1. Soalan
Bagaimana dengan isu campur mazhab mengikut pandangan yang lebih mudah atau ringan?
1. Jawapan
Isu campur mazhab adalah muhdath atau baru. Sebelumnya, pada 300 tahun sahabat tidak ada mazhab. Mazhab muncul kerana pesatnya Islam berkembang dan keluar dari daerah Arab yang hidupnya sederhana dan ringkas. Malaysia yang mendakwa bermazhab Syafi’e sebenarnya hanya dakwaan. Umat Islam di Malaysia tidak pernah khatam kitab Al-Umm dalam kehidupan mereka. Sebenarnya, orang Malaysia bermazhab rojak tanpa disedari dan inilah yang sepatutnya. Tujuan mazhab dan banyaknya mujtahid ialah memudahkan dan meringankan syariat kepada manusia.
Maka tidak ada masalah campur mazhab, kerana itulah amalan manusia pada 300 tahun pertama Islam di mana mereka bebas beramal dengan yang paling mudah dan ringan, kerana itulah tujuan syariah.
Islam itu mudah, dalilnya:
عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَ ،عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : (إِنَّ الدِّيْن يُسْرٌ، وَلَن يُشَادَّ الدِّيْنَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ ، فَسَدِّدُوْا وَقَارِبُوْا ، وَأَبْشِرُوْا، وَاسْتَعِيْنُوْا بِالْغَدْوَةِ وَالرَّوْحَةِ وَشَيْءٌ مِنَ الدُّلْجَةِ ). وَفِيْ لَفْظٍ: (…وَالْقَصْدَ الْقَصْدَ تَبْلُغُوْا).
Dari Abu Hurairah RA dari Nabi SAW, beliau bersabda, “Sesungguhnya agama ini mudah. Tidak ada seorang pun yang mempersulit agama melainkan dia akan dikalahkannya. Maka luruslah dalam beramal, dekatilah (tingkat kesempurnaan), dan bergembiralah, dan mintalah pertolongan kepada Allah SAW pada pagi, petang, dan akhir malam.” Pada lafaz lain disebutkan, “…Berlaku sederhanalah (tidak berlebihan), berlaku sederhanalah, nescaya kalian akan sampai (pada tujuan).” [Al-Bukhari]
2. Soalan
Apakah sebenarnya maksud sunnah?
2. Jawapan
Sunnah adalah apa yang Nabi SAW buat, cakap dan sahkan. Ada dua sunnah syariah iaitu sunnah tasyrik yang dianjurkan ke atas umatnya sebagai contoh, sunnah lelaki solat berjemaah di masjid. Sunnah jibliyah adalah sunnah yang tidak dianjurkan kerana ia bersifat peribadi yakni, Nabi SAW suka naik keldai atau Nabi SAW suka pakai jubah Arab. Sunnah tasyrik lawannya sunnah jibliyah atau ghairi tasyrik adalah dua jenis sunnah yang perlu difahami.
3. Soalan
Betulkah Ibnu Hajar menukilkan boleh yaqazah dengan Nabi SAW?
3. Jawapan
Tidak betul.
Ibn Hajar cuma membahaskan bab tersebut secara terperinci dalam bab mimpi berjumpa Nabi SAW. Dakwaan berjumpa Nabi SAW dalam keadaan jaga (yaqazah) bercanggah dengan Al-Quran. Antaranya,
إِنَّكَ مَيِّتٌ وَإِنَّهُمْ مَيِّتُونَ
“Sesungguhnya engkau akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati (pula)” [az-Zumar: 30]
وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ ۚ أَفَإِنْ مَاتَ أَوْ قُتِلَ انْقَلَبْتُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ ۚ وَمَنْ يَنْقَلِبْ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ فَلَنْ يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا
“Tiadalah Muhammad itu melainkan seorang rasul. Sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh, kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun.” [Ali Imran:144]
Maka tidak ada lagi khayalan sufi, bahawa Nabi SAW akan kembali bertemu orang yang hidup.