Tafsir Surah Ghafir
Tafsir Ayat Ke-35
Jumlah Badaliah. Ini adalah ayat Idkhal Ilahi di mana Allah SWT menerangkan siapakah mereka.
الَّذينَ يُجادِلونَ في آياتِ اللهِ بِغَيرِ سُلطانٍ أَتاهُم ۖ كَبُرَ مَقتًا عِندَ اللهِ وَعِندَ الَّذينَ آمَنوا ۚ كَذٰلِكَ يَطبَعُ اللهُ عَلىٰ كُلِّ قَلبِ مُتَكَبِّرٍ جَبّارٍ
“(Iaitu) orang-orang yang membantah mengenai maksud ayat-ayat Allah SWT dengan tidak ada sebarang bukti yang sampai kepada mereka. Besar kebenciannya dan kemurkaannya di sisi Allah SWT dan di sisi orang-orang yang beriman. Demikianlah Allah SWT materikan atas hati tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi bermaharajalela pencerobohannya!”
الَّذِينَ يُجَادِلُونَ فِي آيَاتِ اللهِ
“Orang-orang yang membantah tentang ayat-ayat Allah SWT”
Itulah mereka yang menolak ayat-ayat Allah SWT itu dengan mempersoalkannya, menolaknya. Firaun dan pengikutnya mengatakan yang mukjizat yang ditunjukkan oleh Nabi Musa a.s itu adalah ‘sihir’.
Kalau zaman sekarang, ayat-ayat Allah SWT adalah ayat Al-Quran. Ramai yang membantah ayat Al-Quran, antaranya dengan menunjukkan terdapat perbezaan antara ayat-ayat Al-Quran itu.
Ataupun mereka mentafsir ayat-ayat Allah SWT dengan cara yang salah. Ataupun, apabila kita beritahu mereka tentang maksud sesuatu ayat itu, mereka akan tolak dan berhujah dengan kita menidakkan apa yang kita beritahu kepada mereka. Padahal mereka sendiri tidak belajar tafsir, tetapi boleh pula mereka kata apa yang kita sampaikan dari tafsir itu pula yang salah. Ini amat pelik, orang yang tidak belajar, kata tafsiran kita pula yang salah.
Ini adalah peringkat ketiga kesesatan manusia. Peringkat Pertama: mereka ragu-ragu tentang agama; Peringkat Kedua: mereka akan berada dalam kesesatan kerana mereka telah ada ragu-ragu; Peringkat Ketiga: mereka membantah; Peringkat Keempat: apabila mereka terus membantah, Allah SWT akan ‘kunci mati’ hati mereka dari beriman – Khatmul Qalbi.
Jangan ada sikap begini dalam diri kita. Jika tidak setuju, jangan bantah lagi, tunggu dan lihat.
بِغَيْرِ سُلْطَانٍ أَتَاهُمْ
“dengan tanpa bukti yang di bawa kepada mereka”,
Mereka membantah atau memberi hujah-hujah mereka itu tanpa ada bukti. Ataupun mereka tafsir sendiri ayat-ayat Al-Quran tanpa belajar tafsir, tetapi mereka buat macam mereka tahu. Kita memang meraikan perbezaan pendapat dan percambahan ilmu. Namun, jika hendak berhujah, kenalah bawa dalil, jangan pakai tolak sahaja tanpa beri dalil dan hujah yang nyata.
Ramai yang tidak belajar, tetapi memandai hendak tafsir sendiri ayat-ayat Al-Quran. Mereka merujuk kepada sumber-sumber yang tidak boleh dipercayai, maka mereka telah salah faham. Ini adalah amat bahaya. Kita kena belajar tafsir dengan guru yang tahu ilmu-ilmu tafsir. Kalau kita silap memilih guru dan sumber pembelajaran, kita akan terjatuh ke dalam lembah kesesatan.
كَبُرَ مَقْتًا عِندَ اللهِ وَعِندَ الَّذِينَ آمَنُوا
“Amat besar kemurkaan di sisi Allah SWT dan di sisi orang-orang yang beriman”.
Besar sekali salah mereka itu, sampaikan Allah SWT murka kepada mereka yang membantah ayat-ayat Allah SWT. Jangan main-main kalau Allah SWT telah marah.
Ada dua yang disebut telah marah dalam ayat ini: Allah SWT dan orang-orang yang beriman. Bukan Allah SWT sahaja yang marah, tetapi orang-orang yang beriman juga akan marah. Orang-orang yang beriman, apabila mendengar orang menyalahgunakan ayat-ayat Allah SWT, sepatutnya marah dengan perbuatan orang itu.
Dan orang yang beriman itu tidak tengok sahaja, tetapi dia akan mempertahankan ayat-ayat Allah SWT. Lihatlah apa yang telah dilakukan oleh Lelaki Mukmin itu – dia telah bangun mempertahankan dakwah Nabi Musa a.s a.s. walaupun ia boleh membahayakan nyawanya sendiri.
كَذَٰلِكَ يَطْبَعُ اللهُ عَلَىٰ كُلِّ قَلْبِ مُتَكَبِّرٍ جَبَّارٍ
“Demikiannya Allah SWT kunci setiap hati yang sombong, ganas terhadap manusia”.
Inilah Peringkat Keempat dan peringkat terakhir dari kesesatan manusia. Hati mereka akan dikunci mati dari terima kebenaran. Maksudnya, setiap hati yang ada sifat sombong dan ganas itu akan dikunci oleh Allah SWT. Mereka sombong dengan Allah SWT dan ganas dengan manusia. Kesannya: walaupun dia ditunjukkan dengan kebenaran, dia tidak boleh faham dan tidak akan terima – kerana Allah SWT telah kunci mati hatinya.
Lihatlah apa yang terjadi kepada Firaun, apabila dia membantah ayat-ayat Allah SWT, dan bersikap ganas kepada orang mukmin, maka Allah SWT telah kunci mati hatinya, sampaikan walaupun datang kepadanya berbagai-bagai dalil kebenaran, dia tidak juga boleh beriman.
Tafsir Ayat Ke-36
Lihatlah apa jawapan Firaun setelah mendengar syarah dari Lelaki Mukmin itu – bukannya dia hendak beriman, tetapi dia tetap hendak lawan juga. Ini adalah kata-katanya yang mencelah syarahan yang disampaikan oleh Lelaki Mukmin itu. Dia rasa kalau dia tidak mencelah, Lelaki Mukmin itu akan menyebabkan ramai orang akan beriman dengan Nabi Musa a.s.
وَقالَ فِرعَونُ يا هامانُ ابنِ لي صَرحًا لَعَلّي أَبلُغُ الأَسبابَ
“Dan Firaun pula berkata: “Hai Haman! Binalah untuk ku sebuah bangunan yang tinggi, semoga aku sampai ke jalan-jalan (yang aku hendak menujunya)”.
وَقَالَ فِرْعَوْنُ يَا هَامَانُ
“Dan berkata Firaun, “Wahai Haman”,”.
Firaun hendak lawan dengan ejekan. Selepas mendengar kata-kata Lelaki Mukmin itu, beliau telah datang dengan satu lagi hujah untuk mempermain-mainkan agama. Dia tukar kepada topik yang lain. Dia buat begitu kerana hendak mengalih pandangan rakyat yang juga sedang mendengar Lelaki Mukmin itu dan pernah mendengar syarahan dan dakwah dari Nabi Musa a.s. Begitulah, apabila seseorang itu menentang ayat-ayat Allah SWT, Allah SWT akan menzahirkan kebodohannya.
Kadang-kadang kita memberitahu satu perkara yang serius, tetapi orang yang tidak beriman akan tukar topik dan buat lawak untuk mempermain-mainkan kita. Sebagai contoh, kita sebut tentang bidaah, mereka akan buat lawak – “Kalau macam tu, tak boleh pakai keretalah kita, kena pakai unta sahaja kalau nak ke mana-mana! Sebab Nabi tidak pakai kereta, Nabi pakai unta!”. Itu adalah kata-kata sinis dari orang yang bodoh jahil.
ابْنِ لِي صَرْحًا
“Bina untuk aku satu menara tinggi”
Perkataan صَرْحًا bermaksud menara yang cantik, yang dihias. Firaun suruh Haman membina satu menara tinggi untuknya.
لَّعَلِّي أَبْلُغُ الْأَسْبَابَ
“supaya aku sampai ke jalan-jalan”.
الْأَسْبَابَ adalah dari kata ‘sabab’ yang bermaksud ‘cara’ – cara untuk sampai ke satu-satu tempat, kepada satu-satu maksud. Sebagai contoh, sebab apa kita memanjat pokok Tamar? Sebab hendak kutip buat Tamar. Dia suruh Haman bina menara tinggi itu kononnya dia hendak jumpa Tuhan Nabi Musa a.s. Dia sebenarnya hendak ejek, kerana Nabi Musa a.s kata Allah SWT di langit – maka dia hendak tengok Tuhan Nabi Musa a.s yang dikatakan itu.
Nota: Lihat bagaimana Nabi Musa a.s sendiri pernah ajar kaumnya yang ‘Allah SWT di langit’. Jadi akidah Allah SWT di langit ini adalah dari dahulu lagi.
Jadi Firaun telah cuba untuk mengalih pandangan rakyatnya kepada Dzat Allah SWT. Padahal Allah SWT hanya boleh dikenali dengan Sifat-Nya, bukannya boleh berjumpa dengan Dia semasa di dunia. Begitulah juga golongan yang kurang belajar, mereka banyak membincangkan tentang keberadaan Allah SWT di Arasy. Padahal kita tidak perlu pun berbincang tentang perkara itu, kerana tidak menambah iman pun untuk sembang perkara ini.
Haman ini adalah menteri kanan Firaun.
Allah SWT jarang sebut nama individu dalam Al-Quran. Kerana nama tidak penting, yang penting adalah kisah dan pengajaran itu. Jadi apabila Allah SWT sebut nama, ada sesuatu yg hendak disampaikan.
Pengkritik Al-Quran ada mengkritik Al-Quran kerana nama Haman dalam sejarah Mesir tidak ada. Jadi mereka kritik maklumat Al-Quran tentang Haman ini.
Tetapi perkembangan terkini dalam arkeologi, memang terjumpa nama Haman ini. Jadi, ia telah menguatkan hujah yang mengatakan Al-Quran tidak pernah tersilap. Cuma kadang-kadang pengetahuan manusia yang tidak sampai lagi.
Allahu a’lam.