Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-45 dan Ke-46

Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-45 dan Ke-46

1967
0
Iklan

Tafsir Surah Ghafir

Tafsir Ayat Ke-45

Kisah-kisah akhir Lelaki Mukmin itu.

Apa yang terjadi selepas itu? Selepas Lelaki Mukmin itu bersyarah kepada Firaun dan pengikut-pengikutnya, beliau telah meninggalkan tempat tersebut. Sebelum itu dia kata dia berserah kepada Allah SWT.

فَوَقاهُ اللهُ سَيِّئَاتِ ما مَكَروا ۖ وَحاقَ بِآلِ فِرعَونَ سوءُ العَذابِ

Maka dia diselamatkan oleh Allah SWT dari angkara tipu daya mereka; dan Firaun bersama-sama kaumnya ditimpa azab seksa yang seburuk-buruknya,

فَوَقَاهُ اللهُ

Maka Allah SWT selamatkan dia.

Allah SWT telah selamatkan Lelaki Mukmin itu. Inilah natijah kalau serahkan diri kepada Allah SWT. Allah SWT tidak akan kecewakan.

Ada riwayat mengatakan Firaun telah menghantar seribu askar untuk bunuh Lelaki Mukmin itu. 500 dari seribu tentera itu mati tengah jalan kerana bencana alam. Lagi 500 orang lagi yang selamat itu, telah berasa takut untuk teruskan dan mereka tidak berani untuk meneruskan arahan untuk pergi membunuh Lelaki Mukmin itu. Mereka telah balik berjumpa Firaun dan memberitahu beliau apakah yang terjadi. Firaun amat marah dan mengatakan mereka berbohong dan semua kena bunuh akhirnya. Allahu ‘alam.

سَيِّئَاتِ مَا مَكَرُوا

daripada kejahatan yang dirancang mereka.

Rancangan mereka untuk membunuh Lelaki Mukmin itu telah gagal. Begitulah kalau Allah SWT tidak benarkan, walau hantar seribu, sejuta atau apa sahaja, tidak akan terjadi apa yang dirancang.

Dikatakan yang Lelaki Mukmin itu telah pergi bergabung dengan Nabi Musa a.s akhirnya telah selamat menyeberang lautan bersama dengan Nabi Musa a.s

وَحَاقَ بِآلِ فِرْعَوْن سُوءُ الْعَذَابِ

dan diliputi ahli keluarga Firaun dengan azab yang berat

Inilah natijah kepada golongan yang bathil. Orang mukmin Allah SWT akan selamatkan dan yang bathil akan dimusnahkan iaitu mereka akhirnya dilemaskan dalam laut.

Disebut ‘keluarga Firaun’ kerana mereka memerintah dalam dinasti. Pemerintah tertinggi adalah dari kalangan kaum kerabat mereka sahaja.

Banyak pengajaran dari Lelaki Mukmin ini yang kita boleh tahu.

1. Dia dengar apa yang disampaikan oleh Nabi Musa a.s dan dia beriman dalam senyap.

2. Dia tidak terkesan dengan kedudukannya dalam istana.

3. Dia tidak menjadikan ketakutannya kepada Firaun sebagai sebab untuk tidak beriman.

4. Dia sanggup mempertahankan Rasul-Nya walaupun di hadapan raja yang zalim.

5. Dia pandai berhujah. Menggunakan hujah yang hebat-hebat sampaikan Allah SWT masukkan kata-katanya ke dalam Al-Quran.

6. Imannya mantap sampaikan dia sanggup serahkan diri sepenuhnya kepada Allah SWT. Memang ada kemungkinan besar dia akan kena bunuh, tetapi tawakalnya tinggi.

7. Dia berdakwah kepada kaumnya. Tidaklah dia beriman sendiri sahaja. Oleh sebab itu kita kena dakwah kepada masyarakat juga. Jangan hendak selamatkan diri seorang sahaja.

Takut atau tidak, kita tidak tahu perasaan dia waktu itu tetapi berani ini bukannya ‘tiada takut’, tetapi sanggup melepasi perasaan takut itu dan buat perkara yang benar. Kita baca kisah dalam Al-Quran tentang orang yang baik-baik supaya kita dapat ‘ambil semangat’ dari mereka. Cuba untuk jadi seperti mereka.

Tafsir Ayat Ke-46

Ayat ini adalah dalil kepada ‘azab kubur’. Ini penting untuk diketahui kerana ada juga orang Islam yang tolak azab kubur.

النَّارُ يُعْرَضُونَ عَلَيْهَا غُدُوًّا وَعَشِيًّا وَيَوْمَ تَقُومُ السَّاعَةُ أَدْخِلُوا آلَ فِرْعَوْنَ أَشَدَّ الْعَذَابِ

Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh); dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!”

النّارُ يُعرَضونَ عَلَيها غُدُوًّا وَعَشِيًّا

Mereka didedahkan kepada bahang api pada waktu pagi dan petang

Mereka dipanggang dengan bahang api setiap masa. Ini hendak menunjukkan betapa teruknya azab Allah SWT itu.

Lihatlah bagaimana mereka ingkar itu sekejap sahaja, selama mereka hidup sahaja, tetapi mereka berterusan dikenakan dengan azab.

Api itu adalah ‘Api Barzakh’. Allah SWT sebut ‘pagi dan petang’ sebagai isyarat kepada ‘setiap masa’. Selepas mereka ditenggelamkan dan dimatikan, mereka telah mula diseksa di alam barzakh. Ini sebelum masuk neraka.

Alam Barzakh adalah alam antara dunia dan akhirat. Apabila seseorang sudah mati, dia akan masuk dalam alam barzakh. Ayat ini adalah dalil menunjukkan alam barzakh ada dan azab kubur pun ada.

Ada puak yang tidak menerima ada seksaan alam barzakh dengan berbagai hujah mereka. Tetapi ayat ini adalah sebagai dalil bahawa memang ada seksaan kubur. Ahli Sunnah menerima adanya Alam barzakh ini, cuma kita tidak tahu secara terperinci tentangnya kerana ianya termasuk perkara ghaib.

Ada juga dalil dari hadis:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا هَاشِمٌ -هُوَ ابْنُ الْقَاسِمِ أَبُو النَّضْرِ-حَدَّثَنَا إِسْحَاقُ بْنُ سَعِيدٍ -هُوَ ابْنُ عَمْرِو بْنِ سَعِيدِ بْنِ الْعَاصِ-حَدَّثَنَا سَعِيدٌ -يَعْنِي أَبَاهُ-عَنْ عَائِشَةَ؛ أَنَّ يَهُودِيَّةً كَانَتْ تَخْدُمُهَا فَلَا تَصْنَعُ عَائِشَةُ إِلَيْهَا شَيْئًا مِنَ الْمَعْرُوفِ إِلَّا قَالَتْ لَهَا الْيَهُودِيَّةُ: وَقَاكِ اللَّهُ عَذَابَ الْقَبْرِ. قَالَتْ: فَدَخَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَيَّ فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَلْ لِلْقَبْرِ عَذَابٌ قَبْلَ يَوْمِ الْقِيَامَةِ؟ قَالَ: “لَا وَعَمَّ ذَلِكَ؟ ” قَالَتْ: هَذِهِ الْيَهُودِيَّةُ، لَا نَصْنَعُ إِلَيْهَا شَيْئًا مِنَ الْمَعْرُوفِ إِلَّا قَالَتْ: وَقَاكِ اللَّهُ عَذَابَ الْقَبْرِ. قَالَ: “كَذَبَتْ يَهُودُ. وَهُمْ عَلَى اللَّهِ أَكْذَبُ، لَا عَذَابَ دُونَ يَوْمِ الْقِيَامَةِ”. ثُمَّ مَكَثَ بَعْدَ ذَلِكَ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَمْكُثَ، فَخَرَجَ ذَاتَ يَوْمٍ نِصْفَ النَّهَارِ مُشْتَمِلًا بِثَوْبِهِ، مُحْمَرَّةً عَيْنَاهُ، وَهُوَ يُنَادِي بِأَعْلَى صَوْتِهِ: “الْقَبْرُ كَقِطَعِ اللَّيْلِ المظلم أَيُّهَا النَّاسُ، لَوْ تَعْلَمُونَ مَا أَعْلَمُ لَبَكَيْتُمْ كَثِيرًا وَضَحِكْتُمْ قَلِيلًا. أَيُّهَا النَّاسُ، اسْتَعِيذُوا بِاللَّهِ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، فَإِنَّ عَذَابَ الْقَبْرِ حَقٌّ”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Hasyim ibnul Qasim alias Abun Nadr, telah menceritakan kepada kami Ishaq ibnu Sa’id ibnu Amr ibnu Sa’id ibnul As, telah menceritakan kepada kami Sa’id (yakni ayahnya), dari Aisyah r.a., bahawa pernah ada seorang wanita Yahudi yang menjadi pelayannya, maka tidak sekali-kali Aisyah berbuat suatu kebaikan kepadanya, melainkan ia mendoakan bagi Aisyah, “Semoga Allah SWT memelihara dirimu dari siksa kubur.” Aisyah r.a. melanjutkan kisahnya, bahawa lalu Rasulullah SAW masuk menemuinya, maka ia bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah siksa kubur itu ada sebelum hari kiamat?” Rasulullah SAW. bersabda, “Tidak ada. Siapa yang menduga demikian?” Aisyah menjawab, “Wanita Yahudi ini, tidak sekali-kali aku berbuat baik kepadanya melainkan dia mendoakan bagiku, ‘Semoga Allah SWT memelihara dirimu dari siksa kubur’.” Rasulullah SAW. bersabda, “Orang-orang Yahudi itu pendusta dan terhadap Allah SWT mereka lebih pendusta lagi, tiada azab sebelum hari kiamat.” Kemudian selang beberapa waktu menurut apa yang dikehendaki Allah SWT, pada suatu hari beliau keluar di tengah hari seraya memakai kain selimut, sedangkan kedua mata beliau memerah, lalu beliau berseru dengan suara yang sangat keras: Alam kubur itu bagaikan sepotong malam hari yang sangat gelap. Hai manusia, sekiranya kamu mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kamu banyak menangis dan sedikit tertawa. Hai manusia, mohonlah perlindungan kepada Allah SWT dari siksa kubur, kerana sesungguhnya siksa kubur itu benar (adanya).

وَيَوْمَ تَقُومُ السَّاعَةُ

Dan pada hari kiamat nanti

Kenapa kita pasti bahawa alam yang disebut sebelum ini adalah Alam Barzakh? Kerana sekarang disebut pula alam akhirat. Azab api yang Firaun dan pengikutnya terima itu adalah dalam alam kubur, belum lagi alam akhirat. Kerana di akhirat nanti, mereka akan kena azab yang lebih teruk lagi.

أَدْخِلُوا آلَ فِرْعَوْنَ أَشَدَّ الْعَذَابِ

Masukkanlah keluarga Firaun kepada azab yang lebih teruk lagi

Allah SWT akan perintahkan malaikat untuk masukkan Firaun dan pengikutnya ke dalam neraka jahanam. Tidaklah dapat dibayangkan apa lagi azab yang lebih teruk dari Api Barzakh itu, tetapi Allah SWT beritahu kita, sebagai ‘takhwif ukhrawi’, yang mereka akan menerima azab yang lebih teruk di neraka kelak.

Akhir sekali, perkongsian hadis tentang perkara ini:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا إِسْحَاقُ، أَخْبَرَنَا مَالِكٌ، عَنْ نَافِعٍ، عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “إِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا مَاتَ عُرِضَ عَلَيْهِ مَقْعَدُهُ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ، إِنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَمِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ، وَإِنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ النَّارِ فَمِنْ أَهْلِ النَّارِ. فَيُقَالُ: هَذَا مَقْعَدُكَ حَتَّى يَبْعَثَكَ اللَّهُ، عَزَّ وَجَلَّ، إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ”.

 

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ishaq, telah menceritakan kepada kami Malik, dari Nafi’, dari Ibnu Umar r.a. yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: Sesungguhnya seseorang di antara kalian apabila mati, ditampakkan kepadanya setiap pagi dan petang kedudukannya. Jika dia termasuk ahli syurga, maka syurgalah yang ditampakkan kepadanya; dan jika dia ahli neraka, maka yang ditampakkan kepadanya adalah neraka. Lalu dikatakan kepadanya, “Inilah tempatmu kelak sampai Allah SWT membangkitkan kamu untuk menempatinya di hari kiamat.” Riwayat Bukhari dan Muslim.

Allahu ‘alam.

Komen dan Soalan