Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah – Ayat Ke-23 hingga Ke-25

Tafsir Surah Al-Baqarah – Ayat Ke-23 hingga Ke-25

2523
1
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-23

‎وَإِن كُنتُم في رَيبٍ مِمّا نَزَّلنا عَلىٰ عَبدِنا فَأتوا بِسورَةٍ مِن مِثلِهِ وَادعوا شُهَداءَكُم مِن دونِ اللَّهِ إِن كُنتُم صادِقينَ

“Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang Al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), buatlah satu surat (saja) yang semisal Al-Quran itu dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar”.

Tafsiran ayat :

‎وَإِن كُنتُم في رَيبٍ مِمّا نَزَّلنا عَلىٰ عَبدِنا

Dan sekiranya kamu ragu-ragu tentang Al-Quran yang Kami turunkan ke atas hamba Kami,

Dan kalau kamu ada menaruh syak kerana Nabi Muhammad SAW itu nampak macam manusia biasa sahaja. Mungkin ada yang susah hendak terima apa yang disampaikan oleh baginda kerana baginda nampak biasa sahaja.

Musyrikin Mekah mengejek Nabi SAW dengan mengatakan baginda itu sama sahaja seperti mereka, duduk hidup dan makan minum mana mungkin tiba-tiba dia kata dapat wahyu pula?

Banyak ayat-ayat yang disebut dalam Al-Quran bagaimana Musyrikin Mekah menolak Nabi Muhammad SAW kerana baginda nampak sama seperti manusia lain.

Keraguan itu telah dibisikkan oleh syaitan kepada mereka. Mereka hendak yang luar biasa. Seperti juga masyarakat kita, kalau ada orang yang nampak luar biasa sikit, boleh buat perkara ajaib, ramai yang percaya kepada guru-guru sesat itu, tetapi jika yang beritahu itu nampak biasa sahaja, kopiah pun tidak pakai, mereka susah hendak terima.

Maka, hasil dari bisikan syaitan, mereka telah ragu-ragu kepada Nabi. Allah ajar Nabi bagaimana hendak menghadapi mereka yang ragu-ragu itu, iaitu mereka yang setelah diberikan dengan berbagai-bagai dalil, tetapi masih lagi ragu-ragu.

‎فَأتوا بِسورَةٍ مِن مِثلِهِ

maka kamu bawalah satu surah yang seperti Al-Quran

Jadi, bagaimana kita hendak pastikan yang Nabi itu adalah sebenar-benar Nabi dan Al-Quran yang dibacakan olehnya itu adalah sebenarnya dari Allah? Maka, Allah beri hujah-Nya dalam ayat ini.

Sekiranya mereka ragu dengan apa yang disampaikan oleh Nabi itu, maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu. Sekurang-kurangnya buat tiga ayat kerana sependek-pendek ayat dalam satu surah adalah tiga ayat. Ini adalah ayat cabaran dari Allah.

Ini menjawab tuduhan dari Musyrikin Mekah dan sesiapa sahaja yang menolak kesahihan Al-Quran. Mereka ada dua tuduhan terhadap Al-Quran:

  1. Al-Quran itu adalah rekaan dari Nabi Muhammad SAW sendiri. Atau,
  2. Nabi Muhammad SAW dapat Al-Quran itu dari orang lain, yang mereka kata Nabi Muhammad SAW belajar dengan orang itu.

Allah SWT cabar mereka, jika tidak percaya, maka buatlah Al-Quran itu kalau kamu mampu. Jika kamu kata Nabi Muhammad SAW yang manusia itu boleh buat Al-Quran, maka tentunya kamu manusia yang lebih pandai dari segi bahasa, boleh buat satu surah dari Al-Quran juga, bukan?

Cabaran yang diberi kepada mereka adalah untuk buat ayat-ayat macam Al-Quran dengan menggunakan ketinggian bahasa, kerana bahasa Al-Quran bukanlah bahasa yang biasa. Salah satunya adalah, Allah SWT boleh buat ayat-ayat hukum dalam bentuk indah dari segi bahasa sastera. Ayat hukum tetapi dalam bahasa yang indah.

Ini memang hebat dan tidak mampu dilakukan oleh manusia. Lihatlah kalau kita baca buku undang-undang, ia dalam nada tegas sahaja, boleh terlelap jika baca berterusan. Tetapi anda yang telah baca Al-Fatihah dari kecil sampai dewasa ini, adakah pernah rasa bosan membacanya? Tulisan sastera pula tidak ada undang-undang di dalamnya.

Banyak lagi mukjizat Al-Quran yang dikaji oleh ulama zaman berzaman sampai sekarang. Bidang ini dikenali sebagai i’jazul Al-Quran (Ilmu tentang mukjizat Al-Quran). Mukjizat Nabi-nabi dahulu, yang boleh nampak adalah mereka yang hidup pada zaman mereka dan lihat mukjizat itu sahaja. Sebagai contoh, mukjizat Nabi Musa belah laut, mereka yang ada waktu itu sahajalah yang nampak. Maka, kalau orang sekarang tanya apakah mukjizat Nabi Muhammad SAW, kita boleh ambil Al-Quran dari almari kita dan tunjuk kepada orang bertanya itu: inilah mukjizat Nabi kami kalau kamu hendak tengok.

‎وَادعوا شُهَداءَكُم مِن دونِ اللهِ

Dan kamu panggillah sekutu-sekutu kamu, selain dari Allah

Iaitu panggillah orang-orang yang mahir dari kalangan kamu. Kalau kamu sendiri tidak mampu buat, maka panggillah sesiapa sahaja yang kamu rasa boleh tolong kamu. Mereka boleh minta tolong kepada apa-apa sahaja, kepada ahli syair mereka, termasuk sembahan- sembahan mereka yang mereka rasa boleh tolong mereka kerana kalau perkara yang susah, tentulah mereka memerlukan pertolongan. Mereka bolehlah minta kepada berhala mereka, malaikat yang mereka sembah atau jin yang mereka sembah.

‎إِن كُنتُم صادِقينَ

sekiranya kamu benar;

Ayat ini adalah cabaran dari Allah kepada manusia yang masih tidak percaya. Masih tidak percaya selepas diberikan dakwah dan berbagai dalil kepada mereka. Namun, tidaklah cabaran ini diberikan terus kepada orang yang kita mula-mula hendak dakwah. Kita kenalah memberikan ajaran-ajaran dari Al-Quran dulu. Janganlah kita jumpa orang kafir, kita terus suruh dia buat satu surah dari Al-Quran pula. Dia kenal Al-Quran pun tidak. Kitalah yang kena kenalkan Al-Quran kepada dia.

Ini adalah satu cabaran yang hebat. Selalunya kalau manusia yang tulis buku, mereka tidak berani berkata begitu, sebab mereka tahu tentulah ada salah silap dalam penulisannya. Tetapi kerana ini datangnya dari Allah, maka Allah tahu yang Al-Quran itu adalah satu yang sempurna dan tidak akan ada yang dapat menandinginya.

Cabaran ini sebenarnya telah disahut oleh orang Kafir. Mereka telah cuba mengadakan ayat-ayat Al-Quran dari dulu hingga sekarang tetapi sebenarnya ia langsung tidak sama. Ia boleh menipu orang yang tidak tahu tentang Al-Quran. Mereka yang tahu betapa indahnya bahasa Al-Quran, mereka akan dapat nampak bahawa apa yang mereka buat itu tidak sama langsung dengan Al-Quran.

Tafsir Ayat 24:

Ayat ini adalah dalam bentuk ‘takhwif ukhrawi’ – ayat untuk menakutkan manusia dengan balasan azab di akhirat kelak.

‎فَإِن لَم تَفعَلوا وَلَن تَفعَلوا فَاتَّقُوا النّارَ الَّتي وَقودُهَا النّاسُ وَالحِجارَةُ ۖ أُعِدَّت لِلكافِرينَ

“Maka jika kamu tidak dapat membuat(nya) dan pasti kamu tidak akan dapat membuat(nya), peliharalah dirimu dari neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu, yang disediakan bagi orang-orang kafir”.

‎فَإِن لَم تَفعَلوا

Dan sekiranya kamu tidak dapat melakukannya;

Perkataan لَم dalam ayat ini bermakna perkara yang sudah lepas. Ini bermakna, orang-orang kafir itu telah cuba untuk membuat ayat Al-Quran untuk menandingi Al-Quran. Maknanya, mereka telah mencuba untuk buat tetapi tidak berjaya.

Sebagai contoh, Musailamah Al-Kazzab pernah buat ayat untuk menandingi Al-Quran:

“Dari Amr ibnul As, bahawa sebelum masuk Islam dia pernah bertamu kepada Musailamah Al-Kazzab. Lalu Musailamah bertanya kepadanya, “Apakah yang telah diturunkan kepada teman kalian (Nabi Muhammad SAW) di Mekah di masa sekarang?” Maka Amr menjawabnya, “Sesungguhnya telah diturunkan kepadanya suatu surat yang ringkas lagi baligh.” Musailamah bertanya, “Surat apakah?” Amr menjawab: Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. (Al-‘Asr: 1-2) Maka Musailamah berfikir sejenak, kemudian mengangkat kepalanya dan berkata, “Sesungguhnya telah diturunkan pula kepadaku hal yang semisal dengannya.” Amr bertanya, “Apakah itu?” Musailamah berkata, “Hai kelinci, hai kelinci, sesungguhnya kamu hanya terdiri atas dua telinga dan dada, sedangkan selain itu pendek dan kurus.” Kemudian Musailamah bertanya, “Bagaimanakah menurut pendapatmu, hai Amr.” Amr menjawab, “Demi Allah, sesungguhnya kamu mengetahui bahawa diriku mengetahui kamu berdusta.”

Allah berfirman dalam ayat yang lain:

‎{قُلْ لَئِنِ اجْتَمَعَتِ الإنْسُ وَالْجِنُّ عَلَى أَنْ يَأْتُوا بِمِثْلِ هَذَا الْقُرْآنِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا}

“Katakanlah.”Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa Al-Al-Quran ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengan dia, sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain.” (Al-Isra: 88)

‎وَلَن تَفعَلوا

dan tak mungkin selama-lamanya kamu dapat melakukannya;

Memang ada manusia yang mengubah, tetapi cubaan mereka itu tidak akan berjaya kerana bahasa Al-Quran bukanlah bahasa manusia biasa, tetapi ia adalah Kalam Allah. Allah kata: لن yang bermaksud tidak akan mampu buat sampai bila-bila kerana ia adalah Kalam Allah.

Ayat cabaran dan amaran ini sepatutnya sudah cukup untuk mematahkan hujah orang-orang kafir yang tidak percaya dengan Al-Quran. Kalau kita berdebat dengan orang-orang kafir sekarang pun, sepatutnya kita gunakan hujah ini sahaja. Ada yang mengatakan Al-Quran ini adalah tulisan seorang lelaki bernama Muhammad SAW yang ditulis 1,400 tahun dahulu. Walaupun mereka mengakui ia hebat, mereka tetap mengatakan ia adalah tulisan seorang manusia. Patutnya, kita suruh mereka buat kitab yang sama. Kalau seorang lelaki di padang pasir, 1,400 tahun dahulu boleh tulis sesuatu yang hebat seperti Al-Quran ini, maka kamu yang hidup zaman komputer ini tentu boleh buat kitab yang lebih hebat juga, bukan? Tidak perlu buat sampai satu kitab, buat satu surah sahaja sudah cukup.

Malangnya, kerana ramai tidak belajar tafsir Al-Quran, maka mereka tidak boleh hendak berhujah dengan orang kafir. Lihatlah bagaimana para sahabat yang boleh sebar agama Islam ke seluruh dunia dengan berbekalkan Al-Quran sahaja. Jika kita faham Al-Quran seperti mereka, kita pun boleh buat usaha sebegitu juga.

‎فَاتَّقُوا النّارَ

maka takutlah kamu akan api neraka;

Allah berfirman lagi, kalau kamu tidak boleh buat, dan masih lagi degil untuk menerima Al-Quran, maka ingatlah yang kamu akan diazab di neraka nanti. Ini adalah ayat amaran yang keras yang diberikan kepada Musyrikin Mekah dan orang kafir lainnya.

Allah juga menyuruh mereka supaya bersedia dengan apa yang mereka ada untuk menyelamatkan diri dari api neraka. Apa-apa sahaja yang mereka boleh usaha untuk selamatkan diri mereka nanti, gunalah kalau boleh kerana Allah telah suruh mereka takut kepada Allah melalui ayat ini kerana sebelum ini diajak takut kepada Allah, mereka tidak mahu. Sekarang bersedialah kamu untuk masuk ke dalam api neraka itu.

‎الَّتي وَقودُهَا النّاسُ وَالحِجارَةُ

yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu;

Allah beritahu yang manusia dan batu akan menjadi bahan bakar. Maknanya, mereka akan dibakar di neraka nanti.

Apa salah batu sampai kena bakar sekali dalam neraka? Ini adalah kerana mereka sembah batu, maka mereka akan dimasukkan sekali dengan batu yang mereka sembah itu, supaya bila mereka lihat batu itu pun kena bakar sekali dengan mereka, habislah harapan mereka. Batu yang mereka sembah pun kena bakar, apatah lagi mereka!

Mereka akan jadi bahan pembakar. Bahan pembakar akan memanaskan sesuatu. Memang manusia akan jadi pembakar/pemanas. Ada riwayat mengatakan bagaimana penghuni neraka akan marah kalau ada lagi yang dimasukkan ke dalam neraka, kerana lagi ramai yang masuk ke dalam neraka, lagi panaslah neraka itu.

‎أُعِدَّت لِلكافِرينَ

yang disediakan untuk orang-orang yang ingkar;

Neraka itu telah siap tersedia untuk menerima mereka yang kufur. Ayat ini juga memberitahu kita bahawa neraka dan begitu juga syurga, telah ada sekarang ini. Sedang menunggu siapa sahaja yang akan masuk ke dalamnya. Ini menolak pendapat mereka yang mengatakan syurga dan neraka hanya akan dijadikan selepas Kiamat nanti.

Tafsir Ayat Ke-25:

Ini adalah ayat tabshir – berita gembira. Berita gembira kepada orang- orang beriman. Allah ceritakan apakah yang mereka akan terima nanti untuk memberikan motivasi kepada manusia yang membaca Al-Quran ini.

‎وَبَشِّرِ الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ أَنَّ لَهُم جَنّاتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهارُ ۖ كُلَّما رُزِقوا مِنها مِن ثَمَرَةٍ رِزقًا ۙ قالوا هٰذَا الَّذي رُزِقنا مِن قَبلُ ۖ وَأُتوا بِهِ مُتَشابِهًا ۖ وَلَهُم فيها أَزواجٌ مُطَهَّرَةٌ ۖ وَهُم فيها خالِدونَ

“Dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang beriman dan berbuat baik, bahawa bagi mereka disediakan syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Setiap mereka diberi rezeki buah-buahan dalam syurga-syurga itu, mereka mengatakan: “Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu”. Mereka diberi buah-buahan yang serupa dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci dan mereka kekal di dalamnya”.

‎وَبَشِّرِ الَّذينَ آمَنوا

Dan berilah berita gembira kepada orang beriman sempurna,

Maksud ‘beriman sempurna’ adalah mereka yang tidak buat syirik kepada Allah. Itulah yang bermaksud beriman sempurna, kerana kalau beriman sahaja tidak cukup. Ada yang percaya dengan Allah, tetapi dalam masa yang sama, dia beriman kepada entiti selain Allah juga. Mereka mengatakan ada makhluk yang ada sifat- sifat Tuhan. Itu adalah syirik dan itu bermaksud iman mereka tidak sempurna.

Allah suruh Nabi yang sampaikan berita gembira ini. Inilah tugas Nabi Muhammad SAW iaitu menyampaikan ajaran agama kepada kita. Itulah sebabnya kita kena beriman dan ikut apa yang disampaikan oleh Nabi.

‎وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ

Dan beramal soleh

Iaitu dengan melakukan amalan sepertimana yang diajar oleh Nabi. Allah mengkhususkan dalam ayat ini, bukan setakat ‘beriman’ sahaja, tetapi kenalah buat amalan yang baik, itulah yang dinamakan amal soleh. Bukti tanda iman, kenalah buat ibadat. Bukan setakat cakap di mulut sahaja.

Amalan yang soleh dan baik itu adalah apa yang diajar dan dibuat oleh Nabi. Bukan yang kita reka sendiri. Bukan amalan bidaah.

Amalan yang diterima hanyalah amalan yang soleh. Bukan ‘amalan’ sahaja, tapi ‘amalan yang soleh’. Iaitu amalan yang menepati seperti yang diajar oleh Nabi. Oleh itu, kalau amalan itu adalah amalan bidaah seperti yang banyak dilakukan oleh masyarakat Islam kita sekarang, ia tidak diterima.

‎أَنَّ لَهُم جَنّاتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهارُ

Sesungguhnya bagi mereka itu kebun-kebun Syurga yang mengalir di bawahnya, anak-anak sungai;

Inilah berita gembira yang hendak disampaikan, mereka akan dimasukkan ke dalam syurga.

Allah sebut ‘sungai-sungai’ mengalir di bawah syurga. Kenapa? Kerana manusia memang sukakan air. Sekarang pun jika rumah itu jenis yang ‘ocean view’ harganya akan mahal. Itu adalah kawasan perumahan yang paling mahal kerana naluri manusia memang suka kepada air. Semakin mahal apabila rumah yang di bawahnya adalah air.

Allah beri perumpamaan kepada manusia bahawa kalau mereka beriman sempurna, mereka akan diberikan dengan rumah yang sebegini hebat. Naluri manusia memang hendakkan tempat tinggal yang baik. Selagi tidak ada rumah, selagi itu mereka rasa tidak lengkap. Ramai yang sanggup berhutang bertahun-tahun asalkan mereka ada rumah yang mereka boleh kata itu adalah rumah mereka sendiri. Sekarang, Allah tawarkan rumah yang amat hebat, tidak mahu kah?

Allah hendak kata bahawa Dia boleh bagi rumah yang paling baik sekali kepada mereka. Tiada rumah yang lebih baik dari tempat tinggal yang Allah akan berikan ini. Tambahan pula, pendengar ayat ini yang awalnya adalah para sahabat yang telah berkorban meninggalkan rumah dan kampung halaman mereka di Mekah untuk berhijrah ke Madinah. Allah hendak sejukkan hati mereka dengan mengatakan bahawa mereka akan diberikan rumah yang lebih baik lagi dari yang mereka tinggalkan itu. Pengorbanan mereka tidak sia-sia.

‎كُلَّما رُزِقوا مِنها مِن ثَمَرَةٍ رِزقًا

Setiap kali mereka diberi daripada buah-buah syurga sebagai rezeki;

Di syurga nanti, bermacam-macam buah mereka boleh dapat. Bukan hanya buah yang mereka pernah lihat di dunia, tetapi buah-buahan yang mereka tidak pernah lihat pun mereka akan dapat juga nanti.

Bukanlah ahli syurga akan makan buah sahaja ini tidak patut, mana mungkin makan buah sahaja, bukan? Memang akan dapat macam-macam lagi, tetapi kerana masyarakat Arab adalah mereka yang suka buah, mereka diberikan motivasi dengan buah-buahan.

‎قالوا هٰذَا الَّذي رُزِقنا مِن قَبلُ

Mereka berkata: ini adalah buah yang pernah diberi kepada kami

Mereka kata buah itu pernah diberi dahulu kepada mereka. Ada dua kemungkinan: sama ada diberi semasa di dunia dahulu atau telah diberikan di akhirat sebelum itu. Oleh itu, mungkin penghuni syurga diberi sesuatu yang nampak macam sama dengan apa yang ada semasa di dunia atau, jika yang dimaksudkan adalah benda sama seperti yang pernah diterima sebelum itu di akhirat, maknanya mereka telah pernah makan.

Kata-kata mereka ini bukan hendak menunjukkan bahawa apabila mereka nampak buah itu, mereka rasa tidak suka sebab dapat buah yang sama. Tidak begitu. Mereka suka apabila nampak buah itu lagi sebab mereka telah pernah makan dan mereka tahu buah itu sangat sedap. Bukankah pernah kita makan sesuatu yang kita ingat makanan itu sedap, dan apabila kita jumpa lagi, kita hendak makan lagi sebab kita masih ingat kesedapan makanan itu? Tentu ada. Beginilah perasaan mereka.

Rezeki yang mereka nampak itu serupa namun tidak sama iaitu ia mempunyai rupa yang sama, tetapi dengan rasa yang berlainan, kerana telah bertambah sedap.

‎وَأُتوا بِهِ مُتَشابِهًا

yang serupa di antara satu sama lain;

Buah itu nampak macam sama dengan buah yang mereka pernah rasa dulu. Mereka ingat memang buah itu sedap, tetapi buah-buahan yang mereka makan berubah-ubah menuju kepada lebih baik lagi. Ia lagi sedap dari apa yang mereka pernah makan dahulu. Waktu itu pun mereka ingat sedap lagi, macam yang mereka pernah makan, tetapi ia akan jadi lebih sedap lagi. Masya Allah! semoga kita dapat menikmati kenikmatan seperti itu nanti.

Begitu juga dengan orang yang duduk dalam syurga itu sendiri, mereka semakin lama semakin cantik. Semua perkara semakin sedap, semakin wangi dan sebagainya. Tidak akan jemu-jemu, sampai bila-bila. Begitulah nikmat yang akan diberikan di syurga nanti. Ia tidak akan sama, bahkan ia akan tetap meningkat dan meningkat lagi.

Jika sama sahaja, itu bukan nikmat namanya. Katakanlah kita suka nasi ayam di suatu tempat. Hari-hari kita pergi makan di sana. Berapa lama kita boleh suka henda makan nasi ayam yang sama? Jika telah seminggu makan nasi ayam yang sama, sudah jadi tidak sedap nasi ayam itu sebab kita akan rasa bosan. Berlainan di syurga, kesedapan makanan itu akan bertambah, dan kita tidak akan rasa bosan. ‘Bosan’ adalah sesuatu yang tidak elok dan di dalam syurga tidak ada benda yang tidak elok.

‎وَلَهُم فيها أَزواجٌ مُطَهَّرَةٌ

Dan bagi mereka itu pasangan yang suci bersih;

Rumah tidak lengkap jikalau tidak ada pasangan. Hal tempat tinggal dan makanan telah disebut dengan hebat tadi. Sekarang, Allah sebut yang Allah tambah kehidupan yang hebat itu dengan pasangan hidup. Jika kita duduk di istana dengan makanan yang sedap-sedap, tetapi duduk seorang sahaja, tentu tidak menarik, bukan? Maka Allah berikan pasangan untuk menikmati nikmat di syurga itu kerana manusia ini adalah ‘social animal’, tidak suka duduk sendirian (melainkan ada orang yang pelik, itu tidak boleh kiralah).

Suci bersih antara lain bermaksud, pasangan yang diberikan adalah mereka yang tidak ada perasaan hasad dengki, cemburu, riak dan sebagainya. Tuhan telah buang belaka perasaan yang tidak elok itu. Pasangan itu suci dari segi perangai, percakapan mereka dan sebagainya. Tidak ada najis pun yang keluar dari mereka. Di dalam syurga, tidak akan ada yang buang najis. Makan banyak mana pun, tidak perlu pergi ke tandas untuk buang air. Ia akan keluar sebagai peluh dan peluh itu berbau wangi.

Oleh itu, pasangan yang diberikan adalah yang suci bersih. Iaitu suci bersih dari segi fizikal dan dari segi akhlak. Tidak ada kekotoran apa-apa macam pasangan yang di dunia. Bukan itu sahaja, akhlaknya pun amat molek sekali. Di dunia ada orang yang cantik tetapi perangai tidak molek tetapi di syurga nanti penghuni syurga akan diberi pasangan yang molek fizikal dan akhlaknya.

‎وَهُم فيها خالِدونَ

Mereka duduk dalam syurga kekal buat selama-lamanya;

Jika duduk sebentar pun tidak hebat kerana nikmat yang tidak kekal bukanlah nikmat sebenarnya. Katakanlah kita dapat duduk di hotel yang paling mahal dalam dunia. Memang kita suka, tetapi jauh di lubuk hati kita, kita tahu yang kita duduk beberapa hari sahaja dan akan tinggalkan hotel itu nanti.

Ini bukan nikmat yang sempurna. Syurga tidak macam kehidupan di dunia kerana kita tinggal untuk beberapa waktu sahaja tetapi kehidupan di syurga akan berkekalan sampai bila- bila. Penghuninya akan mengecap kenikmatan selama-lamanya.

Di dunia kita tidak boleh kata kita akan dapat tinggal di sesuatu tempat itu sampai bila-bila. Sesiapa pun tidak boleh kata begitu kerana belum tentu lagi. Berapa banyak manusia yang ingat mereka akan tinggal terus di sesuatu negara, tetapi terpaksa meninggalkan negara yang mereka sayangi kerana peperangan dan sebagainya? Sedih, bukan?

Maka, Allah beri jaminan bahawa tempat tinggal mereka di syurga itu nanti adalah yang kekal abadi. Semoga kita semua menjadi ahli syurga hendaknya. Mereka akan hidup bergembira dalam keredhaan Allah. Semoga Allah memilih kita untuk memasuki syurga dan tinggal selama-lamanya di sana.

Semoga ayat ini menjadi dorongan kepada kita untuk berbuat amal kebaikan yang sunnah.

 

Wallahu a’lam.

1 KOMEN

Komen dan Soalan