Utama Bilik (05) Fiqhud Dalil Membaca al-Fatihah Walaupun Sebagai Makmum

Membaca al-Fatihah Walaupun Sebagai Makmum

454
0
Iklan

Membaca al-Fatihah Walaupun Sebagai Makmum

Benjamin Sy@zwan

(Walaupun dia seorang makmum), kerana wajibnya membaca al-Fatihah pada setiap rakaat juga berlaku untuk makmum, berdasarkan dalil-dalil yang menunjukkan bahawa makmum juga membacanya di belakang imam seperti hadis;

لاتفعلوا إلا بفاتحة الكتا

“Jangan kalian lakukan itu (membaca) kecuali pada al-Fatihah.”

Dan hadis yang semakna dengannya. Juga kerana termasuk dalam keumuman dalil yang menunjukkan diwajibkan setiap orang yang solat untuk membaca al-Fatihah pada setiap rakaat.

Pengarang al-Hujjah berkata, “Jika dia seorang makmum, wajib baginya untuk diam dan mendengarkan bacaan imam. Jika imam menjahrkan (mengeraskan) bacaannya, maka dia (makmum) tidak boleh membaca kecuali ketka imam telah diam. Jika imam mensirrkan (memperlahankan) suaranya, maka hendaklah dia membaca al-Fatihah dengan suara yang tidak mengganggu imam.

Inilah pendapat yang paling kuat menurut saya. Dengan pendapat inilah hadis-hadis dalam masalah ini dapat dikompromikan.” Selesai.

Disebutkan dalam kitab Tanwirul Ainain (karya Syaikh Muhammad Isma’il asy-Syahid ad-Dehlawi, cucu kepada Shah Waliullah Dehlawi), “Dalil-dalil dari kedua kelompok sama-sama kuat, akan tetapi setelah mencermati dalil-dalil mereka dengan saksama kelihatan bahawa membaca (al-Fatihah bagi makmum) lebih utama daripada tidak membacanya. Dalam masalah ini kami condong kepada pendapat Muhammad (Asy-Syaibani), sebagaimana yang dinukil oleh pengarang kitab al-Hidayah (Al-Marghinani), dan kami tidak membahaskannya.

Ibnu Qayyim dalam al-I’lam berkata, “Ada yang menolak nas-nas yang telah jelas, tegas dan sahih tentang kewajiban membaca al-Fatihah dengan menggunakan cara pendalilan yang mutasyabih (tidak jelas) daripada firman Allah Ta’ala, “Maka bacalah apa yang mudah darinya (al-Qur’an),” padahal bacaan dalam ayat ini bukan dalam solat, akan tetapi bermakna qiyamullail. Juga berdalilkan dengan sabda baginda kepada seorang Arab Badui. “Kemudian bacalah apa yang mudah bagimu dari ayat al-Qur’an,” padahal ada kemungkinan hadis ini terjadi sebelum diwajibkan membaca al-Fatihah dalam solat, atau Arab Badui tersebut tidak pandai membacanya atau dia dapat membaca surah lain~yang mudah baginya~bersamaan dengan al-Fatihah dan perintah Nabi صَلَّى اللّٰهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم adalah membaca apa yang dia mampu membacanya. Jadi hadis ini mutasyabih serta memiliki beberapa kemungkinan makna sehingga tidak boleh meninggalkan dalil yang telah jelas hanya kerananya.” Selesai.

Pengarang kitab Izalatul Khafa’ an Khilafatil Fuqaha’ (Shah Waliullah Dehlawi) berkata, “Al-Baihaqiy meriwayatkan daripada Yazid bin Syarik bahawa dia bertanya kepada ‘Umar tentang (makmum) adakah membaca di belakang imam? Maka dia menjawab, ‘Bacalah al-Fatihah.’ Aku bertanya, ‘Walaupun yang menjadi imam adalah engkau?’ Dia menjawab, ‘Walaupun aku.’ Aku bertanya, ‘Walaupun engkau menjahrkan bacaan?’ Dia menjawab, ‘Walaupun aku menjahrkan.’ “

Saya katakan: Penduduk Kufah telah meriwayatkan daripada murid-murid ‘Umar yang berasal dari Kufah bahawa makmum tidak membaca apa-apa.

Cara mengkompromikan (dalil yang seakan bertentangan) bahawa yang tercela~pada asalnya~adalah ketika imam diganggu ketika membaca, dan bacaan makmum terkadang mengakibatkan hal itu (menggangu imam). Akan tetapi dari sisi lain, seorang makmum dituntut untuk menyibukkan dirinya dengan bermunajat kepada Rabb-nya sehingga bertentanganlah antara maslahah dan mafsadah. Sesiapa yang mampu melakukan maslahah tanpa memcacatkannya dengan mafsadah maka silalah mengerjakannya, dan sesiapa saja yang khawatir terjadinya mafsadah maka jangan mengerjakannya (membaca al-Fatihah), wallahu Ta’ala a’lam.” Selesai.

Saya katakan: Yang paling benar ialah tetap membaca al-Fatihah di belakang imam, sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh dalil-dalil sunnah yang jelas tanpa ada yang menentangnya. Adapun perintah untuk diam dalam firman Allah Ta’ala, “Dan diamlah,” maka ia bersifat umum mencakupi al-Fatihah dan selainnya. Demikin pula hadis, “Jika imam membaca maka hendaklah kalian diam,”~walaupun terdapat kritikan terhadap sanadnya*~tidak dapat dijadikan hujjah. Kalaupun dianggap dapat dijadikan hujjah, maka paling tinggi ia hanya menunjukkan wajibnya atas makmum untuk diam ketika imam membaca, bukan larangan untuk membaca al-Fatihah dan surah lainnya.

Adapun hadis, “Kalian telah mengganggu bacaanku,” maka tidak ada seorang ahli ilmu pun yang meragui bahawa makmum hanya akan mengganggu imam jika makmum tersebut membacanya secara jelas (jahr), sedangkan jika makmum tersebut membacanya secara pelahan (sirr) maka tidak akan ada gangguan sama sekali. Demikian pula gangguan tidak akan terjadi kecuali jika imam dapat mendengar suara bacaan makmum.

Adapun hadis Jabir dalam masalah ini berasal daripada ucapan beliau sendiri dan tidak menyandarkannya kepada Nabi صَلَّى اللّٰهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم~sebagaimana disebutkan dalam Sunan at-Tirmidzi, al-Muwaththa’, dan selainnya~, sementara ucapan sahabat bukanlah hujjah**. Maka tidak ada satu dalil yang melarang makmum untuk membaca di belakang imam ketika imam juga sedang membaca, kecuali ayat yang mulia di atas dan juga hadis, “Jika imam membaca maka hendaklah kalian diam.” Kedua dalil ini umum sebagaimana yang anda lihat, sehingga mencakupi al-Fatihah ataupun selainnya. Dan dalil yang umum tentu saja dapat menerima pengkhususan, dan di sini ada dalil yang mengkhususkannya, iaitu hadis ‘Ubadah bin ash-Shamit yang merupakan hadis sahih (disebutkan di awal penulisan).

Mendahulukan dalil yang khusus daripada dalil umum adalah wajib berdasarkan kesepakatan ulama ushul. Maka tidak ada udzur lagi untuk tidak membaca al-Fatihah ketika imam sedang membacanya. Terlebih lagi setelah adanya dalil yang secara tegas menunjukkan wajibnya bagi setiap orang yang solat untuk membaca al-Fatihah pada setiap rakaat dalam solatnya***.

*’Ali Hasan Al-Halabi: Yang benar hadis ini sahih.Silalah rujuk komentar saya terhadap kitab ‘Ilal Ahadits Sahih Muslim no. 10, karya Ibnu ‘Ammar asy-Syahid.

**’Ali Hasan Al-Halabi: Bahkan hal tersebut adalah hujjah ketika tidak ada yang menyelisihinya. Atsar jabir yang disebutkan di sini sanadnya sahih sebagaimana yang disebutkan dalam as-Silsilah adh-Dha’ifah (2/420) dengan lafazh, “Barangsiapa yang solat satu rakaat lalu tidak membaca al-Fatihah di dalamya, maka dia dianggap belum solat, kecuali jika dia berada di belakang imam.”

***’Ali Hasan Al-Halabi: Dalam masalah ini terdapat prselisihan yang sangat besar di antara para ulama yang terdahulu mahupun yang terkemudian.

Dipetik daripada kitab Fiqih Islam dari Al-Kitab dan As-Sunnah terjemahan kitab Ar Raudhah An-Nadiyyah karya Syaikh Shiddiiq Hasan Khaan, syarah kitab Ad-Durar Al-Bahiyyah karya Al-Imam Asy-Syaukaaniy rahimahullah (1/204-207), terbitan Griya Ilmu, Ogos 2012.

Komen dan Soalan