Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-17 hingga Ke-19

Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-17 hingga Ke-19

1829
0
Iklan

Tafsir Surah Ghafir

Tafsir Ghafir Ayat Ke-17

Dalam ayat sebelum ini, telah disebut tentang Hari Akhirat. Sekarang Allah SWT teruskan lagi penerangan tentang Hari tersebut.

اليَومَ تُجزىٰ كُلُّ نَفسٍ بِما كَسَبَت ۚ لا ظُلمَ اليَومَ ۚ إِنَّ اللَّهَ سَريعُ الحِسابِ

“Pada hari ini, tiap-tiap diri dibalas dengan apa yang telah diusahakannya; tidak ada hukuman yang tidak adil pada hari ini. Sesungguhnya Allah SWT amat cepat hitungan hisab-Nya”.

الْيَوْمَ تُجْزَىٰ كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ

Pada hari itu dibalas setiap jiwa dengan apa yang telah dilakukan.

Makhluk akan dibalas dengan apa yang mereka buat sahaja. Kalau tidak buat, tidak dapat balasan azab atau balasan pahala. Ini menolak pegangan kebanyakan orang kita yang percaya pahala boleh disedekahkan kepada orang yang sudah mati. Maka, mereka akan baca Surah Al-Fatihah apabila dengar orang mati, mereka ada yang baca Al-Quran selama beberapa hari untuk sedekah pahala bacaan kepada si mati, dan ramai yang buat Majlis Tahlil supaya buat amal ibadat baca Al-Quran dan zikir untuk dihadiahkan pahala kepada si mati.

Ayat ini dengan jelas menolak pendapat itu. Maknanya, kalau hendak pahala, kena buat sendiri. Tidak boleh orang lain yang buat amal, tetapi serahkan pahalanya kepada orang lain. Bukan ayat ini sahaja yang menolak pendapat sedekah pahala itu, tetapi banyak ayat-ayat yang lain seperti dalam surah [Najm: 39]. Tidak ada dalil dari perbuatan mereka melainkan dalil-dalil yang tidak kuat sahaja. Maka eloklah berhenti dari melakukan perkara yang tidak berfaedah dan membazir wang dan masa. Seeloknya, kita buat yang sunnah sahaja, iaitu mendoakan supaya si mati diampunkan dosanya dan dimasukkan ke dalam syurga.

لَا ظُلْمَ الْيَوْمَ

Tidak dizalimi mereka pada hari itu.

Allah SWT hendak memberitahu kepada kita bahawa Dia tidak zalim walaupun Dia boleh melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya, supaya kita tidak takut yang Dia akan memberi keputusan dengan zalim. Keputusan yang Allah SWT buat tidak pernah zalim. Cuma kadang-kadang kita sahaja tidak nampak dan tidak tahu.

Banyak ayat dalam Al-Quran berkenaan ‘tidak ada kezaliman’. Memang tidak ada kezaliman kerana pahala dibalas sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda, dan boleh sampai berjuta-juta kali ganda.

Dosa pula, kalau buat satu, akan dibalas satu juga, tidak lebih, atau boleh diampunkan terus. Maknanya, tidak zalimlah jika begitu. Tidak akan dikurangkan sedikit pun balasan pahala kepada mereka yang melakukan kebaikan; tidak akan diazab kepada mereka yang tidak melakukan kesalahan.

Ini berbeza dengan dunia. Sebagai contoh, kalau di dunia kita kerja lebih, majikan kadang-kadang tidak beri gaji lebih pun, sebab dia tidak tahu kita buat kerja lebih itu; tetapi Allah SWT Maha Tahu dengan segala perbuatan kita.

Begitu juga, kadang-kadang di dunia, seseorang manusia boleh dijatuhkan hukuman di mahkamah kerana kesalahan yang mereka tidak buat. Mungkin mereka kena fitnah dan segala bukti menunjukkan mereka bersalah, maka mahkamah terpaksa buat keputusan yang mereka kena penjara dan sebagainya. Ini adalah kerana mahkamah tidak tahu dan boleh ditipu dengan bukti palsu dan sebagainya; tetapi Allah SWT Maha Tahu apa yang kita lakukan dan apa yang kita tidak lakukan. Jadi, Allah SWT tidak akan tersalah hukum makhluk-Nya.

إِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ

Sesungguhnya Allah SWT menghisab amal manusia itu sangat cepat sekali.

Ini adalah lawan kepada ‘zalim’. Kalau di dunia, kalau penghakiman dilakukan lambat, ianya adalah satu kezaliman. Kadang-kadang kena tunggu bertahun-tahun barulah keputusan dibuat. Itu adalah kezaliman kepada mereka yang tertindas kerana mereka kena tunggu lama. Kalau tidak percaya, tanya kepada isteri-isteri yang digantung tanpa tali bertahun-tahun.

Namun, Allah SWT tidak biarkan makhluk-Nya tunggu lama. Perbicaraan dan keputusan akan diberikan dalam masa setengah hari sahaja (setengah hari akhirat). Allah SWT boleh buat penghakiman di Mahsyar serentak kepada semua orang pada satu masa. Boleh sahaja Allah SWT buat dan tidak mustahil bagi-Nya untuk berbuat demikian. Caranya, kita tidak tahu dan tidak perlu tahu. Mungkin akal kita tidak dapat terima bagaimana Allah SWT boleh buat begitu – tetapi percayalah yang Allah SWT mampu melakukannya.

Tafsir Ayat Ke-18:

Ini adalah ayat Takhwif Ukhrawi. Allah SWT ingatkan tentang akhirat.

وَأَنذِرهُم يَومَ الآزِفَةِ إِذِ القُلوبُ لَدَى الحَناجِرِ كاظِمينَ ۚ ما لِلظّالِمينَ مِن حَميمٍ وَلا شَفيعٍ يُطاعُ

“Dan berilah amaran (wahai Muhammad SAW) kepada mereka tentang (hari kiamat) yang dekat (masa datangnya), iaitu ketika hati seseorang merasa resah gelisah, kerana cemas takut, sambil masing-masing menahan perasaannya itu. (Pada saat itu) orang-orang yang zalim tidak akan mendapat seorang sahabat pun yang boleh membelanya, dan tidak akan mendapat pemberi syafaat yang diterima pertolongannya”.

وَأَنذِرْهُمْ يَوْمَ الْآزِفَةِ

Dan berilah ancaman kepada mereka tentang hari yang mendekat

Tidak banyak masa antara kita dan Hari Kiamat itu. Kita sahaja yang rasa macam lama, sebenarnya tidak. Adakah kita bersedia? Sedangkan ianya amat dekat. Mati sahaja, terus bermula hari akhirat bagi kita, iaitu dalam alam kubur. Kita semuanya menunggu mati sahaja dan setiap langkah kita sebenarnya mendekati hari itu. Ianya semakin mendekat kepada kita, sama ada kita sedar atau tidak.

Ini adalah arahan dari Allah SWT untuk Nabi dan kepada kita juga sebagai penyambung tugas Nabi untuk memberitahu kepada manusia tentang Hari Kiamat. Maka kita kena jalankan tugas dakwah itu – kita kena ingatkan orang lain yang sedang lalai – mereka hidup di dunia ini relaks sahaja, tidak ingat mati pun.

إِذِ الْقُلُوبُ لَدَى الْحَنَاجِرِ

Ketika jantung naik ke halkum.

Ini adalah peribahasa Arab. Kenapa jantung naik sampai ke halkum? Kerana waktu itu dalam keadaan takut yang amat sangat. Rasa macam jantung hendak pecah. Kalau kita ketakutan pun dada kita berdebar, bukan? Keadaan di akhirat nanti lebih teruk. Tidak pernah manusia mengalami rasa takut yang sebegini. Waktu itu semua dalam ketakutan, sama ada mereka akan dimasukkan ke dalam golongan yang selamat atau dimasukkan ke dalam golongan ahli neraka.

كَاظِمِينَ

memendam perasaan

Memendam perasaan atau menahan tangan di halkum takut jantung keluar.

Maksudnya, mereka akan menahan ketakutan, kesedihan dan kesesalan dalam hati mereka. Mereka juga amat marah kepada diri sendiri kerana kesalahan yang mereka telah lakukan.

Mereka akan cuba tahan, tetapi akhirnya akan keluar juga perasaan itu pada wajah mereka. Seperti, kita selalu juga tahan perasaan marah, merah padam juga muka kita, kan? Mereka akan rasa sesal yang amat sangat kerana peluang untuk menyelamatkan diri tidak ada lagi. Peluang itu hanya ada semasa hidup di dunia. Jika lepaskan peluang itu, tidak ada apa lagi yang boleh dilakukan di akhirat kelak.

مَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ حَمِيمٍ

Tidak ada bagi orang-orang zalim ini sebarang teman rapat

Zalim yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah zalim dalam akidah – melakukan syirik. Mereka tidak akan ada sesiapa pun yang akan menolong mereka. Kalau dalam dunia, kita ada kawan rapat yang akan membantu kita kalau kita ada masalah. Di akhirat kelak, tidak ada sesiapa yang boleh membantu.

Mungkin ada yang menaruh harapan kepada sembahan-sembahan mereka yang mereka sembah semasa di dunia dulu – Nabi, wali dan malaikat yang mereka puja, jadikan mereka sebagai wasilah, yang mereka seru dan sebagainya dulu. Puak-puak sesat rasa mungkin sembahan-sembahan mereka itu boleh menyelamatkan mereka, sebab semasa di dunia, mereka itu selalu puja dan seru sembahan itu. Tetapi Allah SWT jawab dalam ayat ini bahawa tidak ada harapan langsung.

وَلَا شَفِيعٍ يُطَاعُ

Dan tidak ada yang beri syafaat yang ditaati.

Tidak ada sesiapa yang boleh beri syafaat kepada mereka.

Dan kalau ada juga yang hendak tolong beri syafaat kepada mereka, ianya tidak akan diterima – tidak akan ditaati syafaat mereka itu. Syafaat mereka itu tidak laku di sisi Allah SWT.

Syafaat akan diterima kalau penerima syafaat itu layak untuk menerima syafaat. Oleh itu, orang yang buat syirik tidak layak menerima syafaat. Maka, kalau ada yang hendak beri pun, mereka tidak akan dapat menerima syafaat itu.

Maka, janganlah kita berharap dan meminta-minta syafaat dalam dunia ini kalau dalam masa yang sama kita ada buat kezaliman kepada Allah SWT. Itulah kezaliman syirik yang banyak dilakukan oleh manusia kerana mereka tidak sedar bahawa apa yang mereka lakukan selama hari ini adalah perkara syirik.

Kalau mereka tidak melakukan syirik, maka ada harapan untuk dapat syafaat lagi. Kerana ada orang yang tidak melakukan syirik, tetapi kerana mereka banyak dosa, maka mereka dimasukkan ke dalam neraka. Allah SWT boleh benarkan Nabi dan orang-orang lain memberi syafaat kepada mereka. Namun, ianya hanya terbuka kepada mereka yang tidak mengamalkan syirik, tidak berdoa kepada selain dari Allah SWT. Maka, jika di dunia dahulu, mereka bertawassul kepada para Nabi, wali dan malaikat, tidak ada harapan lagi kerana mereka telah mengamalkan syirik dalam berdoa.

Tafsir Ayat Ke-19:

Allah SWT hendak memberitahu bahawa Dia Mengetahui segala yang dilakukan oleh makhluk-Nya. Makhluk kadang-kadang lupa apa yang telah dilakukan kerana memang manusia bersifat pelupa. Kelmarin buat, hari ini sudah lupa. Tetapi Allah SWT tahu segalanya yang telah dilakukan oleh makhluk itu. Masalahnya, apabila manusia lupa dengan dosa yang telah dilakukan, maka mereka rasa bebas dan tidak rasa bersalah. Maka, Allah SWT hendak ingatkan dalam ayat ini.

يَعلَمُ خائِنَةَ الأَعيُنِ وَما تُخفِي الصُّدورُ

“Allah SWT mengetahui pengkhianatan pandangan mata seseorang, serta mengetahui akan apa yang tersembunyi di dalam hati”.

يَعْلَمُ خَائِنَةَ الْأَعْيُنِ

Allah SWT mengetahui khianat mata.

Allah SWT tahu apakah kesalahan yang dilakukan oleh mata manusia. Ada orang yang tengok maksiat dengan hujung-hujung mata. Kepala tidak gerak, tetapi mata curi pandang. Sebagai contoh, mata orang lelaki yang nakal melihat kepada perempuan yang bukan mahramnya. Kalau kali pertama kita terlihat, itu dimaafkan. Jika kita melihat semula, itulah yang salah. Inilah satu masalah dengan mata, ianya senang sangat hendak buat salah dengan mata ini. Inilah dugaan kepada kita.

Allah SWT hendak memberitahu kita, perkara sekecil pandangan mata yang mencuri-curi tengok pun akan dibentangkan dan akan diadili. Kalau yang kecil pun kena bentang, apatah lagi kalau perkara yang besar-besar? Masha Allah!

Ada orang yang melakukan kesalahan dengan kerlingan mata sahaja. Contohnya, dia sedang bercakap dengan seseorang dan dalam masa yang sama, dia akan kerling kepada orang yang di belakang untuk melakukan khianat kepada lelaki yang di hadapannya. Orang itu mungkin tidak tahu, tetapi Allah SWT tahu.

Termasuk juga dalam perkara ini adalah melihat perkara yang kita tidak patut lihat, seperti kita lihat surat-surat rahsia orang lain, hak-hak orang lain, fail-fail orang lain. Kita ingat tidak ada sesiapa yang tahu, Allah SWT tahu. Allah SWT Maha Tahu apa yang dilihat oleh mata kita. Oleh itu, berhati-hatilah dengan pandangan mata kita.

وَمَا تُخْفِي الصُّدُورُ

“Dan apa yang tersembunyi dalam dada”.

Pandangan mata adalah kesalahan zahir yang dilakukan oleh manusia. Bagaimana pula kalau perkara dalam hati? Allah SWT beritahu dalam ayat ini yang Dia juga Maha Tahu apa yang dalam hati kita. Allah SWT akan balas dengan apa yang disimpan dalam hati kita. Kadang-kadang mulut kita kata lain, tetapi hati kata lain.

Namun, yang diambil kira adalah perkara yang ada niat. Kalau lintasan hati sahaja, tidaklah dipertanggungjawabkan. Kerana lintasan hati sentiasa sahaja ada, tetapi tidak sampai ke tahap ‘niat’ lagi. Niat adalah apabila sudah ada kehendak untuk melakukan sesuatu. Mungkin kita boleh katakan sebagai ‘azam’. Kadang-kadang kita terlintas hendak tampar orang dan sepak orang disebabkan geram sangat pada orang itu, tetapi selagi kita tidak buat, maka tidaklah bersalah.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan