Utama Bilik (106) Usyul Tafsir Jangan Seru, Sembah, Zikir selain daripada Allah SWT

Jangan Seru, Sembah, Zikir selain daripada Allah SWT

776
0
Iklan

Jangan Seru, Sembah, Zikir selain Allah

Ustaz Rosman@Ayahaji:

وَمَن يَدْعُ مَعَ اللَّهِ إِلَهًا آخَرَ لَا بُرْهَانَ لَهُ بِهِ فَإِنَّمَا حِسَابُهُ عِندَ رَبِّهِ (QS 23:117) إِنَّهُ لَا يُفْلِحُ الْكَافِرُونَ

Dan barangsiapa menyembah tuhan yang lain di samping Allah, padahal tidak ada suatu dalilpun baginya tentang itu, maka sesungguhnya perhitungannya di sisi Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang yang kafir itu tiada beruntung.
[ Surah Al-Mu’minun 23:117 ].

Tafsir:

Dan sesiapa yang menyeru, memuja, berzikir, beribadat atau menyamakan Allah dengan pujaan lain dan dia pula tidak boleh membawa bukti tentangnya, maka sesungguhnya hisab amal mereka di sisi Allah tidak akan berjaya bagi orang-orang yang ingkar. Tiada nama Allah SWT bersama Nabi Muhammad SAW di Masjidil haram, tiada juga di Masjid Nabawi. Hanya ada nama Allah SWT bersama Nabi Muhammad SAW di Malaysia sahaja.

Kita tidak mengantung nama Agong bersama Perdana Menteri juga tiada gambar Sultan bersama Menteri Besar. Gambar-gambar mereka digantung di bawah gambar Agong atau Sultan namun kita pula tergamak letak nama Allah SWT bersama Rasulullah SAW dan diletakkan sama tinggi pula. Ianya ada di semua masjid-masjid, surau-surau dan mimbar-mimbar. Masa kini, bagi setengah-tengah orang yang jahil, mereka menganggap Rasulullah SAW seolah-olah ada kuasa tuhan pula. Oleh sebab itulah mereka bertawassul dengan Rasulullah SAW sepertimana Kristian bertawassul dengan Nabi Isa AS. Kita perlu memperbetulkan kesamaran ini, kalau tidak suatu hari anak cucu kita menganggap Rasulullah SAW macam tuhan juga. Nauzubillah himinzaalik.

Perkara mengenai zikir bersama Nabi Muhammad SAW ini sudah berulangkali ayahaji ajar yakni jangan berbuat zikir bersama Nabi Muhammad SAW. Berzikir HANYA kepada Allah SWT sahaja. Berselawat kepada Nabi Muhammad SAW.

Tiada perintah dari Nabi Muhammad SAW supaya kita berzikir ‘Laailaahaillallah Muhamadur Rasulullah’. Yang ada ialah ‘Laailaahaillallah’ sahaja. Sesiapa yang berzikir kepada Allah SWT bersama dengan orang lain bermakna dia sudah syirik kepada Allah SWT.

Berpuluh-puluh lagi ayat-ayat lain mengenai bab ni. Perkara ini termasuk di dalam bab usyul tafsir. Jika tidak faham bab ini, maka ayat-ayat seperti di atas (Surah Al-Mu’minun 23:117) tidak akan faham.

Akibatnya ada tarekat yang baca ‘Laailaahaillallah Muhammadur Rasulullah, Fiikulilamhatin adadama wasiahu ilmulah’. Ini bukanlah ayat dari Al-Quran. Bukan juga dari hadis Nabi Muhammad SAW. Lafaznya nampak molek tetapi berzikir dengan wirid tersebut adalah zikir rekaan. Di dalamnya ada menyebut nama Allah SWT dan nama Nabi Muhammad SAW. Maka zikir ini zikir syirik kepada Allah SWT. Bidaah pada ugama Allah SWT. Berbohong pula kepada Allah SWT dengan mengatakan Allah SWT hendak beri pahala. Ini juga syirik kepada Allah SWT.

Tiada mana-mana hadis Nabi Muhammad SAW yang zikirnya ada nama Nabi Muhammad SAW. Semua nama Allah SWT sahaja. Maka patutlah kita jangan buat. Yang sudah buat, kita bertaubat sahaja. Insya Allah, DIA akan ampunkan.

Soalan:

Pelajar A:

Ayahaji, sejauh mana kah kita boleh menyebut nama Nabi Muhammad SAW di dalam doa sebagai mengambil berkat atas namanya?

Ustaz Rosman@Ayahaji:

Pelajar A, tidak boleh mengambil berkat daripada Rasulullah SAW. Berkat hanya milik Allah SWT. Kita hanya berselawat kepada Nabi Muhammad SAW yakni membaca doa untuk baginda sahaja. Seperti kita membaca doa untuk kedua ibu bapa. Dengan doa itu Allah SWT akan beri berkat. Insya Allah.

Pelajar B:

Boleh Ayahaji cerita sedikit berkenaan guru Ayahaji yang memadam nama Nabi Muhammad SAW supaya tidak digandingkan dengan nama Allah SWT? Perkara ini memang masih samar-samar bagi ramai orang. Mereka kata: “kita tahu Nabi Muhammad SAW itu Rasul, bukannya kata Nabi Muhammad SAW itu sekutu tuhan”. Itulah kata-kata tanpa dalil hanya sangkaan sendiri sahaja.

Ustaz Rosman@Ayahaji:

Pelajar B, guru ayahaji iaitu Maulana Nik Ahmad yang berada di Paya Purnama, dialah yang mengajar ayahaji berkenaan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW itu. Dialah yang mengajar ayahaji usyul tafsir yang dia panggil ‘masalatul Illah’ yakni kekeliruan dalam Ilah atau Tuhan.

Pelajar A:

Maka salahlah anggapan masyarakat bahawa apabila berdoa perlu ada selawat kepada Nabi Muhammad SAW. Perintah Allah SWT kepada para malaikat dan manusia supaya berselawat kepada Nabi Muhammad SAW. (maksudnya ‘harus’ lah ya jika berselawat ketika berdoa kepada Allah SWT?)

Ustaz Rosman@Ayahaji:

Benar Pelajar A.

Pelajar A:

Meletakkan nama Nabi Muhammad SAW dalam doa kepada Allah SWT agar cepat dimakbulkan apakah syirik?

Ustaz Rosman@Ayahaji:

Katakan lah Allah itu Maha Esa iaitu tiada berkongsi Allah SWT dengan sesiapa pun dalam pentadbiran kerajaan-Nya. Pelajar A, membaca selawat adalah membaca doa kepada Nabi Muhammad SAW selepas itu kita membaca doa apa yang menjadi hajat kita. Insya Allah dimakbulkan. Jangan sabitkan dengan membaca selawat nabi sebagai penyempurna hajat kita. Itulah yang dikatakan condong kepada syirik.

Pelajar A:

Apakah ada dalil membaca doa kepada Nabi Muhammad SAW (selawat) ketika kita berdoa atau termasuk kias pada firman Allah SWT supaya berselawat kepada Nabi Muhammad SAW?

Ustaz Rosman@Ayahaji:

Boleh membaca selawat tetapi tidak semestinya. Seperti kita membaca doa buat ibu bapa, itu pun serupa.

Pelajar B:
Ayahaji, bolehkah ayahaji terangkan apa yang guru ayahaji ajar mengenai letak nama Nabi Muhammad SAW bersama nama Allah SWT?

Ustaz Rosman@Ayahaji:

Salam Pelajar B. Daripada gambar di atas adalah ketara nama Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW berada di peringkat yang sama tinggi dan di sebelah masing-masing. Perlu kita tahu bahawa Allah SWT adalah Tuhan kita dan Nabi Muhammad SAW adalah utusan-Nya sahaja. Nabi Muhammad SAW ditugaskan oleh Allah SWT untuk menyebarkan wahyu Allah SWT. Buat apa sahaja yang Allah SWT perintahkan kepada Nabi Muhammad SAW.

Nabi Muhammad SAW tidak ada apa-apa kuasa, ilmu, rezeki, dan lain-lain melainkan apa-apa yang Allah SWT beri kepadanya. Nabi Muhammad SAW tidak ada kuasa menyembuhkan penyakit tetapi Allah SWT yang berkuasa. Nabi Muhammad SAW tidak tahu ilmu ghaib melainkan apa-apa ilmu yang Allah SWT telah beri kepadanya. Secara ringkasnya, apa sahaja yang Nabi Muhammad SAW ada semuanya daripada anugerah Allah SWT kepadanya.

Nabi Muhammad SAW bukan pencipta langit dan bumi. Bukan berkongsi kuasa dengan Allah SWT atas apa-apa kuasa Allah SWT. Nabi Muhammad SAW sendiri meminta rezeki daripada Allah SWT juga memohon kepada Allah SWT apabila Nabi Muhammad SAW sakit.
Kita pula, kerana kemuliaan sifat-sifat, kata-kata, budi pekerti Nabi Muhammad SAW, dan lain-lain, mula lupa bahawa Nabi Muhammad SAW hanyalah seorang manusia seperti kita. Bezanya, Nabi Muhammad SAW diberi wahyu kita pula belajar wahyu itu.

Jangan kita memuja atau mendewakan Nabi Muhammad SAW lebih daripada sepatutnya sehingga kita membaca selawat ketika kita ambil ubat. Ini condong pada syirik. Jangan kita buat maulud yang tidak diajar Nabi Muhammad SAW atau diamalkan oleh para sahabat.

Berbalik pada gambar di atas, sudah ketara Nabi Muhammad SAW dipuja sehingga sama taraf dengan Allah SWT. Letak sama tinggi. Kita tidak letak gambar Perdana Menteri setaraf dengan Agong atau Menteri Besar setaraf dengan Sultan. Kita berasa tidak betul jika dibuat begitu tetapi kepada Nabi Muhammad SAW kita sanggup buat Nabi Muhammad SAW setaraf dengan Allah SWT. Ini ada hampir di semua masjid-masjid, surau-surau di Malaysia.

Tidak terdapat nama Nabi Muhammad SAW di masjidil haram, hanya nama Allah SWT. Di masjid Nabawi pula nama Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW diletakkan berasingan sebab Nabi Muhammad SAW tidak ada apa-apa kuasa Allah SWT.

Ini berlaku di serata Malaysia yakni di rumah-rumah, di jam-jam, di ukiran-ukiran juga di kedai-kedai. Semua ini amalan bidaah yang orang Malaysia buat bukan bangsa lain. Suatu hari orang kemudian akan kata Nabi Muhammad SAW ada kuasa sesuatu daripada Allah SWT. Lalu berhenti puja Allah SWT dan puja pula Nabi Muhammad SAW. Ini juga adalah jenis syirik kepada Allah SWT.

Wallahu a’lam.

Komen dan Soalan