Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-‘Alaq – Tafsir Ayat Ke-9 dan Ke-10

Tafsir Surah Al-‘Alaq – Tafsir Ayat Ke-9 dan Ke-10

1257
0
Iklan

Tafsir Surah Al-‘Alaq

Tafsir Ayat Ke-9

Dalam ayat sebelum ini telah dibincangkan tentang mereka yang merasa diri serba cukup, lalu tidak hiraukan peringatan dari Allah SWT.

Perkara merasa “serba cukup”, membuatkan manusia tertentu terjatuh ke lembah kebinasaan.

– Sama ada “terpesona” melihat diri sendiri.

– Atau “terpesona” dengan pandangan / pujian orang lain terhadap dirinya.

Juga ada juga perkongsian dari saya, agar tuan-puan boleh juga membaca kisah di sebalik Surah Abasa.

(untuk lebih kukuh dan fahami/hayati perbincangan ayat 6 dan 7).

Soalan: Bagaimana cara untuk sedarkan mereka?

(atau bagaimana hendak beri kesedaran untuk perbetulkan hati yang mungkin sudah rasa serba cukup dengan dunia??)

Jawapan: Doa, baca Quran dan belajar, ambil pengajaran dan lain-lain.

Untuk sedarkan mereka, kita kena ingatkan mereka bahawa mereka akan bertemu dengan Tuhan suatu masa nanti.

إِنَّ إِلىٰ رَبِّكَ الرُّجعىٰ

“Sesungguhnya hanya kepada Tuhan mu lah kembali(mu)”

Hanya mereka yang benar-benar yakin dengan sebenarnya bahawa mereka akan kembali bertemu dan menghadap Allah SWT untuk dipertanggungjawabkan dengan segala perbuatan.

Mereka itulah manusia yang akan menahan diri daripada terus melakukan dosa-dosa dan seterusnya mentaati Allah SWT.

Termasuklah dapat menjaga hati dari fitnah rasa “serba cukup” tadi.

Dalam surah/ayat yang lain, Allah menjelaskan SEBAB atau “rootcause” bagi seseorang itu mengingkari Allah.

Rujuk [Al-Infitar: 6 – 9]

يَا أَيُّهَا الْإِنسَانُ مَا غَرَّكَ بِرَبِّكَ الْكَرِيمِ

“Wahai manusia! Apakah yang memperdayakan mu – (berlaku derhaka) kepada Tuhan mu yang Maha Pemurah?”

الَّذِي خَلَقَكَ فَسَوَّاكَ فَعَدَلَكَ

“Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadian mu, lalu menjadikan anggota mu sesuai sama padan dengan kekuatannya”;

فِي أَيِّ صُورَةٍ مَّا شَاءَ رَكَّبَكَ

“Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendaki-Nya, Ia menyusun kejadian mu”.

كَلَّا بَلْ تُكَذِّبُونَ بِالدِّينِ

“Sebenarnya tidak ada yang memperdayakan kamu (hai golongan yang ingkar)! Bahkan kamu sendiri tidak percayakan adanya hari pembalasan”.

“Rootcause” atau sebab ingkar: TIDAK percayakan adanya hari pembalasan.

Dalam maksud lain: hari pertemuan dengan Allah SWT.

Manusia mudah lupa, maka itulah penjelasan lebih mengenai kesan “keingkaran” dengan hari pertemuan dengan Allah dalam ayat tersebut

Contoh:

Seorang lelaki berikan hadiah, cincin, pelbagai barang kepada si perempuan. Jelas sekali untuk apa? Ya, sebagai tanda ingatan, agar perempuan tu kenangkan lelaki tersebut.

Begitu lebih besar Allah beri kita bermacam-macam, tunjukkan kebesaran dalam pelbagai bentuk dan makhluk cuma manusia sahaja yang susah untuk memahami.

Oleh itu, kita boleh dapati satu formula dari Al-Quran.

Terpedaya/Ingkar kepada Allah = kerana tidak kuat menjaga iman (antaranya mengenai keyakinan hari pertemuan dengan Allah SWT).

Maksud lain jika tidak takut buat dosa, itulah tanda iman ada masalah!

Selain itu, kita boleh melihat kebesaran mukjizat Al-Quran. Tiada berlawanan maksud (kontradik), bahkan saling berkaitan.

(contoh : ayat dalam Al-‘Alaq ini dengan ayat dalam Al-Infithar).

Kesimpulan bagi ayat ini:

Jika hati kita mula merasa keras atau jauh dengan Allah SWT, antaranya apabila merasa diri sudah cukup segalanya, tanpa memerlukan petunjuk Allah. Maka, ingatlah semula akan pertemuan kita dengan Allah SWT.

Mampu kah untuk kita menjawab atau membentangkan dengan segala “rasa kecukupan” itu tadi?

Sekarang kita masuk ke dalam bahagian ke 3 surah ini.

Pada bahagian ini, Allah memberikan contoh mereka yang melawan Nabi Muhammad SAW. Allah SWT menceritakan seorang individu yang menentang Nabi SAW , padahal sebelum itu dialah orang yang amat menyayangi Nabi.

Pandangan secara umum, kita dapat melihat sememangnya masyarakat Mekah sayang kepada Nabi, sehingga menggelar baginda dengan gelaran “Al-Amin’ (yang dipercayai).

Akan tetapi, penentangan kepada Nabi SAW bermula apabila baginda mula menyampaikan wahyu kepada mereka dan membawa ajaran tauhid.

Dan siapakah pemimpin besar antara mereka yang menentang, yang akan disebut selepas ini?

Kali ini akan memperkatakan mengenai Abu Jahal sebagai contoh seorang penentang Nabi Muhammad SAW. Beliau dikenali sebagai seorang yang kuat menentang kebenaran.

Abu Jahal adalah seorang yang penting untuk diketahui sifatnya. Bukan untuk dijadikan kekaguman, tetapi agar dijadikan iktibar.

Sebagai nota tambahan tuan/puan:

Dua lagi orang yang kuat menentang dakwah baginda adalah Abu Lahab dan Walid bin al-Mughirah.

Jadi, 3 pemuka Mekah yang utama menentang ialah:

  1. Abu Jahal
  2. Walid Al Mughirah
  3. Abu Lahab

Walaupun kedua orang itu juga penentang yang kuat, akan tetapi Abu Jahal lain sikit dari mereka.

Atau ada ciri penentangannya sendiri.

1.Abu Jahal lebih disenangi dan dipandang tinggi oleh Musyrikin Mekah waktu itu.

2. Berbanding dengan Abu Lahab seorang yang pengecut yang tidak menyertai pun Perang Badar untuk menentang Muslim di Madinah kerana dia memang takut mati. (kisah Abu Lahab nanti kita akan belajar dalam Surah Lahab ).

3. Sedangkan Abu Jahal kuat menentang dan sanggup berperang dengan baginda di medan peperangan dan akhirnya Abu Jahal mati dibunuh di medan Badar.

4. Dalam masa yang sama, Abu Jahal seorang yang “pemurah”, tidak seperti Abu Lahab yang bakhil. Abu Jahal sanggup mengeluarkan wangnya untuk menentang dalam usaha hendak menjatuhkan agama Islam.

Manakala Walid sifat penentangannya, pertengahan antara Abu Jahal dan Abu Lahab.

Nabi SAW berdoa berkenaan Abu Jahal:

“Ya Allah, muliakanlah Islam dengan salah seorang dari dua orang yang lebih Engkau cintai; Umar bin Khattab atau ‘Amr bin Hisyam (Abu Jahal)”.

Ini menunjukkan Nabi Muhammad SAW nampak ada kelebihan yang ada pada Abu Jahal. Jikalau dia masuk Islam, dia akan bawa kebaikan kepada agama Islam.

Begitu juga dengan Saidina Umar Al-Khattab yang juga mempunyai banyak kelebihan. Antara mereka berdua itu, Umar bin Al-Khattab yang menjadi Muslim dan akhirnya banyak membantu mengembangkan agama Islam.

Beliau menjadi seorang yang penting sehingga menjadi salah seorang khalifah yang mengembangkan ajaran Islam ke seluruh dunia.

Maka ayat yang ke 9 dan 10 dari Surah Al A’laq:

أَرَأَيتَ الَّذي يَنهىٰ

“Bagaimana pendapat mu tentang orang yang melarang”,

 عَبدًا إِذا صَلّىٰ

“seorang hamba ketika mengerjakan solat”,

Yang dimaksudkan ialah:

Menghalang Nabi dari solat di Kaabah.

Aro-aita: Apakah kamu melihat?

Bermakna: Apakah kamu melihat nasib seorang yang sanggup dan berani hendak menahan Nabi Muhammad SAW dari melakukan solat berdekatan Kaabah itu?

(Orang yang dimaksudkan di sini adalah Abu Jahal )

Hadis Nabi saw:

ابْنِ عَبَّاسٍ: قَالَ أَبُو جَهْلٍ: لَئِنْ رَأَيْتُ مُحَمَّدًا يُصَلِّي عِنْدَ الْكَعْبَةِ لَأَطَأَنَّ عَلَى عُنُقه. فبَلغَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: “لَئِنْ فَعَلَهُ لَأَخَذَتْهُ الْمَلَائِكَةُ

Dari Ibnu Abbas yang menceritakan bahawa Abu Jahal berkata,

“Sesungguhnya jika aku melihat Muhammad SAW solat dekat Ka’bah, aku benar-benar akan menginjak lehernya.” Maka ancaman itu sampai kepada Nabi SAW.

lalu Nabi SAW bersabda:

Sesungguhnya jika dia melakukan niatnya, benar-benar malaikat akan mengambilnya (menghukumnya).

Kesimpulan: Apakah yang Allah SWT suruh kita lihat pada ayat ke-9 dan ke-10 ini?

“Kejadian Nabi Muhammad SAW solat berdekatan Kaabah dan baginda diganggu oleh Abu Jahal”

– Tetapi tujuan ayat ini sebagai pengajaran kepada semua manusia.

Macam dalam kuliah, kita telah tahu jawapan kepada soalan yang hendak diberi. Yang ditanya juga sudah mengerti maksudnya.

Tetapi tujuan diwujudkan pertanyaan sebagai pengajaran kepada yang lain.

Ibrah dan kesimpulan:

1. Ubat untuk hati yang keras, berasa cukup dan tidak memerlukan pedoman Allah SWT ialah: dengan mengingati hari pertemuan dengan Allah. Semoga dengan mengingati hari pertemuan itu, membuat manusia kembali tunduk dan taat mengikut agama Allah SWT.

2. Iman juga boleh diibaratkan “cermin mata” kepada manusia. Kisah Abu Jahal, kisah neraka dan lain-lainnya sememangnya kisah yang buruk.

Namun bagi pandangan dari “cermin mata” orang beriman, ia adalah nikmat pengajaran dari Allah SWT.

Begitu juga kisah-kisah dalam kehidupan kita. Cermin mata orang beriman akan sentiasa menapis dan memberi pengajaran yang baik kepada dirinya

3. Kita patut memberi kemudahan orang lain melakukan ibadah, bukan sebaliknya dengan menyusahkan atau apatah lagi menghalang orang melakukan kebaikan.

“Cermin mata” kita kena selalu dilap. Nanti yang kotor bukan lantai, rupanya pandangan mata sendiri. Jika salah pilih kain, lebih teruk atau akhirnya putus asa. Itu yang membuatkan syaitan suka.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan