Utama Tazkirah Admin Ayat Tabayyun: Asbabul Nuzul Firman Allah Dan Manfaatnya

Ayat Tabayyun: Asbabul Nuzul Firman Allah Dan Manfaatnya

708
0
Iklan

UiTO Channel: Tazkirah Harian:
Tajuk: Berhati-hati apabila menyebarkan info di media sosial

= = = = = = = = = =

Firman Allah ﷻ:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Sekiranya datang kepada kalian orang fasiq dengan satu berita, hendaklah kalian selidiki (tabayyun) supaya kalian tidak menimpakan musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya, sehingga menyebabkan kalian menyesal atas perbuatan kalian.”
[Surah Al-Hujurat (surah 49), ayat 6]

= = = = = = = = = =

Ulasan:

1. Para mufassir (`ulama’ tafsir) menyebutkan bahawa ayat ini diturunkan kerana Al-Walid bin `Uqbah, ketika beliau diutuskan oleh Rasulullah ﷺ kepada Bani Mushthaliq untuk memungut zakat. Di pertengahan jalan, timbul rasa takut dalam qalbu beliau terhadap Bani Mushthaliq, lalu beliau kembali kepada Rasulullah, dan melaporkan bahawa Bani Mushthaliq tidak mahu menyerahkan zakat, malah ingin membunuhnya. Setelah diselidiki, ternyata laporan itu adalah dusta semata-mata.

2. Ayat ini sepatutnya menjadi pegangan seluruh umat Islam dalam berinteraksi dengan berita yang sampai kepada mereka. Namun sayangnya, perintah ini tidak dihiraukan dan kelihatan seolah-olah Al-Qur’an hanya dibaca dan dihafal oleh umat Islam tanpa memahami sedikit pun mesej yang cuba disampaikan oleh Allah.

3. Bahkan, ada sesetengah individu yang menggelarkan dirinya “ustaz” turut melanggar perintah Allah ini, misalnya dalam isu seorang lelaki Kashmir menampar Imam II Masjid Negara. “Ustaz” tersebut telah membuat beberapa fitnah, antaranya imam ditampar kerana membaca doa selepas solat, sedangkan cukup jelas peristiwa tersebut terjadi dalam raka`at pertama.

4. Perintah Allah ini lebih patut dititikberatkan ketika sampai kepada kita suatu “hadits” yang disandarkan kepada Rasulullah ﷺ. Bukanlah semua yang didakwa sebagai sabda Rasulullah atau perbuatan baginda itu benar-benar hadits, kerana era hadits palsu (maudhu`) sudah mula berleluasa.

5. Ingatlah pesanan Rasulullah ﷺ: “Sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, maka siapkanlah tempat duduknya dalam neraka.” [HR Al-Bukhari, no 3461].

6. Oleh itu, umat Islam haruslah berhati-hati dalam menyebarkan info, terutama di media sosial. Boleh jadi hanya dengan menekan bukan “share” atau “forward”, kita telah menyiapkan tempat duduk kita di neraka. Niat untuk berbuat kebaikan akhirnya dibalas dengan azab yang pedih, hanya kerana kita tidak bersikap tabayyun, sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah ﷻ kepada orang-orang yang beriman.

= = = = = = = = = =

Hashtag: #kenalquransunnah

Komen dan Soalan