Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-26 dan Ke-27

Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-26 dan Ke-27

1031
0
Iklan

Tafsir Surah Ghafir

Tafsir Ayat Ke-26

Firaun adalah seorang individu yang licik dan pandai berhujah dalam menolak kebenaran. Dia dapat jadi raja pun sebab dia pandai. Allah SWT memasukkan kisah Firaun dalam Al-Quran, supaya kita tahu, kalau ada manusia yang pandai menolak pun, itu sebenarnya dia ikut cara Firaun. Allah SWT sebut kisah Firaun kepada mereka yang belajar tafsir Al-Quran sebab akan sentiasa ada orang yang jenis Firaun dalam dunia dari dulu sampai sekarang. Mereka pandai berhujah sampai ramai yang ikut dia macam rakyat Firaun ikut Firaun.

Juga nanti anda akan jumpa orang yang menolak dan baru perasan: “eh! hujah dia ni sama macam hujah Firaun la…!

Ayat sebelum ini telah diceritakan bagaimana dia hendak merosakkan kehidupan mereka yang beriman. Sekarang disebut cara kedua Firaun. Dia gunakan cara politik.

وَقالَ فِرعَونُ ذَروني أَقتُل موسىٰ وَليَدعُ رَبَّهُ ۖ إِنّي أَخافُ أَن يُبَدِّلَ دينَكُم أَو أَن يُظهِرَ فِي الأَرضِ الفَسادَ

“Dan berkatalah Firaun (kepada orang-orangnya): “Biarkanlah aku membunuh Musa, dan biarlah dia memohon kepada Tuhannya (meminta pertolongan)! Sesungguhnya aku bimbang dia akan menukar ugama kamu, atau ia menimbulkan kerosakan di muka bumi”.

وَقَالَ فِرْعَوْنُ ذَرُونِي أَقْتُلْ مُوسَى

“Firaun berkata: Biarkan aku bunuh Musa”.

Firaun kata biar dia bunuh Nabi Musa. Ini adalah kali kedua dia hendak bunuh Nabi Musa – kali pertama semasa Nabi Musa dilahirkan. Masa dia kata hendak bunuh Nabi Musa ini, dia sebenarnya kenal yang Nabi Musa itu adalah Rasul. Cuma tidak mahu percaya sahaja.

Sekarang dia kata dia hendak membunuh Nabi Musa. Kerana keadaan sudah jadi teruk, ramai sudah mahu percaya kepada Nabi Musa. Dia hendak tunjukkan kekuasaannya. Dia kata begitu dalam nada, dia hendak bunuh itu untuk kebaikan penduduk Mesir sahaja. Bukanlah dia hendak bunuh sangat, tetapi sebab dia nampak kononnya ada keburukan pada Nabi Musa itu.

Dan mungkin itu kata-kata dia sahaja, bukan hendak bunuh kerana seperti telah disebut sebelum ini, dia sendiri takut hendak bunuh Nabi Musa kerana dia sendiri tahu yang Nabi Musa adalah seorang Nabi. Kerana fikirkanlah, kalau benar-benar dia hendak bunuh Nabi Musa, senang sahaja dia hendak bunuh, bukan? Teruslah bunuh sahaja, buat apa hendak minta kebenaran pula? Kerana kalimah ‘biar aku bunuh Musa’ itu bukankah seperti minta kebenaran?

Atau, dia memang hendak bunuh Nabi Musa. Dia kata dia hendak bunuh Nabi Musa kerana dia nampak Musa adalah penyebab masalah. Nabi Musa pandai berdakwah dan Firaun sudah rasa takut kerana orang sudah mula percaya. Dia rasa masalah akan selesai kalau Nabi Musa mati. Dalam ayat sebelum ini, dia hendak ganggu pengikut, sekarang dia hendak serang kepala yang diikuti. Boleh nampak strategi dia? Hebat strategi dia.

Jadi, ada banyak kemungkinan kenapa Firaun gunakan kalimah ذَرُونِي (biarkan aku) untuk bunuh Nabi Musa? Padahal, bukankah dia sendiri kata yang dia adalah ‘tuhan Mesir’? Bila dia kata macam itu, nampak macam dia minta kebenaran untuk bunuh Nabi Musa pula, padahal selalunya dia buat keputusan sendiri sahaja, tidak perlu hendak minta kebenaran. Dia cakap macam itu supaya nampak macam penduduk Mesirlah yang menghalang dia membunuh Musa selama ini. Seolah-olah kalau orang Mesir tidak halang dia, dia sudah lama bunuh Nabi Musa. Jadi, dia hendak kata, jangan halang dan kacau dia dari membunuh Nabi Musa. Dia memang pandai main politik.

Seperti yang telah diberitahu, dia takut hendak bunuh Nabi Musa. Maknanya, ada rasa takut juga dalam dirinya. Dia sebenarnya pengecut. Di luar, dia tunjukkan keberanian, tetapi dalam hati, dia sebenarnya takut. Ada riwayat yang mengatakan bagaimana semasa dia cakap begini, dia terkencing kerana takut sangat. Tetapi, kenapakah dia takut hendak bunuh Nabi Musa? Sepatutnya senang sahaja untuk dia bunuh Nabi Musa, bukan? Dia ada rasa takut kerana dia tidak pernah berjaya bunuh Musa. Setiap kali dia hendak bunuh, ada sahaja halangan. Ini termasuk semasa baginda tinggal di dalam istananya. Kerana dari awal lagi apabila dia tahu yang Nabi Musa itu dari keturunan Bani Israil, dia sudah hendak bunuh. Perkara ini berlaku dari masa Nabi Musa kecil lagi. Itu adalah kerana baginda telah dijaga oleh Allah SWT.

Begitu jugalah Nabi Muhammad SAW telah dijaga oleh Allah SWT. Walaupun Nabi Muhammad SAW dibenci oleh Musyrikin Mekah, mereka rasa dia penyebab segala masalah, mereka juga sudah buat rancangan hendak bunuh baginda, namun tidak berjaya.

Dikatakan juga, setiap kali Firaun hendak membunuh Nabi Musa, pembesar-pembesarnya akan menghalang. Mereka kata Firaun kena kalahkan Nabi Musa dalam hujah. Kerana selama hari ini asyik kalah dalam hujah sahaja. Berbagai-bagai tuduhan dan tohmahan yang telah diberikan oleh Firaun, tetapi dapat dijawab oleh Nabi Musa. Memang nampak macam Firaun dalam kedudukan yang lemah. Kalau Firaun bunuh terus, nanti akan nampak kelemahan dia. Nanti orang akan kata Firaun bunuh Nabi Musa itu hanya kerana tidak dapat mematahkan hujah baginda.

Atau pun ada pemimpin itu yang rasa Nabi Musa adalah benar tetapi mereka tidak mahu beriman kerana mereka mementingkan kedudukan mereka. Dan mereka tidak mahu Firaun bunuh Nabi Musa kerana mereka tahu yang kalau Nabi Musa dibunuh, akan menyebabkan bencana akan jatuh kepada mereka kerana membunuh seorang Rasulullah.

وَلْيَدْعُ رَبَّهُ

“dan biar dia menyeru kepada Tuhan dia”.

Firaun kata, biar Nabi Musa berdoa kepada Tuhannya agar diselamatkan daripada ku, aku tidak peduli dengan-Nya.

Firaun hendak tengok macam mana Nabi Musa hendak buat bila dia hendak bunuh baginda. Begitulah kurang ajarnya Firaun.

إِنِّي أَخَافُ أَن يُبَدِّلَ دِينَكُمْ

“Sesungguhnya aku ini bimbang dia akan mengubah ugama kamu ini”.

Ini adalah alasan yang digunakan oleh Firaun untuk membunuh Musa. Dia kononnya risau Nabi Musa akan mengubah agama mereka yang telah lama diamalkan mereka kepada ugama lain. Firaun kononnya hendak menjaga amalan agama mereka yang telah lama mereka amalkan turun temurun. Dia hendak kata, Musa ini bawa agama baru yang entah datang dari mana. Tengok bagaimana dia main psikologi.

Semua manusia takut kalau agama mereka diubah. Sama ada orang Islam atau tidak. Ia menjadi benda yang besar kepada manusia kalau fahaman mereka sudah rosak. Bila Firaun sebut macam itu, gelabah habis rakyatnya. Macam sekarang, beza fahaman khalaf dan salaf. Yang amal khalaf pun marah betul kalau puak sunnah masuk. Sampai tidak bagi masuk masjid mengajar agama. Sampai hendak tangkap mereka yang tidak ada tauliah. Sampai senaraikan nama ustaz-ustaz sunnah yang tidak boleh mengajar, kerana mereka kata, ustaz-ustaz ini bawa ajaran baru.

Begitulah pengamal bidaah di negara ini, apabila kita bawa ajaran Sunnah, ada yang menentang kita dengan mengatakan kita bawa ajaran baru, dan mereka hanya hendak menjaga amalan lama yang diajar oleh ulama-ulama dulu sahaja. Mereka kata amalan itu telah lama diamalkan, tidak mungkin salah pula? Kita sudah lama amalkan tahlilan, doa selamat, sedekah pahala, sambut Nisfu Syaaban, datang puak-puak wahabi ini, kata salah pula?

Lihatlah, sama sahaja hujah yang digunakan oleh Firaun dan pelampau bidaah negara ini. Sedangkan kita bukan hendak kena jaga amalan yang sudah lama. Yang penting, kita kena pastikan yang amalan itu benar. Kalau ia salah, dan walaupun sudah lama diamalkan oleh masyarakat, kena ditinggalkan. Kadang-kadang kita pun tidak faham dengan fahaman mereka ini. Mereka sanggup hendak pertahan amalan yang sudah lama walaupun amalan itu salah. Bila diminta dalil, bukan dalil yang diberi, tetapi hujah: “Eh!sudah lama kita dok amal ni, takkan salah pula? Ini tradisi agama kita, kita kena pertahankan!”

أَوْ أَن يُظْهِرَ فِي الْأَرْضِ الْفَسَادَ

“Atau dia akan hendak melahirkan keganasan di atas muka bumi ini”.

Firaun tuduh Nabi Musa hendak menjadi ‘terrorist’ di bumi Mesir. Dia tuduh Nabi Musa hendak melakukan kerosakan di muka bumi Mesir yang aman damai. Firaun tuduh Nabi Musa hendak memecah belahkan penduduk Mesir kepada dua puak, supaya pecah belah dan senanglah Nabi Musa hendak mengambil alih kerajaan Mesir.

Ini idea kedua dia. Kalau agama tidak rosak pun, dia kata kesan dari dakwah Nabi Musa itu, rakyat akan pecah belah. Ini dia sebut dari segi politik. Sebab nanti akan ada yang ikut Nabi Musa dan ada yang tidak. Kesannya nanti ada dua puak di negara itu. Kalau yang mereka tolak adalah kebatilan, memanglah elok. Macam kerajaan kita tolak ajaran Syiah dan cara hidup Barat, itu memang elok. Yang tidak elok adalah kalau kebenaran yang ditolak.

Alasan ini juga digunakan sekarang. Inilah juga kata-kata orang kafir kepada orang Islam. Pemimpin negara Islam pun kata begitu kepada rakyat yang hendak bela agama. Iaitu apabila ajaran sunnah ini semakin kuat, mereka kata inilah golongan pelampau agama yang membunuh orang. Mereka tuduh, inilah gerakan yang mengebom negara itu dan ini, menangkap orang itu dan ini dan sebagainya. Baru-baru ini, kita pun tahu bagaimana ada yang tuduh: ajaran Tauhid Rububiyah, Uluhiyah dan Asma’ wa Sifat akan menyebabkan mereka yang mempelajarinya akan jadi ‘terrorist’. Ini memang tidak masuk akal sama sekali. Berapa ramai yang sudah belajar Tauhid 3T ini, tetapi tidak jadi ‘terrorist’ pun?

Lihatlah alasan Firaun ini – dia kata Musa hendak buat kerosakan di bumi Mesir. Tetapi, selama hari ini, siapakah yang buat kerosakan dan kejahatan di Mesir, bukankah dia? Bukankah dia yang memerintah dengan cara kuku besi? Bukankah dia yang telah mengarahkan dibunuh anak-anak lelaki tanpa belas kasihan lagi? Tidakkah dia telah membunuh ahli-ahli sihir yang telah beriman dengan Nabi Musa? Tidakkah dia telah mengeluarkan perintah untuk membunuh sesiapa yang beriman dengan Nabi Musa dan anak-anak lelaki mereka sekali? Dan entah berapa kali kerosakan yang dilakukan oleh Firaun ini. Lihatlah bagaimana dia yang buat kerosakan, tetapi dia salahkan Nabi Musa pula. Dia pandai putar belit.

Tafsir Ayat Ke-27:

Setelah Firaun berkata begitu, apa yang Nabi Musa lakukan? Allah SWT ajar bagaimana cara menghadapi dugaan dalam dakwah. Tidak perlu gelabah, hanya mengadu sahaja kepada Allah SWT.

Tidak perlu buat apa-apa yang susah. Firaun yang besar itu pun, serah kepada Allah SWT sahaja. Allah SWT sudah cukup bagi kita, kita kena yakin sahaja. Inilah jalan para Nabi dalam melakukan doa. Mereka mengadu terus kepada Allah SWT.

Jangan lawan dengan cara mereka. Jangan lawan kekerasan dengan kekerasan. Kita pun kena pakai cara yang ditunjukkan oleh baginda ini. Macam kita sekarang diserang bertubi-tubi oleh puak yang memusuhi sunnah. Mereka gunakan cara yang tidak elok, contohnya dengan cacian dan makian. Jangan kita pula guna cara mereka. Kita pakai senjata paling kuat: doa.

وَقالَ موسىٰ إِنّي عُذتُ بِرَبّي وَرَبِّكُم مِن كُلِّ مُتَكَبِّرٍ لا يُؤمِنُ بِيَومِ الحِسابِ

“Dan (setelah mendengar ancaman itu) Nabi Musa berkata: “Sesungguhnya aku berlindung kepada Allah SWT Tuhanku dan Tuhan kamu – dari (angkara) tiap-tiap orang yang sombong takbur, yang tidak beriman kepada hari hitungan amal!”

وَقَالَ مُوسَىٰ

“Telah berkata Musa”:

Ini adalah kata-kata jawapan balas dari Nabi Musa. Lihatlah bagaimana Nabi Musa menjawab dengan tenang sahaja ancaman Firaun itu. Ini adalah juga doa kepada sesiapa yang sebar agama dan kalau dapat ancaman orang hendak bunuh atau hendak penjara.

Apabila kita bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT, Allah SWT akan berikan jalan keluar dari masalah. Lihatlah nanti bagaimana Allah SWT membantu Nabi Musa dengan diberikan bantuan dari seorang Lelaki Mukmin dari kalangan keluarga Firaun sendiri.

Nabi Musa berkata ini kepada pengikut-pengikut baginda.

إِنِّي عُذْتُ بِرَبِّي وَرَبِّكُم

“Sesungguhnya aku berlindung dengan Tuhanku dan Tuhanmu juga”.

Dalam ayat sebelum ini, Firaun cabar dan hendak melihat Nabi Musa meminta tolong kepada Tuhannya. Dan memang Nabi Musa akan berdoa dan berharap kepada Allah SWT sahaja. Tidak ada tempat lain yang hendak diharapnya.

Begitu jugalah kita, kena mengharap kepada Allah SWT. Gunakan pendekatan doa – minta Allah SWT zahirkan kudrat-Nya dengan beri pertolongan kepada kita. Kalau ada orang hendak serang kita, hendak kacau kita, minta tolong kepada Allah SWT sahaja.

Allah SWT bukan sahaja Tuhan kepada Nabi Musa, tetapi Tuhan kepada Firaun, Tuhan kepada Bani Israil dan semua orang. Walaupun mereka tidak percaya kepada Allah SWT, Allah SWT tetap Tuhan mereka juga. Tidak ada Tuhan yang lain. Itulah yang Nabi Musa ingatkan dalam ayat ini.

Begitulah juga kita dengan orang kafir sekarang – walaupun mereka tidak mengaku Allah SWT itu Tuhan mereka, tetapi tetap Allah SWT itu Tuhan mereka. Allah SWTlah yang memberi kehidupan dan rezeki kepada mereka. Walaupun mereka berdoa kepada tuhan sembahan mereka, tetapi Allah SWTlah yang memakbulkan doa-doa mereka itu. Tidak ada Tuhan yang lain. Sembahan-sembahan mereka itu bukan boleh beri apa-apa pun. Lalu masalah mereka selesai, mereka dapat makan itu, dari siapa? Bukan dari Allah SWT kah?

Lihatlah bagaimana Nabi Musa berharap dan menyerahkan urusannya kepada Allah SWT. Beginilah pendakwah ajaran Tauhid kena serahkan diri kepada Allah SWT. Kalau ada yang menentang kita, doa kepada Allah SWT. Kena tawakal kepada Allah SWT.

Kerana itulah disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa r.a., bahawa Rasulullah Saw. apabila merasa takut terhadap kejahatan suatu kaum mengucapkan doa berikut:

“اللَّهُمَّ، إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ شُرُورِهِمْ، وَنَدْرَأُ بِكَ فِي نُحُورِهِمْ”

“Ya Allah SWT, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kejahatan mereka dan menjadikan Engkau berada pada leher mereka”.

مِّن كُلِّ مُتَكَبِّرٍ

“dari setiap orang yang sombong”

Nabi Musa memohon perlindungan kepada Allah SWT dari mereka yang sombong. Mereka itu dikatakan ‘sombong’ kerana tidak mahu menerima kebenaran, mereka hanya memandang diri mereka sahaja yang penting. Begitulah Firaun. Dan begitulah juga orang-orang yang tidak mahu menerima kebenaran.

لَّا يُؤْمِنُ بِيَوْمِ الْحِسَابِ

“dan tidak beriman kepada Hari Perkiraan.”

Orang yang sombong dan rasa diri besar tidak hiraukan pun dengan Hari Perkiraan (Hari Kiamat). Mereka hanya nampak dunia sahaja dan tidak memikirkan apa yang akan terjadi di Hari Kiamat nanti.

Hari Kiamat itu juga dipanggil dengan ‘Hari Perkiraan’ kerana waktu itu akan dikira apakah amalan manusia semasa di dunia dan mereka akan dibalas dengan apa yang mereka telah lakukan.

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan