Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-28 hingga Ke-30

Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-28 hingga Ke-30

2306
2
Iklan

Tafsir Surah Al-Ghafir

Tafsir Ayat Ke-28

Lihatlah bagaimana Allah SWT membalas doa Nabi Musa itu. Allah SWT telah memberikan sokongan dari kalangan Firaun sendiri.

Ini adalah jawapan hasil dari makbul doa Nabi Musa. Allah SWT zahirkan kebenaran dengan cara luar biasa. Allah SWT terima doa Nabi Musa dan beri satu jalan untuk menyelamatkan baginda dan kaumnya.

Kisah ini bermula dari ayat ini sampai ke ayat 44 adalah ucapan seseorang dengan Firaun. Tidak ada lagi ucapan seorang manusia yang dimasukkan dalam Al-Quran panjang begini sebab memang ini adalah ucapannya tentang penjelasan agama.

Disebabkan kisah ini adalah penting yang menyebabkan salah satu nama Surah ini adalah Surah Mukmin (selain dari Surah Ghafir). Ramai juga yang keliru kenapa surah ini kadangkala dipanggil dengan nama lain.

Ada tiga peringkat dalam kata-kata lelaki mukmin ini: di permulaan, pertengahan dan penutupnya.

Bahagian Pertama/Permulaan.

Itu adalah pengenalannya dan ayat hari ini:

وَقالَ رَجُلٌ مُؤمِنٌ مِن آلِ فِرعَونَ يَكتُمُ إيمانَهُ أَتَقتُلونَ رَجُلًا أَن يَقولَ رَبِّيَ اللَهُ وَقَد جاءَكُم بِالبَيِّناتِ مِن رَبِّكُم ۖ وَإِن يَكُ كاذِبًا فَعَلَيهِ كَذِبُهُ ۖ وَإِن يَكُ صادِقًا يُصِبكُم بَعضُ الَّذي يَعِدُكُم ۖ إِنَّ اللَهَ لا يَهدي مَن هُوَ مُسرِفٌ كَذّابٌ

“Dan berkatalah seorang lelaki yang beriman dari orang-orang Firaun yang menyembunyikan imannya: “Patutkah kamu membunuh seorang lelaki kerana dia menegaskan: `Tuhanku ialah Allah SWT? ‘ – sedang dia telah datang kepada kamu membawa keterangan-keterangan dari Tuhan kamu? Kalau dia seorang yang berdusta maka dialah yang akan menanggung dosa dustanya itu, dan kalau dia seorang yang benar, nescaya kamu akan ditimpa oleh sebahagian dari (azab) yang dijanjikannya kepada kamu. Sesungguhnya Allah SWT tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang yang melampaui batas, lagi pendusta”.

وَقَالَ رَجُلٌ مُّؤْمِنٌ مِّنْ آلِ فِرْعَوْنَ

“Berkata seorang lelaki beriman dari keluarga Firaun”.

Mengikut riwayat dia adalah Tengku Mahkota Firaun. Ada yang kata dia adalah sepupu Firaun. Disebabkan Firaun tidak ada anak lelaki, maka jika Firaun mati, dialah yang akan mengambil tahta Raja Mesir. Setengah pula kata dia adalah salah seorang menteri. Allahu a’lam. Yang pasti, dia tinggal dalam istana dan rapat dengan Firaun.

Apabila dia dengar yang Firaun hendak membunuh Nabi Musa, dia tampil ke hadapan mempertahankan Nabi Musa. Tidaklah dia buat senyap sahaja. Dan jihad yang paling utama itu ialah mengutarakan kalimat keadilan di hadapan penguasa yang zalim, seperti yang telah disebutkan di dalam hadis. Jadi iman dia ini memang hebat sungguh.

Hanya ada tiga orang sahaja yang beriman dengan Nabi Musa dari kalangan keluarga Firaun:

  1. Asiah, isteri Firaun.
  2. Lelaki yang disebut dalam ayat ini.
  3. Seorang lagi lelaki yang telah memberitahu Nabi Musa yang Firaun hendak membunuhnya.

Selepas Nabi Musa ‘terbunuh’ seorang lelaki Qibti di pasar, Firaun telah mengeluarkan arahan untuk menangkap Nabi Musa kerana hendak membunuhnya. Maka, ada seorang lelaki dari keluarga Firaun yang telah menyampaikan beritahu itu kepada Musa yang menyebabkan Nabi Musa telah melarikan diri dari Mesir. Ini adalah disebut dalam ayat [ Qasas: 20 ].

يَكْتُمُ إِيمَانَهُ

“yang menyembunyi imannya sebelum ini”.

Walaupun dia telah beriman, tetapi dia tidak memberitahu keimanannya itu kerana bahaya kalau menyatakan keimanan waktu itu. Firaun juga telah mengeluarkan undang-undang bahawa sesiapa yang beriman, akan dibunuh. Keadaan waktu itu tidak membenarkan pernyataan iman di khalayak ramai.

Begitu juga semasa awal Islam di Mekah, sesiapa yang beriman merahsiakan keislaman mereka. Dalam keadaan ini, kena tengok keadaan. Jika menyatakan iman itu membahayakan nyawa kita, bolehlah kita sembunyikan.

Jadi, lelaki ini tidaklah pengecut. Kalau dia pengecut, tentulah dia tidak cakap apa-apa sampai bila-bila. Tetapi lihatlah bagaimana dia menyatakan imannya nanti.

Tambahan lagi, apabila dia tidak menyatakan keislamannya, kata-katanya didengar oleh orang ramai. Seolah-olah dia tidak ada kena mengena dengan Nabi Musa, seperti dia orang tengah. Kalau dia sudah memberitahu yang dia Islam dari dulu lagi, tentulah orang akan kata yang dia hanya menyokong pemimpinnya sahaja. Tetapi, apabila dia tidak menyatakan keimanannya, nampak seolah dia bercakap sebagai pihak ketiga sahaja. Jadi, lebih didengari oleh orang ramai.

Jadi, ada tiga sifat Lelaki Mukmin ini yang disebut dalam ayat ini:

  1. Dia seorang Mukmin.
  2. Dia dari keluarga Firaun, itu sebab dia boleh duduk di     majlis Firaun.
  3. Dia waktu itu masih sembunyikan iman dia dari diketahui oleh orang lain. Tiada siapa yang tahu, malah mungkin Nabi Musa sendiri tidak tahu.

Bila dia telah habis bercakap barulah dia akhirnya sebut tentang dia sebenarnya telah beriman.

Allah SWT hendak mengajar kita, mungkin dalam kalangan musuh, ada kawan kita. Kadangkala Allah SWT zahirkan pembantu agama dari kalangan musuh. Dalam kisah ini, Lelaki Mukmin itu telah membantu dengan memberi pesanan dan nasihat.

أَتَقْتُلُونَ رَجُلًا

“Patutkah kamu membunuh satu lelaki”.

Lelaki Mukmin ini mempersoalkan tindakan Firaun untuk membunuh Nabi Musa. Kenapa lafaz ayat ini digunakan dalam lafaz jamak أَتَقْتُلُونَ sedangkan yang mahu membunuh Nabi Musa hanyalah Firaun sahaja? Ini adalah kerana kalau mereka bersetuju dengan tindakan Firaun membunuh Nabi Musa, ia adalah seperti mereka juga membunuh baginda.

أَن يَقُولَ رَبِّيَ اللَّهُ

“yang hanya berkata, Tuhannya Allah SWT“.

Hanya kerana itu sahaja Firaun hendak membunuh Musa? Bukan dia buat ‘terrorism’ pun. Tidak patut langsung kalau hendak bunuh Nabi Musa itu. Kalau benar Nabi Musa itu buat kesalahan, patutlah kalau hendak bunuh dia, tetapi apa kesalahan Nabi Musa?

Kalau kamu tidak setuju pun, maka biarkanlah Nabi Musa itu untuk berdakwah kepada kaumnya, jangan kacau dia. Dan memang Nabi Musa minta lepaskan beliau dan kaumnya Bani Israil untuk meninggalkan Mesir pun. Rujuk [ Ad-Dukhan: 21 ]

وَإِنْ لَمْ تُؤْمِنُوا لِي فَاعْتَزِلُونِ

“dan jika kamu tidak beriman kepadaku, maka biarkanlah aku.”

Hal yang sama telah dikatakan oleh Rasulullah terhadap orang-orang Quraisy, beliau meminta agar mereka membiarkannya menyeru hamba-hamba Allah SWT untuk menyembah-Nya, dan janganlah mereka mengganggunya dan hendaklah mereka tetap menghubungkan tali persaudaraan yang telah ada antara dia dan mereka, tiada yang saling menyakiti. Allah SWT berfirman menceritakan hal ini:

قُلْ لَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا إِلا الْمَوَدَّةَ فِي الْقُرْبَى

“Katakanlah, “Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upah pun atas seruanku kecuali kasih sayang dalam kekeluargaan.” [Asy-Syura: 23]

وَقَدْ جَاءَكُم بِالْبَيِّنَاتِ مِن رَّبِّكُمْ

“dan dia datang bawa dalil bukti dari Tuhan kamu”.

Bukan baginda datang dengan kata-kata kosong, tetapi Musa telah datang dengan membawa berbagai-bagai bukti dan hujah.

Ayat ini juga mengandungi sindiran kepada pengikut Firaun yang mengaku Firaun sebagai tuhan, sedangkan apa yang mereka katakan itu adalah salah. Kerana ajaran tauhid Nabi Musa, bukanlah kata-kata kosong sahaja, tetapi baginda bawa dalil dan bukti.

Pernah dalam satu peristiwa di Mekah, seorang lelaki yang bernama Uqbah hendak mencekik Nabi Muhammad SAW. Abu Bakar telah melihat apa yang terjadi dan beliau telah menolak Uqbah dan beliau telah berkata sama dengan kata-kata lelaki yang beriman dalam ayat ini. Begitulah tingginya iman Abu Bakar. Bahaya juga apa yang dilakukannya kerana Islam waktu itu amat lemah dan Abu Bakar telah membahayakan nyawanya.

Begitulah kita kena berani mempertahankan Islam. Jangan kita buat senyap sahaja kalau agama Islam dicabar dan dihina. Tambahan pula dalam keadaan sekarang di mana ada pertentangan antara jalan Sunnah dan jalan Bidaah. Adakah kita berani untuk mempertahankan jalan Sunnah? Adakah iman kita kuat atau lemah? Atau kita tengok sahaja tanpa menyatakan pendirian kita?

وَإِن يَكُ كَاذِبًا فَعَلَيْهِ كَذِبُهُ

“Kalau dia berdusta, maka dustanya untuk dirinya sendiri”.

Lelaki Mukmin ini kata: Kalaulah Nabi Musa menipu, biar Tuhan balas kesalahannya. Dia akan menerima kesannya kalau dia menipu. Kerana Tuhan tidak akan biarkan agama-Nya dimain-mainkan. Orang yang berbohong atas nama Tuhan, kita sebenarnya tidak perlu susah hendak fikir hal mereka. Sebab kalau dia menipu, dia yang kena tanggung dosa itu. Kita tidak perlu buat apa-apa kerana Allah SWT yang akan hukum dia sendiri.

Dalam ayat ini, Lelaki Mukmin itu menggunakan lafaz ‘kalau dia berdusta’… sedangkan lelaki ini adalah lelaki yang beriman, dan tentu dia tahu yang Nabi Musa tidak berdusta. Tetapi beliau berkata begitu sebagai cara berdakwah. Supaya nampak macam dia adalah orang pihak ketiga. Tidaklah nampak dia sokong baginda kerana dia orang Islam.

وَإِن يَكُ صَادِقًا

“Tetapi kalau dia itu benar”,

Tetapi, kalau apa yang Nabi Musa kata itu benar, bagaimana?

يُصِبْكُم بَعْضُ الَّذِي يَعِدُكُمْ

“Maka akan menimpa kamu setengah azab yang dijanjikan ke atasmu”.

Banyak ancaman yang telah diberikan oleh Nabi Musa dan kalau dia benar, masalah kita nanti.

Lelaki itu sedang menggunakan logik untuk berdakwah kepada kaumnya termasuk dengan Firaun sendiri. Bayangkan yang dia sedang bercakap dengan Firaun dan pembesar-pembesar Mesir di istana Firaun.

Ini mengajar kita, kadang-kadang kita dakwah kepada seorang, mungkin yang didakwah tidak terima tetapi yang dengar pula yang terima. Mungkin orang yang dengar itu duduk di belakang kita semasa duduk-duduk bersembang sambil berdakwah di kedai makan, tetapi dari kata-kata kita itu, dia boleh menerima. Jadi, walaupun Firaun tidak terima, mungkin ada di kalangan mereka itu yang terima.

Lihatlah bagaimana hebat kata-kata lelaki yang beriman ini. Beliau telah berkata dengan berani untuk mempertahankan Nabi Musa. Kata-kata beliau ini lahir dari imannya kepada Allah SWT. Inilah tingginya kedudukan iman. Iman boleh memberikan keberanian kepada manusia. Walaupun bahaya untuk memberitahu yang dia seorang Islam, tetapi dia berani juga untuk berkata. Walaupun dia boleh kehilangan kedudukan dalam istana Firaun, malah boleh kehilangan nyawanya, namun beliau berkata juga untuk mempertahankan seorang Rasul. Semakin tinggi iman seseorang, semakin kuat dia mempertahankan kebenaran.

إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي مَنْ هُوَ مُسْرِفٌ كَذَّابٌ

“Sesungguhnya Allah SWT tidak akan memberi pimpinan kepada orang yang melampaui batas, dusta dalam percakapannya”.

Ini adalah Idkhal Ilahi (pencelahan Tuhan). Mungkin timbul soalan: adakah ucapan lelaki mukmin ini memberi kesan kepada pendengarnya? Allah SWT mencelah untuk jawab dalam ayat ini yang mereka tidak mahu beriman disebabkan mereka masih kufur. Allah SWT tidak buka hati mereka kerana mereka degil, melampau dan dusta dalam percakapan mereka.

Ini adalah kerana mereka mempunyai dua sifat:

1.  Musrif – melampau dalam agama. Mereka melakukan syirik. Selagi ada syirik, selagi itu tidak dapat menerima kebenaran agama. Sebab itu kena bersihkan fahaman syirik daripada diri manusia.

2. Pembohong – kerana mereka pembohong besar. Nabi Musa yang Nabi pun mereka tidak mahu mengaku baginda Nabi.

Ayat ini sampai ayat 29 adalah peringkat pertama. Ada tiga bentuk ucapan dalam peringkat awal ini:

1. Apa yang mereka hendak buat itu adalah jauh dari kewarasan akal – kesilapan yang kecil tetapi hukuman besar. Tidak munasabah langsung. Macam hukum bunuh penyapu sampah kerana dia tidak sapu sampah.

2. Kesalahan yang dikatakan itu adalah hanya mengatakan yang Tuhan adalah Allah SWT. Jadi tidak patut dibunuh atau dihukum kerana dia tidak buat salah.

3. Dakwaan Nabi Musa bukan kosong sahaja tetapi baginda bawa dalil. Maka, kena tengoklah bukti yang diberikan itu.

Tafsir Ayat Ke-29:

Sambungan tentang lelaki beriman yang mempertahankan Nabi Musa a.s.

يا قَومِ لَكُمُ المُلكُ اليَومَ ظاهِرينَ فِي الأَرضِ فَمَن يَنصُرُنا مِن بَأسِ اللهِ إِن جاءَنا ۚ قالَ فِرعَونُ ما أُريكُم إِلّا ما أَرىٰ وَما أَهديكُم إِلّا سَبيلَ الرَّشادِ

“Wahai kaumku! Pada hari ini kepunyaan kamulah kuasa memerintah dengan bermaharajalela di muka bumi (Mesir) maka siapakah yang akan membela kita dari azab Allah kalau azab itu datang menimpa kita?” Firaun berkata: ” Aku tidak mengesyorkan kepada kamu melainkan dengan apa yang aku pandang (elok dijalankan), dan aku tidak menunjukkan kepada kamu melainkan jalan yang benar”.

يَا قَوْمِ لَكُمُ الْمُلْكُ الْيَوْمَ

“Wahai kaumku, pada hari ini, milik kamu kerajaan ini”.

Memang kamu semua ada kekuasaan di dunia, banyak harta kamu sekarang di dunia ini. Itu tidak dinafikan.

ظَاهِرِينَ فِي الْأَرْضِ

“Jelas kamu berkuasa penuh atas bumi”

Mereka memang nyata amat berkuasa dan bertamadun di zaman mereka. Kita sekarang pun boleh lihat peninggalan mereka yang hebat-hebat. Antaranya, lihatlah piramid yang mereka bina itu – kita hendak bina pun belum tentu kita mampu lagi. Lihatlah juga tinggalan bahasa-bahasa mereka yang manusia zaman sekarang hendak terjemah pun susah.

فَمَن يَنصُرُنَا مِن بَأْسِ اللهِ

“Maka siapa lagi yang boleh tolong kita daripada azab Allah”

Tetapi, yang kamu berkuasa dan hebat itu di dunia sahaja – bagaimana pula dengan keadaan kamu di akhirat nanti. Siapa yang boleh selamatkan kamu?

إِن جَاءَنَا

“jika azab itu datang“

Siapa yang akan menyelamatkan kita apabila kita diazab nanti kerana kita tidak ikut ajaran Nabi Musa? Jika azab telah tiba maka, sudah terlambat untuk buat apa-apa. Tetapi kalau sekarang masih ada masa lagi untuk bertaubat. Maka, marilah bertaubat beramai-ramai dan terima ajaran Nabi Musa ini.

Lihatlah bagaimana lelaki ini memberi ancaman dan peringatan kepada kaumnya. Inilah yang kita kena lakukan kepada masyarakat kita – ingatkan mereka tentang hari akhirat. Jangan hendak ingat kehebatan dan kekayaan di dunia sahaja.

قَالَ فِرْعَوْنُ

“Berkatalah Firaun”:

Seperti ada pertukaran dialog antara Lelaki Beriman itu dan Firaun. Setelah lelaki itu memberikan hujahnya, Firaun membantah hujah lelaki itu. Dia mencelah macam peguam mencelah dalam perdebatan di mahkamah. Dia kena mencelah kerana bahaya apa yang dikatakan oleh Lelaki Mukmin ini, boleh menyebabkan ramai yang ikut cakap dia kerana kata-katanya itu masuk akal.

Kata-kata Firaun adalah kata-kata pemimpin-pemimpin yang ingkar. Namrud pun lawan Tuhan, tetapi kita jarang dengar cerita Namrud, dan kata-katanya sikit sahaja. Tetapi kata-kata Firaun hampir setiap juzuk dalam Al-Quran kita ada jumpa. Bila ada Nabi Musa, tentu ada cerita Firaun. Salah satu sifat Firaun, dia petah bercakap dan pandai berhujah kerana dia telah perintah Mesir selama 76 tahun. Maka memang dia seorang yang pandai dan berpengalaman.

مَا أُرِيكُمْ إِلَّا مَا أَرَىٰ وَمَا أَهْدِيكُمْ إِلَّا سَبِيلَ الرَّشَادِ

“Aku tidak mengesyorkan kepada kamu melainkan apa yang aku nampak elok, dan tidak aku menunjukkan kamu melainkan kepada jalan yang betul”.

Firaun kata, dia cuma nasihat berdasarkan pendapatnya dan pandangannya yang dia nampak molek. Dalam erti kata lain, dia hendak kata dia sebenarnya ikhlas dalam menasihati mereka. Dia kononnya hendakkan kebaikan untuk umatnya itu.

Dalam erti kata lain juga, dia tetap juga hendak bunuh Nabi Musa, kerana dia tidak nampak cara lain lagi. Tidak ada pandangan lain dan dia tidak akan ubah pendirian dia.

Dan dia kata dia cuma hendak membawa mereka ke arah jalan yang betul. Niatnya baik, dia kata. Pada hal, dia suruh mereka sembah dia sebab dia mengaku sebagai tuhan. Bayangkan bagaimana teruk sekali pemikiran Firaun ini – adakah tindakannya memerintah dengan cara kuku besi, sampai sanggup membunuh bayi-bayi lelaki yang baru lahir itu boleh dikira sebagai jalan yang betul?

Dia kononnya hendakkan perpaduan rakyat negeri dia, tidak mahu pecah belah. Beginilah juga yang dilakukan oleh puak-puak agama yang menentang jalan Sunnah. Mereka kata puak-puak ‘Wahabi’ ini, memecah belahkan masyarakat hinggakan pernah satu negeri menghalang pengajian tafsir Al-Quran di masjid dan surau kerana takut rakyat akan pecah bela, ini adalah mengarut sekali. Mereka mahukan perpaduan, tidak kira sama ada dalam sesat atau tidak? Kenapa sampai begitu sekali?

Walaupun Firaun itulah yang bersalah dan kejam, dalam ayat lain, ada disebut bagaimana kaum-kaumnya itu mengikut juga Firaun ke dalam lembah kesesatan. Seperti firman Allah dalam [Taha: 79]

وَأَضَلَّ فِرعَونُ قَومَهُ وَما هَدىٰ

“Dan dengan itu Firaun telah menjerumuskan kaumnya ke tempat kebinasaan, dan tidaklah ia membawa mereka ke jalan yang benar”.

Begitulah umat yang jahil dan tidak memikirkan manakah yang benar. Mereka ikut sahaja kata pemimpin mereka. Mereka nampak macam baik sahaja kejahatan-kejahatan yang dilakukan oleh pemimpin mereka. Mereka sudah jauh dari ilmu yang benar. Mereka sudah lama duduk dalam perbuatan yang salah. Mereka tiada perubahan yang baru. Mereka hendak senang lenang dalam perkara yang mereka biasa buat, tidak kiralah benar atau tidak.

Tafsir Ayat Ke-30

Walaupun dibantah oleh Firaun, Lelaki Beriman itu meneruskan hujah dan dakwah beliau. Ini adalah syarahan Peringkat Kedua atau peringkat pertengahan. Ia lebih kuat dari yang sebelumnya kerana kali ini ada ditambah dengan ugutan.

وَقالَ الَّذي آمَنَ يا قَومِ إِنّي أَخافُ عَلَيكُم مِثلَ يَومِ الأَحزابِ

“Dan berkatalah pula orang yang beriman itu: “Wahai kaumku! Sesungguhnya aku bimbang kamu akan ditimpa (kebinasaan) sebagaimana yang telah menimpa kaum-kaum yang bergabung (menentang Rasul-rasulnya)”!

وَقَالَ الَّذِي آمَنَ يَا قَوْمِ

“Berkata orang yang beriman itu: “wahai kaumku”.

Kita tidak tahu siapakah nama orang beriman ini, kerana tidak disebut namanya. Makanya tidak penting untuk tahu siapakah namanya. Al-Quran hanya menyebut beliau sebagai ‘Lelaki Beriman’ sahaja. Isu yang dibangkitkan itulah yang penting, bukan namanya.

Lihat dia panggil kaumnya itu dengan nada hormat: wahai kaumku, dia tidak panggil: wahai orang kafir! Maka ini mengajar kita cara dakwah. Kena panggil orang dengan panggilan yang baik-baik.

إِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُم مِّثْلَ يَوْمِ الْأَحْزَابِ

“Sesungguhnya aku takut dan bimbang akan berlaku kepada kamu seperti peristiwa kehancuran golongan yang bersekutu”.

Lelaki Beriman itu merujuk kepada kaum-kaum terdahulu sebelum mereka yang telah dikenakan dengan azab. Golongan yang bersekutu itu adalah golongan yang bergabung menentang Rasul mereka dahulu.

Beliau takut mereka akan dikenakan dengan azab yang sama. Kalau mereka terus menentang Nabi Musa, mereka boleh dikenakan dengan azab dari Allah – lihatlah apa yang terjadi kepada kaum-kaum terdahulu.

Sekarang lelaki ini menggunakan sejarah pula sebagai hujah beliau. Sebelum ini beliau telah menggunakan logik, dan sekarang apabila melihat kaumnya masih tidak mahu mengikut, beliau telah mengingatkan mereka kepada masa lampau.

Ini memberitahu kita bahawa penduduk Mesir itu tahu dengan apa yang terjadi kepada kaum-kaum terdahulu. Begitu juga, Musyrikin Mekah juga tahu dengan azab-azab yang telah dikenakan kepada kaum terdahulu seperti Kaum Aad dan Tsamud.

Kita kena belajar dari sejarah. Supaya sejarah tidak berulang. Oleh sebab itu kena tahu apa yang berlaku zaman dahulu supaya kita boleh jadikan ikutan kalau mereka baik; dan jadikan sebagai sempadan jika mereka buruk.

Allahu a’lam.

2 KOMEN

    • Aad dan Tsamud tinggal di semenanjung Tanah Arab dan orang Mekah memang kenal mereka. Peninggalan Aad dan Tsamud telah lama ada dan dilalui oleh golongan Mekah yang bermusafir. Ini disebut dalam kitab-kitab tafsir.

Komen dan Soalan