Utama Bilik (09) Ulum Al-Quran 06.02 Apa (Sumber/Sandaran) yang Dipegang bagi Mengetahui Sebab Penurunan (Ayat alQuran)

06.02 Apa (Sumber/Sandaran) yang Dipegang bagi Mengetahui Sebab Penurunan (Ayat alQuran)

559
0
Iklan

Panel: BroSyarief

Nota 06.02 siap. Harap baca dengan teliti dan fahami. Berikan respon anda walau sekadar 👌 selepas membaca. #NoStickerPlease

#240616 Bilik (09) Ulum al-Quran

06.02 Apa (Sumber/Sandaran) yang Dipegang bagi Mengetahui Sebab Penurunan (Ayat alQuran) – (ما يُعْتَمد عليه في معرفة سبب النزول)

#NotaBroSyarief #UlumQuran #UiTOBilik09

Para ulama, dalam usaha mengetahui sebab penurunan sesuatu ayat atau surah, mereka bergantung kepada kesahihan periwayatan dari RasululLah sallalLaahu ‘alaihi wa sallam atau dari para sahabat.

Jika ianya dari sahabat, dengan pernyataan yang jelas, bukan sekadar pandangannya, ia dinilai dengan hukum Marfu’. (Boleh lihat nota ringkas tentang Hadits Mawquf dengan hukum Marfu di https://uito.org/2015/07/24/02-02-03080415-al-marfu-mawquf-dan-al-maqthu/)

Kata al-Wahidi (w.468H),

وَلَا يَحِلُّ الْقَوْلُ فِي أَسْبَابِ نُزُولِ الْكِتَابِ إِلَّا بِالرِّوَايَةِ وَالسَّمَاعِ مِمَّنْ شَاهَدُوا التَّنْزِيلَ وَوَقَفُوا عَلَى الْأَسْبَابِ وَبَحَثُوا عَنْ عِلْمِهَا

‘Tidak halal (bagi sesiapa, mengeluarkan) kata-kata tentang sebab-sebab penurunan alQuran, kecuali (mesti dibawakan bukti dari) periwayatan dan (sanad) yang didengar dari orang-orang yang menyaksikan penurunan al-Quran, mereka juga memperhatikan sebab-sebab (penurunan) dan mengkaji kefahaman tentangnya’

[Lubab an-Nuqul fi Asbab an-Nuzul]

Demikianlah manhaj para salaf, mereka berhati-hati dari menyebutkan sesuatu tentang sebab-sebab penurunan tanpa kepastian sumbernya.

Muhammad ibn Sirin (w.110H) menyebutkan,

سَأَلْتُ عُبَيْدَةَ عَنْ آيَةٍ مِنَ الْقُرْآنِ فَقَالَ : اتَّقِ اللَّهَ وَقُلْ سَدَادًا ، ذَهَبَ الَّذِينَ يَعْلَمُونَ فِيمَا أُنْزِلَ الْقُرْآنُ .

Aku bertanya kepada ‘Ubaydah tentang satu ayat di dalam al-Quran, lalu dia berpesan:

Bertaqwalah kepada Allah, dan berkatalah yang benar, (kerana) telah pergi mereka (yakni: para sahabat) yang mengetahui tentang apa (sebab atau peristiwa) diturunkan al-Quran

[Asbab an-Nuzul]

Itu adalah nukilan dari Ibn Sirin yang terkenal di kalangan Tabi’in yang berusaha keras mencari periwayatan dan sangat teliti dalam penukilan.

Ia menunjukkan wajibnya kita bergantung sepenuhnya kepada periwayatan yang sahih tentang sebab-sebab penurunan.

Oleh itu, yang menjadi sandaran utama pada topik ini adalah apa yang diriwayatkan dari perkataan-perkataan para sahabat di atas jalur sanad, dalam bentuk yang jelas menyebutkan ianya adalah sebab penurunan.

as-Suyuti (w.911H) pula menambah pandangan bahawa kata-kata Tabi’in yang jelas menyebutkan sebab penurunan juga diterima walaupun ianya Mursal.

Dengan syarat sanadnya sahih dan dia merupakan dari kalangan imam-imam tafsir yang mengambil dari sahabat, seperti Mujahid, ‘Ikrimah, Sa’id ibn Jubayr; ditambah dengan sokongan riwayat atau sanad mursal yang lain.

al-Wahidi turut mengecam ulama sezaman dengannya kerana sikap bermudah-mudah mereka pada periwayatan Sabab Nuzul, dan dia melemparkan tuduhan fitnah dan pembohongan, dan memberi amaran kepada mereka akan ancaman yang berat (kerana kecuaian itu).

Katanya,

أَمَّا الْيَوْمُ فَكُلُّ أَحَدٍ يَخْتَرِعُ شَيْئًا ، وَيَخْتَلِقُ إِفْكًا وَكَذِبًا ، مُلْقِيًا زِمَامَهُ إِلَى الْجَهَالَةِ ، غَيْرَ مُفَكِّرٍ فِي الْوَعِيدِ لِلْجَاهِلِ بِسَبَبِ الْآيَةِ

Adapun hari ini (di zamannya), setiap orang mereka sesuatu, mencipta fitnah dan pembohongan; melemparkan dirinya kepada kejahilan, tak memikirkan ancaman bahaya pada kejahilan tentang sebab penurunan ayat

walLaahu a’lam

Ruj: Mabahits fi ‘Ulum al-Quran, karangan Ust Manna’ Khalil al-Qattan

#BroSyariefShares

Komen dan Soalan