Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-24 dan Ke-25

Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-24 dan Ke-25

490
0
Iklan

Tafsir Surah Ghafir

Tafsir Ayat Ke-24:

إِلىٰ فِرعَونَ وَهامانَ وَقارونَ فَقالوا ساحِرٌ كَذّابٌ

“Kepada Firaun dan Haman serta Qarun; maka mereka berkata: “Ia seorang ahli sihir, lagi pendusta!”

إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَهَامَانَ وَقَارُونَ

Kepada Firaun dan Haman dan Qarun.

Firaun adalah Raja Mesir waktu itu. Beliau memerintah bangsa Qibti dan juga Bani Israil. Dia memerintah dengan cara menyeluruh. Maknanya, dia bukan sahaja memerintah dari segi politik tapi dari segi agama juga, kerana beliau mengaku sebagai tuhan – maka semua kena ikut dia.

Haman pula adalah penasihat Firaun.

Qarun pula dikatakan sebagai penjaga khazanah kerajaan. Qarun sebenarnya bukan orang Qibti tetapi dari Bani Israil. Disebabkan dia tidak mahu bayar zakat, dia sanggup duduk bersama dengan Firaun kerana Firaun kata tidak perlu bayar zakat.

Memandangkan dia amat kaya, dia dapat kedudukan dalam kerajaan Firaun. Dia dilantik oleh Firaun untuk menjadi wakil Bani Israil. Dan sifat dia seperti Firaun juga.

Maka sebab itu Tuhan simpulkan tiga-tiga sekali dalam ayat ini. Mereka itu adalah kepala-kepala penjahat. Tentunya di bawah mereka ada ramai lagi kuncu-kuncu mereka. Cukuplah sebut kepala sahaja.

Dalam ayat ini, dikatakan bahawa Nabi Musa dihantar kepada mereka bertiga. Tentulah bukan kepada mereka bertiga sahaja, kerana baginda juga adalah Rasul kepada Bani Israil dan juga kepada bangsa Qibti. Tetapi mereka bertiga disebut secara khusus kerana mereka adalah pemuka masyarakat Mesir waktu itu. Kalau mesej diberikan kepada ketua kerajaan, itu bermaksud mesej dakwah itu juga kepada orang bawahan mereka juga.

Nabi Musa jumpa mereka dan dakwah kepada mereka tentang tiga perkara penting – tauhid, risalah dan akhirat. Inilah ringkasan agama. Kalau kita hendak berdakwah kepada manusia pun, kena sebut tentang tiga perkara ini. Mula ajar mereka tentang Allah SWT sikit, kemudian tentang Sunnah Nabi sikit dan kemudian ingatkan tentang syurga neraka.

فَقَالُوا سَاحِرٌ كَذَّابٌ

Mereka berkata: Musa ini tukang sihir, amat pendusta.

Jawapan mereka bertiga sama sahaja. Mereka bukan kata dia pendusta sikit-sikit. Mereka kata dia ‘amat pendusta’. Mereka mengatakan apa yang ditunjukkan oleh Nabi Musa itu adalah sihir sahaja; dan ajakan dakwah Nabi Musa itu hanyalah tipuan sahaja. Itulah dakwaan mereka.

Sebelum ini telah disebut bahawa Nabi Musa menyampaikan mukjizat dan hujah, bukan? Jadi mereka menolak dengan memberi bantahan kepada dua perkara itu:

1.Untuk tolak Mukjizat – mereka katakan itu adalah sihir belaka. Apabila Nabi Musa dan Nabi Harun datang berdakwah kepada mereka, Firaun minta Nabi Musa tunjukkan dalil. Maka Nabi Musa telah tunjukkan dalil tongkat menjadi ular dan tangan baginda yang bercahaya. Namun, Firaun kata apa yang Nabi Musa tunjuk itu adalah sihir belaka.

Mereka kata begitu supaya rakyat yang tengok mukjizat yang Nabi Musa tunjukkan itu, tidaklah mereka percaya. Rakyat memang terpegun dengan mukjizat yang ditunjukkan, tetapi apabila dituduh ianya sihir, maka rakyat tidaklah rasa takjub lagi.

2.  Untuk tolak Hujah – mereka katakan hujah-hujah Nabi Musa a.s. itu adalah tipuan sahaja. Mereka tuduh Nabi Musa dan Nabi Harun sebagai penipu supaya rakyat tidak percaya kepada kata-kata mereka berdua.

Rakyat yang mula hendak percaya kepada dua Nabi itu pun telah tertutup untuk menerima dakwah dengan label dan tuduhan yang diberikan. Tambahan pula yang kata itu adalah Firaun, Haman dan Qarun. Iaitu orang-orang yang berkuasa dan kaya dalam masyarakat dan kerana itu mereka dipercayai.

Inilah kelemahan manusia – apabila yang berkata-kata itu adalah mereka yang berkuasa, mereka mudah percaya. Padahal, tidaklah mereka yang berkedudukan itu semestinya benar. Segala kata-kata manusia perlu diteliti dahulu barulah diterima. Tidaklah terus terima sahaja.

Begitulah yang terjadi dalam masyarakat Islam kita sekarang. Kalau yang berkata tentang agama itu orang-orang besar, orang-orang yang masuk surat khabar dan media massa seperti TV, senang masyarakat hendak terima apa yang mereka katakan. Walaupun mereka tidak memberikan dalil pun dalam hujah mereka. Namun, kebanyakan manusia memang akan terkesan dengan mereka yang ada kuasa dan terkenal.

Tafsir Ayat Ke-25

Nabi Musa tidak berhenti dakwah walaupun baginda ditolak. Maknanya kita pun kalau menjalankan dakwah, tidak boleh berhenti walaupun kena caci, kena marah dan kena tuduhan, tohmahan. Nabi Musa tidak terkesan dengan kata-kata manusia. Ini dinamakan sifat istiqlal. Jangan kita kena tuduh sebagai ‘wahabi’ sahaja, sudah takut hendak berdakwah. Kena tuduh berbagai-bagai itu, ini perkara biasa sahaja.

Kenapa Allah SWT suruh Nabi Musa berdakwah kepada Firaun sedangkan Dia tahu yang Firaun tidak akan beriman? Kerana walaupun Firaun tidak akan beriman, dakwah yang dilakukan oleh Nabi Musa itu akan memberi kesan kepada baginda. Macam mengasah pisau – memang batu tidak jadi apa-apa, tetapi pisau itu akan jadi semakin tajam.

Apabila Nabi Musa datang lagi untuk berdakwah, Firaun telah buat satu rancangan untuk memporak perandakan Bani Israil yang mula ikut Nabi Musa dengan mengeluarkan arahan bunuh kepada Bani Israil yang beriman dengan Nabi Musa. Itulah cara Firaun.

Ini adalah arahan bunuh kali kedua. Kali pertama dulu adalah semasa Nabi Musa dilahirkan.

فَلَمّا جاءَهُم بِالحَقِّ مِن عِندِنا قالُوا اقتُلوا أَبناءَ الَّذينَ آمَنوا مَعَهُ وَاستَحيوا نِساءَهُم ۚ وَما كَيدُ الكافِرينَ إِلّا في ضَلالٍ

Setelah dia (Nabi Musa) datang kepada mereka dengan membawa kebenaran dari sisi Kami, mereka berkata: “Bunuhlah anak-anak lelaki orang-orang yang beriman yang mengikutnya, dan biarkan hidup anak-anak perempuan mereka”. Tidaklah tipu daya orang-orang kafir itu melainkan dalam kebinasaan sahaja.

فَلَمَّا جَاءَهُم بِالْحَقِّ

Dan apabila sudah datang kepada mereka kebenaran,

Ini adalah apabila Nabi Musa datang kembali kepada Firaun untuk berdakwah. Maknanya, mereka tidak terkesan dengan penolakan Firaun dan pengikutnya sebelum itu. Nabi Musa tetap datang berdakwah lagi. Macam kitalah, kalau dakwah sekali tidak lepas, kena datang waktu lain pula.

Nabi Musa dan Nabi Harun datang bukannya dengan tangan kosong. Tetapi mereka datang بِالْحَقِّ iaitu dengan bawa wahyu dan bawa mukjizat.

مِنْ عِندِنَا

daripada Kami.

Mereka berdua datang dengan bawa dalil-dalil dari Allah SWT sendiri. Mereka tidak reka hujah, mereka tidak reka dalil.

قَالُوا اقْتُلُوا أَبْنَاءَ الَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ

Mereka berkata: bunuhlah anak-anak lelaki yang beriman bersamanya.

Ini rancangan Firaun dan pengikutnya. Mereka telah memberi arahan untuk membunuh anak lelaki Bani Israil yang telah beriman dengan Nabi Musa. Supaya tidak ada lagi keturunan Bani Israil lagi. Ini adalah ‘ethnic cleansing’.

Ini menunjukkan bahawa Firaun dan mereka yang bersekongkol dengannya telah menggunakan keganasan untuk mengawal rakyat mereka. Mereka menggunakan kekerasan dan pembunuhan untuk mematikan kebenaran. Mereka telah menjadikan perbuatan beriman dengan Nabi Musa sebagai satu jenayah yang boleh menyebabkan mereka dibunuh. Mereka sanggup lakukan ini untuk menghalang rakyat dari menerima dakwah Islam. Ini tentunya telah menyebabkan ramai yang takut masuk Islam. Jadi, menggunakan kekerasan dalam membunuh dakwah adalah perkara biasa yang telah dilakukan oleh Firaun pun.

Ini adalah kenyataan kedua yang Firaun buat untuk bunuh anak lelaki. Pertama, semasa Nabi Musa dilahirkan. Yang kali ini arahan Firaun ini tidak sempat dijalankan.

Kenapa Firaun hendak buat begitu? Kerana dia hendak halang Nabi Musa dari datang berdakwah sahaja. Dan supaya pengikut baginda tinggalkan baginda.

Tetapi kenapa tidak disuruh bunuh sahaja Nabi Musa? Bukankah lagi senang begitu? Kerana sebenarnya, dia takut juga kepada Nabi Musa. Dia sedar yang kalau dia ganggu Nabi Musa, akan ada masalah kepada dirinya. Dia bukan tidak tahu yang Nabi Musa itu adalah Nabi kerana dia seorang yang cerdik. Tetapi dia tidak boleh terima kebenaran.

وَاسْتَحْيُوا نِسَاءَهُمْ

dan biarkan perempuan-perempuan mereka hidup

Dan anak-anak perempuan pula mereka suruh biarkan hidup. Tetapi bukan biarkan sahaja, kerana mereka akan dijadikan sebagai kuli, hamba, malah sebagai hamba seks sekali.

Jadi ianya lebih menyakitkan hati lagi dari kena bunuh. Kerana apabila anak lelaki dibunuh, terus tanam dan lama-lama mungkin boleh lupa, tetapi apabila melihat anak-anak perempuan mereka dijadikan hamba dan terseksa sepanjang hari, itu lebih menyakitkan.

Mereka dibiarkan hidup supaya boleh jadi gundik-gundik orang lelaki mereka. Supaya keturunan Bani Israil itu hilang, kerana tiada lelaki dari kalangan mereka. Ini adalah seksaan secara mental dengan memalukan dan merendahkan kedudukan bangsa Israil itu. Supaya anak yang keluar bukan lagi bangsa Israil sepenuhnya.

وَمَا كَيْدُ الْكَافِرِينَ إِلَّا فِي ضَلَالٍ

“Dan tidaklah rancangan orang kafir itu melainkan sia-sia sahaja”.

Allah SWT jawab dalam ayat ini kerana tentu ada timbul persoalan: Adakah segala rancangan dan usaha Firaun itu berjaya? Ada idkhal ilahi (pencelahan Tuhan) di sini.

‘Idkhal ilahi’ adalah jawapan dari Allah SWT kepada persoalan yang mungkin timbul dalam fikiran manusia. Allah SWT jawab terus supaya tidak ada anggapan yang salah. Mungkin ada yang tertanya dalam hati: adakah berjaya rancangan Firaun itu? Allah SWT terus memberitahu dalam ayat ini bahawa rancangan Firaun itu tidak berjaya.

Tujuan mereka melakukan arahan itu adalah supaya Nabi Musa menghentikan dakwah baginda. Namun, tujuan mereka itu tidak berjaya. Apa yang mereka rancangkan itu telah gagal. Masih ada juga yang beriman dan masuk Islam.

Dalam bentuk pemahaman yang umum, apa-apa rancangan untuk menjatuhkan agama Islam akan dimusnahkan oleh Allah SWT. Allah SWT akan memberi pertolongan dan bantuan kepada agama-Nya. Walaupun begitu ramai yang ingin menjatuhkan Islam, ianya tetap subur. Jadi kalau sekarang usaha dakwah sunnah hendak digagalkan, ia tidak akan berjaya, in sha Allah. Dakwah sunnah akan tetap subur.

Kalau seseorang itu telah ditakdirkan akan beriman, Islam akan sampai kepadanya juga. Sebagai contoh, lihatlah bagaimana orang kafir mahu menyalahkan agama Islam dengan mengatakan orang Islamlah yang menyebabkan runtuhnya World Trade Center pada 9/11.

Tetapi rancangan itu telah memakan diri mereka – ramai yang hendak mengetahui tentang Islam kerana kejadian itu dikaitkan dengan agama Islam – maka mereka telah mencari maklumat tentang agama Islam dan akhirnya apabila mereka mengetahui betapa indahnya Islam, sampaikan ramai yang telah menganut agama Islam! Rancangan jahat mereka adalah untuk menjatuhkan Islam, tetapi Allah SWT telah menggagalkan rancangan itu, sebaliknya ramai pula yang masuk Islam kerana rancangan jahat mereka itu.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan