Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-55

Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-55

3131
0
Iklan

Tafsir Surah Ghafir

Tafsir Ayat Ke-55

Ini adalah ayat Tasliah untuk memujuk hati hamba-Nya yang berjuang untuk menegakkan agama Allah SWT dengan menyampaikan dakwah.

فَاصبِر إِنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ وَاستَغفِر لِذَنبِكَ وَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ بِالعَشِيِّ وَالإِبكارِ

“(Setelah engkau mengetahui perihal Nabi SAW Musa dan umatnya) maka bersabarlah (wahai Muhammad, dalam perjuangan menegakkan Islam); sesungguhnya janji Allah SWT (untuk menjayakanmu) adalah benar. Dan pohonlah ampun bagi salah silapmu, serta bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang”.

فَاصْبِرْ

Bersabarlah kamu.

Allah SWT menyuruh Nabi SAW dan kita semua untuk bersabar. Ingatlah bahawa dengan sabar juga, kita akan dapat pahala. Allah SWT berikan dugaan untuk kita, supaya kita dapat pahala tambahan dengan sabar itu.

Terdapat satu hadis berkenaan dengan hal sabar ini. Satu hari, apabila Nabi SAW sudah solat, baginda mendengar seorang sahabat yang sedang berdoa. Sahabat itu sedang berdoa: “Berilah pada aku, sabar”. Maka Nabi SAW berkata kepadanya: “adakah kamu hendak meminta bala?”

Sabar tidak akan datang, melainkan bala datang dahulu kerana bala dan sabar adalah serangkai. Ini bermakna, sesiapa minta untuk jadi seorang yang sabar, bermakna dia minta bala sebenarnya. Mungkin ramai yang tidak tahu perkara ini dan bila saya sebut ramai yang terkejut, bukan?

Kita sebenarnya disuruh untuk sabar apabila sudah datang bala kepada kita. Apa yang boleh kita berdoa adalah supaya kita tidak ditimpakan dugaan yang kita tidak boleh hadapi. Doa ini ada di dalam surah [Baqarah: 286] iaitu surah terakhir dalam surah Baqarah. Gunakan doa dalam ayat yang telah Allah SWT berikan dalam ayat ini dan jangan kita reka doa-doa yang lain. Ingat, jangan minta dijadikan sebagai orang yang sabar!!

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِنْ نَسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنْتَ مَوْلَانَا فَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Allah SWT tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”. [Al-Baqarah: 286]

 Baik, kembali kepada ayat hari ini. Ada banyak perkara yang kita kena sabar dalam hal agama ini. Maka bersabarlah dalam usaha untuk melaksanakan syariat yang telah Allah SWT berikan kepada kita. Terdapat dugaan di dalam menjalankan perintah Allah SWT.

Syariat agama kita bukannya susah sangat sebenarnya, tetapi kita maklum yang kadang-kadang susah hendak amalkan agama ini. Seperti Allah SWT menguji manusia kadang-kadang puasa dalam musim sejuk, dan kadang-kadang dalam musim panas; kadang hendak solat tetapi sedang sibuk dengan kerja, atau terkandas dalam perjalanan balik ke rumah; atau kita sedang sakit dan sebagainya. Semua ini memerlukan kesabaran.

Dan satu lagi, bersabarlah untuk memegang sunnah Nabi SAW. Ini adalah satu perkara yang payah sekali untuk kita lakukan. Banyak perbuatan manusia yang kita lihat adalah bercanggah dengan syariat. Contohnya, menyambut perayaan Maulidur Rasul, Majlis Tahlil, Marhaban dan macam-macam lagi.

Menyambut Maulid Nabi SAW adalah contoh perbuatan bid’ah dan amat ramai sekali umat Islam di dunia meraikannya, padahal ia adalah satu perbuatan yang salah dan sia-sia. (Malah ada yang buat sambutan maulid bulan dan mingguan pun ada). Ia menjadi masalah kepada kita untuk tidak menyambutnya kerana ia disambut oleh majoriti umat Islam. Orang akan memandang serong kepada kita kalau kita tidak menyambutnya. Mereka akan kata kita tidak sayangkan Nabi Muhammad SAW pula. Jadi, kena bersabar dalam menghadapi tohmahan dari orang-orang yang sebegini.

إِنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ

Sesungguhnya janji Allah SWT itu benar.

Bersabarlah kerana janji Allah SWT itu benar. Iaitu janji Allah SWT untuk memberi syurga kepada manusia adalah benar.

Dan bersabarlah kerana janji Allah SWT untuk memberi balasan baik kepada mereka yang bersabar adalah benar. Ia pasti datang, cuma lambat atau cepat sahaja.

Bersabarlah kerana Allah SWT telah berjanji untuk beri kejayaan kepada kita.

Jadi inilah pelembut hati untuk kita – semasa kita kena dugaan itu, kenanglah yang Allah SWT akan beri balasan baik kepada mereka yang sabar. Tetapi kena sabarlah dan jangan merungut, kerana kalau merungut, itu sudah tidak termasuk dalam golongan yang sabar. Redha sahaja dengan apa yang terjadi.

وَاسْتَغْفِرْ لِذَنْبِكَ

Hendaklah kamu minta ampun dosa-dosamu.

Dalam masa bersabar itu, sibukkan diri dengan amalan kebaikan. Salah satunya istighfar atas dosa kita. Ayat ini asal khitabnya kepada Nabi Muhammad SAW, tetapi bukanlah bermaksud Nabi Muhammad SAW ada dosa. Nabi Muhammad SAW tidak berdosa kerana iktikad ahli sunnah kita, semua Nabi SAW adalah maksum – tidak berdosa. Jadi maksud ayat ini adalah untuk mengajar umat, untuk selalu istighfar. Malah baginda sendiri istighfar, bukan?

Pengajaran untuk kita: mintalah ampun untuk dosa kita SEMUA sekali. Jangan malu hendak minta Allah SWT ampunkan dosa kita. Tidak kira banyak mana pun dosa kita, mintalah ampun. Kadang-kadang ada yang malu hendak minta Allah SWT ampunkan semua dosa kita, takut kita minta lebih pula. Padahal, Allah SWT boleh sahaja beri ampun semua sekali dosa kita.

Satu lagi, apabila orang tolak kita dan lawan kita, syaitan akan tunjukkan keburukan orang yang tolak kita itu. Ada kemungkinan kita boleh ambil kesempatan itu untuk serang dia balik. Jika kita lakukan begitu, kita pula yang akan berdosa kerana serang dia balik. Maka Allah SWT ajar kita untuk fikirkan dosa kita, bukan untuk fikirkan dosa orang lain. Biarkanlah mereka mahu meroyan, jangan kita ikut meroyan macam mereka pula.

وَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ بِالعَشِيِّ وَالإِبكارِ

“serta bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang”.

Selain dari istighfar, hendaklah kamu sentiasa menyucikan sifat-sifat syirik yang ada dalam hati. Itulah maksud ‘tasbih’. Ada ramai orang yang sebut ‘subhanAllah’, tetapi mereka tidak faham apakah maksud tasbih itu sendiri.

Tasbih adalah membersihkan Allah SWT dari sifat yang tidak layak bagi Allah SWT. Amat malang kalau ada yang selalu bertasbih, tetapi dalam masa yang sama mereka melakukan syirik. Mulut mereka menyucikan Allah SWT dari sifat syirik, tetapi mereka pula yang buat syirik. Tidak kena apa yang disebut dengan mulut dan perbuatan mereka. Ini adalah kerana tidak belajar.

Ayat ini juga bermaksud yang kita kena sentiasa memuji Tuhan. Iaitu dengan baca tahmid (alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah). Oleh itu, ada zikir yang berbentuk tasbih (menyucikan) dan ada zikir dalam bentuk puji. Ini dipanggil ‘nafi’ dan ‘ithbat’. Begitulah dalam syahadah kita la ilaha illAllah, ada nafi dan ada ithbat, di mana kita menafikan sifat-sifat yang tidak patut dengan Allah SWT dan kemudian kita menetapkan sifat-sifat yang sesuai dengan Allah SWT.

Senangnya, kita buat semua sekali, iaitu dengan berzikir astaghfirullah, SubhanAllah, walhamdulillah, walailaha illAllah, wAllahu akbar. Dan lain-lain zikir yang sunnah dari Nabi SAW.

Jangan pula ambil amalan zikir dari sumber yang tidak dapat dikenal pasti. Banyak berlegar dalam masyarakat kita, amalan-amalan yang salah. Kalau tidak belajar, boleh tertipu. Antaranya yang diambil dari kitab-kitab yang tidak merujuk kepada sunnah. Sebab itu kita selalu pesan, kena belajar tafsir dan hadis Nabi SAW sebelum merujuk kepada kitab-kitab yang ada di pasaran.

Apabila dikatakan waktu ‘pagi dan petang’, maknanya ‘sepanjang masa’. Dalam masa yang sama, ada zikir-zikir masnoon yang Nabi SAW ajar yang diamalkan mengikut waktu-waktu tertentu. Ada yang dibaca pagi, ada yang dibaca petang. Boleh rujuk kepada kitab-kitab Sunnah seperti Hisnul Muslim untuk mendapatkan amalan-amalan ini. Zikir-zikir yang ada dalam kitab ini dinamakan Zikir-zikir Masnoon, iaitu amalan zikir harian yang ada sumber dari Nabi Muhammad SAW, melalui sanad-sanad yang sahih.

Allah SWT ajar kita untuk sibukkan diri dengan amal ibadat. Bila sibuk dengan amal ibadat, kuranglah teringat tentang perkara lain, bukan?

Lafaz ‘tasbih’ itu juga boleh bermaksud ‘solat sunat’. Selalulah buat solat sunat.

Jangan kita fikir tentang rancangan jahat manusia dan apa-apa yang mereka kata tentang kita dan kepada kita. Kalau kita buat sesuatu yang baik, kita akan terlupa dengan perkara-perkara yang tidak perlu kita fikirkan. Kerana kita bukan boleh ubah pun apa yang mereka katakan itu. Kalau mereka ada perancangan jahat, kita pun tidak boleh buat apa-apa pun. Jadi buang masa kalau kita cuba nak lawan perancangan mereka, atau kita cuba hendak jawab dakwaan-dakwaan mereka itu. Lebih baik kita buat amal sahaja, dan serahkan perkara mereka kepada Allah SWT untuk diuruskan. Allah SWT lebih tahu apa hendak buat dengan mereka.

Semoga dengan mengamalkan zikir-zikir itu, dapat menghilangkan kesedihan hati. Sebab selalunya hati kita tidak tahan dengan dugaan. Dan dengan mengingati Allah SWT, hati akan menjadi tenang. Seperti Allah SWT sebut dalam ayat yang lain:

أَلاَ بِذِكْرِ اللهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Ingatlah, dengan mengingati Allah SWT-lah hati menjadi tenteram. [Ra’d: 28]

Kalau kena kutuk, kena hina tu, rasa macam hendak lawan balik pun ada, bukan? Tetapi itulah bahayanya kalau kita lawan balik kerana takut sampai kita buat dosa pula dengan melawan mereka dengan menggunakan kata-kata hodoh yang tidak patut.

رواه الترمذي 3527 من طريق أَبِي الْوَرْدِ عَنْ اللَّجْلَاجِ عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ قَالَ : ” سَمِعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا وَهُوَ يَقُولُ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الصَّبْرَ ، فَقَالَ : سَأَلْتَ اللَّهَ الْبَلَاءَ فَسَلْهُ الْعَافِيَةَ

Nabi SAW mendengar seorang lelaki berdoa: Ya Allah SWT aku memohon kepada-Mu sabar.

Baginda bersabda: kamu meminta bala. Maka mintalah afiah. [Hadis Riwayat At-Tirmidzi].

 

Allahu a’lam.

 

Komen dan Soalan