Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-13 dan Ke-14

Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-13 dan Ke-14

1459
0
Iklan

Tafsir Surah Ghafir

Tafsir Ayat Ke-13

Ini adalah targhib (ajakan) kepada Dakwa surah ini. Dakwa surah adalah ayat selepas ini.

هُوَ الَّذي يُريكُم آياتِهِ وَيُنَزِّلُ لَكُم مِنَ السَّماءِ رِزقًا ۚ وَما يَتَذَكَّرُ إِلّا مَن يُنيبُ

“Dia lah yang memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda keesaanNya dan kekuasaanNya, dan yang menurunkan rezeki dari langit. Dan tiadalah yang mengambil pelajaran (dari yang demikian) melainkan orang yang sentiasa bertumpu (kepada Allah)”.

هُوَ الَّذي يُريكُم آياتِهِ

“Dialah Tuhan yang memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda-Nya”,

Allah menunjukkan segala bukti kudrat-Nya. Allah hendak memberitahu bahawa Dia ada kudrat, dan kudrat itu hanya ada pada Dia sahaja.

Allah telah memperlihatkan tanda-tanda-Nya kepada manusia dengan diberikan berbagai dalil. Maknanya, Allah bukan ajak kosong, tetapi Allah beri dengan tanda dan dalil sekali. Ini mengajar kita, dalam dakwah dan mengajar, kena ada dalil.

Tetapi malangnya manusia boleh lagi melakukan syirik kepada Allah, sedangkan Allah telah memberikan entah berapa banyak tanda-tanda kewujudan-Nya dalam alam ini dan juga dalam ayat-ayat Quran!

Sedangkan Allah telah memberikan kepada kita banyak tanda-tanda, sebagaimana contoh yang Allah telah sebut dalam surah [Fussilat: 37]

وَمِن آياتِهِ اللَّيلُ وَالنَّهارُ وَالشَّمسُ وَالقَمَرُ

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan”.

Dan Allah telah memberi tanda tinggalan kaum-kaum dahulu sebagai peringatan dan tanda kepada kita sebagaimana Allah telah sebut dalam [Al-Ankabut: 35]

وَلَقَد تَرَكنا مِنها آيَةً بَيِّنَةً لِقَومٍ يَعقِلونَ

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah tinggalkan bekas-bekasnya sebagai tanda yang jelas bagi orang-orang yang mahu menggunakan akalnya”.

Sebagai contoh, Allah telah meninggalkan kesan-kesan tempat yang telah dihancurkan kerana kesyirikan manusia, untuk peringatan kepada manusia.

Allah juga telah memberikan tanda dalam diri kita sendiri seperti yang Allah telah sebut dalam [Al-Fussilat: 53 ]

سَنُريهِم آياتِنا فِي الآفاقِ وَفي أَنفُسِهِم حَتّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُم أَنَّهُ الحَقُّ

“Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di ufuk-ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar”.

Allah memberikan tanda dalam alam ini di merata-rata tempat dan juga dalam diri kita sendiri. Apabila kita melihat diri kita dengan segala keindahan dan kehebatan tubuh badan kita sendiri, memberitahu kita bahawa tentunya ada Pencipta yang Maha Agung yang menjadikan segalanya ini.

Dengan segala tanda-tanda yang banyak yang Allah telah berikan kepada manusia, kenapakah lagi manusia boleh melakukan syirik kepada-Nya? Jadi ini adalah ayat syikayah di mana Allah mengeluh dengan manusia.

وَيُنَزِّلُ لَكُم مِنَ السَّماءِ رِزقًا

“dan yang menurunkan untuk kamu dari langit, rezeki”.

Allah telah menurunkan ‘sebab-sebab turunnya rezeki’ kepada kita dari langit. Banyak rahmat turun dari langit. Sebagai contoh, dari langit itu turunnya air hujan; dan dari langit juga turunnya pancaran matahari;

Dan dengan keduanya, telah menyebabkan tumbuhnya tumbuh-tumbuhan dan tanam-tanaman; kalau air sahaja tidak dapat tumbuh tanpa pancaran matahari.

Dan dengan tanaman itu, memberi makan kepada kita dan kepada binatang-binatang. Dan ada antara binatang itu kita jadikan bahan makanan kita juga.

Rezeki yang turun dari langit itu juga boleh bermaksud ‘keputusan’ yang turun dari-Nya untuk memberi rezeki kepada kita. Maknanya, apa-apa sahaja rezeki yang dapat kepada kita adalah dari keputusan-Nya. Rezeki itu telah ditetapkan untuk kita. Kalau bukan rezeki kita, kita tidak akan dapat.

Ringkasnya, rezeki datangnya dari Allah. Maka kenapa berdoa lagi kepada selain Allah? Kenapa tidak tumpukan doa kita hanya kepada Allah sahaja? Maka mintalah dengan Allah sahaja, tidak perlu menggunakan perantara.

وَما يَتَذَكَّرُ إِلّا مَن يُنيبُ

“Dan tiadalah yang ingat serta mengambil pelajaran (dari yang demikian) melainkan orang yang condong (kepada Allah)”.

Telah banyak pengajaran dan tanda-tanda yang telah diberikan kepada kita, tetapi yang hanya dapat mengambil pengajaran adalah mereka yang mahu pulang kepada Allah. Iaitu mereka yang ada sifat ‘inabah’. Mereka itu adalah manusia yang mahukan kebenaran.

Mereka tertanya-tanya apakah kebenaran itu dan mereka mencari-cari. Apabila mereka mencari, maka Allah akan mudahkan jalan untuk mereka menjumpainya. Ini mengajar kita yang kita kena ada perasaan mahukan kebenaran dalam diri kita. Itu kena ada dulu. Kena ada niat.

Mereka itulah yang sentiasa menghadapkan wajahnya kepada Allah, mengharap kepada Allah, sentiasa ingat kepada Allah, sentiasa memulangkan nasibnya kepada Allah. Hanya mereka yang sebegini sahaja yang boleh mengambil pelajaran dan peringatan dari tanda-tanda yang Allah telah berikan. Tetapi kebanyakan manusia tidak begitu.

Soalan: Adakah hidayah perlu dicari atau ia datang sendiri kepada kita?

Jawapan: Hidayah memang telah ada, sama ada hendak terima atau tidak sahaja. Al-Quran ini adalah hidayah, telah ada di depan mata. Bila telah dapat terima, maka Allah akan mudahkan untuk dapat hidayah yg lain.

Tafsir Ayat Ke-14

Setelah kita diberikan dengan dalil-dalil itu, maka Allah beritahu apakah yang perlu kita lakukan. Ini adalah yang penting kerana ini adalah Dakwa Surah ini.

فَادعُوا اللهَ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ وَلَو كَرِهَ الكافِرونَ

“Oleh itu maka sembahlah kamu akan Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak menyukai (amalan kamu yang demikian)”.

فَادعُوا اللهَ

Oleh itu maka sembahlah kamu akan Allah

Huruf فَ dalam lafaz فَادعُوا ini dinamakan fa’ fasihah. الفاء الفصيحة. Maknanya ayat yang selepasnya merujuk ayat-ayat sebelumnya. Allah hendak memberitahu, selepas diberitahu dengan diberikan berbagai dalil dan hujah dalam ayat-ayat sebelumnya, ‘maka’ seru dan sembahlah Allah sahaja. Bukankah sebelum ini telah belajar bagaimana Allah sahaja yang mempunyai sifat ilah? Kalau begitu, mintalah doa kepada Allah sahaja. Jangan minta kepada yang selain Allah.

Kita kena faham bahawa lafaz ‘sembah’ bukan hanya bermaksud ibadat seperti rukuk dan sujud sahaja, tetapi ia juga bermaksud ‘doa’. Doa juga salah satu perkara ibadat, malah ianya adalah ibadah yang paling penting. Dalam hadis ada disebut bahawa doa itu adalah ‘otak’ ibadah. Dan memang dalam setiap ibadah ada doa sebenarnya. Inilah yang tidak difahami oleh kebanyakan manusia. Mereka tidak faham apakah maksud ibadat itu sendiri.

Oleh itu, ayat ini memberitahu kepada kita, hanya doa kepada Allah sahaja, jangan doa kepada selain dari Allah.

Dan jangan guna perantaraan sesiapa sahaja dalam doa itu, tidak wali, Nabi atau malaikat pun. Kita tidak memerlukan sesiapa pun untuk menyampaikan doa kita kepada Allah. Sebaliknya, terus sahaja doa kepada Allah, kerana Allah dengar semua doa kita. Dalam ayat ini Allah berfirman: seru Allah sahaja. Tidak perlu nak seru kepada yang lain.

مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ

dengan mengikhlaskan seruan dan ibadat kepada-Nya

Maksud ‘ikhlas’ itu adalah tidak mencampurkan ibadah dan doa kepada selain dari Allah. Itu bermaksud kita kena menjauhi amalan syirik dalam ibadat dan dalam doa. Jauhi syirik itu adalah dengan tidak beribadat kepada selain dari Allah. Maka, untuk menjauhi syirik itu, kita kenalah kenal apakah yang dimaksudkan dengan ‘syirik’. Disebabkan tidak faham maksud syiriklah, ramai dari kalangan orang kita yang buat perkara syirik kerana mereka tidak sangka yang itu adalah syirik.

Apabila dikatakan ‘ibadat’, kita jangan buat ibadat kepada entiti yang lain. Maka, kalau kita berzikir, jangan kita berzikir kepada selain Allah SWT – termasuk kepada Nabi Muhammad SAW pun.

Jangan kita seru Nabi Muhammad SAW, kita hanya boleh seru Allah SWT sahaja. Jangan campur seru Allah SWT tetapi dalam masa yang, seru pula Nabi, wali dan malaikat.

Dan seperti yang kita telah sebut, sembah dan ibadat itu termasuk juga dengan ‘doa’, maka kita hanya boleh berdoa kepada Allah SWT sahaja. Terus sahaja doa kepada Allah SWT. Jangan minta kepada selain dari Allah SWT, rasanya ramai yang faham kerana mereka tahu yang Allah SWT sahaja yang boleh mengabulkan doa. Namun, ramai yang keliru adalah tentang tawassul (perantara).

Ramai yang sampaikan doa mereka kepada Nabi, wali atau malaikat supaya Nabi, wali dan malaikat itu sampaikan pula kepada Allah SWT. Ini adalah perbuatan yang salah. Kerana Allah SWT Maha Mendengar, maka apa sahaja yang kita doa, Allah SWT akan mendengar doa kita itu. Tidak perlu kita nak sampaikan kepada entiti lain. Allah SWT tidak perlukan wakil untuk sampaikan doa kita. Allah SWT Maha Mendengar, bukan?

Oleh itu, jangan juga kita gunakan perantaraan (tawassul) dalam doa kita. Kita terus doa kepada Allah SWT sahaja. Allah SWT suruh kita ibadah dan doa kepada-Nya sahaja. Inilah konsep La ilaaha illa Allah SWT yang kita perlu terapkan dalam diri kita. Oleh itu, ini juga mengajar kita, dalam kita berdoa, hendaklah kita menekankan ketauhidan Allah SWT itu.

Sebagai contoh, lihatlah bagaimana doa Nabi Yunus a.s. semasa baginda di dalam perut ikan yang Allah SWT ceritakan dalam [Al-Anbiya: 87]:

لا إِلٰهَ إِلّا أَنتَ سُبحانَكَ إِنّي كُنتُ مِنَ الظّالِمينَ

“Sesungguhnya tiada ilah melainkan Engkau (ya Allah SWT)! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri”.

Lihatlah bagaimana dalam doa Nabi Yunus a.s. itu, baginda memulakan dengan penekanan tauhid – لا إِلٰهَ إِلّا أَنتَ. Begitulah cara yang molek untuk kita memulakan doa. Tetapkan tauhid dalam fahaman kita, kemudian berdoalah.

وَلَو كَرِهَ الكافِرونَ

sekalipun orang-orang kafir tidak menyukai

Apabila dikatakan bahawa orang kafir tidak suka, ia bermaksud mereka tidak akan duduk diam tengok kita hanya berdoa kepada Allah SWT sahaja, ibadat kepada Allah SWT sahaja kerana mereka benci dengan cara begitu. Mereka akan kacau, mereka akan lawan kita kerana mereka hendak pisahkan kita dari tauhid. Mereka tidak rela kita duduk dalam tauhid.

Oleh itu, kita kena dakwah kepada mereka kerana kalau tidak, orang yang asalnya mahu amal tauhid pun lambat laun akan jadi syirik juga. Oleh kerana orang kafir hendak mematikan syirik, maka kita kena perjuangkan tauhid.

Sebenarnya, mereka jadi begitu kerana mereka dihasut oleh syaitan. Syaitanlah yang menggerakkan mereka untuk mengganggu kita. Kalau ikut mereka sendiri, mereka pun mungkin tidak kisah pun kita hendak buat apa. Tetapi syaitan tidak mahu manusia mati dalam tauhid. Jadi mereka akan gerakkan orang-orang kafir untuk membawa manusia jauh dari tauhid. Jadi, ayat ini memberitahu kita bahawa ada perancangan dari orang kafir hendak memusnahkan tauhid. Mungkin kita nampak mereka duduk diam, tetapi mereka tidak duduk diam sebenarnya kerana syaitan akan ganggu.

Orang-orang kafir tidak suka dengan cara amalan kita yang demikian. Mereka tidak suka hanya menyembah satu Tuhan sahaja, maka kerana itulah mereka akan sembah banyak-banyak tuhan. Mereka kata, kalau banyak tuhan, lagi bagus daripada satu. Kerana itulah, mereka ada banyak upacara-upacara penyembahan kepada dewa ini dan dewa itu.

Orang kafir tidak berdoa terus kepada Allah SWT. Mereka akan menggunakan perantaraan mereka untuk menyampaikan doa dan pengharapan mereka kepada tuhan. Mereka akan minta Nabi, wali dan malaikat untuk menyampaikan doa mereka. Mari kita lihat contoh amalan mereka:

Kristian – mereka menyampaikan doa kepada Jesus (iaitu seorang Nabi) untuk menyampaikan doa kepada Tuhan Bapa. Mereka tidak doa terus kan kepada God The Father itu?

Hindu – dewa-dewa yang mereka sembah itu adalah para malaikat sebenarnya. Mereka sahaja telah panggil ‘dewa’. Mereka jadikan malaikat-malaikat itu dalam bentuk patung dan mereka sampaikan doa mereka kepada malaikat-malaikat itu supaya menyampaikan doa mereka kepada ‘tuhan yang satu’.

Toism – mereka menyembah tok nenek (wali) mereka yang telah mati, untuk menyampaikan doa mereka kepada tuhan. Pada sangkaan mereka tok nenek mereka itu adalah orang yang baik-baik, telah jadi wali, tentulah mereka boleh sampaikan doa kepada tuhan.

Jadi, di atas adalah contoh salah faham agama lain dalam hal berdoa.

Bagaimana pula dengan orang kita? Orang kita yang tidak faham apakah maksud ‘tauhid dalam berdoa’, menyampaikan doa kepada ketiga-tiganya sekali!

Ada yang doa kepada wali seperti Wali Songo, Sheikh Abdul Qadir Jalani;

Ada yang berdoa kepada para Nabi, seperti mereka minta kepada Nabi Zakariya a.s, ada yang minta kepada Nabi Muhammad SAW;

Ada yang berdoa kepada para malaikat, seperti meminta perlindungan daripada Jibrail dan sebagainya.

Maka, kalau orang kita buat begitu, mereka lebih teruk dalam orang-orang kafir! Orang kafir pakai satu sahaja, tetapi kita pakai sampai tiga-tiga terus! Siap minta tolong kepada jin pun ada (minta maaf tok nenek, anak cucu nak lalu!)

Sebenarnya, orang Islam kita pun banyak terpedaya dan sama sahaja amalan dengan agama orang kafir. Banyak buat ibadat kepada entiti lain. Ada majlis untuk wali ini dan wali itu. Sebagai contoh, mereka akan buat Majlis Haul (meraikan kematian) untuk wali ini dan itu. Mereka akan buat majlis memperingati wali-wali itu kerana mereka hendak berdoa kepada wali-wali yang sudah mati itu untuk menyampaikan permintaan mereka kepada Allah SWT. Itulah yang dinamakan tawassul yang dilarang.

Oleh itu, belajarlah beribadat dengan cara Islam. Jangan ikut cara ibadat orang-orang kafir. Pastikan yang cara ibadat kita tidak sama dengan ibadat mereka. Maka, kenalah tahu sedikit sebanyak apakah akidah dan cara ibadat mereka supaya boleh dibandingkan dengan cara-cara ibadat kita. Jangan pula kita kutuk mereka kerana kafir, tetapi bila diperiksa, akidah kita dan mereka sama sahaja.

Alhamdulillah kita telah habis belajar Dakwa Surah ini. Dan ini adalah perkara yang amat besar kerana dengan membawa perkara inilah yang menyebabkan Nabi Muhammad SAW diserang, dikeji, dihalau dan sebagainya. Sesungguhnya perkara inilah yang akan menyebabkan pertembungan antara yang mengamalkan tauhid dan tidak.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan