Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-‘Alaq – Tafsir Ayat Ke-7 dan Ke-8

Tafsir Surah Al-‘Alaq – Tafsir Ayat Ke-7 dan Ke-8

877
0
Iklan

Tafsir Surah Al-‘Alaq

Pada perbincangan yang lepas, iaitu pada ayat ke-6, kita telah membincangkan mengenai Tughyan:

– Apakah sifat Tughyan yang telah dinyatakan dalam Al-Quran (iaitu ciri-ciri melampaui batas).

– Siapakah orang yang disebut sebagai “pelampau” secara individu.

– Dan siapakah pula Tughyan yang disebut secara kaum / berkumpulan.

Soalan:

1. Siapakah nama individu yang Allah SWT sebut sebagai Tughyan dalam Al-Quran?

Firaun

2.  Apakah nama kaum yang Allah SWT sebut sebagai Tughyan dalam Al-Quran?

     Kaum Aad, Thamud dan kaum Nabi Nuh a.s

Rujuk: Surah [ An-Najm: 50 – 53 ]

وَأَنَّهُ أَهْلَكَ عَادًا الْأُولَىٰ

“Dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang membinasakan kaum “Aad” yang pertama (kaum Nabi Hud),”

وَثَمُودَ فَمَا أَبْقَىٰ

“Dan kaum “Thamud” (kaum Nabi Soleh). Maka tidak ada seorang pun (dari kedua-dua kaum itu) yang dibiarkan hidup”

وَقَوْمَ نُوحٍ مِّن قَبْلُ ۖ إِنَّهُمْ كَانُوا هُمْ أَظْلَمَ وَأَطْغَىٰ

“Dan kaum Nabi Nuh sebelum itu (telah juga dibinasakan). Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang sangat zalim dan sangat melampaui batas”.

Persoalan berikutnya, bagaimana manusia boleh bersikap “Tughyan” itu?

Tafsir Ayat Ke-7 :

أَن رَآهُ استَغنىٰ

“kerana dia melihat dirinya serba cukup”

Dalam maksud lain:

Orang itu jadi begitu kerana mereka sangka dan rasa yang mereka itu serba cukup, tidak perlukan Allah SWT serta petunjuk-Nya.

Pada pandangan mereka:

1. Hidup ini biar diatur sendiri tanpa perlu mengikut agama. Berdasarkan akal fikiran semata dan tidak memerlukan wahyu Allah SWT. Apatah hari ini ada yang berasa kolot apabila mengikut agama.

2. Mereka merasa cukup sekadar berada dalam kehidupan – cukup makan dan pakai, selamat dari bahaya. Bina kehidupan dunia, tanpa teringat untuk bersedia terhadap kehidupan yang kekal abadi (akhirat).

Semoga Allah SWT jauhkan kita dari 2 jenis sangkaan ini.

Soalan: Kita tidak dapat bayangkan bagaimanakah kaum Aad dan kaum-kaum seumpama yang dikatakan melampaui batas itu. Hidup zaman sekarang ini lagi banyak perkara-perkara yang telah melampaui batas cuma, adakah Allah SWT tangguhkan pembalasan sehingga hari akhirat?

Jawapan: Melampaui batas sebab tidak mahu ikut perintah Allah SWT dan Rasul SAW. Lalu Allah SWT hukum kesombongan dan keegoan mereka. Allah tangguh hingga hari akhirat kerana sifat pemurah Allah SWT. Namun, jika Allah SWT berkehendak, tidak mustahil Allah SWT beri kedua-dua balasan di dunia dan akhirat.

Kita pun hari ini kena semak semula diri kita sama ada ikut firman Allah SWT (Al-Quran) dan kata Nabi SAW (Hadis).

Akal fikiran kita terbatas, jika hendak selamat terus atas dunia maka kena ikut perintah Allah SWT. Dunia ini rapuh, bila-bila masa sahaja “banjir” besar (atau seumpama) boleh menimpa kita..

Sikap yang paling “akrab” apabila merasa cukup ini ialah: bakhil.

Hal ini disebut dalam [ Al-Lail: 8 dan 9 ]:

وَأَمّا مَن بَخِلَ وَاستَغنىٰ

“Sebaliknya: orang yang bakhil dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya”

وَكَذَّبَ بِالْحُسْنَىٰ

“Serta ia mendustakan perkara yang baik”

Bakhil di sini bermaksud: Lengah daripada berbuat kebajikan, kebaikan kepada Allah SWT.

Oleh itu, setiap kurniaan Allah SWT kepada kita, segera kembalikan semula kepada Allah SWT. Jangan kita bakhil dengan kecukupan yang kita ada pada hari ini kerana semuanya adalah dari Allah SWT yang memberi pinjam kepada kita.

Pendapat peribadi saya:

Golongan begini jadi bakhil sebab dia rasa semua nikmat itu kepunyaan dia.

Dia takut apabila memberi, akan berkurangan. Dia lupa bahawa semua dari Allah SWT dan Allah SWT jua yg menentukan segalanya.

Soalan: Adakah maksud bakhil di sini tidak mahu bersedekah dan membuat kebajikan lain?

Jawapan: Pada kefahaman biasa, kita anggap tidak suka bersedekah tetapi pada maksud yang umum tidak mahu berbuat apa sahaja kebaikan padahal dia mampu termasuklah jiwa, harta, masa dan tenaga.

Perkara yg kita perlu muhasabah juga, “bagaimana kecenderungan kita di atas dunia”

Lazimnya, kita juga suka memandang manusia yang kita “rasakan” serba cukup. Sedangkan pandangan begitu yang membuatkan agama kita menjadi sempit, dan tidak menjadi masyarakat yang terbuka.

Firman Allah SWT dalam Surah [ ‘Abasa: 5 – 10 ]:

أَمَّا مَنِ ٱسْتَغْنَىٰ

“Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup”, [‘Abasa: 5]

فَأَنتَ لَهُۥ تَصَدَّىٰ

“maka kamu melayaninya”. [‘Abasa: 6]

وَمَا عَلَيْكَ أَلَّا يَزَّكَّىٰ

“Padahal tidak ada (celaan) atasmu kalau dia tidak membersihkan diri (beriman)”.[‘Abasa: 7]

Ini menunjukkan manusia memang terbiasa untuk “memilih” dan cenderung untuk memilih orang yang kononnya “serba cukup”.

(Sehingga bimbang orang “serba cukup” itu mudah untuk terlalai hingga melupai Allah SWT kerana terlena dengan pandangan dan sanjungan manusia).

Sedangkan pilihan kita sepatutnya untuk mendekati orang yang ingin beriman dan takutkan Allah SWT.

وَأَمَّا مَن جَآءَكَ يَسْعَىٰ

“Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera (untuk mendapatkan pengajaran)”, [‘Abasa: 8]

وَهُوَ يَخْشَىٰ

“sedang ia takut kepada (Allah)”,[‘Abasa: 9]

فَأَنتَ عَنْهُ تَلَهَّىٰ

“maka kamu mengabaikannya”.[‘Abasa: 10]

Rujuk: [ Al-Maidah: 55 – 56 ]

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤْتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمْ رَٰكِعُونَ

Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah).[Al-Ma’idah: 55]

وَمَن يَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ فَإِنَّ حِزْبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلْغَٰلِبُونَ

Dan barang siapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang.[Al-Ma’idah: 56].

Tidak kisahlah sesiapa di sekeliling kita, sama ada kaya atau sebaliknya, ajaklah taat kepada Allah SWT jika benar kita ikhlas berkawan dengan mereka, sebab penolong kita ialah [ Al-Maidah ayat ke- 55 dan ke-56 ].

Kecenderungan kepada golongan serba cukup sahaja sebenarnya boleh merosakkan keseimbangan hidup atas dunia ini.

Disebabkan “kelekaan” kita kepada golongan serba kurang, atau kealpaan golongan serba cukup di atas sanjungan manusia lain kepada dirinya.

Penting juga bagi memahami erti sebaliknya (mafhum mukhalafah):

Iaitu hati-hati dengan pandangan manusia lain kepada kita. Sanjungan yang lebih mahupun perhatian, kadang-kala boleh buatkan kita terpesona daripada mengingati Allah SWT.

Ibrah dan kKesimpulan:

1.Hati-hati dengan tipu daya iblis untuk menyesatkan manusia agar menjadi makhluk yang melampaui batas kepada Allah SWT.

2. Jadilah hamba yang sentiasa bersyukur, bukan melampaui batas.

Soalnya hidup di atas dunia ini bukanlah banyak atau sedikit nikmat kehidupan yang kita perolehi. TETAPI sikap kita dalam menguruskan kurniaan atau ujian yang Allah SWT timpakan kepada kita.

3. Kembalikan segala urusan kita kepada Allah SWT. Sentiasa menjaga niat, cara hidup dan pengharapan hanya kepada-Nya. “Laa haula wala quwwata illa billah”. Tiada daya dan upaya melainkan Allah SWT.

قَٰلَ إِن لَّبِثْتُمْ إِلَّا قَلِيلًا ۖ لَّوْ أَنَّكُمْ كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

“Allah berfirman: “Kamu tidak tinggal (di bumi) melainkan sebentar saja, kalau kamu sesungguhnya mengetahui” [Al-Mu’minun: 114]

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَٰكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ

“Maka apakah kamu mengira, bahwa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahwa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami”? [Al-Mu’minun: 115]

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan