Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah – Tafsir Ayat Ke-27 hingga Ke-29

Tafsir Surah Al-Baqarah – Tafsir Ayat Ke-27 hingga Ke-29

1920
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-27

Ayat sebelum ini telah disebut tentang mereka yang ‘fasik’. Dalam ayat ini pula Allah SWT menerangkan apakah sifat-sifat fasik itu. Secara ringkasnya, fasik itu bermaksud ‘keluar dari taat’ dan Allah SWT sebutkan apakah kesalahan yang mereka lakukan.

‎الَّذِينَ يَنْقُضُونَ عَهْدَ اللَّهِ مِنْ بَعْدِ مِيثَاقِهِ

“Orang-orang yang merombak perjanjian dengan Allah SWT selepas mereka mengambil perjanjian itu”;

Mereka merobohkan perjanjian untuk menegakkan agama tauhid atau mereka berjanji untuk ikut keseluruhan agama, tetapi kemudian mereka terima sebahagian dan tolak sebahagian.

Perjanjian antara Allah SWT dengan kita adalah dalam ucapan ‘la ilaha illa Allah’, Muhammadur Rasulullah. Itulah perjanjian kita dengan Allah SWT. Kita mengaku untuk puja dan sembah Allah SWT sahaja, dan Nabi Muhammad itu kita mengaku sebagai Rasul kita.

Apabila kita sudah lafazkan syahadah la ilaaha illa Allah, itu bermaksud kita berjanji untuk mengamalkan tauhid dan meninggalkan syirik. Malangnya, ramai yang tidak faham dan tidak amalkan tauhid lagi.

Apabila kita mengaku yang Nabi Muhammad itu adalah Rasul kita, maknanya berjanji hendak ikut syariat yang dibawanya. Namun, malangnya ada yang cipta sendiri syariat ugama yang tidak pernah diajar oleh Allah SWT atau Nabi. Itulah amalan yang dinamakan bidaah. Itu dipanggil mereka-reka syariat agama sendiri kerana Nabi tidak pernah ajar. Kalau bukan yang dari Nabi ajar, bermakna kita telah cipta agama sendiri. Itulah kenapa berat sekali kalau kita buat amalan bidaah. Bukanlah kesalahan itu kesalahan yang ringan seperti yang disangka oleh kebanyakan umat Islam di Malaysia ini.

Selain dari syahadah yang kita telah lakukan, ada satu lagi perjanjian yang kita telah buat dengan Allah SWT sebelum kita lahir ke dunia ini lagi. Semasa kita di alam roh lagi, Allah SWT telah mengambil perjanjian dengan kita. Iaitu apabila Allah SWT berkata: “alastu birabbikum?” – bukankah Aku Tuhan kamu semua? – kita telah mengaku bahawa Allah SWT itu adalah Tuhan kita sebelum kita lahir ke dunia lagi.

‎وَيَقْطَعُونَ مَا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ أَنْ يُوصَلَ

“Dan mereka memutuskan suruhan Allah SWT untuk disambung”;

Allah SWT suruh buat lain, mereka buat lain. Yang Allah SWT tidak suruh, mereka buat pula. Contohnya, mereka buat amalan bidaah. Amalan itu tidak pernah Nabi ajar. Siap beri pahala lagi – kalau zikir begini, dapat sekian banyak pahala dan sebagainya – padahal tidak ada dalil. Yang boleh beritahu apakah pahala atas sesuatu amalan itu hanyalah Allah SWT dan Nabi sahaja.

Jadi, kalau mereka sendiri yang cakap pahala sekian-sekian banyak, maka mereka telah ambil tugas Nabi – itu adalah dosa yang amat besar.

Maksud ‘memutuskan’ itu boleh membawa beberapa maksud dan ulama ada memberi beberapa pandangan:

Pertamanya, ada yang kata perhubungan silaturrahim ini adalah antara ummah. Maka, orang yang memutuskan hubungan silaturrahim itu tidak kisah apakah yang berlaku kepada saudara se-Islam kita di negara lain.

Keduanya, hubungan antara keluarga kita sendiri. Kita boleh lihat bahawa orang-orang fasik itu ada masalah dalam keluarga mereka. Mereka berkelahi sesama mereka. Sesama adik-beradik, ibu bapa dan sebagainya. Dengan orang lain mereka boleh berbaik, tetapi jika dengan ahli keluarga, sampai ada yang tidak bertegur sapa. Kemudian, bukan mereka sahaja yang bermusuhan sampai anak-anak pun kena ikut bermusuh juga.

Ketiganya, memutuskan antara Al-Quran dan Nabi. Mereka terima Al-Quran, tetapi mereka tidak terima Nabi Muhammad SAW. Dari zaman Nabi lagi, sudah ada orang yang bersikap begini. Apabila sesuatu hukum diturunkan, mereka akan tanya: “Ini dari Allah SWT atau dari Nabi?”. Padahal, apa sahaja yang Nabi sebut adalah dari Allah SWT. Maka, pada zaman sekarang, sudah timbul banyak kumpulan yang tidak menerima hadis Nabi lagi. Kononnya mereka hanya menerima Al-Quran sahaja. Itu adalah kumpulan-kumpulan yang sesat. Kita pun mungkin pernah dengar tentang golongan Anti-Hadis dan Al-Quranist.

‎وَيُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ

“Dan mereka berbuat kerosakan di muka bumi”

Apabila mereka melakukan perkara-perkara di atas, itu sudah membawa maksud melakukan ‘kerosakan’ di muka bumi, iaitu merosakkan agama.

Juga boleh bermaksud mereka melakukan kerosakan dengan melakukan amalan-amalan yang di luar syariat. Iaitu amalan yang bukan agama tetapi mereka kata ianya adalah agama.

Juga bermaksud mereka melakukan dosa tidak taat kepada suruhan Allah SWT serta menyimpang dari kebenaran.

‎أُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ

“Orang-orang yang seperti itu adalah mereka yang paling rugi sekali”;

Mereka rugi di dunia sampai ke akhirat.

Kalau kita lihat, yang berbuat kerosakan di dunia itu akan menyusahkan orang lain. Namun, Allah SWT kata dalam ayat ini, mereka yang berbuat kerosakan itulah yang rugi. Ini adalah kerana, balasan yang mereka akan dapat di akhirat nanti adalah lagi teruk dari kerosakan yang mereka lakukan semasa di dunia.

Kesimpulannya, begitulah sifat-sifat yang ada dari mereka yang fasik.

Tafsir Ayat Ke-28:

‎كَيْفَ تَكْفُرُونَ بِاللَّهِ

“Bagaimana kamu boleh kufur dengan Allah SWT?”;

Allah SWT tanya macam mana lagi manusia boleh jadi kufur? Padahal Allah SWT lah yang menjadikan mereka. Tidak ada entiti lain yang menjadikan mereka, hanya Allah SWT sahaja. Oleh itu kenapa manusia tidak sembah Allah SWT sahaja, taat kepada Allah SWT sahaja, doa kepada Allah SWT sahaja?

‎وَكُنْتُمْ أَمْوَاتًا

“sedangkan kamu dulu tidak adapun”;

Maksudnya ‘mati’, tidak pernah wujud pun di dunia ini. ‘Mati’ adalah satu keadaan di mana kita tidak ada nyawa lagi, masih dalam bentuk roh lagi.

‎فَأَحْيَاكُمْ

“Kemudian Allah SWT menghidupkan kamu”;

Allah SWT menghidupkan kita dengan memberikan nyawa kepada kita, dengan memberikan tubuh badan kepada kita. Setelah Allah SWT hidupkan kali pertama ini, kita pun membesarlah dari bayi, kepada kanak-kanak, kepada dewasa dan kalau Allah SWT takdirkan panjang umur, sampai ke tua lah kita. Itu semua adalah dari perbuatan Allah SWT. Maka kenanglah jasa Allah SWT menghidupkan kita itu. Jangan ingkar.

‎ثُمَّ يُمِيتُكُمْ

“kemudian Allah SWT mematikan kamu;

Kemudian Allah SWT matikan kita dengan ambil nyawa kita, pisahkan kita dari tubuh kita yang di dunia. Kita hanya wujud dalam bentuk roh sahaja waktu itu.

Maka ingatlah yang kita tidak akan hidup selamanya. Sampai masa akan mati. Kena bersiaplah untuk mati itu. Kena kumpul amal.

‎ثُمَّ يُحْيِيكُمْ

“kemudian menghidupkan kamu semula”;

Kita akan dihidupkan semula dan akan dikumpulkan di Mahsyar. Waktu itu roh kita akan dimasukkan ke dalam tubuh yang baru. Waktu itu kita menjalani kehidupan yang baru, di tempat yang baru, lain dari dunia yang biasa kita hidup ini. Bumi yang kita tahu selama ini telah lama hancur.

Kehidupan kali ini akan terus hidup sampai bila-bila, tidak akan mati-mati lagi dah.

‎ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

“dan kepada-Nya kamu akan dikembalikan”;

Kita akan dihadapkan kepada Allah SWT untuk menghadapi perbicaraan di Mahsyar. Maka kenalah persiapkan diri kita. Tidaklah hendak pergi dengan tangan kosong dan dosa yang banyak.

Maknanya kita dua kali mati dan dua kali hidup sahaja, tidak lebih dari itu.

Ayat ini memberi ringkasan hidup manusia. Dari tidak ada kepada ada – kemudian mati – kemudian akan dihidupkan kembali.

Ini adalah dalil aqli tentang qudrat. Dalil aqli anfusi iaitu Allah SWT suruh lihat pada diri kita sendiri. Sedarlah yang semua itu adalah dalam qudrat Allah SWT dan kita tidak dapat melarikan diri lagi. Maka, kenapa tidak taat sahaja kepada Allah SWT yang berkuasa penuh atas hidup dan mati kita?

Tafsir Ayat Ke-29:

Ini adalah dalil aqli lagi kenapa kita mesti sembah dan taat kepada Allah SWT sahaja. Allah SWT bukan sahaja menjadikan kita seperti yang telah disebut dalam ayat sebelum ini, tetapi Allah SWT juga menjadikan alam ini. Ini dipanggil dalil aqli afaqi – dalil yang kita boleh lihat di ufuk alam.

‎هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُمْ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

“Dialah yang menciptakan untuk kamu semua yang ada di bumi”;

Allah SWT telah jadikan bumi ini rata untuk kita boleh diami di dalamnya, rumput untuk makanan binatang ternak, walaupun kita tidak makan rumput itu, tetapi kita pula makan binatang. Allah SWT juga telah cipta udara untuk kita, pokok dan sebagainya. Terlalu banyak yang telah diciptakan untuk kita.

Semuanya diciptakan untuk kita. Bukan untuk orang Islam sahaja, tetapi kepada semua manusia. Maksudnya digunakan untuk kegunaan kita.

Juga bermaksud ianya dijadikan sebagai ujian buat kita. Bukan untuk sedap pakai sahaja. Nanti akan dipersoalkan kembali (nanti Allah SWT tanya: kamu pakai nikmat Aku tetapi kenapa kamu tidak taat kepada Aku?). Jika   boleh lepasi ujian dengan cemerlang barulah boleh masuk syurga.

‎ثُمَّ اسْتَوَىٰ إِلَى السَّمَاءِ

“Kemudian Dia ‘istiwa’ kepada langit pula”;

Ini adalah ayat mutasyabihat. Kita tidak tahu apakah maknanya. Seperti juga kita tidak tahu makna alif, lam, mim di awal surah Baqarah ini.. Allah SWT cuma sebut Dia ‘istiwa’ ke langit. Tidak dapat dibayangkan.

Inilah punca perbalahan yang hebat dalam masyarakat sampai kafir mengkafirkan pun ada. Semua cuba hendak beri maksud kepada lafaz istiwa. Semua tidak pasti apakah maksudnya tetapi bila sudah cuba tafsir maksudnya, bila orang lain tidak setuju dengan tafsir dia, kata orang lain salah pula. Sedangkan dia sendiri tidak pasti sama ada tafsirannya itu benar atau tidak.

Jadi kita ringkaskan sahaja maksud ayat ini begini: sebelum ini Allah SWT sebut Dia telah jadikan alam bumi, kemudian Allah SWT menceritakan pula Dia menjadikan alam langit pula. Menunjukkan yang bumi Dia yang buat, dan langit Dia juga yang buat.

‎فَسَوَّاهُنَّ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ

“Dan Allah SWT ciptakan langit itu pula dalam tujuh lapis”;

Ianya bukan bermaksud ‘berkeping-keping’, tetapi ‘berkubah’. Dalam bentuk sfera. Langit pertama meliputi bumi, langit kedua meliputi langit pertama, dan seterusnya hingga akhirnya langit ketujuh meliputi langit keenam. Akhirnya, Arasy meliputi semua sekali. Dan Allah SWT bersemayam atas Arasy – macam mana Allah SWT bersemayam, kita tidak tahu dan kita tidak perlu tahu pun.

‎وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

“Dan Dia terhadap segala sesuatu itu, Maha Mengetahui”;

Allah SWT hendak beritahu bahawa hanya Dialah yang Maha Tahu. Kita tidak perlu ambil tahu perkara yang kita tidak perlu ambil tahu. Kita tidak akan capai tahap untuk tahu. Fikir macam mana pun tidakkan dapat tahu.

Sedangkan apa yang ada di dunia ini pun kita tidak dapat tahu semuanya, apatah lagi untuk mengetahui tentang apa yang ada di langit dan di Arasy. Kita hanya perlu tahu bahawa Allah SWT lah yang Maha Mengetahui. Allah SWT hendak ajar kepada kita yang baca Al-Quran ini, yang Allah SWT ada kudrat yang sempurna dan juga ilmu yang sempurna. Kita ini jahil sangat dan mengharap apa sahaja ilmu yang Allah SWT berikan.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan