Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-58 dan Ke-59

Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-58 dan Ke-59

773
0
Iklan

Tafsir Surah Ghafir

Tafsir Ayat Ke-58

Kenapa ada yang tidak dapat menerima kebenaran? Allah SWT hendak beritahu, oleh kerana manusia perangainya tidak sama, maka hasilnya pun tidak sama. Ada manusia yang tetap degil. Kerana itu walaupun dalil yang sama diberikan kepada semua, tetapi penerimaan manusia tidak sama. Ada yang terima dan ada yang tolak.

وَما يَستَوِي الأَعمىٰ وَالبَصيرُ وَالَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ وَلَا المُسيءُ ۚ قَليلًا ما تَتَذَكَّرونَ

“Dan sememangnya tidaklah sama orang yang buta dan orang yang melihat, dan juga tidaklah sama orang-orang yang beriman serta beramal soleh dengan orang yang melakukan kejahatan. Sedikit sangat kamu beringat”.

وَمَا يَسْتَوِي الْأَعْمَىٰ وَالْبَصِيرُ

Dan tidaklah sama seorang buta dengan seorang yang celik

Allah SWT memberi contoh fizikal yang kita boleh lihat dalam alam ini. Semua dapat membezakan antara orang celik dan orang yang buta, bukan?

Seterusnya nanti Allah SWT hendak memberikan perbandingan yang sedikit abstrak – orang yang beriman dan orang yang tidak. Namun, Allah SWT mulakan dengan buat perbezaan antara orang buta dan celik. Amat jelas perbezaan antara mereka.

Sebenarnya Allah SWT hendak memberikan perumpamaan orang yang ‘celik hati’ dengan orang yang ‘celik fizikal’. Dan orang yang ‘buta hati’ umpama orang yang ‘buta fizikal’.

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ

Dan orang yang beriman sempurna dan beramal soleh

Allah SWT hendak membuat perbandingan lagi. Dia suruh kita lihat mereka yang baik, iaitu mereka yang beriman sempurna. Yang mempunyai iman sempurna iaitu akidah tauhid tanpa syirik.

Ada banyak jenis syirik dan surah ini adalah tentang syirik dalam berdoa. Jadi, mereka yang beriman sempurna adalah mereka yang tidak menggunakan perantaraan dalam doa mereka.

Mereka juga beramal dengan amalan yang soleh. Amalan yang soleh adalah amalan yang ada contoh dari Nabi. Bukannya amalan yang bidaah seperti yang banyak dilakukan oleh kebanyakan orang.

وَلَا الْمُسِيءُ

Dengan satu orang yang melakukan dosa?

Tentulah mereka yang beriman dan beramal soleh itu jauh bezanya dengan orang yang berbuat dosa.

Antara dosa yang banyak dilakukan tanpa disedari adalah dosa syirik dan dosa bidaah. Oleh kerana tidak faham makna syirik dan bidaah, maka ramailah dari kalangan masyarakat kita yang buat dosa-dosa tersebut. Tetapi mereka tidak tahu yang ianya berdosa kerana mereka tidak belajar. Atau, mereka belajar dengan guru yang salah.

Mereka itu amat berbeza dengan orang yang beriman dan beramal soleh, seumpama beza orang yang celik dengan orang yang buta. Kalau beza antara orang buta dan celik itu jelas, maka begitulah juga antara orang yang beriman dan orang yang tidak beriman.

قَلِيلًا مَا تَتَذَكَّرُونَ

Sedikit sahaja mereka yang dapat peringatan.

Tetapi perbandingan ini tidak dapat difahami oleh semua orang. Hanya sedikit sahaja yang faham iaitu mereka yang belajar.

Mereka yang buat bidaah itu, tidak dapat faham mana salahnya perbuatan mereka itu. Mereka bermati-matian akan mempertahankan amalan bidaah mereka itu, dengan memberi berbagai-bagai dalil.

Sebenarnya hujah yang mereka berikan itu bukanlah dalil, kerana mereka salah faham dengan dalil yang ada. Kalau belajar Al-Quran dan Sunnah dengan cara yang betul, in sha Allah akan dapat faham. Maka kenalah belajar.

Sedih bila berhujah dengan mereka yang mempertahan amalan bidaah ini. Cara berhukum pun mereka tidak tahu. Bagi hujah hadis tapi hadis itu pun mereka tidak tahu latar belakangnya.

Masyarakat kita tidak mementingkan ilmu pengetahuan. Para sahabat akan pastikan anak-anak mereka belajar tafsir Al-Quran sebelum belajar ilmu-ilmu yang lain. Mereka juga amat rapat dengan Al-Quran dan mereka akan selalu tadabbur Al-Quran itu dengan keluarga mereka.

Masyarakat kita baca Al-Quran pun masih ada yang merangkak lagi.

Ilmu dunia boleh guna di dunia sahaja sedangkan ilmu akhirat boleh pakai bawa ke akhirat, tempat yang kekal abadi.

Apabila ada ilmu senang sahaja untuk berubah. Yang susah hendak diubah adalah mereka yang tiada ilmu ataupun setelah diberitahu tetapi masih degil.

Tafsir Ayat Ke-59

Ayat tentang hari akhirat, sambungan dari ayat-ayat tentang Akhirat sebelum ini. Allah SWT mengingatkan kita kembali kepada Hari Kiamat dan Hari Akhirat.

إِنَّ السّاعَةَ لَآتِيَةٌ لا رَيبَ فيها وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يُؤمِنونَ

“Sesungguhnya hari kiamat tetap akan datang, tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya; akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman (akan hakikat itu)”.

إِنَّ السَّاعَةَ لَآتِيَةٌ

Sesungguhnya kiamat itu pasti akan datang

Sama ada kamu percaya atau tidak percaya kepada Hari Kiamat, ia pasti akan datang. Bagaimana kita tahu yang Kiamat itu pasti ada? Allah SWT yang beritahu dan kita percaya sungguh kepada Allah SWT.

لَا رَيْبَ فِيهَا

Tidak ada keraguan padanya

Tidak syak lagi. Kita orang Islam semua tahu dan terima tentang kedatangan Hari Kiamat itu. Namun, kenapa kebanyakan dari kita menjalani kehidupan kita macam ianya tidak akan berlaku? Malah ramai yang hidup macam tidak takut kepada Hari Kiamat? Berani buat perkara-perkara yang tidak ada dalil? Tidak takut akhirat kah? Tidak takut kah hendak berjumpa dengan Allah SWT dengan membawa amalan syirik dan bidaah? Dengan manusia bolehlah kamu berhujah, tetapi kamu hendak berhujah macam mana dengan Allah SWT nanti?

Apa yang kamu hendak jawab jika Allah SWT tanya nanti kenapa buat amalan ini dan itu? Mana dalil kamu pakai? Kamu hendak jawab: “amalan baik… apa salahnya ya Allah SWT…..” Itu kah jawapan yang kamu hendak beri kepada Allah SWT???

وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يُؤْمِنُونَ

Tetapi kebanyakan dari manusia itu tidak juga mahu beriman.

Kebanyakan manusia memang tidak beriman sempurna. Mereka tidak berpegang kepada akidah tauhid, terutama tauhid dalam berdoa. Walau orang Islam sekalipun.

Ramai yang masih juga hendak berdoa kepada selain dari Allah SWT.

Masih ramai lagi hendak mengamalkan tawassul menggunakan perantaraan Nabi, wali dan malaikat. Apabila ditegur dengan kesalahan itu, mereka tetap mempertahankannya dengan memberikan hujah-hujah yang batil.

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan