Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah – Tafsir Ayat Ke-34 dan Ke-35

Tafsir Surah Al-Baqarah – Tafsir Ayat Ke-34 dan Ke-35

2924
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-34:

وَإِذ قُلنا لِلمَلائِكَةِ اسجُدوا لِآدَمَ فَسَجَدوا إِلّا إِبليسَ أَبىٰ وَاستَكبَرَ وَكانَ مِنَ الكافِرينَ

“Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam a.s”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir”.

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ

“Maka ketika dititahkan kepada malaikat: sujudlah kamu kepada Adam a.s

Allah SWT perintah malaikat dan jin untuk sujud kepada Nabi Adam a.s. Ini adalah dalil kepada kemuliaan Nabi Adam a.s dan juga keturunannya. Allah SWT muliakan Bani Adam a.s.

Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman dalam [Isra: 70]

۞ وَلَقَد كَرَّمنا بَني آدَمَ وَحَمَلناهُم فِي البَرِّ وَالبَحرِ وَرَزَقناهُم مِنَ الطَّيِّباتِ وَفَضَّلناهُم عَلىٰ كَثيرٍ مِمَّن خَلَقنا تَفضيلًا

“Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam a.s, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan”.

فَسَجَدُوا

“semua sekali sujud”

Semua para malaikat telah sujud kepada Nabi Adam a.s. Bagaimanakah cara sujud itu adalah khilaf di kalangan ulama. Imam Jalalain kata, ia hanya sekadar tunduk hormat sahaja, bukan macam sujud meletakkan dahi atas bumi seperti dalam solat kerana sujud seperti dalam solat itu hanya khusus antara hamba dan Allah SWT sahaja. Pendapat ini kuat. Tetapi ada juga ulama yang kata sujud yang seperti sujud dalam solat. Allahu a’lam.

إِلَّا إِبْلِيسَ

“kecuali Iblis

Semua malaikat sujud tetapi tidak Iblis. Perkataan ‘Iblis’ itu maksudnya ‘putus asa dari rahmat’. Sampai bila-bila dia tidak akan dapat rahmat kerana dia pernah derhaka kepada Allah SWT. Dia adalah yang paling kecewa untuk duduk dalam syurga. Tidak ada harapan.

Allah SWT beri arahan kepada ‘malaikat’ dan kemudian sebut Iblis pula. Tetapi bukanlah ayat ini mengatakan yang Iblis itu malaikat. Kita kena tahu bahawa iblis itu adalah bangsa jin, tetapi kerana Iblis itu sudah lama beribadat kepada Allah SWT, dia telah diletakkan bersama dengan para malaikat.

أَبَىٰ

“dia enggan

Semua malaikat sujud, tetapi iblis enggan. Perkataan ini bermaksud – tidak mahu mengikut arahan orang yang ada kuasa atas kita. Kadang-kadang ada kawan minta tolong dengan kita, tetapi kita enggan – itu adalah enggan juga tetapi bukan kepada orang yang berkuasa atas kita.

Keengganan Iblis itu adalah dosa besar kerana enggan menurut perintah Allah SWT. Allah SWT telah beri arahan khusus namun dia enggan.

وَاسْتَكْبَرَ

“dan dia sombong”

Kenapa dia enggan? Kerana ada perasaan sombong dalam hati. Kerana dia rasa dia besar. Sepatutnya dia taat sahaja kepada Allah SWT. Dia fikir dia lebih mulia sebab dia dijadikan dari api dan lebih mulia dari makhluk yang dijadikan dari tanah.

Iblis juga sombong kerana dia telah lama hidup dan telah lama beribadat kepada Allah SWT. Jadi dia rasa dia lebih layak dari Adam a.s. Kerana padanya, Adam a.s baru sahaja dijadikan dan tidak buat ibadat lagi pun. Dia rasa ibadat dia telah banyak. Maka ini pun bahaya kerana ada orang yang rasa senang diri sebab sangka yang dia ahli ibadat, pergi umrah banyak kali, maka dia rasa dia tentu hebat. Ini bahaya.

Apakah yang Iblis hendak? Dia sebenarnya hendakkan pangkat. Tetapi bukan pangkat yang tinggi pun. Kita sebagai manusia selalunya berebut pangkat pemimpin, pangkat tinggi dalam kerajaan dan sebagainya. Apa yang diberikan kepada Adam a.s adalah pangkat menjadi ‘hamba’ kepada Allah SWT. Itu adalah pangkat dalam agama juga. Ini bermakna, itu pun ada juga yang hendak berebut. Bukan setakat pangkat yang tinggi sahaja.

Jadi, kita boleh lihat bagaimana dalam masyarakat, ada yang berebut pangkat untuk jadi imam surau, berebut hendak menjadi siak masjid, atau jadi ahli jawatankuasa dalam surau. Pangkat dalam agama pun ada orang yang berebut. Jadi, berhati-hatilah. Jika kita pun seperti itu, maka kita telah mengikuti perangai Iblis.

Pada iblis, api itu jenis duduk di atas dan tanah duduk di bawah. Maka, dia fikir dia lebih mulia. Dia sendiri pakai reka fahaman sebegitu. Maknanya dia guna akal untuk tolak wahyu. Maknanya Allah SWT ajar kepada kita, yang guna akal tolak wahyu telah menjadi Iblis, maka kalau kita pun guna akal tolak wahyu, jadi iblis lah juga.

وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ

“Maka jadilah dia dari kalangan yang kafir”

Maknanya, iblis telah melakukan dua kesalahan: enggan untuk taat dan sombong. Kita pun ada juga bersifat begitu. Hukum telah diberitahu tetapi masih enggan untuk ikut kerana degil. Begitu juga, ada yang sombong untuk terima ajaran yang benar, kerana mereka rasa mereka lebih pandai, lebih hebat dan lebih tinggi dari segi kedudukan.

Ada orang yang apabila diajak belajar tentang tauhid, enggan terima kerana sombong tidak mahu belajar. Mereka sombong kerana ingat mereka telah tahu.

Dari ayat ini, Allah SWT juga hendak mengatakan bahawa Iblis itu telah kafir sebelum disuruh sujud kepada Adam a.s lagi. Kerana perkataan yang digunakan adalah ‘كَانَ’, iaitu bermaksud yang telah lepas. Cuma dia menyembunyikan kekafirannya itu. Manusia pun ada juga yang sebegitu. Mereka simpan dalam hati sifat kekufuran mereka, tidak ditunjukkan. Pada mata manusia, mereka nampak macam orang Islam, tetapi dalam hati mereka, sebenarnya kufur.

Soalan: Apakah ubat kesombongan?

Jawapan: Kenali diri kita yang tidak ada hak apa pun untuk menjadi sombong.

Tafsir Ayat Ke-35:

وَقُلنا يا آدَمُ اسكُن أَنتَ وَزَوجُكَ الجَنَّةَ وَكُلا مِنها رَغَدًا حَيثُ شِئتُما وَلا تَقرَبا هٰذِهِ الشَّجَرَةَ فَتَكونا مِنَ الظّالِمينَ

“Dan Kami berfirman: “Wahai Adam a.s! TinggAllah SWT engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim”.

وَقُلْنَا يَا آدَمُ اسْكُنْ أَنْتَ وَزَوْجُكَ الْجَنَّةَ

“Maka dititahkan kepada Nabi Adam a.s: Tinggallah kamu dan pasangan kamu dalam syurga”;

Allah SWT beri izin kepada Nabi Adam a.s untuk tinggal di dalam syurga.

Perkataan ‘سكن’ yang digunakan itu pun sudah bermaksud bahawa Nabi Adam a.s dan Hawa tidak akan tinggal lama di Syurga itu. Kerana makna perkataan itu dalam bahasa Arab adalah untuk tinggal sekejap sahaja dan akan meneruskan perjalanan ke tempat lain.

Dalam dalam ayat ke-30 Surah Baqarah ini pun Allah SWT telah berfirman kepada malaikat bahawa Dia hendak menjadikan khalifah di bumi. Maka, memang tempat Adam a.s adalah di bumi, bukan terus duduk di Syurga.

Dalam ayat ini Allah SWT bercakap terus kepada Nabi Adam a.s (dan tidak kepada Hawa sekali) kerana dia adalah ketua keluarga. Ketua keluarga dalam sesebuah keluarga itu adalah lelaki. Lelakilah yang kena sampaikan ajaran agama kepada anak dan isterinya.

وَكُلَا مِنْهَا رَغَدًا

‘‘dan kedua-dua kamu makanlah dengan penuh selera”

Makanlah seberapa banyak yang mahu, gunalah apa sahaja. Tidak ada sekatan.

حَيْثُ شِئْتُمَا

“di mana sahaja kamu ingini”

Maknanya, buatlah apa yang kamu berdua hendak buat, tetapi ada syarat:

وَلَا تَقْرَبَا هَٰذِهِ الشَّجَرَةَ

“Jangan kamu hampiri pokok ini”

Ada pokok larangan. Ingat, nama pokok itu bukanlah ‘Pokok Khuldi’, tetapi ia adalah sejenis pokok. Tidak ada dalam nas yang sahih yang menyebut nama pokok itu. Yang kata nama pokok itu ‘Pokok Khuldi’, adalah Iblis, jadi kita tidak boleh pakai nama itu. Ada juga mufassirin yang kata pokok gandum, tetapi tidak dapat dipastikan dengan jelas.

Allah SWT titahkan dua perkara: titah suruhan dan titah larangan. Titah suruhan itu luas (buat apa sahaja, makanlah apa sahaja) tetapi titah larangan itu satu sahaja. Iaitu jangan dekati satu pokok. Pokok apa kita tidak tahu. Nabi tidak beritahu dan sahabat pun tidak tanya. Kita pun tidak perlu untuk tahu.

Oleh itu, satu sahaja larangan. Jika diikutkan mudah sangat sepatutnya. Yang lain buatlah apa hendak buat. Arahan yang bentuk umum dan satu larangan. Tetapi perangai manusia, yang dilarang itulah yang mereka hendak buat. Kadang-kadang bukan mereka hendak buat pun, tetapi kerana bisikan syaitan yang dengki kepada manusia.

Allah SWT hendak beritahu dalam ayat ini yang syariat Allah SWT itu mudah sahaja. Banyak benda yang boleh buat. Ada beberapa kerat larangan sahaja.

Begitu juga, yang disuruh buat adalah sikit sahaja dalam hal ibadat. Bukan kena buat ibadat sepanjang hari pun. Yang jadi berat itu adalah apabila manusia reka sendiri benda yang tidak disuruh dalam syarak. Iaitu yang menambah-nambah perkara yang bidaah yang kemudian menyusahkan manusia.

نَ

“maka kamu berdua akan jadi orang yang zalim

Ada muqaddar (tambahan) dalam ayat ini. Iaitu kalimah “kalau kamu dekat juga pokok itu).

Maknanya selepas Allah SWT beritahu larangan, Allah SWT beritahu juga apa yang akan terjadi kalau mereka langgar juga larangan itu, iaitu mereka akan dikira sebagai orang yang zalim. Ini adalah ancaman dari Allah SWT. Mereka akan dikira sebagai zalim kerana melanggar perintah dan akan masuk neraka.

Soalan: Sebenarnya arahan daripada Allah SWT mudah sahaja dan boleh dilakukan, tetapi disebabkan bisikan syaitan manusia jadi derhaka. Jadi cara untuk taat perintah Allah SWT, adakah kita kena kalahkan syaitan? Bagaimanakah caranya?

Jawapan: Di dalam Al-Quran disebut syaitan tidak ada kuasa ke atas mereka yang bertaqwa dan muhsin. Maka kena tingkatkan keimanan kita.

إِنَّهُ لَيْسَ لَهُ سُلْطَانٌ عَلَى الَّذِينَ آمَنُوا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

“Sesungguhnya syaitan itu tidak ada kekuasaannya atas orang-orang yang beriman dan bertawakal kepada Tuhannya.” [An-Nahl: 99]

Soalan: Adakah ini bermaksud Allah SWT turunkan Nabi Adam a.s a.s sebagai khalifah di bumi bukanlah disebabkan Nabi Adam a.s a.s telah melanggar perintah Allah SWT dan telah dikeluarkan dari syurga atau atas sebab hasutan iblis tetapi kerana Allah SWT sendiri telah menetapkan begitu sebagaimana dalam Al-Baqarah: 30?

Jawapan: Semua dalam perancangan Allah SWT. Ada hadis bagaimana Nabi Musa a.s. telah menyalahkan Nabi Adam a.s a.s. Lihat apakah jawapan baginda:

Imam Bukhari menuturkan, “Qutaibah bercerita kepada kami, Ayyub bin An-Najjar bercerita kepada kami, dari Abu Salamah, dari Abu Hurairah, dari Nabi SAW, beliau bersabda, ‘Musa mendebat (Adam a.s), ia berkata padanya, ‘Kaulah yang telah mengeluarkan manusia (dari syurga) kerana dosa yang kau lakukan dan kau membuat mereka sengsara.’

Adam a.s berkata, ‘Hai Musa, kaulah yang dipilih Allah SWT dengan risalah dan kalam-Nya, patutkah kau mencelaku atas suatu hal yang telah ditakdirkan Allah SWT padaku sebelum Ia menciptakanku, atau atas takdirnya padaku sebelum Ia menciptakanku?”

Rasulullah SAW kemudian berkata, ‘Adam a.s akhirnya mengalahkan Musa’.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan