Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-56 dan Ke-57

Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-56 dan Ke-57

1334
0
Iklan

Tafsir Surah Ghafir

Tafsir Ayat Ke-56

Ini adalah ayat Zajrun

إِنَّ الَّذينَ يُجادِلونَ في آياتِ اللَّهِ بِغَيرِ سُلطانٍ أَتاهُم ۙ إِن في صُدورِهِم إِلّا كِبرٌ ما هُم بِبالِغيهِ ۚ فَاستَعِذ بِاللَّهِ ۖ إِنَّهُ هُوَ السَّميعُ البَصيرُ

“Sesungguhnya orang-orang yang membantah mengenai maksud ayat-ayat Tuhanmu dengan tidak berdasarkan sebarang bukti yang sampai kepada mereka (dari pihak yang diakui benarnya), tidak ada dalam dada mereka melainkan perasaan mahukan kebesaran, kemahuan yang mereka tidak sekali-kali akan dapat mencapainya. Oleh itu mintalah perlindungan kepada Allah SWT (dari angkara mereka); sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat”.

إِنَّ الَّذِينَ يُجَادِلُونَ فِي آيَاتِ اللَّهِ

Sesungguhnya orang-orang yang membantah ayat-ayat Allah SWT,

Musyrikin Mekah tidak senang dengan ajaran Al-Al-Quran dan mereka menentang apa sahaja yang mereka dengar dari Al-Quran.

Tetapi zaman sekarang di kalangan masyarakat kita pun, ada juga iaitu mereka yang tidak senang dengan ayat Al-Quran ini, sentiasa membantah pengajaran dari tafsir Al-Quran.

Memang mereka tidak tolak Al-Quran, tetapi apabila kita beritahu makna sesuatu ayat berdasarkan pengajaran tafsir, mereka akan bantah kalau berlawanan dengan fahaman mereka yang salah, dan kerana berlawanan dengan kehendak nafsu mereka.

بِغَيْرِ سُلْطَانٍ أَتَاهُمْ

tanpa dalil bukti yang datang pada mereka.

Dan mereka bantah bukan pakai dalil pun. Mereka hanya menggunakan akal sebagai dalil mereka. Mereka kata “takkan salah amalan-amalan yang tok nenek kita buat kot…”.

Kalau mereka bantah dengan beri dalil dan bukti sahih, tidaklah mengapa. Tetapi mereka bantah dengan bantahan kosong sahaja. Ini memang tidak patut. Kita bukan larang orang tidak setuju dengan kita dan kadang-kadang mungkin kita ada kesalahan. Ini biasa sahaja kerana kita bukannya Nabi.

Tetapi kenalah ada perbandingan ilmu dan perbincangan yang berlandaskan ilmu. Kalau bantah kosong sahaja, pakai akal sahaja, semua orang boleh. Akhirnya semua ada fahaman masing-masing dan ini tidak patut kerana yang kita mahu adalah kebenaran. Dan kebenaran yang berasaskan dalil Al-Quran dan sunnah dari Nabi SAW. Kalau bawa kata-kata manusia, belum tentu benar lagi.

Tetapi begitulah manusia ramai yang tidak tahu apakah maksud ‘dalil’. Pada mereka kalau orang dulu buat, ada dalam kitab itu dan ini, ada ulama kata boleh buat amalan itu dan ini, mereka dah kata itu adalah ‘dalil’. Tetapi sebenarnya tidak.

إِنْ فِي صُدُورِهِمْ إِلَّا كِبْرٌ

Dalam hati mereka itu tidak ada lain melainkan kesombongan.

Allah SWT beritahu kenapa mereka menolak dan menentang. Ada masalah dalam hati mereka sebenarnya. Mereka sombong untuk terima kebenaran.

Mereka tidak terima itu bukan kerana ‘tidak tahu’, tetapi kerana ‘degil’ sahaja. Walaupun kebenaran telah datang di hadapan mereka, tetapi mereka sombong tidak mahu terima. Mereka hendak berada di tempat yang tinggi, sampai tidak mahu terima pendapat orang lain.

Walaupun ajaran yang Nabi sampaikan itu adalah dari Allah SWT, tetapi ramai yang sombong untuk terima.

Kalau zaman sekarang ini, ada golongan agamawan yang telah dipandang tinggi oleh masyarakat. Jadi apabila diberitahu ajaran yang berlainan dari apa yang mereka ajar sebelum ini, maka mereka risaulah sebab kedudukan mereka terancam. Maka mereka lawan ajaran sunnah. Mereka hendak mereka tetap di atas dipandang tinggi oleh masyarakat.

مَا هُمْ بِبَالِغِيهِ

sedangkan mereka tidak akan boleh mencapainya

Sedangkan mereka tidak akan dapat mencapai kedudukan yang mereka hendak itu. Mereka hanya perasan sahaja yang mereka berada di kedudukan yang tinggi. Tidak akan sesiapa mencapai darjat yang tinggi melainkan jika Allah SWT kehendaki.

Dan Allah SWT tidak suka orang yang membesarkan diri, orang yang sombong. Kerana sombong itu adalah sifat Allah SWT – al-Mutakabbir. Allah SWT tidak suka kalau ada orang lain yang juga ada perasaan sebegitu, kerana itu adalah haq-Nya.

فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ

Hendaklah kamu minta perlindungan kepada Allah SWT.

Kalau ada orang yang sebegini berhadapan dengan kita, maka mintalah perlindungan kepada Allah SWT dari kesan buruk dari mereka. Kerana mereka mungkin ada kekuatan dan kuasa hendak sakiti kita atau penjara kita.

Serahkan kepada Allah SWT sahaja. Kerana Allah SWT akan menjaga hamba-Nya yang mukmin dan beri kemenangan kepada orang mukmin. Mintalah kepada Allah SWT untuk apa sahaja yang kesulitan yang kita hadapi.

إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ

Sesungguhnya Dia Maha Mendengar.

Dia Maha Mendengar doa kita kepada-Nya. Tidak ada sembahan lain yang boleh mendengar doa kita.

Dia juga mendengar apa sahaja kata-kata orang kepada kita. Jadi jangan risaulah, bukan Allah SWT tidak tahu.

Dan Allah SWT mendengar apa kata hati kita kepada orang lain.

الْبَصِيرُ

Maha melihat.

Maha melihat tindak tanduk orang kepada kita dan tindak tanduk kita kepada orang.

Jadi, hendaklah kita berhati-hati dengan kelakuan kita kepada orang lain. Kalau orang lain buat jahat, jangan kita pun hendak buat jahat sekali sama macam mereka.

Tafsir Ayat Ke-57

Dalam dunia ini, kita tahu bahawa benda-benda besar macam langit, bulan, matahari dan lain-lain adalah ciptaan Allah SWT. Maka dari itu, kita boleh ambil dalil bahawa benda-benda kecil pun Tuhan boleh buat. Dalil sebegini dipanggil ‘dalil Inni’.

Ayat ini adalah dalil Aqli tentang adanya Hari Kiamat. Orang musyrikin Mekah tidak percaya adanya kehidupan selepas kematian. Kerana mereka tidak boleh terima yang Allah SWT boleh hidupkan semula makhluk yang telah lama mati. Maka, Allah SWT berikan dalil kepada mereka dalam ayat ini.

Ayatnya:

لَخَلقُ السَّماواتِ وَالأَرضِ أَكبَرُ مِن خَلقِ النّاسِ وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ

“Demi sesungguhnya, menciptakan langit dan bumi lebih besar (dan lebih menakjubkan) daripada menciptakan manusia; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.

لَخَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

“Sesungguhnya, penciptaan langit dan bumi”

Allah SWT menyuruh kita melihat kepada dua makhluk yang paling besar yang kita boleh nampak – langit dan bumi. Tentu ada lagi makhluk lain yang lebih besar, seperti Arasy, tetapi kita tidak boleh nampak. Maka, Allah SWT suruh kita lihat kepada langit dan bumi yang besar ini kerana kita boleh lihat dengan senang. Maka ianya dijadikan sebagai dalil.

أَكْبَرُ مِنْ خَلْقِ النَّاسِ

“lebih besar dari penciptaan manusia”.

Tentulah kita pun tahu, langit dan bumi ini lebih besar dari manusia. Kalau kita lihat secara zahir, kita tentu sangka untuk cipta langit dan bumi lagi payah dari cipta manusia. Tetapi bagi Allah SWT, serupa sahaja dua-dua penciptaan ini – mudah sahaja bagi Allah SWT.

Dan sangatlah hebatnya alam ini. Semua bintang yang kita boleh lihat dengan teropong dan segala bintang yang sama ada kita boleh nampak atau tidak di cakerawala itu adalah semuanya sekali di bawah langit pertama. Ada 4 billion matahari. Tidak terkira banyaknya bintang-bintang itu. Dan semuanya duduk di bawah langit pertama.

Kembali kepada dalil yang hendak disampaikan oleh Allah SWT – Allah SWT suruh kita tengok langit dan bumi ini. Keduanya adalah makhluk yang besar yang Allah SWT mampu buat. Bandingkan dengan diri manusia yang lebih kerdil dari keduanya itu. Kalau langit dan bumi yang begitu besar pun Allah SWT pun mampu buat, apatah lagi untuk menghidupkan kembali manusia selepas Hari Kiamat kelak? Tentulah Allah SWT mampu.

وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

“Tetapi kebanyakan manusia itu tidak mengetahui”.

Musyrikin Mekah tidak dapat terima akhirat itu akan terjadi kerana mereka ikut akal mereka yang lemah. Mereka kata tidak akan terjadi penghidupan semula.

Di akhirat nanti, semua manusia akan bangkit serentak apabila ditiupkan sangkakala. Padahal, masa nak jadikan makhluk-Nya dulu, ikut proses – dari mani, disimpan dalam rahim ibu, dan kemudian melalui proses sakit bersalin.

Proses-proses ini adalah kerana Allah SWT hendak tunjukkan kehebatan Dia sahaja. Padahal, sepertimana Dia boleh membangkitkan semua makhluk sekali gus pada hari akhirat nanti, Dia boleh sahaja menjadikan manusia yang pertama kali itu dengan terus sahaja tanpa melalui proses-proses di atas tadi.

Kerana itu Allah SWT suruh lihat langit dan bumi – kalau langit dan bumi yang besar dan hebat itu pun Allah SWT boleh jadikan, apatah lagi kalau hendak jadikan semula manusia dari mati kepada hidup. Senang sahaja bagi Allah SWT.

Mereka yang tidak dapat terima itu adalah kerana mereka tidak mahu berfikir. Mereka hendak ikut juga hawa nafsu mereka dan kerana itu mereka tidak mahu menerima ada kehidupan selepas kematian. Kerana kalau mereka terima adanya kehidupan selepas kematian, mereka tidaklah boleh sesuka hati selama mereka hidup ini. Sekarang mereka boleh buat apa sahaja yang mereka hendak buat, kerana mereka yakin yang mereka tidak akan dipertanggungjawabkan selepas itu.

Inilah Tauhid Rububiyyah. Mereka kenal Allah SWT dan mereka tahu yang Allah SWT itu Tuhan. Mereka tahu yang alam ini Allah SWT yang cipta dan jaga. Cuma mereka jadi syirik sahaja kerana mereka beriktikad ada ilah lain.

Kalau ada keinginan hati manusia kepada kebenaran, doa minta Allah SWT tunjukkan kebenaran, Allah SWT akan pandu orang itu kepada kebenaran.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan