Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zalzalah – Tafsir Ayat Ke-3 dan Ke-4

Tafsir Surah Az-Zalzalah – Tafsir Ayat Ke-3 dan Ke-4

1154
0
Iklan

Tafsir Surah Az-Zalzalah

Pada perbincangan sebelum ini, kita telah membincangkan :

1.“Bentuk” amaran Allah SWT mengenai kedahsyatan gempa pada ayat yang pertama.

2. Bagaimana gambaran huru hara yang berlaku pada hari tersebut.

3. Hadis yang menceritakan pengakuan dan penyesalan manusia pada waktu tersebut.

Walau bagaimana pun, kita juga telah mengetahui bahawa dalam surah Zalzalah ini, terdapat penerangan “bagaimana” sifat-sifat orang yang ingkar kepada Allah SWT.

Tafsir Ayat Ke-3:

Apabila kejadian gempa bumi yang amat kuat itu berlaku:

وَقالَ الإِنسانُ ما لَها

“dan manusia bertanya: “Mengapa bumi (menjadi begini)?”

Mereka akan tertanya-tanya apakah yang sedang terjadi kepada bumi itu, sedangkan mereka sudah sepatutnya tahu pun yang itu adalah Hari Kiamat yang telah dijanjikan dan diperingatkan kepada mereka.

Sudut pandang yang lain: Sebelum Surah Zalzalah, betapa banyaknya surah yang memberi peringatan tentang kiamat.

Walaupun telah diingatkan berkali-kali, tetapi manusia tetap akan terlupa dan itulah sifat:

الإِنسانُ

Kalimah manusia itu diambil dari kalimah “nasiya” yang bermaksud pelupa.

Kedahsyatan hari kiamat : Surah [ Al Hajj: 2 ]

يَوْمَ تَرَوْنَهَا تَذْهَلُ كُلُّ مُرْضِعَةٍ عَمَّا أَرْضَعَتْ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَىٰ وَمَا هُم بِسُكَارَىٰ وَلَٰكِنَّ عَذَابَ اللَّهِ شَدِيدٌ

Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu:

– tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya;

– dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya;

– dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk.

tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan.

Apa yang tuan/puan boleh perhatikan pada ayat ketiga ini, sifat manusia yang ingkar kepada Allah. Sifat ini terlalu ganjil, tetapi hampir kepada cara hidup manusia hari ini.

Maksud:

Bayangkan sudah dari AYAT PERTAMA lagi Allah SWT memberi amaran mengenai kedahsyatan gempa. Bahkan kejadian demi kejadian berlaku ( pada ayat KEDUA, iaitu terbongkar isi perut bumi ).

Tetapi sifat alpa manusia, hanya tiba ayat KETIGA barulah manusia hendak bertanya “Apakah yang sedang berlaku??”

Memang benar, kata-kata Allah SWT yang menyindir manusia. Surah Al-Baqarah ( 2 ): 18

صُمٌّ بُكْمٌ عُمْيٌ فَهُمْ لَا يَرْجِعُونَ

Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran).

Al-Quran: Kitab ingatan kepada manusia. DIA jadikan kita, DIA tahu apa ubatnya. Namun kena jaga niat, agar kita ikut kitab supaya dapat kembali jadi hamba-Nya.

Kebergantungan kepada Allah SWT itu adalah hasil dalam beriman dan dalam masa yang sama, kita kena semak proses dalam masa beriman tersebut.

IMAN itu pengucapan dengan lisan (perkataan), membenarkan di dalam hati (niat), pembuktian dengan amalan (tindakan) dan mesti mengikut Sunnah (Nabi SAW) ~ Sahal bin Abdullah (tabi’in).

Seterusnya bumi akan jadi saksi di atas segala perbuatan manusia di dunia.

Tafsir Ayat Ke-4:

يَومَئِذٍ تُحَدِّثُ أَخبارَها

pada hari itu bumi menceritakan beritanya

يَومَئِذٍ

merujuk kepada hari kiamat itu

تُحَدِّثُ

Dari kalimah ح د ث yang bermaksud memberitahu seseorang tentang sesuatu perkara

أَخبارَها

beritanya

Kalimah أَخبارَ dari kata dasar خ ب ر (berita)

Dari Abu Hurairah yang menceritakan bahawa Rasulullah SAW membaca firman-Nya: pada hari itu bumi menceritakan beritanya. (Az-Zalzalah: 4)

Lalu Rasulullah SAW bersabda:

“Tahukah kamu apakah yang dimaksudkan dengan beritanya?” Mereka menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya berita bumi ialah bila ia mengemukakan penyaksian terhadap setiap hamba lelaki dan perempuan tentang apa yang telah dikerjakannya di atas permukaannya.

Bumi mengatakan bahawa Fulan telah mengerjakan itu dan itu di hari tersebut.

Demikianlah yang dimaksudkan dengan “beritanya..”

Apa lagi makhluk yang kita sentiasa berada padanya melainkan dunia maka, akan kita dengar apakah yang akan dunia khabarkan mengenai amalan kita.

Ibrah dan Kesimpulan

1.Menariknya surah Zalzalah ini, susunan ayat firman Allah memberikan kita gambaran sifat manusia. Bagi ayat ketiga, dapat kita lihat betapa lalai manusia dalam mengambil peringatan dari Allah SWT.

ULANGAN – Sudah dari AYAT PERTAMA lagi Allah SWT memberi amaran mengenai kedahsyatan gempa. Bahkan kejadian demi kejadian berlaku ( pada ayat KEDUA, iaitu terbongkar isi perut bumi ). Tetapi sifat alpa manusia, hanya tiba ayat KETIGA barulah manusia hendak bertanya “Apakah yang sedang berlaku?

2. Ubat untuk tidak terlalai ialah dengan mendekati Al-Quran. Jadikan kita peringatan ini sebagai vitamin, suplemen, antibiotik atau apa-apa sahaja.

3. Allah SWT akan menyediakan saksi yang utama ( dunia ) sebagai perbicaraan apa yang manusia akan lakukan.

4. Perlu segera baca/hayati/amal Al-Quran. Antara kesilapan dunia kita hari ini adalah sesudah mati baharu hendak dibacakan Al-Quran. Semasa hidup kita tidak mahu mencari atau bacakan Al-Quran itu. Amat parah keadaan ini.

يَعْلَمُونَ ظَٰهِرًا مِّنَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَهُمْ عَنِ ٱلْءَاخِرَةِ هُمْ غَٰفِلُونَ

Mereka hanya mengetahui yang lahir (saja) dari kehidupan dunia; sedang mereka tentang (kehidupan) akhirat adalah lalai. [ Ar-Rum: 7].

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan