaklah kamu doa kepada Dia sahaja.

Diulangi lagi Dakwa Surah kerana kepentingan perkara ini. Hendaklah mengesakan Allah SWT dalam doa. Doa hanya kepada Allah SWT sahaja, jangan minta kepada yang selain Allah SWT. Dan terus doa kepada Allah SWT, tanpa melalui perantaraan (tawassul).

مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ

Tulus ikhlas kepada Dia sahaja dalam berdoa.

Perkataan ‘deen’ di sini bermaksud ‘doa’. Dalam berdoa, jangan campur doa kepada selain Allah SWT. ‘Ikhlas’ itu bermaksud tidak bercampur dengan apa-apa. Dalam bahasa kita, dipanggil ‘tulen’. Kalau kita berdoa kepada Allah SWT, tetapi dalam masa yang sama, kita seru kepada selain Allah SWT, itu adalah syirik. Oleh itu, jangan seru kepada Nabi, wali, malaikat dan jin. Terus sahaja seru kepada Allah SWT sahaja.

Apa sahaja ibadat yang dibuat, bagaimana ikhlas pun, tetapi kalau bukan dari yang Nabi suruh, tidak akan diterima. Selain amalan yang diajar Nabi, dinamakan ‘bidaah’. Siapa yang kata bidaah boleh buat, dia telah dusta kepada Allah SWT. Sebab Tuhan atau Nabi tidak pernah beritahu pun boleh buat amalan-amalan bidaah yang mereka buat itu.

Mereka akan dihadapkan ke hadapan Allah SWT di akhirat nanti dan akan ditanya kenapa mereka buat amalan bidaah itu. Kalau berdusta sesama kita pun, kita sudah marah. Tetapi ini dusta kepada Allah SWT, lagi zalim. Ingatlah, bahawa kalau kita kata Allah SWT akan beri pahala kepada ibadah yang Allah SWT tidak pernah beritahu, maka dia dusta kepada Allah SWT.

الْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam.

Janganlah kita memuji Allah SWT dengan lafaz pujian di mulut sahaja, tetapi ikutilah dengan amalan dan cara yang telah diajar-Nya dan disampaikan melalui Nabi-Nya. Maksud kalimat ini telah ditafsirkan pada Surah Al-Fatihah dahulu, jadi tidak perlu diulang semula di sini.

Allahu a’lam.

 

 

Komen dan Soalan