Utama Bilik (106) Usyul Tafsir Bala dan Solusinya

Bala dan Solusinya

216
0
Iklan

Bala dan Solusinya

Malam tadi Ayahaji mengajar surah Al-Waqi’ah di Kelang, timbul bab seseorang yang kena bala. Persoalannya, bagaimana hendak hilangkan bala ini? Kita ditimpa bala apabila menanam, sentiasa saja rosak tanaman, bila berniaga, jatuh merudum, tidak pulih-pulih, bila menternak, jatuh merudum juga. Macamana hendak selamatkan keadaan ini atau hendak perbaiki semula perniagaan itu?

Bab bala: Kenapa kena bala dan bagaimana cara untuk memulihkan keadaan jika berlaku.

Rahmat dan bala datang dari Allah SWT. Allah SWT uji manusia dengan rahmat dan bala ini. Oleh kerana bala datang dari Allah SWT, maka hanya Allah SWT yang dapat menghilangkan bala.

وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ

Dan apa bala saja yang kena pada kamu daripada bala yang banyak adalah akibat daripada apa dosa yang kamu buat. Tetapi dosa kamu yang banyak itu Kami telah maafkan. [ Ash-Shura: 30 ]

Maksudnya: Bala datang kerana dosa manusia buat. Tetapi Allah SWT kata, dosa-dosa telah banyak Allah SWT ampun. Jadinya, dosa apa yang tidak diampun sampai tertimpa bala ini? Dosanya ialah dosa syirik dan bid’ah, yang manusia buat tetapi tidak minta ampun kerana tidak tahu mereka buat syirik dan bid’ah itu akibat daripada lalai belajar tafsir dan hadis.

Banyak ayat-ayat tentang mereka yang kena bala ini. Ini diantaranya:

وَإِذَا مَسَّ الْإِنْسَانَ ضُرٌّ دَعَا رَبَّهُ مُنِيبًا إِلَيْهِ ثُمَّ إِذَا خَوَّلَهُ نِعْمَةً مِنْهُ نَسِيَ مَا كَانَ يَدْعُو إِلَيْهِ مِنْ قَبْلُ وَجَعَلَ لِلَّهِ أَنْدَادًا لِيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِهِ ۚ قُلْ تَمَتَّعْ بِكُفْرِكَ قَلِيلًا ۖ إِنَّكَ مِنْ أَصْحَابِ النَّارِ

Dan apabila manusia ditimpa oleh sesuatu bala, dia segera berdoa kepada Tuhannya dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepada-Nya (iaitu dengan rendah diri, mula ke masjid, jadi warak tiba-tiba); kemudian apabila Allah SWT memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) daripada-Nya, lupalah dia akan segala bala yang menimpanya yang menyebabkannya merayu kepada Allah SWT sebelum itu dan dia pula menjadikan sekutu-sekutu bagi Allah SWT, untuk menyesatkan dirinya (dan orang lain) dari jalan Allah SWT. Katakanlah (kepadanya): “Bersenang-senanglah engkau dengan kekufuranmu itu bagi sementara, sesungguhnya engkau dari penduduk neraka. [ Az-Zumar: 8 ]

Maksudnya: Bila bala datang mereka terus berdoa, “Ya Allah, Ya Allah” dengan tulus ikhlas. Doa ini telah makbul, insya Allah, tetapi mereka hendak doa itu terus menjadi. Mereka tidak sabar. Mereka mahu bila ditimpa bala, doa, berjaya, selesai. Kalau begitu, apa guna Allah SWT beri ujian bala itu. Kena saja, doa, selesai. Tidak berkesanlah ujian itu pada manusia. Apabila doanya Allah SWT makbul, mereka pula lupa pada Allah SWT yang memakbulkan doanya. Mereka tidak berterima kasih, memang tidak patut berbuat begitu.

Lantas mereka mula kembali pada buat dosa syirik dan bid’ah lagi. Malah, mereka jadikan “andaada” sekutu-sekutu bagi Allah SWT.

Contoh “andaada” ini:

1. Tok-tok Guru yang buat air tawar
2. Bomoh-bomoh yang mandikannya dengan air bunga.
3. Keris-keris, batu-batu geliga, azimat-azimat dan lain-lain.

Akibat daripada menggunakan perantaraan dalam berdoa pada tok guru, tok bomoh atau perantaraan melalui benda iaitu keris, geliga dan sebagainya, mereka telah berbuat syirik pada Allah SWT. Inilah yang dinamakan sesat. Sebab itu Allah SWT kata “andaada-andaada” ini yang menyesatkan mereka. Akhirnya, selepas bala diberi, lalu diselamatkan Allah SWT, kemudian sesat pula dari jalan Allah SWT. Lalu Allah SWT kata bersedap-sedaplah kamu hidup dalam kekufuran kamu di dunia. Enjoylah! Kerana kamu ini pemilik Neraka sebenar.

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Dan berkata Tuhan kamu “Berdoalah pada Aku saja nescaya Aku akan perkenankan doa kamu. (Ayat amaran dalam ayat ini pula) Sekiranya kamu sombong takbur dalam ibadat doa kamu pada Aku (iaitu suruh orang lain juga sebagai perantara dalam baca doa ini), Aku akan masukkan kamu dalam neraka jahannam hina dina. [ Ghafir: 60 ]

Ayat ini suruh kita baca doa terus pada Allah SWT. Surah Al-fatihah, ayat 5 “Wa iyyakanasta’iin,” maksudnya, pada Kamu sahaja Ya Allah kami minta pertolongan.

Nabi Adam AS pernah makan pokok khuldi yang telah dilarang Allah SWT. Dia telah dihalau keluar dari syurga. Dia berdoa dengan berbagai cara supaya Allah SWT makbulkan doanya. Mengikut riwayatnya, Nabi Adam AS turun ke dunia di tempat lain dan Siti Hawa RHA turun di tempat lain. Suami isteri ini tidak jumpa satu sama lain. Allah SWT hanya terima cara berdoa yang Allah SWT hendak. Cara lain Allah SWT tidak mahu. Maknanya Allah SWT mengajar Nabi Adam AS cara-cara atau lafaz berdoa.

قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Mereka berdua merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”.[ Al-A’raf: 23 ]

Lalu Nabi Adam AS berdoa dengan doa di atas. Selesailah masalah Nabi Adam AS.

Begitu juga dengan Nabi Yunus AS. Dia telah tinggal umatnya yang engkar pada ajakan tauhid, naik kapal, dibuang ke laut, lalu ditelan ikan. Kemudian Nabi Yunus AS berdoa, “Laailaahailla anta subhanakainnikuntumminazzoolimin.” Mengikut riwayatnya, empat puluh hari Nabi Yunus AS berada dalam perut ikan, lalu Allah SWT makbulkan doanya. Dengan itu, cara berdoa untuk selesai bala ialah bertaubat dengan guna zikir taubat. Bacalah zikir “laailaahailla anta” itu, sepuluh kali atau tiga puluh kali atau berapa kali sehingga kita mula rasa jemu. Baca perlahan-lahan sambil ingat makna. Kemudian, baca doa Nabi Adam AS, kemudian baca,
“Wahai Tuhanku, aku pohon ampun segala dosa-dosa syirik bid’ah yang aku pernah buat. Selamatkanlah aku dari Neraka-Mu dan masukkan aku ke Syurga-Mu. Singkaplah, angkatlah daripadaku bala ini.”

Buat tiap-tiap waktu selepas solat sehingga selesai musibah itu. Insya Allah, Allah SWT akan makbulkan.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan