Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-‘Adiyat – Tafsir Ayat Ke-10 dan Ke-11

Tafsir Surah Al-‘Adiyat – Tafsir Ayat Ke-10 dan Ke-11

1847
0
Iklan

Tafsir Surah Al-‘Adiyat

Pada perbincangan sebelum ini, kita telah membincangkan suatu ayat ( ayat 8 ) yang membicarakan “sebab” manusia menjadi golongan yang melampau di sisi Allah SWT.

Pada ayat itu ( ayat 8 ), Allah SWT menyatakan punca sikap demikian adalah kerana manusia tersebut terlampau ( syadid ) cintakan kenikmatan ATAU kebaikan yang ada di atas dunia.

Maka kita dapat melihat beberapa pengajaran dan hikmah dari ayat tersebut ( ayat 8 ) iaitu :

Pertama :

Sesungguhnya sikap terlalu cintakan nikmat dunia adalah AMAT bahaya, kerana ia boleh mengundang sikap melampau terhadap Allah SWT.

Kedua :

Allah SWT tidak mengkhususkan cinta dunia ini dengan sebarang objek ( seperti mana dalam surah yang lain, contohnya AMWAL / Harta benda atau AULAD / anak pinak ) akan tetapi Allah SWT menggunakan lafaz AL KHAIR ( yang bermaksud “kebaikan” ).

Ini adalah agar manusia lebih berwaspada terhadap “semua” nikmat atau kebaikan yang dia miliki.

Ketiga :

Lafaz AL KHAIR juga menunjukkan, tidaklah salah manusia tersebut berada dalam kebaikan. Akan tetapi kesalahan tersebut adalah kerana kecintaan yang melampau terhadap kebaikan tersebut yang menjadikan dirinya melampau di sisi Allah SWT.

Keempat :

Kita juga dapat memahami dari ayat tersebut ( ayat 8 ) bahawa nikmat / kebaikan juga boleh menjadi suatu “ujian yang sangat besar, bahaya dan sukar untuk dikesan”.

Maka dalam sambungan firman Allah SWT yang seterusnya, Allah SWT bertanya:

Tidakkah manusia tahu yang mereka akan dibangkitkan dari kubur?

Tafsir Ayat Ke-9:

أَفَلا يَعلَمُ إِذا بُعثِرَ ما فِي القُبورِ

“Maka apakah dia tidak mengetahui apabila dibangkitkan apa yang ada di dalam kubur,”

بُعثِرَ

Bermaksud perbuatan mengeluarkan sesuatu dari bekas, seperti kita mengeluarkan barang dari sebuah beg. Seolah-olah kalimah ini menggambarkan seseorang sedang “memunggah / bongkar” semua barang yang ada di dalam beg itu.

Pertanyaan ini adalah untuk menjadi suatu iktibar yang jelas kepada manusia agar mengambil peringatan seperti berikut :

1. Tentu sekali kita tahu, bahawa jawapannya tiada apa yang akan bersama dengan manusia tatkala dibongkar dari dalam kubur. Oleh itu kenapa manusia masih lagi bersangatan cintanya terhadap nikmat dunia sehingga sanggup melampau derhaka terhadap Allah.

Sedangkan nikmat itu tidak mengikutinya masuk ke dalam kubur. Akan tetapi yang pasti, hanya DIA sahaja Tuhan yang akan dihadapi suatu masa nanti.

2. Pertanyaan ini sepatutnya diambil ikhtibar agar manusia itu berjaga-jaga. Kerana tiba suatu masa, akan tiba saat manusia dibangkitkan dari kubur untuk diperlihatkan bagaimana keadaan dirinya di sisi Allah SWT.

Maka bagi seseorang yang kecintaannya sangat dahsyat terhadap dunia, ia suatu bencana yang besar apabila dibangkitkan dari kubur dalam keadaan sangat cintakan dunia.

Adakah kecintaan ke dunia yg dahsyat itu boleh membawa kepada kekufuran?

Ya, natijah akhir mereka akan kufur kepada Allah SWT.

Adakah tanda-tanda khusus mereka yg terlampau cinta dunia ini?

Antaranya adalah bila mula kedekut untuk bersedekah kerana takut miskin, maka sayang hendak berkorban, tiada kualiti terhadap agama (seperti buih), takutkan mati (maksudnya hidup dia kalut). Penyakit “wahan” = cinta dunia, takutkan mati.

Kebangkitan dari kubur, untuk diperlihatkan dan dibicarakan adalah suatu perkara yang pasti. Suasana tersebut sangat huru-hara dan merisaukan.

Oleh itu, semoga kita mengambil peringatan dari ayat ini sejak dari dunia. Agar kita akan mendapat rahmat Allah ketika hari kebangkitan tersebut.

Sedikit info tambahan berkaitan keadaan bangkit dari kubur, terdapat 2 gambaran dalam Quran berhubung dengan keadaan bangkit dari kubur :

  1. Seperti KELKATU [ Al Qari’ah ( 101 ) : 4 ]
  2. Seperti BELALANG [ Al Qamar ( 54 ) : 7

Apa lagi perkara yang akan dizahirkan?

Tafsir Ayat Ke-10:

وَحُصِّلَ ما فِي الصُّدورِ

“dan dilahirkan apa yang ada di dalam dada”,

حُصِّلَ

Bermaksud mengupas, untuk menunjukkan apa yang ada di dalamnya.

Sebelum ini dalam Surah Az-Zalzalah, kita telah ketahui bahawa amalan / perbuatan manusia walau sebesar “zarah” akan diperlihatkan. Maka dalam ayat ke-10 ini pula Allah menambah lagi peringatan, “hatta dalam hati pun boleh diperlihatkan”.

Ia satu amaran kepada kita agar berwaspada dan berusaha menjaga diri kita sebaik mungkin. Bukan sekadar syariat, amalan luaran atau perwatakan luar. Bahkan hati juga mestilah tunduk dan utamakan cinta kepada Allah.

Contoh penjagaan hati ialah seperti niat, atau sebarang sifat dari dalam diri manusia.

Contohnya :

– Jangan miliki hati yang sombong. Meskipun mulut kita tidak sebut, namun apa yang ada dalam hati juga akan diperlihatkan.

– Kena buang juga sifat malas untuk membuat kebaikan, apatah lagi perkara yang wajib. Sebab meskipun kita tidak berkata malas di mulut, namun apa yang ada dalam hati juga akan diperlihatkan.

Apa sahaja perkara “mazmumah” yang ada dalam hati, kena usaha singkirkan.

Kita akan menjadi saksi setiap perbuatan atau kekufuran yang kita lakukan sebagaimana dalam Surah Yasin, Allah ada jelaskan ( alyauma nahktimu ala..)

Apa sahaja yang ada dalam dada ( Sudur ) (apa sahaja perihal dalaman ) – sangkaan, niat, fikiran dan yang sewaktu dengannya. Baik seketul daging (hati) maka baiklah jasad (mafhum hadis).

Allah benar-benar memberikan peringatan kepada kita berkaitan perkara ini, maka ayat terakhir sekali lagi Allah menyatakan sifat Maha Mengetahui terhadap apa yang manusia lakukan.

Tafsir Ayat Ke-11:

إِنَّ رَبَّهُم بِهِم يَومَئِذٍ لَخَبيرٌ

“Sesungguhnya Tuhan mereka pada hari itu Maha Mengetahui keadaan mereka”.

Orang-orang yang ingkar mungkin tetap akan mempersoalkan kebenaran “peristiwa bahawa hati juga akan dibongkarkan”.

Oleh itu, Allah SWT memberitahu lagi dalam ayat ini,” Allah Maha Tahu apa yang mereka telah lakukan”.

خَبيرٌ

Allah Maha Mengetahui : Luar dan dalam perbuatan manusia. Allah bukan hanya tahu amalan fizikal sahaja tetapi turut tahu apa yang ada dalam hati.

Ini satu pengukuhan Allah SWT, bahawa benar-benar segala perihal manusia tidak dapat disembunyikan di sisi Allah SWT.

Mungkin semasa atas dunia, kita terselamat kerana tiada siapa yang mengetahui perbuatan ingkar kita.

Atau mungkin semasa atas dunia, kita dipandang mulia kerana tiada siapa yang mengetahui isi hati kita.

Namun berwaspadalah, kerana suatu masa nanti segala perihal diri kita akan dibongkarkan. Bahkan perihal hati kita juga akan dikupas kepada umum satu persatu.

رَبَّنَا إِنَّكَ تَعْلَمُ مَا نُخْفِي وَمَا نُعْلِنُ ۗ وَمَا يَخْفَىٰ عَلَى اللَّهِ مِنْ شَيْءٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau mengetahui akan apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami zahirkan; dan tiada sesuatupun di langit dan di bumi, yang tersembunyi kepada Allah! [ Ibrahim: 38 ]

الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَىٰ أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

“Pada waktu itu Kami materaikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan”. [ Ya Sin: 65 ].

Ibrah dan Kesimpulan :

Pertama :

Semua nikmat atas dunia ini, sama sekali tidak akan bersama dengan kita untuk masuk ke dalam kubur. Oleh itu, hendaklah kita berusaha agar menjadikan ia sebagai alat untuk ditukar sebagai ganjaran amalan. Dengan melakukan amal soleh yg Allah beritahu dalam Al-Quran dan Sunnah

Kedua :

Usaha kita di atas dunia ini bukan sahaja untuk menjauhi perbuatan mungkar, bahkan termasuk sifat-sifat hati yang mazmumah kerana kelak, hati juga tidak terlepas diperlihatkan isinya oleh Allah SWT.

Ketiga :

Jangan lah kita menjadi golongan yang sombong dan lalai terhadap kekuasaan Allah SWT. Orang yang sentiasa ingat akan kebesaran Allah SWT, pasti akan menjaga dirinya agar tidak menjadi hamba yang rugi.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan