Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ghafir – Ayat Ke-10 hingga Ke-12

Tafsir Surah Ghafir – Ayat Ke-10 hingga Ke-12

1213
0
Iklan

Tafsir Surat Ghafir

Tafsir Ayat Ke-10

Ini pula adalah tentang mereka yang kufur. Selepas Allah SWT menyentuh tentang mereka yang beriman, Allah SWT menceritakan tentang mereka yang kufur pula. Mari kita lihat bagaimana keadaan mereka di akhirat kelak.

Kita telah beritahu sebelum ini yang kufur ini bukanlah orang bukan Islam sahaja, kerana kalau orang Islam tetapi tolak ajaran dari wahyu pun boleh dikira sebagai kufur.

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا يُنادَونَ لَمَقتُ اللهِ أَكبَرُ مِن مَقتِكُم أَنفُسَكُم إِذ تُدعَونَ إِلَى الإيمانِ فَتَكفُرونَ

“Sesungguhnya orang-orang yang kafir akan diseru kepada mereka (pada hari kiamat): “Demi sesungguhnya! Kebencian Allah SWT (kepada kamu) lebih besar daripada kebencian kamu kepada diri sendiri, (sebabnya kerana) semasa kamu diseru dan diajak (di dunia dahulu) supaya beriman, (kamu enggan dan menolak), lalu kamu terus berkeadaan kufur”.

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا يُنَادَوْنَ

“Dan sesungguhnya orang-orang yang kafir, akan dikatakan kepada mereka”.

Kata-kata ini akan disebut kepada mereka yang kufur semasa mereka sedang kena azab. Kafir yang dimaksudkan adalah ‘Kafir Degil’, iaitu yang sudah tahu kebenaran, tetapi masih hendak tolak lagi.

Kata-kata ini adalah sebagai menambah kesesalan kepada mereka untuk membuatkan mereka menyesal habis. Sudahlah tubuh mereka diseksa, sekarang diseksa lagi dengan azab emosi. Seperti seorang guru yang rotan ahendak muridnya yang hendakal. Sambil guru itu merotan berkali-kali, sambil itu mulutnya marah kepada budak itu dengan kata-kata yang menekan jiwa.

لَمَقْتُ اللِه أَكْبَرُ مِن مَّقْتِكُمْ أَنفُسَكُمْ

“Kemurkaan Allah SWT lebih besar daripada kemurkaan kamu kepada diri kamu sendiri”

Di Mahsyar nanti, mereka akan kata kepada diri mereka apabila mereka masuk neraka: “kenapalah aku tidak beriman dahulu? Kenapalah aku tidak belajar wahyu? Kenapalah aku buang masa dulu? Kenapa aku buat itu dan ini?” Mereka akan marah dan benci kepada diri sendiri kerana tidak beriman semasa di dunia kerana leka semasa di dunia dulu, ‘enjoy’ hidup sahaja.

Ayat ini memberitahu bahawa Allah SWT lagi murka dan marah kepada mereka. Mereka memang marah kepada diri mereka, tetapi Allah SWT lagi marah dan murka kepada mereka. Dan kemurkaan Allah SWT itu semasa di dunia lagi cuma di akhirat, baru Dia balas dengan azab. Masa duduk di dunia dulu, Allah SWT biarkan sahaja, tengok apa manusia buat. Allah SWT sabar, boleh tunggu sampai akhirat, bukan macam kita yang kalau hendak balas, waktu itu juga hendak balas terus.

Perkataan مَقْتُ bermaksud marah yang amat sangat apabila melihat orang lain melakukan perkara yang salah. Macam kita selalu sakit mata dan marah kalau orang buat perkara syirik dan bidaah. Begitu juga macam kes dengan Hindraf sekarang ni, ramai antara kita marah dengan apa yang mereka lakukan. Kerana kita tahu yang apa yang mereka lakukan itu adalah salah.

Dan penambahan huruf ل pada kalimah مَقْتُ itu adalah sebagai penekanan lagi. Hendak memberitahu yang Allah SWT amat, amat marah.

Jadi, orang yang kufur dengan ayat-ayat Allah SWT akan marah kepada diri mereka sendiri di akhirat. Mereka amat marah kepada diri mereka sendiri sampaikan mereka akan menggigit dan memakan jari-jari mereka. Begitu teruk kemarahan mereka kepada diri mereka. Kita semasa di dunia, gigit jari sahaja, tetapi di akhirat kelak, mereka sampai makan jari-jari mereka!

إِذْ تُدْعَوْنَ إِلَى الْإِيمَانِ فَتَكْفُرُونَ

“Kerana ketika mereka diseru beriman kepada Allah SWT, mereka ingkar”.

Dulu semasa di dunia, mereka telah diajak kepada kebenaran tetapi mereka tidak mahu menerimanya. Sekarang, mereka sudah menyesal bukan? Mereka marah diri mereka sendiri sekarang, bukan? Tetapi Allah SWT kata Dia lagi marah daripada apa yang mereka marah diri mereka itu.

Jadi sekarang ini (zaman dunia sekarang), sewaktu manusia menolak untuk beriman dan mengamalkan tauhid, waktu itu Allah SWT amat marah kepada mereka. Bayangkanlah apa yang akan terjadi kepada mereka yang apabila kita ajak mereka kepada jalan sunnah, mereka menolak. Mereka tidak sedar yang waktu dan saat itu Allah SWT amat marah kepada mereka. Semoga Allah SWT buka hati mereka kepada iman sempurna dengan tidak mengamalkan syirik dan beramal atas jalan sunnah.

Semua yang tidak menerima iman yang sebenar, yang bukan Islam, yang munafik atau orang Islam sendiri yang menolak untuk berpegang dengan ajaran wahyu.

Maka, janganlah kita sangka, kalau nama telah Islam, solat, puasa dan melakukan amalan orang Islam lain, sudah pasti selamat. Tidak pasti lagi.

Berapa ramai yang kita ajak, marilah belajar tafsir Al-Quran, belajar tentang tauhid yang diajar dalam Al-Quran, tetapi ramai yang buat tidak endah sahaja. Saya telah banyak kali sudah jumpa orang macam ini. Semoga Allah SWT beri hidayah kepada mereka.

Sebagai orang beriman, apabila kita berdakwah kepada mereka yang belum beriman, kita perlu memberi contoh ini, contoh di mana Allah SWT sangat murka kepada mereka yang kufur (ingkar) dengan ajaran Allah SWT.

Tafsir Ayat Ke-11

Sekarang lihat apa kata ahli neraka itu.

قالوا رَبَّنا أَمَتَّنَا اثنَتَينِ وَأَحيَيتَنَا اثنَتَينِ فَاعتَرَفنا بِذُنوبِنا فَهَل إِلىٰ خُروجٍ مِن سَبيلٍ

“Mereka akan berkata: “Wahai Tuhan kami! Engkau telah menjadikan kami berkeadaan mati dua kali, dan telah menjadikan kami hidup dua kali, maka kami (sekarang) mengakui akan dosa-dosa kami. Oleh itu adakah sebarang jalan untuk (kami) keluar (dari neraka)?

قَالُوا رَبَّنَا

“Mereka berkata: “wahai Tuhan kami.”

Sekarang baru mereka hendak mengaku yang Allah SWT itu adalah Rabb mereka. Baru hendak jadi hamba kepada Rabb. Baru hendak jadi taat. Lihatlah apa rayuan ahli-ahli neraka itu:

أَمَتَّنَا اثْنَتَيْنِ

“Kamu sudah matikan kami dua kali”.

Iaitu dalam keadaan mati. Masa bila?

Pertama, sebelum kita dilahirkan ke dunia, kita dalam keadaan mati – kerana mati adalah keadaan ‘tanpa nyawa’, dan bukankah sebelum kita diberikan dengan nyawa dan dilahirkan ke dunia, kita dalam keadaan ‘mati’?;

Kemudian kita menjalani kehidupan kita di dunia, kemudian kita dimatikan sekali lagi apabila telah sampai ajal kita. Itulah maksudnya, kita mati dua kali.

Mereka mengaku yang Allah SWT lah yang telah mematikan mereka dulu. Memang Allah SWT lah yang mematikan kita. Tidak ada sesiapa lagi yang boleh buat begitu kecuali Allah SWT.

وَأَحْيَيْتَنَا اثْنَتَيْنِ

“dan Kamu sudah hidupkan kami dua kali”

Kita dihidupkan kali pertama apabila kita dilahirkan dari perut ibu kita dan kemudian kita mati setelah menjalani kehidupan di dunia;

Hidup yang kedua adalah apabila kita dihidupkan kembali dari kubur kita pada Hari Akhirat.

Jadi, kita dua kali hidup dan dua kali mati. Mereka sekarang sedang mengaku yang hidup dan mati mereka itu adalah dari kudrat Allah SWT belaka.

Kenapa mereka sibuk beritahu Allah SWT yang mereka telah mati dan hidup dua kali? Kerana mereka juga sedang merayu dengan Allah SWT. Mereka kata, Allah SWT telah berikan mereka mati dan hidup dua kali – apa salahnya bagi hidup sekali lagi? Bagilah mereka hidup balik ke dunia untuk kali kedua.

فَاعْتَرَفْنَا بِذُنُوبِنَا

“kami mengaku semua dosa-dosa kami”

Setelah masuk neraka baru mereka mengaku dengan dosa-dosa mereka. Mereka mengaku itu kerana mereka hendak bodek Allah SWT. Mereka mengaku yang selama mereka di dunia, mereka telah banyak melakukan banyak dosa, terutama sekali dosa dalam tauhid (dengan buat amalan syirik), juga dosa mereka tidak berdoa hanya kepada Allah SWT sahaja.

Maka mereka mengaku yang mereka dahulu telah melakukan syirik dalam berdoa. Tetapi itu semuanya tidak berguna lagi. Kerana, sepatutnya kita mengaku dosa kita semasa kita di dunia lagi. Sebab itu banyak doa Nabi ajar kita, sebelum minta apa-apa, mengaku yang kita banyak dosa. Kerana bila di akhirat, tidak laku sudah segala penyesalan. Cakaplah apa sahaja, mengakulah apa sahaja, tetapi ia tidak berguna lagi. Amatlah malang sekali kalau manusia hanya menyedari setelah mereka mati.

فَهَلْ إِلَىٰ خُرُوجٍ مِّن سَبِيلٍ

“Maka tidakkah ada jalan keluar dari neraka ini?”

Tadi mereka mula dengan berkata bahawa Allah SWT telah berikan kehidupan dan kematian dua kali tetapi mereka telah mensia-siakannya. Itu sebenarnya hanyalah mukadimah kata-kata mereka sahaja. Mereka sebenarnya ada hajat yang besar hendak minta kepada Allah SWT.

Sekarang, mereka meminta supaya Allah SWT memberikan mereka kehidupan kembali ke dunia supaya mereka boleh beriman dan beramal soleh, tidak melakukan syirik dalam berdoa lagi. Banyak kali kita boleh baca dalam Al-Quran permintaan sebegini.

Dalam [ Sajdah: 12 ],

وَلَو تَرىٰ إِذِ المُجرِمونَ ناكِسو رُءوسِهِم عِندَ رَبِّهِم رَبَّنا أَبصَرنا وَسَمِعنا فَارجِعنا نَعمَل صالِحًا إِنّا موقِنونَ

“Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”.

Juga dalam [ An’am: 27 ] ,

وَلَو تَرىٰ إِذ وُقِفوا عَلَى النّارِ فَقالوا يا لَيتَنا نُرَدُّ وَلا نُكَذِّبَ بِآياتِ رَبِّنا وَنَكونَ مِنَ المُؤمِنينَ

“Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka didirikan di tepi neraka (untuk menyaksikan azabnya yang tidak terperi), lalu mereka berkata: “Wahai kiranya kami dikembalikan ke dunia, dan kami tidak akan mendustakan lagi ayat-ayat keterangan Tuhan kami, dan menjadilah kami dari golongan yang beriman”.

Tetapi, bagaimana cara mereka minta pun supaya dikembalikan ke dunia, permintaan mereka itu tidak akan dilayan. Sudah terlambat.

Tafsir Ayat Ke-12

Allah SWT jawab doa mereka yang telah disebut dalam ayat sebelum ini.

ذٰلِكُم بِأَنَّهُ إِذا دُعِيَ اللَّهُ وَحدَهُ كَفَرتُم ۖ وَإِن يُشرَك بِهِ تُؤمِنوا ۚ فَالحُكمُ لِلَّهِ العَلِيِّ الكَبير

(Lalu dikatakan kepada mereka): “Azab yang kamu berada padanya itu adalah kerana keadaan kamu apabila Allah SWT Yang Maha Esa sahaja diseru dan disembah, kamu kufur (dan menolak cara bertauhid itu); dan apabila dipersekutukan sesuatu dengan Allah SWT, kamu percaya (dan menerima bawaan syirik itu). Maka kuasa menjalankan keadilan adalah hak Allah, Yang Maha Tinggi (dari apa yang dipersekutukan), lagi Yang Maha Besar (pemerintahan-Nya)”.

ذَٰلِكُم بِأَنَّهُ إِذَا دُعِيَ اللَّهُ وَحْدَهُ

“Dan demikianlah bagi kamu kerana kamu sebelum ini ketika diseru ibadat dan doa hanya kepada Dia sahaja”,

Pengakuan mereka sebelum ini tidak diterima lagi. Kerana ia sudah terlambat. Mereka tidak akan dipulangkan kembali ke dunia untuk memulakan kembali kehidupan yang baru.

Kalimah ذَٰلِكُم bermaksud nasib yang mereka terima itu. Kenapa mereka kena begitu?

Ini adalah kerana mereka dimasukkan ke neraka itu adalah kerana kesalahan mereka sendiri. Kita telah disuruh untuk buat ibadat HANYA kepada Allah SW, kita juga diajar berdoa HANYA kepada Allah SWT sahaja. Tetapi apakah yang dilakukan oleh manusia yang dimasukkan ke dalam neraka itu?

كَفَرْتُمْ

“kamu semua ingkar”.

Mereka telah diajak kepada tauhid semasa mereka di dunia, tetapi mereka ingkar untuk berdoa hanya kepada Allah SWT sahaja.

Contohnya, mereka menggunakan perantaraan dalam doa mereka. Mereka menyeru kepada berbagai-bagai wali, Nabi dan malaikat untuk menyampaikan doa mereka, tanpa ada dalil pun perbuatan itu pernah dibuat atau diajar oleh Nabi.

وَإِن يُشْرَكْ بِهِ تُؤْمِنُوا

“dan apabila kamu diajar syirik kepada Allah SWT, kamu beriman”.

Bermaksud, mereka percaya kepada ajakan syirik yang diajak oleh guru-guru sesat mereka semasa mereka di dunia. Apabila diajak kepada tauhid, mereka tolak, tetapi apabila diajak kepada melakukan syirik, mereka terima pula.

Contohnya bila diajar doa kena sebut nama wali songo, Syeikh Abdul Qadir Jailani, mereka suka dan terus amalkan; dan banyak lagi. Bila ajar pergi ke kubur tok wali, ramai pakat pergi.

Bila ada yang sakit kena gangguan, sampai ada yang sanggup pergi jumpa Bomoh Siam pun ada; ada juga tok bomoh Melayu suruh sembelih ayam untuk jin pun ramai yang sanggup buat. Macam-macam lagilah. Tidak cukup dakwat hendak tulis.

Masyarakat kita, dalam amalan yang melibatkan syirik, mereka sangat suka. Mereka sangka itu ilmu yang benar. Tetapi kalau hendak buat perkara-perkara sunnah, mereka cukup payah.

فَالْحُكْمُ لِلَّهِ

“Keputusan itu milik Allah SWT”.

Sama ada kamu suka ataupun tidak, ketetapan agama datangnya dari Allah SWT. Kita kena ikut syariat yang Allah SWT telah tetapkan.

Juga bermaksud, segala keputusan semuanya di Tangan Allah SWT. Apakah keputusan Allah SWT dalam ayat ini? Keputusan untuk memasukkan ke dalam neraka, mereka yang melakukan syirik kepada-Nya. Tidak ada sesiapa yang dapat mengubah keputusan Allah SWT. Keputusan muktamad adalah milik Allah SWT sahaja. Segala permintaan mereka untuk dikembalikan ke dunia tidak dilayan.

الْعَلِيِّ الْكَبِير

“yang Maha Tinggi lagi Maha Besar”.

Kita kena ikut ketetapan agama yang Allah SWT telah berikan kepada kita kerana Dialah sahaja yang Maha Tinggi dan Maha Besar.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan