Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah – Tafsir Ayat Ke-21 dan Ayat Ke-22

Tafsir Surah Al-Baqarah – Tafsir Ayat Ke-21 dan Ayat Ke-22

3047
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah

Ayat Dakwa yang pertama adalah ayat ke-21 Al-Baqarah yang kita akan belajar sebentar lagi.

 Tafsir Ayat Ke- 21

 يا أَيُّهَا النّاسُ اعبُدوا رَبَّكُمُ الَّذي خَلَقَكُم وَالَّذينَ مِن قَبلِكُم لَعَلَّكُم تَتَّقونَ

“Hai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakan mu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa”.

Ini adalah ‘dakwa’ kepada surah Baqarah ini. Ianya pada ayat اعْبُدُوا رَبَّكُمُ. Seperti yang kita telah belajar sebentar tadi, Dakwa surah adalah perkara terpenting di dalam sesuatu surah itu. Jadi kita kena tengok betul-betul apakah yang hendak disampaikan.

Ayat pertama hingga ke-20 telah menceritakan tentang golongan-golongan yang ada. Ada yang selamat dan ada yang celaka. Maka ayat seterusnya ini adalah rawatan kepada mereka yang celaka itu. Mereka kena kembali kepada ajaran agama yang sebenar.

Ayat ke-21 dan ke-22 adalah tentang tauhid – iaitu mengajar manusia untuk sembah Allah sahaja.

Kemudian ayat ke-23 dan ke-24 tentang Risalah (Kenabian) kerana untuk kita kenal agama dan selamat dunia akhirat, kita kena ikut ajaran Nabi.

Kalau terima, Allah beritahu dalam ayat ke-25 yang natijah kalau terima keduanya, balasannya adalah syurga.
Nota: Jadi ayat ke-21 hingga ke-25 ini telah sentuh ketiga-tiga perkara utama dalam Al-Quran: tauhid /risalah/akhirat.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ

“Wahai sekalian manusia”;

Sekarang Allah bercakap kepada semua manusia, tidak kira sama ada orang itu Islam, tidak kira sama ada orang itu kafir.
Tetapi tentulah kebanyakan orang kafir tidak baca Al-Quran, bukan? Maknanya, kitalah yang kena sampaikan kepada mereka. Kerana kalau bukan kita yang sampaikan, bagaimana mesej Allah ini akan sampai kepada mereka? Tetapi, kalau kita sendiri tidak faham apakah yang hendak disampaikan oleh Al-Quran, macam mana kita hendak sampaikan?

اعْبُدُوا رَبَّكُمُ

“Sembahlah Tuhan kamu sahaja”;

 Inilah yang penting sekali manusia kena lakukan; sembah Allah sahaja. Hambakan diri kamu dan taat kepada Allah. Pujalah, ibadatlah, sembahlah, agungkanlah Allah sahaja. Buatlah ibadat kepada Allah sahaja. Nampak mudah sahaja ayat ini, tetapi adakah kita semua melakukannya? Bukankah kita ada yang menghambakan diri kepada benda lain selain dari Allah? Kepada wang, kepada nafsu, dan sebagainya. Begitu juga ramai yang buat ibadat kepada selain Allah juga. Ada yang buat ibadat di kubur, puja makhluk lain selain Allah dan macam-macam lagi perkara yang tidak patut dilakukan oleh orang Islam, tetapi kita buat juga. Jangan ceritalah kalau orang kafir, memang mereka tidak kenal Allah pun. Tetapi orang Islam yang kenal Allah pun, banyak perkara yang mereka langgar.

Oleh kerana pentingnya kita hanya menyembah Allah dan menghambakan diri kepada Allah, maka kerana itulah ayat ini adalah dikenali sebagai ayat Dakwa Al-Baqarah ini. Dalam ayat yang lain, kita telah diberitahu yang kita dijadikan untuk menyembah Allah. Kalau kita tidak sembah Allah, lalu apa gunanya kita?

Dalam Al-Fatihah, kita telah belajar yang kita telah berjanji untuk sembah Dia sahaja, tidak sembah kepada yang lain, tidak menghambakan diri kepada yang lain. Kenapa kena sembah dan buat ibadat kepada Dia sahaja? Allah beritahu dalil dalam bahagian yang seterusnya. Dalam setiap Dakwa, mesti ada dalil.

 الَّذِي خَلَقَكُمْ

“Kerana Dialah yang menjadikan kamu”;

Dalil pertama yang diberikan adalah jenis ‘Dalil Aqli Anfusi – iaitu Allah suruh lihat kepada diri kita sendiri. Allah sahaja yang boleh menjadikan kita. Kita kena sembah Allah sahaja, kerana makhluk lain tidak dapat cipta kita. Tidaklah patut, Allah yang jadikan kita, tetapi kita sembah makhluk yang lain pula.

وَالَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ

“dan orang-orang yang sebelum kamu”;
Dalil yang kedua, Allah sebut yang bukan kita sahaja yang Dia telah jadikan, tetapi keturunan yang sebelum kita pun telah dijadikan oleh Allah. Semua sekali: bapa, datuk dan nenek kita semua sekali telah diciptakan oleh Allah. Sebab itu kita kena sembah Dia.

لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Mudah-mudahan kamu akan dapat taqwa”.
Dalil-dalil ini diberi supaya kita boleh terima dan buat ibadat dan menghambakan diri kepada Allah dan semoga kita mendapat taqwa. Kita telah jelaskan makna taqwa sebelum ini. Iaitu sedar tentang Allah dan menjaga hukum yang Allah telah berikan kepada kita untuk dipatuhi.

Tafsir Ayat ke-22

Ini dalil lagi, bukan setakat Dia cipta kita sahaja.

الَّذي جَعَلَ لَكُمُ الأَرضَ فِراشًا وَالسَّماءَ بِناءً وَأَنزَلَ مِنَ السَّماءِ ماءً فَأَخرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَراتِ رِزقًا لَكُم ۖ فَلا تَجعَلوا لِلَّهِ أَندادًا وَأَنتُم تَعلَمونَ

“Dialah yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untukmu; kerana itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui”.

الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ

“Dialah juga yang mencipta untuk kamu, bumi ini”.

Dan dalil ketiga, Allah juga yang jadikan bumi sebagai hamparan tempat tinggal buat kita. Sebagai tempat duduk dan tempat cari rezeki.

Ayat ini juga memberitahu bahawa bumi ini dijadikan ‘untuk’ kita gunakan. Segala macam perkara yang ada dalam dunia ini adalah dijadikan untuk kita. Maka, gunakanlah dengan sebaiknya mengikut undang-undang Allah. Kerana dunia dijadikan untuk kitalah, apabila telah sampai masa kita dimatikan dan dimasukkan ke alam akhirat, dunia ini akan dihancurkan kerana tujuan ianya dijadikan, telah tiada.

Macam ‘support structure’ yang kita biasa lihat semasa bangunan sedang dibina. Bila bangunan telah siap, ‘support structure’ itu akan dibuang, bukan?

فِرَاشًا

“terhampar”;

Allah jadikan bumi ini terhampar, supaya senang kita duduki. Kalau ianya semua berbukit bukau, kita pun susah hendak tinggal.

Dan Allah jadikan ianya kukuh untuk kita boleh tinggal. Bayangkan, kalau bergegar sahaja bumi, rumah akan runtuh. Tidak boleh bawa kereta dan sebagainya. Tidak boleh buat apa-apa. Maka kenanglah nikmat dan jasa Allah kepada kita ini.
Jangan nikmat Allah pakai belaka, tetapi buat syirik pada-Nya. Tidak mengenang budi langsung!

 وَالسَّمَاءَ بِنَاءً

“Dan membuat langit sebagai satu binaan yang kukuh”.

Dalil keempat, Allah mengingatkan kita yang Dia juga menjadikan langit. Langit adalah satu binaan yang kukuh dan luas. Kalau kita lihat kepada langit, tidak nampak langsung tanda kerosakan padanya. Tidak ada ‘crack’ langsung macam kita selalu nampak di siling rumah kita kerana yang menjadikannya adalah Allah dan apa yang Allah ciptakan adalah hebat.

 وَأَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً

“Dan menurunkan air hujan dari langit”.

Dan lihatlah air hujan yang Allah turunkan dari langit itu. Banyak ayat-ayat tentang hujan ada dalam Al-Quran. Ia benda biasa sahaja yang kita lihat setiap hari. Ia adalah nikmat besar sebenarnya kepada kita, tetapi kadang-kadang kalau hujan, kita marah pula kepada hujan, sebab tidak boleh bermain bola, bersiar-siar di taman dan sebagainya. Kita bukan marah hujan sebenarnya, tetapi kita marah pada Allah kerana Allah yang turunkan hujan kan? (Bukannya hujan turun sendiri). Apa hendak jadi kalau kita marah Allah? Tidak tahulah, boleh fikirkan sendiri rasanya.

Tetapi jika tidak lama hujan, kita merungut pula. Manusia sentiasa tidak puas. Bayangkan, kalau lama tidak hujan, apa akan jadi kepada cuaca, kepada taman, tanah dan sebagainya. Gersang dan tidak subur, bukan? Manusia memang sukar untuk merasa puas.

 فَأَخْرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرَاتِ رِزْقًا لَكُمْ

“Dan Allah keluarkan dari hujan itu berbagai-bagai buah-buahan sebagai rezeki kepada kamu”;

Dengan air hujan yang Allah berikan itu, dapat menumbuhkan berbagai jenis tanaman termasuk buah-buahan. Air cuma sejenis sahaja, namun bermacam-macam jenis tanaman boleh tumbuh kerana ia adalah ciptaan Allah. Jika ciptaan kita, tentu tidak sehebat itu. Sebagai contoh, kita cipta minyak untuk kereta kita tetapi ada berapa jenis minyak? Ada minyak untuk jalankan kereta, untuk brek, untuk enjin dan lain-lain. Itu minyak untuk kereta, untuk motosikal pula minyak jenis lain, untuk kapal laut jenis lain, kapal terbang, mesin rumput, mesin itu dan ini, semua jenis minyak berlainan. Tetapi Allah jadikan satu jenis air sahaja, semua tanaman boleh pakai. Hebat, bukan?

فَلَا تَجْعَلُوا لِلَّهِ أَنْدَادًا

“Jangan kamu jadikan bagi Allah itu, tanding-tandingan”;

Allah telah beri segala bukti tentang apa yang Dia telah lakukan untuk kita. Kalau Allah yang jadikan semua ini, sembahlah Allah sahaja, mengapa hendak sembah selain Dia?

Maksud jadikan ‘tandingan’ bagi Allah adalah: sepatutnya manusia sembah dan menghambakan diri kepada Allah sahaja. Tetapi Allah kena bertanding pula dengan benda-benda lain seperti hawa nafsu, wang, Nabi, wali, malaikat dan sebagainya. Padahal segala benda itu tidak layak menjadi tandingan bagi Allah. Allah tidak ada tandingannya!

Jika hendak bertanding, mestilah sama kedudukan bukan? Tentulah tidak ada mana-mana makhluk yang sama kedudukan dengan Allah.

Dalam bahasa mudah, mereka telah mensyirikkan Allah. Ramai manusia yang melakukan perkara syirik tanpa mereka sedari dan mereka telah menjadikannya tandingan bagi Allah. Allah amat murka dalam hal itu.

 وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

“Sedangkan kamu tahu”;

Kamu sendiri tahu bahawa Allah tidak berkongsi di dalam penciptaan langit dan bumi. Semasa Allah cipta alam ini, Dia tidak ada sesiapa pun yang tolong Dia. Tetapi mengapa kamu buat juga perkara-perkara syirik berkenaan Allah?

Mungkin sekarang, anda semua yang baru pertama kali membaca ayat-ayat ini, tidak nampak manakah kesalahan syirik yang dilakukan oleh manusia. Insha Allah, nanti kita akan berjumpa dengan ayat-ayat yang memperkatakan tentang syirik dan anda akan semakin jelas.

Wallahu a’lam.

Komen dan Soalan