Tafsir Surah Ghafir
Tafsir Ayat Ke-22
Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang mereka yang telah dikenakan dengan azab kerana mereka berbuat dosa. Dosa apakah yang mereka lakukan? Ianya dijelaskan dalam ayat ini. Dosa mereka adalah dosa tolak wahyu. Itulah dosa paling berat sekali.
ذٰلِكَ بِأَنَّهُم كانَت تَأتيهِم رُسُلُهُم بِالبَيِّناتِ فَكَفَروا فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ ۚ إِنَّهُ قَوِيٌّ شَديدُ العِقابِ
“(Kebinasaan mereka) yang demikian ialah kerana mereka sentiasa didatangi Rasul-rasul yang diutuskan kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (hukum-hukum dan mukjizat) yang jelas nyata, maka mereka kufur ingkar, lalu Allah SWT menyeksa mereka, sesungguhnya Allah SWT adalah Maha Kuat lagi Maha berat azab seksa-Nya”.
ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانَت تَّأْتِيهِمْ رُسُلُهُم
Demikianlah mereka dulu telah datang kepada mereka rasul-rasul mereka
Allah SWT ingatkan kepada Musyrikin Mekah dan mereka yang seperti mereka, kaum-kaum itu dihancurkan kerana mereka buat perangai mereka yang salah, yang sama seperti yang sedang dilakukan oleh Musyrikin Mekah dan musyrik mana-mana dalam dunia.
Mereka yang telah diazab di dunia seperti Tsamud, Aad, Firaun dan kaumnya itu, mereka juga telah didatangi oleh para Rasul.
Kalau orang-orang dahulu telah didatangi oleh Rasul mereka, bagaimana dengan kita?; kita tidak ada rasul dan Nabi lagi, tetapi akan ada penyebar tauhid yang akan menceritakan hal tauhid kepada kita.
بِالْبَيِّنَاتِ
dengan bawa bukti-bukti jelas
Rasul-rasul itu telah datang membawa bukti-bukti yang jelas dari Allah SWT. Mereka bawa wahyu, bawa hujah, bawa mukjizat. Segala itu dibawa untuk membuktikan kepada kaum mereka bahawa apa yang mereka bawa adalah kebenaran dari Allah SWT.
فَكَفَرُوا
tapi mereka engkar.
Mereka ingkar untuk terima dakwah dan ajakan tauhid itu. Kerana ingkar, mereka jadi kafir.
Ini bermakna, bila Al-Quran dibacakan kepada orang dan orang itu tidak terima, mereka akan menjadi kafir terus. Tidak perlu pijak Al-Quran lagi dah. Iaitu apabila mereka faham maksud ayat Al-Quran, tetapi masih tidak mahu terima. Mereka menutup kebenaran dengan enggan terima. Orang Islam kena terima sepenuhnya ayat-ayat Al-Quran.
فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ
Maka Allah SWT azab mereka
Allah SWT beri azab kerana mereka ingkar, bukan kerana Allah SWT suka hendak beri azab.
إِنَّهُ قَوِيٌّ
Sesungguhnya Allah SWT itu Dzat yang Maha Gagah Perkasa
Oleh kerana Allah SWT Maha Gagah Perkasa, Allah SWT boleh sahaja menurunkan apa sahaja azab yang dikehendaki-Nya kepada makhluk.
شَدِيدُ الْعِقَابِ
Amat keras balasan-Nya.
Apabila Allah SWT mengenakan azab-Nya kepada makhluk, azab itu amat keras. Memang tidak akan tertanggung. Maka kenalah fikir-fikirkan. Sanggupkah hendak tahan azab neraka?
Tafsir Ayat Ke-23
Sebelum ini telah disebut ayat-ayat Takhwif Ukhrawi. Sekarang Allah SWT membawakan kisah Nabi Musa a.s. sebagai contoh takhwif duniawi.
Sebelum ini telah disebut bagaimana kaum-kaum dahulu telah didatangi dengan para Rasul mereka, tetapi mereka menolak dakwah para Rasul itu. Sekarang disebut Kisah Nabi Musa sebagai bandingan supaya manusia boleh melihat bagaimana Nabi Musa telah mendatangi Firaun dan telah ditolak oleh Firaun.
Allah SWT menggunakan pendekatan bercerita kepada manusia kerana Allah SWT tahu sifat manusia yang suka kepada cerita. Manusia boleh duduk lama kalau dengar cerita, sampaikan kalau cerita hantu pun mereka suka dengar dan percaya. Maka, Allah SWT hendak beritahu kisah yang benar kepada mereka.
وَلَقَد أَرسَلنا موسىٰ بِآياتِنا وَسُلطانٍ مُبينٍ
“Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutuskan Nabi Musa membawa ayat-ayat Kami dan bukti (mukjizat) yang jelas nyata”.
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مُوسَى
Sesungguhnya Kami telah utus Musa
Nabi Musa adalah salah satu Nabi yang Ulul Azmi. Banyak kisah baginda dalam Al-Quran. Bila dicampur-campur semua kisah, kita akan dapat kisah yang lengkap.
Baginda telah diutus kepada Firaun dan bangsa Qibtinya, dan juga Bani Israil.
بِآيَاتِنَا
dengan bawa tanda-tanda,
Iaitu wahyu Allah SWT. Ini wahyu sebelum Kitab Taurat kerana Nabi Musa hanya terima kitab Taurat selepas dia menyeberangi lautan. Wahyu Allah SWT dalam ayat ini adalah wahyu-wahyu yang dia terima dari mertua baginda iaitu Nabi Shuaib dan yang baginda terima di bukit Tursina. Atau pun mungkin boleh bermaksud wahyu-wahyu lain yang diterimanya sebelum mendapat Kitab Taurat.
Tanda-tanda selain daripada wahyu, ia juga bermaksud mukijzat yang ditunjukkan oleh Nabi Musa. Antaranya tongkatnya yang menjadi ular, tangannya yang bercahaya, tongkatnya yang membelah laut, tongkatnya yang mengeluarkan air dan berbagai-bagai lagi mukjizat yang ditunjukkan oleh baginda kepada kaumnya.
Mukjizat adalah suatu kejadian yang luar biasa sebagai tanda kenabian. Ianya diberikan kepada para Nabi, kerana apabila hendak menyuruh manusia ikut mereka, mereka kena tunjuk bukti. Zaman Nabi Musa, masyarakat waktu itu kagum kepada sihir, jadi baginda diberikan dengan mukjizat yang nampak macam sihir, tetapi bukan sihir dan mukjizatnya itu mengalahkan sihir.
وَسُلْطَانٍ مُّبِينٍ
dan bukti-bukti yang jelas nyata
Yang dimaksudkan adalah mukjizat yang diberikan kepada Nabi Musa. Mukjizat pertama yang ditunjukkan adalah tongkat yang boleh menjadi ular dan tangan baginda yang bercahaya.
Nabi Musa juga telah diberikan dengan kebolehan untuk berhujah dengan baik. Bayangkan, baginda telah diberikan kekuatan untuk pergi berdakwah dan berhujah dengan Firaun di istana Firaun! Itu adalah sesuatu yang berat. Berhujah dengan Firaun bukanlah senang kerana Firaun amat bijak dan pandai berdalih. Tetapi Nabi Musa dapat memberikan hujah baginda dengan jelas dan kemas. Soal jawab hujah antara Firaun dan Nabi Musa itu banyak terdapat dalam surah-surah yang lain.
Allahu a’lam.