Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Qari’ah – Tafsir Ayat Pertama hingga Ke-3

Tafsir Surah Al-Qari’ah – Tafsir Ayat Pertama hingga Ke-3

5483
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Qari’ah

Pengenalan

Maksud: Hari Kiamat / Hari Balasan Amal / Bunyi dentuman kuat

Surah ke: 101 ( akan tetapi kronologi penurunan ialah ke – 30 )

Bilangan ayat: 11

Kategori: Makkiyyah

36 kalimat, 160 huruf.

Kaitan dengan surah sebelum :

Terdapat 2 jenis pandangan Mufassir dalam melihat susunan EMPAT surah yang berdekatan ini ( Az-Zalzalah – Al-A’diyat – Al-Qari’ah – At-Takatsur ) ~

Pertama : TOPIK DALAM SURAH YANG BERSELANG SELI

Az-Zalzalah – kisah tentang Hari AKHIRAT

Al-A’diyat – kisah tentang kehidupan di DUNIA

Al-Qari’ah – kisah tentang Hari AKHIRAT

At-Takatsur – kisah tentang kehidupan di DUNIA

Ia menunjukkan pengajaran dan amaran Allah SWT yang silih berganti, supaya manusia dapat merasai dan menghayati mesej yang Allah SWT hendak sampaikan. Adakala satu peringatan sahaja tidak mencukupi, lalu diulang-ulang agar manusia tersebut mampu untuk mula berfikir maksud di sebalik bacaan.

Kedua : TURUTAN FASA KEJADIAN KIAMAT BERMULA DARI DUNIA HINGGA ALAM AKHIRAT

Al-Zalzalah – Kejadian sebelum BUMI HANCUR

Al-A’diyat – BUMI MEMBONGKAR perihal manusia

Al-Qari’ah – Kiamat berlaku dan KEADAAN KEBANGKITAN MANUSIA

At-Takatsur – SOALAN ALLAH SWT mengenai nikmat selama ini

Oleh itu, kita dapat melihat ia sebagai sebuah rentetan cerita oleh Allah SWT. Itu lah antara mukjizat Al-Quran. Al-Quran mampu berinteraksi dengan manusia dalam pelbagai bentuk. Sama ada dalam satu naskah kitab, hatta 1 huruf sekalipun mampu memberikan makna yang besar dalam kehidupan manusia.

Dalam keempat-empat surah ini juga, kita dapat melihat beberapa peringkat penilaian amalan manusia:

1. Bermula dengan penerimaan kita ( sama ada tangan kanan, kiri atau belakang ).

2. Diterangkan / diperlihatkan satu persatu, hingga tidak terlepas meskipun sebesar zarah.

3. Amalan-amalan itu akan ditimbang dan dinilai ( hisab dan mizan ).

4. Penghakiman Allah SWT akan dijalankan ( kita akan dipersoalkan setiap nikmat yang diperolehi ).

Bagus sekiranya tuan/puan ulang kaji perjalanan kita selepas mati.

Bangkit dari kubur – berjalan ke Mahsyar – mencari syafaat – dapat kitab amalan – pergi audit ( hisab ) – buat timbangan ( mizan ) – jalan lagi untuk menghadap Allah SWT untuk mengambil keputusan.

Tafsir Ayat Pertama, Ayat Ke-2, Ayat Ke-3:

Kalimah yang digunakan ada persamaan,

الْقَارِعَةُ

مَا الْقَارِعَةُ

وَمَا أدْرَاكَ مَا الْقَارِعَةُ

Kalimah ini adalah dalam bentuk ism Fa’il ( kata nama yang membawa maksud si pembuat). Ianya bermaksud sesuatu yang menggoncang, memukul, merosakkan.

القارِعَةُ

Dari kata dasar ق ر ع yang bermaksud bunyi yang kuat akibat pelanggaran atau pergeseran.

Kalimah ini digunakan untuk menggambarkan peristiwa kiamat bahawa akan berlaku pelanggaran, pergeseran makhluk Allah SWT sehingga terjadi bunyi yang kuat dan menakutkan.

Oleh itu kalimah Al-Qari’ah boleh dikenali juga sebagai nama lain bagi kiamat. Seperti mana nama-nama lain yang menggambarkan peristiwa kiamat.

Contoh : Al-Haqqah, At-Tammah, As-Sakhkhah, Al-Ghasyiyah, dan lain-lainnya.

Kenapa Allah SWT mengulang permulaan surah ini dengan kalimah yang sama sebanyak tiga kali?

Pertama : Untuk menarik perhatian pendengar / pembaca

Ia antara pelajaran dari Allah SWT, iaitu salah satu cara untuk menarik perhatian manusia. Seumpama “cikgu yang masuk ke kelas, memulakan dengan satu soalan”.

Barangkali murid dalam kelas itu belum mengetahui jawapannya kerana kelas baru bermula. Tetapi ini kerana si cikgu ingin menarik perhatian murid-muridnya agar memberi perhatian melalui soalan.

Kedua : Untuk merendahkan hati manusia agar berserah diri mempelajari ilmu dari Allah SWT ( Al- Quran ).

Ini kerana secara mendalam, manusia tidak tahu apakah maksud Al-Qari’ah di sisi Allah SWT JIKA tidak diberitahu oleh Allah SWT. Apatah lagi bila bertalu diberi soalan, pasti setidaknya manusia yang beriman boleh menyedari bahawa maksud soalan ini adalah simbolik “satu panggilan” dari Allah SWT untuk melanjutkan mendengar kalam-Nya.

Ketiga : Sebagai satu “Ta’zhim” ( membesarkan ) peristiwa kiamat ini.

Pengulangan kalimah ini juga boleh dilihat sebagai satu cara Allah SWT ingin menunjukkan betapa penting dan besarnya peristiwa tersebut. Logiknya jika manusia terdengar perkara kecil, pasti akan dibuat tidak endah. Akan tetapi Al-Qari’ah ini diulang-ulang sebutannya.

Rujuk: Surah [ Al-Qiyamah: 16 ]

لَا تُحَرِّكْ بِهِ لِسَانَكَ لِتَعْجَلَ بِهِ

Janganlah engkau (wahai Muhammad) – Kerana hendakkan cepat menghafaz Quran yang diturunkan kepadamu – menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu).

Tafsir Ayat Pertama

القارِعَةُ

Hari Kiamat,

Al-Qari’ah ( satu kalimah sahaja ). Dalam kaedah umum Bahasa Arab, ia sepatutnya ada kalimah yang bersama menerangkan perkataan yang satu ini. Contohnya :

Ahmad + pandai = Ahmad pandai

Akan tetapi dalam ayat pertama ini, hanya kalimah “Al-Qari’ah” sahaja! Bermaksud kalimah selepasnya telah tiada ( dipanggil sebagai Hazaf ).

Oleh itu, Mufassir ( ahli tafsir ) ada 2 pandangan :

PERTAMA ~

Ada yang mengatakan perkataan yang “disembunyikan” Allah SWT ialah = kiamat mendekati

KEDUA ~

Menunjukkan ia seperti semua amaran dari Allah SWT. Umum tahu bahawa laungan amaran tidak perlukan penjelasan yang panjang lebar. Contohnya : Api! Perompak!.. Inikan pula “Kiamat.!”

Tafsir Ayat Ke-2

مَا القارِعَةُ

Apakah hari Kiamat itu?

Soalan ini ada satu cara untuk menarik perhatian pendengar. Ini untuk mewujudkan keinginan terhadap pendengar. Kaedah Allah SWT berbicara dengan soalan kerap terdapat dalam Al-Quran.

Contohnya :

Surah Al-Mutaffifin: 18 – 21 ]

كَلَّا إِنَّ كِتَابَ الْأَبْرَارِ لَفِي عِلِّيِّينَ

Ingatlah wahai manusia! Sesungguhnya “kitab suratan amal” orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), adalah (didaftarkan) dalam” Illiyiin”.

 وَمَا أَدْرَاكَ مَا عِلِّيُّونَ

Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia “Illiyiin” itu?

كِتَابٌ مَّرْقُومٌ

Ialah (tempat simpanan) kitab catatan yang jelas nyata,

يَشْهَدُهُ الْمُقَرَّبُونَ

Yang disaksikan oleh sekumpulan malaikat, yang didampingkan Tuhan di sisinya.

Allah SWT yang bertanya, tetapi Allah SWT yang jelaskan kepada kita.

Untuk lebih memahami, mungkin kita boleh membayangkan situasi seorang ayah bawa balik ayam goreng KFC kepada anak-anaknya : “Haa, cuba teka apa yang ayah ada??”

Soalan tersebut bukan bermaksud ujian atau pertanyaan pendapat, tetapi ia untuk membangkit perasaan terutama rasa ingin tahu anak-anak.

Tafsir Ayat Ke-3:

وَما أَدراكَ مَا القارِعَةُ

Apakah yang boleh menyebabkan kamu tahu apakah hari Kiamat itu?

Sekali lagi Allah SWT menyambung dengan memberikan soalan yang tiada jawapan pada manusia. Melainkan ia adalah pemberitahuan dari Allah SWT, kerana perkara-perkara ghaib memerlukan pemberitahuan dari Allah SWT dengan cara wahyu.

Rujuk Surah [ Al-An’am: 59 ]

وَعِندَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَمَا تَسْقُطُ مِن وَرَقَةٍ إِلَّا يَعْلَمُهَا وَلَا حَبَّةٍ فِي ظُلُمَاتِ الْأَرْضِ وَلَا رَطْبٍ وَلَا يَابِسٍ إِلَّا فِي كِتَابٍ مُّبِينٍ

Dan pada sisi Allah SWT jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.

Daripada 3 ayat ini, kita boleh melihat kisah di sebalik susunan ini seperti berikut :

Ayat 1: Ketukan kuat yang mengejutkan!

Ayat 2: Manusia menjadi tertanya-tanya.

Ayat 3: Tiada apa yang boleh menjelaskan kebingungan manusia melainkan Allah SWT.

Sifat bagi Allah SWT adalah Al-Mutakbbir. Kita sebagai manusia tidak boleh menunjuk-nunjuk. Tiru sifat unta, berbakat tetapi boleh merendahkan diri untuk digunakan [ Surah Al Ghasyiyah: 17 ].

Ayat ini adalah peringatan demi peringatan dari Allah untuk mengetuk pintu hati manusia yang berakal. Mukjizat Al-Quran ini boleh ubah manusia dari zaman kegelapan kepada cahaya Allah SWT. Kerana itu Umar ra dengar beberapa ayat sahaja, berubah 360′ menjadi hamba Allah SWT yang hebat dan pejuang Islam.

Ibrah dan kesimpulan

Pertama :

Kita hendaklah sentiasa peka dan insaf dengan peristiwa kiamat. Kerana dalam 114 “NAMA SURAH”, kita dapati nama yang paling banyak terpilih adalah berkaitan kiamat. Maha Suci Allah SWT yang memiliki pengetahuan tanpa batas, pasti pemilihan nama surah yang banyak berkaitan dengan kiamat memberikan kita gambaran kedahsyatan peristiwa tersebut.

Kedua :

Mukjizat Al-Quran yang lebih mendalam, mengajar kita bukan sahaja panduan hidup bersyariat. Namun turut disulami gaya bahasa dan tutur kata yang pelbagai. Sehingga tanpa sedar, kita mempelajari gaya berkomunikasi dengan lebih baik sesama manusia. Itu lah antara kehebatan Al-Quran.

Ketiga :

Tiada daya dan upaya melainkan dengan izin Allah SWT. Kita hendaklah terus mempelajari kalam Allah SWT bagi mempersiapkan diri dengan segala cara untuk menjadi hamba-Nya. Terutamanya mempelajari perkara akhirat, negeri yang kita akan kekal buat selamanya nanti.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan